Thursday, May 27, 2010

Buta huruf?


InsyaAllah untuk post kali ini, saya ingin kongsikan sedikit tafsir ayat Al-Quran. Semoga kita dapat sama-sama tadabbur, yakni memahami dan mendalami maksudnya supaya kita dapat ambil pengajarannya yang sangat berguna. Sebarang kemusykilan atau kesalahan, mohon teguran.

"Dan di antara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui al-Kitab, kecuali dongengan bohong belaka, dan mereka hanya menduga-duga. Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya, 'Ini dari Allah', (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka akibat apa yang mereka kerjakan."
-surah Al-Baqarah (2), ayat 78,79-

Berdasarkan buku Shahih Tafsir Ibnu Katsir, buta huruf ini ditujukan kepada golongan Ahli Kitab. Mereka menerima kitab dari nabi sebelumnya, tetapi mereka tidak mengetahui isinya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Kami adalah umat yang ummi, tidak pandai menulis dan juga mengira satu bulan itu sekian dan sekian" (riwayat Bukhari dan Muslim).

Mujahid berkata, "Sesungguhnya kaum yang ummi, mereka adalah orang-orang yang disifati oleh Allah Taala bahawa mereka tidak memahami sedikit pun dari Kitabullah yang diturunkan Allah kepada Musa a.s. Lalu mereka membuat kebohongan dan kebatilan secara dusta dan palsu" (Ath-Thabari).

Apa yang boleh kita fahami, bahawa Allah menggambarkan melalui ayat ini, tentang sifat golongan Yahudi yang tidak memahami isi kitab yang mereka terima. Kemudian mereka sebarkan cerita yang mereka reka berdasarkan akal fikiran mereka sendiri, dan mengatakannya daripada kitab Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan kebohongan tersebut.

Kemudian diceritakan bahawa Allah mencela mereka ini, kerana telah menulis dan merubah apa yang ada dalam kitab Allah, iaitu Taurat. Perkara yang sama juga berlaku kepada kaum Nasrani, dimana kitab Injil yang asli telah mereka sorokkan dan mereka hanya mencetak kitab Bible yang mereka hasilkan.

Bagaimana pula dengan kita, umat Islam di akhir zaman ini? Mungkin ada yang menyatakan, bahawa ayat ini hanya ditujukan kepada Yahudi dan Nasrani. Tetapi sebenarnya, ayat ini mengandungi peringatan kepada diri kita sebagai seorang Muslim.

Adakah kita sekarang memahami Al-Quran yang kita agung-agungkan? Bagi mereka yang memahami, baguslah, tetapi bagaimana dengan kebanyakan masyarakat kita sekarang? Adakah mereka jelas tentang perintah-perintah dan larangan Allah yang terkandung dalam Al-Quran? Jika tidak, bukankah keadaan kita adalah sama seperti sifat Ahli Kitab yang diceritakan Allah dalam ayat ini?

Cuba kita lihat dan fikirkan, adakah kita juga lakukan sesuatu itu berdasarkan sangkaan kita semata-mata, ataupun benar-benar kerana ilmu?

Kesimpulannya, sama-samalah kita mendalami lagi ilmu agama, cubalah belajar dan memahami Al-Quran, supaya kita dijauhkan daripada kemurkaan Allah. Jika sebelum ini kita hanya menyatakan tentang Islam itu berdasarkan sangkaan semata-mata, maka kita perbetulkan. Kita belajarlah, carilah dalil-dalil yang sahih, yang menerangkan tentang Islam yang sebenar-benarnya.

Jika kita tidak pandai bahasa Arab, usahakan untuk mencari terjemahan Al-Quran. Jika berkemampuan bolehlah membeli kitab tafsir, kerana disitu terdapat huraian dari ulama yang arif tentang Al-Quran. Jika tidak faham juga, bertanyalah pada mereka yang mempunyai ilmu tentangnya, atau hadir ke kuliah-kuliah agama.

Tidak dilupakan juga dengan hadis-hadis, cubalah pelajari, kerana pada diri Rasulullah itu terdapat tauladan yang mesti kita ikuti. Apabila kita sudah tahu membezakan hadis atau pun bukan, kemudian boleh mengingat beberapa hadis berdasarkan kemampuan, seterusnya kita amalkannya, barulah kita boleh menyatakan diri kita sebagai mereka yang mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Semoga ilmu-ilmu inilah yang akan menjadi bekalan kita di akhirat kelak.

Humaid bin Abdurrahman berkata, dia mendengar Muawiyah dalam khutbahnya berkata, "Aku mendengar Nabi s.a.w. bersabda, "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan padanya, maka Dia akan memberinya pemahaman dalam urusan agama. Aku hanya menyampaikan, sedangkan yang memberi pemahaman adalah Allah.

Dan sentiasa dari umat ini, ada segolongan yang akan tetap berpegang teguh dalam perintah Allah, mereka tidak dapat digoyahkan oleh orang yang menghina mereka, dan tidak pula oleh orang yang menyalahi mereka, hingga sampai ketetapan Allah (kiamat)."
-riwayat Bukhari (Kitab Ilmu, Bab Jika Allah menghendaki kebaikan pada seseorang)-

Semoga dengan perkongsian ini, sama-sama kita ambil pengajaran, dan sama-samalah kita perbaiki diri kita, agar diri kita sentiasa mendapat rahmat dari Allah, dan dijauhkan daripada azab-Nya yang sangat pedih. Wallahu'alam. =)

Monday, May 17, 2010

Ulangkaji - Solat (2)


InsyaAllah post kali ini saya ingin menyentuh beberapa lagi persoalan sekitar bab solat yang perlu kita ketahui. Rujukan yang saya gunakan masih sama seperti post sebelumnya. Jika terdapat sebarang kesalahan atau masalah, mohon teguran. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat rakan-rakan. =)

"Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua bersama-sama orang yang rukuk"
-Al-Baqarah (2), ayat 43-

Solat fardhu berjemaah sangat dituntut ke atas setiap Muslim, dimana sebahagian ulama meletakkan hukumnya sebagai wajib (imam Ahmad, Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyah), dan sebahagian lagi menyatakannya sunnat muakad ataupun fardhu kifayah (imam Abu Hanifah, Malik, Asy Syafie). Apa yang pasti, ianya merupakan perintah Allah dan Rasulullah s.a.w. yang perlu kita ambil berat, tidak boleh kita tinggalkan dengan sengaja.

Salah satu hadis yang menceritakan ketegasan baginda tentang berjemaah, dari Abu Hurairah bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda, "Demi Allah yang jiwaku didalam genggamanNya. Sungguh aku ingin memerintahkan untuk dibawakan kayu api lalu kayu itu dibakar, kemudian aku perintahkan untuk mengumandangkan azan, kemudian aku perintahkan seorang lelaki mengimami mereka, dan aku menuju rumah orang-orang yang tidak ikut solat berjemaah, kemudian aku bakar rumah mereka."
-riwayat Bukhari dan Muslim (Bab: Keutamaan Solat Berjemaah)-

Dalam solat berjemaah, meluruskan saf merupakan salah satu kesempurnaannya sebagaimana diriwayatkan Anas dan Abu Hurairah, "Luruskanlah barisan kalian, kerana sesungguhnya meluruskan barisan termasuk kesempurnaan solat" (riwayat Bukhari). Perkara ini memang diketahui ramai orang, tetapi masih ramai yang mengambil ringan tentangnya.

Ada yang menganggap merapatkan saf hanya sekadar mencukupi dengan menutup ruang untuk orang melaluinya, ada juga yang menjarakkan kerana inginkan keselesaan. Sedangkan dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim jelas menyatakan, bahawa sahabat merapatkan saf dengan saling bersentuhan bahu dan kaki. Dari Anas, Nabi s.a.w. bersabda, "Hendaklah salah seorang dari kalian menempelkan bahunya dengan bahu temannya, dan menempelkan kakinya dengan kaki temannya".

Antara hadis yang menyatakan kepentingan menjaga saf, hadis dari Anas, Nabi s.a.w. bersabda, "Rapatkanlah saf-saf kalian, saling mendekatlah, dan sejajarkanlah leher-leher kalian. Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, sungguh aku melihat syaitan masuk ke dalam celah-celah saf seperti anak kambing (hadzaf)" (Sahih, riwayat Abu Daud, An-Nasai, Ahmad). Dari Nu'man bin Basyir, Nabi s.a.w. bersabda, "Rapatkanlah (luruskan) saf-saf kalian, atau Allah akan mencerai-beraikan wajah-wajah kalian" (riwayat Bukhari dan Muslim).
Imam itu mesti diikuti, dan kita dilarang untuk mendahului pergerakan imam didalam solat. Dari Abu Hurairah, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengajar kepada kami, beliau bersabda "Jangan kamu mendahului imam! Jika imam sudah bertakbir, maka bertakbirlah, apabila imam telah mengucapkan 'wa laddhaalliin', maka ucapkanlah 'amiin'. Kalau imam telah rukuk, maka rukuklah, apabila imam telah mengucapkan 'sami'Allahu liman hamidah', maka ucapkanlah 'rabbana lakal hamdu'.
-riwayat Bukhari dan Muslim-


Daripada hadis ini juga, kita diajar untuk mengucapkan 'rabbana lakal hamdu' selepas imam membaca 'sami'allahu liman hamidah'. Perkara ini tidak ramai yang mengetahui. Semoga penjelasan ini dapat membantu serba sedikit.

Antara sunnah yang tidak ramai melakukan ialah membuat pembatas dihadapan ketika solat. "Jika salah seorang dari kalian melakukan solat, maka hendaklah ia solat menghadap ke pembatas dan hendaklah mendekat kepadanya, agar syaitan tidak memutus solatnya" (Sahih: Abu Daud, Nasai, Hakim). Apabila ada pembatas dihadapan, maka solatnya tidak terganggu dan orang lain boleh melintas dihadapan pembatas tersebut. Pembatas itu sama ada tiang, dinding, dan apa-apa sahaja yang boleh ditegakkan, kerana ada hadis meriwayatkan baginda menggunakan sebatang panah, tongkat, juga pernah bersolat menghadap binatang kenderaannya. Ketika berjemaah, cukuplah dengan pembatas dihadapan imam.

Yazid bin Abi Ubaid mengatakan, aku pernah datang bersama Salamah bin Al-Akwa, lalu dia solat di depan tiang yang ada mushafnya, maka aku katakan, "Wahai Abu Muslim, aku melihatmu selalu solat menghadap tiang ini." Ia menjawab, "Kerana aku pernah melihat Nabi s.a.w. sering solat didepannya."-riwayat Bukhari (Bab: Solat Didepan Tiang)-
Berkenaan turun sujud dari kedudukan berdiri, ada kala kita melihat orang meletakkan lutut dulu, dan ada sebahagian yang meletakkan tangan dulu sebelum lutut. Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jika salah seorang dari kalian hendak sujud, maka janganlah bersujud seperti sujudnya unta, hendaklah ia meletakkan dua tangannya dahulu sebelum dua lututnya" (hasan: riwayat Abu Daud, Nasai). Perkara ini merupakan khilaf, dan dibenarkan untuk kita memilih salah satu cara yang dikatakan oleh ulama.

Begitu juga ketika bangkit dari sujud untuk berdiri, sunnahnya adalah duduk sebentar, kemudian menekan dua tangan ke lantai lalu berdiri tegak. Perkara ini digambarkan Malik bin Huwairits berkenaan solat Nabi s.a.w., "Apabila beliau mengangkat kepalanya dari sujud, maka beliau duduk dan bertumpu ke atas tanah lalu bangkit."
-riwayat Bukhari (Bab: Bertopang pada tanah ketika berdiri dari rakaat)-

Semoga dengan perkongsian ringkas ini, dapat membantu dan memperbetulkan solat kita serba sedikit, agar solat kita lebih dekat kepada sunnah Rasulullah s.a.w. dan diterima oleh Allah Taala. Mohon teguran dan pembetulan dari rakan-rakan yang membaca jika terdapat kesilapan. =)
Wallahualam.

Dari Abu Hurairah, dia berkata, pada suatu hari Rasulullah solat bersama kami. Setelah solat beliau berpaling seraya bersabda, "Wahai Fulan! Mengapa kamu tidak memperbaiki solatmu? Mengapa orang yang solat tidak memperhatikan bagaimana dia melakukan solat? Sesungguhnya dia solat untuk dirinya sendiri." -riwayat Muslim (Bab: Perintah Memperbaiki Solat)-

Sunday, May 9, 2010

Ulangkaji - Cara Berdoa


Dan Tuhanmu berfirman, "Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembahKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina."
-surah Ghafir (40), ayat 60-

Inilah perintah daripada Allah kepada hambaNya, supaya berdoa hanya kepadaNya, dan Allah juga menjamin akan menqabulkan doa tersebut. Para penyusun kitab sunan yang empat meriwayatkan hadis dari Nu'man bin Basyir, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Sesungguhnya doa itu adalah ibadah" kemudian baginda bacakan ayat diatas (Tirmizi menyatakan hasan sahih, Sahih: lihat Shaahihul Jami'). Berkenaan orang-orang yang sombong itu, Ibnu Katsir menyatakan bahawa mereka adalah orang yang tidak mahu berdoa dan mengesakan Allah.

Untuk post kali ini, saya ingin tuliskan berkenaan fiqh doa. Setiap hari, hamba-hamba yang beriman kepada Allah pasti akan berdoa, cuma kadang-kadang ada antara kita yang tidak tahu bagaimana cara berdoa sebenarnya, berdasarkan Al-Quran dan hadis. Semoga post kali ini memberi serba sedikit ilmu buat rakan-rakan.

Salah satu tatacara berdoa yang kita cukup tahu ialah dengan mengangkat tangan. Contohnya hadis sahih Bukhari, Ibnu Umar mengatakan, "Nabi s.a.w. mengangkat kedua tangannya mengucapkan 'Ya Allah, aku berlepas diri kepadaMu dari apa yang dilakukan Khalid." Juga Abu Musa Al- As'ari mengatakan, "Nabi s.a.w. berdoa lalu beliau mengangkat kedua tangannya dan aku melihat putihnya kedua ketiak beliau."

Antara perkara yang kita tidak tahu ialah, bukan semua doa Rasulullah s.a.w. mengangkat tangan, seperti doa masuk ke tandas, doa selepas azan dan sebagainya. Kebanyakan hadis yang menyatakan baginda mengangkat tangan adalah ketika doa khusus, meminta apa yang kita mahu, seperti doa minta hujan yang dilakukan Rasulullah s.a.w. Jadi apabila sedang doa beramai-ramai, kita melihat ada orang yang tidak menadah tangan, maka janganlah kita katakan mereka ini tidak berdoa.

Selain itu, tiada hadis sahih yang menyatakan baginda menyapu muka selepas berdoa, seperti yang selalu kita lakukan. Perkara ini dinyatakan oleh Syaikh al-Torifi dalam Zawaid Sunan Abu Daud, yang menyatakan bahawa hadis tersebut dhaif, dan tiada satu pun dalam hal ini yang sahih. Al-Hafiz Ibnu Hajar pula mengatakan bahawa semua riwayat-riwayat ini dapat menguatkan antara satu sama lain sehingga menaikkan darjatnya kepada hasan. Namun begitu, kita boleh memilih mana-mana pendapat, samada menyapu muka selepas berdoa atau pun tidak.

Apabila kita ingin berdoa, mulakan dengan memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi s.a.w. Dari Fudhalah bin Ubaid, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mendengar seorang lelaki berdoa setelah selesai mengerjakan solat, tanpa mengagungkan Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w. terlebih dahulu. Melihat itu, beliau bersabda, "Orang ini terlampau tergesa-gesa". Kemudian beliau memanggil orang itu dan berkata kepadanya "Jika salah seorang antara kamu berdoa, hendaklah memulakannya dengan mengagungkan Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Mulia serta menyanjungNya, kemudian disusuli membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. Setelah itu barulah berdoa dan meminta apa yang diinginkan."
-riwayat Abu Daud, an-Nasai dan at-Tirmizi yang menyatakannya sahih-

Adab penting dalam berdoa ialah berdoa dengan merendah diri, dan tidak menguatkan suara. Jika kita ingin merintih mahupun menangis, teruskan. Allah berfirman, "Mohonlah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang melampaui batas."
-surah Al-A'raf (7), ayat 55-

Berdoa juga mestilah dengan keyakinan ia akan dikabulkan, penuh pengharapan kepadaNya. Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Janganlah seseorang antara kamu menyatakan 'Ya Allah ampunilah aku bila Engkau inginkan. Ya Allah rahmatilah aku bila Engkau menginginkannya.' Tetapi kuatkanlah azam ketika berdoa, sesungguhnya tidak seorang pun yang dapat memaksaNya."
-riwayat Bukhari (Kitab Doa, Bab: Hendaklah memantapkan permohonan, tiada yang memaksa Allah), Muslim-

Kita juga tidak boleh tergesa-gesa dan menganggap doa lambat dimakbulkan. Allah telah janjikan dalam ayat Al-Quran di atas bahawa dia akan kabulkan, cuma mungkin Dia lambatkan, atau Dia ganti dengan sesuatu yang lebih baik dari apa yang kita minta. Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Akan dikabulkan permohonan seseorang antara kamu selama dia tidak tergesa-gesa dengan mengatakan 'Aku telah berdoa tetapi belum dimakbulkan."
-riwayat Bukhari (Kitab Doa, Bab: Dikabulkan doa selama tidak tergesa-gesa)-

Dalam berdoa, kita mintalah perkara-perkara yang baik, jangan sesekali kita mendoakan sesuatu yang buruk, apatah lagi untuk diri kita. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Janganlah kamu mendoakan kebinasaan ke atas dirimu, anak-anakmu, pembantu dan harta milikmu. Apatah lagi doamu itu bertepatan dengan suatu saat dimana Allah memakbulkan, hingga doa jahatmu itu akan benar-benar dimakbulkan."
-riwayat Muslim (Kitab Zuhud dan Nasihat, Bab: Hadis Jabir)-

Didalam buku Fiqh Sunnah oleh Sayyid Sabiq turut dikatakan supaya memilih kalimat doa yang mencakupi makna luas. Contohnya doa dalam ayat 201 surah Al-Baqarah, dimana Anas menyatakan bahawa Nabi s.a.w. selalu berdoa dengan doa tersebut (riwayat Bukhari). Jika kita selalu membaca hadis-hadis, kebanyakan doa-doa baginda tidak terlalu panjang seperti yang masyarakat kita selalu amalkan, tetapi doanya ringkas dan bermakna. Kadangkala pujian kepada Allah itu lebih panjang daripada apa yang diminta.

Jika kita tidak pandai berbahasa Arab, maka dibolehkan kita berdoa dalam bahasa Melayu. Apa yang penting, kita mestilah faham apa yang kita doakan, insyaAllah doa itu akan diterima Allah. Masyarakat kita selalu berdoa beramai-ramai, sedangkan kita tidak faham isi kandung doa tersebut, seperti contoh berdoa selepas solat. Maka yang terbaik ialah kita berdoalah sendiri, minta apa yang kita hajati, moga-moga Allah merahmati.

InsyaAllah ada banyak doa-doa yang sahih dari Nabi s.a.w. yang boleh kita amalkan. Hafallah dan fahami maknanya. Semoga dengan perkongsian ini, kita dapat serba sedikit memperbaiki amalan kita, agar doa kita diterima dan dimakbulkan oleh Allah. Jika terdapat kesalahan dalam post ini, mohon teguran. =)

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi perintahKu, dan beriman kepadaKu, agar mereka beroleh kebenaran."
-surah Al-Baqarah (2), ayat 186-

Tuesday, May 4, 2010

Ulangkaji - Solat


InsyaAllah untuk post kali ini, saya ingin berkongsi beberapa persoalan penting mengenai tatacara dalam solat. Sudah tentu kekhusyukan itu sangat penting, tetapi kita tidak boleh ambil ringan tentang tatacara solat. Perkara ini juga memainkan peranan penting dalam memastikan kekhusyukan kita, disamping kewajipan daripada hadis Nabi s.a.w. "Solatlah kalian sebagaimana kalian melihatku solat."
-riwayat Bukhari dan Ahmad-

Didalam menjawab persoalan-persoalan ini, saya berikan sebahagian hadis-hadis yang berkaitan, berdasarkan rujukan saya dalam buku Sifat Solat Nabi oleh Syaikh Al-Albani, Fiqh Sunnah oleh Sayyid Sabiq, rujukan hadis dari Ringkasan Sahih Bukhari dan Ringkasan Sahih Muslim oleh Syaikh Al-Albani, buku Formula Solat Sempurna oleh Ust. Zaharuddin dan Ensiklopedia Shalat oleh Syaikh Abu Malik Kamal. Mohon rakan untuk perbetulkan jika terdapat kesilapan.

Persoalan pertama yang saya ingin bawakan ialah mengenai niat. Ramai dikalangan masyarakat yang ragu-ragu ketika niat, malah bertakbir beberapa kali kerana 'lafaz' niatnya tidak sempurna. An-Nawawi mengatakan, "makna niat adalah kehendak melakukan sesuatu. Seseorang yang ingin mengerjakan solat, menghadirkan di dalam hatinya tentang solat yang ingin didirikan" (Sifat Solat Nabi). Begitu juga Ibnu al-Qayyim, "tempatnya ialah di dalam hati, dan ia tidak ada sangkut pautnya sama sekali dengan penuturan lisan" (Fiqh Sunnah). Tiada hadis yang menyatakan tentang niat perlu dilafazkan. Maka, janganlah kita ragu-ragu lagi tentang niat didalam solat, sesungguhnya keraguan itu adalah dari bisikan syaitan. Wallahualam.

Kedua adalah mengenai cara mengangkat tangan, dan waktu-waktunya. Saya bawakan satu hadis yang popular dalam menerangkan cara dan waktunya. Dari Salim bin Abdullah, dari ayahnya (Abdullah bin Umar), bahawa Rasulullah s.a.w. mengangkat kedua tangannya sejajar dengan kedua bahunya ketika beliau takbir (Allahuakbar), iaitu saat memulai solat. Dan jika ruku' beliau melakukan seperti itu, juga ketika mengangkat kepalanya dari ruku', beliau mengangkat kedua tangannya seperti semula sambil mengucapkan 'sami'Allahu liman hamidah, rabbana wa lakalhamd'. Beliau tidak melakukan (mengangkat tangan) ketika takbir untuk sujud, dan tidak juga ketika mengangkat kepalanya dari sujud.
-riwayat Bukhari-

Sebahagian hadis menyatakan bahawa baginda mengangkat kedua tangan separas dengan telinga, perkara ini juga dibolehkan. Saya terangkan disini kerana masih ada mereka yang mengangkat tangan terlalu tinggi, dan ada yang hanya mengangkat separuh jalan. Disamping waktu-waktu di atas, Nabi s.a.w. juga mengangkat tangan ketika berdiri selepas rakaat kedua, sebagaimana diriwayatkan dari Nafi' (riwayat Bukhari).

Seterusnya ialah mengenai tatacara rukuk. Rukuk yang baik ialah meletakkan kedua tangan pada kedua lutut, meluruskan bahagian belakang badan termasuk kepala, dan diwajibkan berhenti seketika (thuma'ninah). Persoalan ini saya bawakan kerana sebahagian masyarakat terlalu membongkokkan badannya kebawah, ada yang meletakkan tangannya dibahagian tulang kering (betis) dan ada juga yang tidak berhenti seketika terutama ketika mengerjakan solat sunat.

Hadis pertama dari Abu Humaid, dia berkata antara para sahabatnya, "Nabi s.a.w. menempatkan kedua tangannya pada kedua lututnya, lalu beliau meluruskan punggungnya" -riwayat Bukhari-. Hadis kedua dari Mush'ab bin Saad, ia berkata "Aku solat disamping ayahku. Aku meluruskan kedua telapak tanganku dan aku letakkan di atas kedua pehaku. Kemudian ayahku melarangku. Ia berkata 'Dulu kami pernah melakukan seperti itu, lalu kami dilarang, dan diperintahkan untuk meletakkan tangan kami diatas lutut." -riwayat Bukhari dan Muslim -Bab meletakkan tangan di atas lutut ketika rukuk-

Mengenai kedudukan kepala pula, Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa "Apabila Nabi s.a.w. rukuk, beliau tidak menonjolkan kepalanya ke atas (mendongak) dan tidak pula membongkokkannya ke bawah, tetapi memposisikan kepalanya antara dua keadaan tersebut."
-riwayat Muslim-

Persoalan seterusnya ialah tatacara sujud. Perkara penting yang perlu dijaga ialah menyempurnakan anggota sujud, dan berhenti sebentar (thuma'ninah) ketika sujud tersebut. Dari Ibnu Abbas r.a. ia berkata, Nabi s.a.w. bersabda "Aku diperintahkan sujud di atas tujuh tulang; Pada kening -seraya menunjukkan pula hidungnya dengan tangannya-, kedua tangan, kedua lutut, dan hujung-hujung jari kedua kaki."
-riwayat Bukhari dan Muslim-

Antara kesilapan yang sering dilakukan ialah pada bahagian kaki, dimana sesetengah orang tidak membengkokkan jari kakinya menyentuh tanah, ada yang kakinya terangkat dan ada yang menjarakkan kedua telapak kakinya. Dari Aisyah "Saya mendapati beliau (Nabi s.a.w.) sedang bersujud dengan merapatkan tumit kakinya, sedangkan jari kakinya menghadap kiblat" -riwayat Ibnu Huzaimah, Baihaqi, disahihkan oleh Al-Albani-.

Mengenai hidung sebagai anggota sujud, sebahagian ulama menyatakan wajib, sebahagian lagi menyatakan cukup sekadar dahi. Apa yang terbaik ialah meletakkan hidung sebagai anggota sujud sebagaimana hadis diatas dan hadis sahih yang lain, "Tidak dianggap solat bagi orang yang tidak menetapkan hidungnya ketanah sebagaimana dahinya menetap ke tanah" -riwayat Daruquthni, disahihkan oleh Al-Albani -Sifat Solat Nabi- .

Mengenai kedudukan tangan ketika sujud, posisi terbaik berdasarkan hadis adalah separas dengan bahu, mahupun telinga, dengan siku diangkat dan direnggangkan dari badan. Abu Humaid berkata, "Nabi s.a.w sujud, beliau meletakkan kedua-dua telapak tangannya, dan tidak menempelkan lengan (ke tanah) dan tidak pula rapat pada tubuhnya" -riwayat Bukhari-. Dari Anas bin Malik, Nabi s.a.w. bersabda, "Jangan berlebih-lebihan dalam sujud, dan janganlah seseorang di antara kalian meluruskan lengannya seperti anjing (iaitu rapat ke tanah)." -riwayat Bukhari dan Muslim -Bab: Tidak menempelkan siku ketika sujud-

Rukuk dan sujud sangat penting untuk dijaga, kecuali dalam keadaan mudarat. Dari Zaid bin Wahb, ia berkata, "Hudzaifah melihat seorang lelaki yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya. Setelah orang itu menyelesaikan solatnya, dia berkata kepadanya, 'Engkau belum solat. Jika engkau mati, maka engkau mati di luar sunnah Muhammad s.a.w."
-riwayat Bukhari (Bab: Jika tidak menyempurnakan rukuk dan sujud)-

Mengenani tatacara sujud dan ruku' bagi wanita, sebahagian ulama membezakan, sebahagian lagi menyamakan dengan lelaki, kerana tiada satu dalil sahih yang menyatakan tentang perbezaan tersebut. Keumuman ini berdasarkan hadis pertama diatas "Solatlah kalian sebagaimana kalian melihatku solat", pendapat ini dikatakan lebih kuat. Syaikh Abu Malik Kamal (Ensiklopedia Shalat) menyatakan, wanita boleh memilih antara dua pendapat ini, kerana pendapat yang membezakan itu juga dikatakan oleh banyak ulama salafus soleh. Wallahualam.

Semoga dengan sedikit penerangan ini, kita dapat sama-sama memperbaiki kualiti solat kita agar lebih dekat kepada sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Masih ada lagi permasalahan dalam solat yang tidak sempat saya sertakan sekali, insyaAllah akan saya tulis dalam post akan datang. Sebarang kemusykilan bolehlah sama-sama kita periksa, jika ada kesalahan, mohon diperbetulkan. =)