Assalamualaikum. Setelah lama menyepikan diri dan menyibukkan
diri dengan kerja dan peperiksaan, alhamdulillah masih diberikan kesempatan dan
peluang olehNya untuk terus berdakwah melalui penulisan blog. Moga ilmu yang
dikongsikan ini mampu memberi manfaat buat rakan-rakan sekalian.
Salah satu realiti kehidupan ini yang perlu kita tahu dan
faham adalah mengenai pilihan. Apa pun kerja yang kita lakukan, pasti tidak
boleh lari dari membuat pilihan. Jika pelajar dan mahasiswa contohnya, mereka
bukan sahaja perlu memilih pilihan jawapan di atas kertas, aktiviti-aktiviti, malah pemilihan kawan juga menjadi isu
penting dalam membentuk pola pemikiran dan personaliti yang hebat.
"Dan Tuhanmu menciptakan dan Dialah juga yang memilih
(satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan, dan kemuliaan);
tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain dari
pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang
mereka sekutukanNya."
-surah AlQasas, ayat 68-
Memang sesetengah perkara itu adalah ketentuan Allah sendiri,
tetapi sebahagian yang lain perlukan pilihan kita. Jodoh contohnya, merupakan
perkara yang ditentukan Allah sejak awal lagi, tetapi dalam masa yang sama Rasulullah
mengajar kita untuk mengutamakan calon isteri yang beragama lebih dari perkara lain. Sesetengah orang membiarkan
masa menentukan, ada yang pasrah dan tidak ingin berusaha, sedangkan usaha kearah kebaikan itu juga diperhitungkan Allah.
"Perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat,
dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat,
dan (sebaliknya) perempuan yang baik untuk lelaki yang baik,
dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.
Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk)
yang dikatakan orang-orang (yang jahat); mereka itu akan beroleh pengampunan
(dari Allah) dan pengurniaan yang mulia."
-surah AnNur, ayat 26-
Jika kita selalu membaca terjemahan AlQuran dan hadis, kita dapat
simpulkan bahawa setiap yang disuruh pada kita adalah perkara yang baik-baik
belaka. Ini kerana Allah hanya menerima hambaNya yang baik. Bukan nilaian fizikal, tetapi amal kebaikannya, akhlaknya, tutur katanya. Syurga juga
dipenuhi dengan keindahan dan kebaikan, khas buat mereka yang baik. Jadikan
"BAIK" sebagai kata kunci dan panduan dalam kehidupan seharian kita, serta
pastikan "BAIK" itu berlandaskan syariat, bukan akal fikiran kita sahaja.
"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada
dibumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan,
kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu"
-surah AlBaqarah, ayat 168-
Berusahalah sebaiknya untuk mendapatkan yang baik dalam kehidupan ini. Mungkin hasilnya tidak sebaik yang kita inginkan, tetapi usahanya yang dinilai oleh Allah Taala. Moga dengan baiknya usaha yang kita lakukan mampu menempatkan kita bersama orang-orang yang baik lagi taat pada pencipta yang agung.
No comments:
Post a Comment