Post kali ini, saya ingin berkongsikan ceramah yang saya dengar di masjid Kg Baru baru-baru ini. InsyaAllah, semoga apa yang saya sampaikan ini akan memberikan serba sedikit manfaat kepada rakan-rakan.
Akal, merupakan salah satu sumber ilmu, yang diberikan Allah kepada semua manusia. Sumber ilmu yang lain adalah seperti penulisan, wahyu (AlQuran), dan sunnah. Walaupun akal ini merupakan sumber ilmu, tetapi ianya terhad terhadap apa yang tercapai oleh pancaindera sahaja.
Apa yang dimaksudkan ialah, setiap apa yang kita boleh lihat, dengar, rasa, hanya perkara-perkara itu yang boleh dicapai oleh akal. Sebab itu kita tidak dapat memikirkan tentang sesuatu yang ghaib, walaupun kita wajib mempercayainya seperti yang disuruh oleh Allah dalam 5 ayat pertama surah Al-Baqarah. Mereka yang dilahirkan buta dan pekak tidak diwajibkan sembahyang kerana perintah AlQuran itu tidak sampai pada mereka, mereka tidak dapat belajar dan tidak dapat mendengar.
Mengikut pendapat sekular, ilmu itu terbahagi kepada dua, iaitu rasional dan empirikal (pengalaman duniawi). Mereka amat menekankan dua perkara ini dalam kehidupan mereka. Mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah pula, pentafsiran tentang baik buruk sesuatu itu bergantung pada syarak, iaitu berpandukan sumber wahyu (Al-Quran) dan sunnah, disamping ilmu empirikal. Al-Quran banyak mengajar kita tentang perkara ghaib itu, tentang penciptaan manusia, langit, bumi dan banyak lagi ilmu-ilmu Allah, manakala sunnah Rasulullah membimbing kita tentang bagaimana mendapatkan ilmu itu.
Akal manusia amat lemah, kerana dengan akal semata-mata tidak mampu memimpin kita. Sebagai contoh, kita tahu sesuatu sembahyang jemaah itu baik, tetapi kita tidak melakukannya walaupun rumah kita berdekatan dengan masjid. Begitu juga dengan rokok, kita tahu kesannya yang memudaratkan, kita ada ilmu tentangnya, tetapi ilmu itu tak dapat memimpin kita untuk menjauhinya. Itulah kelemahan akal manusia.
Jadi, bagaimana kita mampu memimpin diri kita? Itulah perlunya kehadiran hati. Ilmu ditafsirkan oleh akal, dan hatilah yang akan membawa kita kearah kebaikan atau keburukan. Sebab itulah Islam sangat mementingkan umatnya untuk menjaga hati, agar sentiasa bersih dan mampu memimpin diri kita kearah kebaikan.
"Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati"
- riwayat Bukhari dan Muslim -
Imam Ghazali berkata, akal itu ada 4 peringkat. Dua peringkat pertama sudah ada secara fitrah, manakala dua lagi memerlukan pada usaha untuk mencapainya.
Peringkat pertama, ialah akal yang membezakan manusia dari haiwan, iaitu kekuatan untuk menimba ilmu. Peringkat kedua, akal ialah ilmu yang muncul pada kanak-kanak untuk membezakan benda yang mungkin dengan benda yang mustahil. Secara umumnya, semua manusia mempunyai dua peringkat ini, kecuali mereka yang gila dan tidak boleh berfikiran waras.
Peringkat ketiga yang memerlukan usaha untuk mencapainya, ialah ilmu yang diperoleh dari pengalaman. Inilah yang dimaksudkan dengan empirikal. Kegagalan dalam sesuatu perjalanan dijadikan pengajaran. Jika seseorang itu tidak dapat menerimanya, dan terus menerus melalui kegagalan yang sama, orang itu dikatakan sebagai kurang berakal.
Perkara inilah yang kita sedang usahakan, iaitu melalui pembelajaran dan pengalaman hidup. Kita sentiasa mengasah akal kita pada peringkat ketiga ini. Tetapi, peringkat keempat memerlukan usaha yang lebih banyak, dan jarang orang berjaya mencapainya.
Peringkat keempat ialah akal yang mampu menundukkan hawa nafsu. Dalam peringkat ini, akal dan hati telah menyatu. Kita ketahui tentang perkara yang baik, dan kita berjaya lakukannya, kita tahu perkara yang berdosa dan kita berjaya menjauhinya.
Majoriti manusia sekarang tidak mencapai peringkat keempat ini, kerana kita lebih mengutamakan usaha untuk mempertajamkan akal, tapi sangat kurang berusaha untu mempertajamkan hati. Hati seseorang boleh dibentuk melalui kebiasaan, membiasakan diri untuk membuat perkara baik dan membiasakan diri untuk tidak melakukan yang sebaliknya. Kebiasaan inilah yang akan membentuk hati kita, termasuklah makan dan minum. Itulah pentingnya didikan daripada kecil, dalam membiasakan hati dengan kebaikan, amar makruf nahi munkar yang sentiasa mengingatkan kita.
Jadi, marilah kita sama-sama mempertajamkan ilmu dan hati kita. Kita perlukan kedua-duanya dalam usaha untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Semoga dengan perkongsian yang sedikit ini akan memberi banyak manfaat kepada rakan-rakan pembaca =)