Monday, September 16, 2013

3 nasihat buat diri

Assalamualaikum. InshaAllah post kali ini saya kongsikan satu hadis dari Riyadus Salihin, dari bab Muraqabah.

Dari Abu Zar, iaitu Jundub bin Junadah dan Abu Abdur Rahman iaitu Mu'az bin Jabal radhiallahu 'anhuma dari Rasulullah s.a.w. sabdanya:
"Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada dan ikutilah perbuatan buruk itu dengan perbuatan baik, maka kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan tadi dan pergaulilah manusia dengan budi pekerti yang mulia."
-Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah hadis hasan-

Keterangan: Hadis ini mengandung tiga isi penting, yakni bertaqwa kepada Allah, lakukan kebaikan selepas mengerjakan keburukan dan perintah bergaul dengan baik antara seluruh umat manusia.

1. Takut pada Allah atau Taqwallah adalah satu kata yang menghimpun erti yang sangat mendalam sekali. Pokoknya ialah mengikuti dan mengamalkan semua perintah Allah dan menjauhi serta menahan diri dari melakukan larangan-laranganNya. Dengan demikian terjagalah jiwa dan terpeliharalah hati manusia dari kemungkaran, kemaksiatan, kemusyrikan yang terang (jelas) atau yang tidak terang (tersembunyi), juga terhindar dari kekufuran dan perkara  yang membawa kepada kesyirikan. Tuhan tentu akan melindungi orang yang bertaqwa itu dari semuanya tadi.

2. Mengikutkan kebaikan sesudah melakukan kejahatan itu ialah bertaubat, karena dengan demikian terhapuslah kesalahan yang kita lakukan sebelum ini, asalkan kita bertaubat dengan sebenar-benarnya.

"Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan adalah Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
-surah Al-Furqan, ayat 70-

3. Bergaul dengan manusia dengan budi pekerti yang mulia. Allah menciptakan kita untuk saling kenal mengenali, juga untuk saling nasihat-menasihati. Pergaulan itu mesti mengikuti ajaran yang ditetapkan oleh Islam, bukannya melampaui batas sehingga membawa kepada perkara yang diharamkan Allah.

Ayuh sama-sama kita perbaiki diri, berusaha mengikut ajaran agama Islam dengan sebaik-baiknya, agar kita menjadi hambaNya yang bertaqwa. Mohon teguran atas segala salah silap. Allahua'lam.

Monday, May 20, 2013

Pilihan


Assalamualaikum. Setelah lama menyepikan diri dan menyibukkan diri dengan kerja dan peperiksaan, alhamdulillah masih diberikan kesempatan dan peluang olehNya untuk terus berdakwah melalui penulisan blog. Moga ilmu yang dikongsikan ini mampu memberi manfaat buat rakan-rakan sekalian.

Salah satu realiti kehidupan ini yang perlu kita tahu dan faham adalah mengenai pilihan. Apa pun kerja yang kita lakukan, pasti tidak boleh lari dari membuat pilihan. Jika pelajar dan mahasiswa contohnya, mereka bukan sahaja perlu memilih pilihan jawapan di atas kertas, aktiviti-aktiviti, malah pemilihan kawan juga menjadi isu penting dalam membentuk pola pemikiran dan personaliti yang hebat.

"Dan Tuhanmu menciptakan dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan, dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukanNya."
-surah AlQasas, ayat 68-

Memang sesetengah perkara itu adalah ketentuan Allah sendiri, tetapi sebahagian yang lain perlukan pilihan kita. Jodoh contohnya, merupakan perkara yang ditentukan Allah sejak awal lagi, tetapi dalam masa yang sama Rasulullah mengajar kita untuk mengutamakan calon isteri yang beragama lebih dari perkara lain. Sesetengah orang membiarkan masa menentukan, ada yang pasrah dan tidak ingin berusaha, sedangkan usaha kearah kebaikan itu juga diperhitungkan Allah.

"Perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat, 
dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat,
dan (sebaliknya) perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, 
dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.
Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan orang-orang (yang jahat); mereka itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia."
-surah AnNur, ayat 26-

Jika kita selalu membaca terjemahan AlQuran dan hadis, kita dapat simpulkan bahawa setiap yang disuruh pada kita adalah perkara yang baik-baik belaka. Ini kerana Allah hanya menerima hambaNya yang baik. Bukan nilaian fizikal, tetapi amal kebaikannya, akhlaknya, tutur katanya. Syurga juga dipenuhi dengan keindahan dan kebaikan, khas buat mereka yang baik. Jadikan "BAIK" sebagai kata kunci dan panduan dalam kehidupan seharian kita, serta pastikan "BAIK" itu berlandaskan syariat, bukan akal fikiran kita sahaja.

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu"
-surah AlBaqarah, ayat 168-

Berusahalah sebaiknya untuk mendapatkan yang baik dalam kehidupan ini. Mungkin hasilnya tidak sebaik yang kita inginkan, tetapi usahanya yang dinilai oleh Allah Taala. Moga dengan baiknya usaha yang kita lakukan mampu menempatkan kita bersama orang-orang yang baik lagi taat pada pencipta yang agung.