Friday, December 10, 2010

Kata yang indah tidak semestinya benar


"Dan di antara manusia, ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila ia berpaling (dari mukamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan.

Dan apabila dikatakan kepadanya: 'Bertaqwalah kepada Allah,' maka bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) Neraka Jahannam. Dan sungguh Neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya."
-Al-Baqarah, ayat 204-207-

As-Suddi mengatakan, "Ayat ini turun berkenaan dengan Al-Akhnas bin Syariq yang mendatangi Rasulullah s.a.w. dengan menampakkan keislaman, padahal hatinya terbalik dengan apa yang ditampakkannya" (At-Thabari). Pendapat lain mengatakan bahawa ayat tersebut berlaku umum bagi orang munafik dan orang yang beriman secara keseluruhannya. Demikian pendapat Qatadah, ar-Rabi' bin Anas dan beberapa ulama lainnya, dan inilah yang benar (Ibnu Katsir).

Sifat munafik merupakan sifat yang tercela, yang perlu kita jauhi dan berhati-hati dengannya. Seperti yang digambarkan oleh Allah, orang munafik suka menarik hati manusia dengan keindahan dunia. Ada juga yang menggunakan nama agama untuk mengejar keuntungan dunia, agar orang percaya dengan kata-katanya. Apa yang dikatakan mereka adalah penipuan semata-mata, dan Allah lebih mengetahui isi hati mereka. "Maka mereka sembunyi dari manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi dari Allah..." (AnNisa, ayat 108)

Mereka juga merupakan manusia yang sering melakukan kerosakan pada muka bumi. Apabila mereka ditegur dan dinasihati, mereka menolaknya, kerana dosa-dosa telah meliputi hatinya. "Maka cukuplah (balasannya) Neraka Jahannam, dan sungguh Neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat tinggal", itulah janji Allah atas perbuatan mereka.

Setelah Allah tunjukkan sifat-sifat tercela orang munafik, Allah ceritakan pula sifat orang-orang Mukmin. Seorang Mukmin sejati merupakan orang yang sanggup mengorbankan kepentingan dirinya demi mencari keredhaan Allah. Mereka sanggup melepaskan kemewahan dan kesenangan yang ada agar Islam tertegak di muka bumi ini.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang Mukmin diri dan harta mereka, dengan memberikan Syurga untuk mereka. Mereka berperang dijalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) dari Allah?

Maka bergembiralah dengan jual beli yang kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar."
-At-Taubah, ayat 111-

InsyaAllah, sama-samalah kita jauhkan diri kita dari sifat-sifat munafik, dan berhati-hati dengan mereka yang mempunyai sifat-sifat tersebut. Tegurlah dengan sebaiknya, dan tolaklah mereka jika mereka enggan menerima teguran. Jadilah kita dikalangan orang-orang Mukmin, mereka yang sentiasa mengimpikan syurga Allah Taala. Gunakanlah segala harta, masa dan tenaga yang ada demi menegaknya Islam pada diri, keluarga, dan masyarakat disekeliling kita. Allahu'alam... =)

Friday, December 3, 2010

Islam yang utama


يَقُولُ سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الْمِنْبَرِ
قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا
فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ


Umar Al-Khathab diatas mimbar berkata; saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Semua perbuatan bergantung pada niatnya, dan (balasan) bagi setiap orang (bergantung) pada apa yang diniatkan; Barangsiapa niat hijrahnya kerana dunia yang ingin digapainya atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia niatkan."
-sahih, riwayat Bukhari-

Sebuah hadis yang cukup dikenali, malah diletakkan sebagai hadis pertama dalam banyak kitab-kitab hadis. Imam Nawawi mengatakan, bahawa niat bererti maksud, iaitu keinginan yang ada dalam hati. Baidhawi berkata, niat adalah dorongan hati untuk melakukan sesuatu sesuai dengan tujuan, baik mendatangkan manfaat atau mudarat. (Fathul Baari)

Setiap perbuatan kita, samada dari segi kata-kata, tulisan mahupun perbuatan fizikal, pasti mendasarkan atas suatu niat atau tujuan. Maka atas niat itu Allah menilai perbuatan hamba-hambaNya. Namun perlu kita ingat, bahawa niat yang baik tidak menghalalkan perbuatan yang berdosa dan dilarang Allah. Begitu juga perbuatan yang baik, apabila kita niatkan atas sesuatu yang tidak baik, maka kita tidak akan dapat manfaatnya malah mungkin mengundang dosa.

Penggunaan blog contohnya, merupakan suatu perkara yang umum, boleh digunakan untuk sesuatu perkara yang baik dan juga sebaliknya. Maka sebagai seorang pengguna blog, kita perlu perhatikan semula apakah tujuan sebenarnya kita membuat blog, adakah sekadar mencoret cerita peribadi, menghiburkan pembaca dengan lawak-lawak, memberi kritikan atas sesuatu, atau untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Begitu juga dengan niatnya, adakah kerana Allah ataupun sekadar memenuhi keinginan diri.

Abu Musa berkata, "Wahai Rasulullah, Islam manakah yang lebih utama?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Seorang muslim yang menyelamatkan Kaum Muslimin lainnya dari bencana akibat perbuatan lidah dan tangannya"
-sahih, riwayat Bukhari-

Al-Khathabi mengatakan bahawa Muslim yang paling utama adalah Muslim yang mampu melaksanakan semua kewajipannya untuk memenuhi hak-hak Allah dan hak-hak sesamanya (Fathul Baari). Dalam ayat mudahnya, seorang Muslim itu perlu memenuhi haknya dengan Muslim lain dengan saling mengingati dan menegur, agar dengan itu semua Muslim akan terjaga kata-kata dan perbuatannya dari maksiat dan dosa.

Oleh itu, marilah kita manfaatkan setiap masa dan peluang yang ada untuk saling mengingati dan membawa saudara kita ke jalan yang diredhai Allah. Gunakan facebook dan blog kita untuk berdakwah, mahupun berkongsi ilmu yang bermanfaat, dan bukannya untuk perbualan dan perbuatan yang sia-sia, malah dilarang oleh Allah Taala. Allahu'alam... ^^

Tuesday, November 30, 2010

Doamu tidak akan disia-siakan


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
-surah Al-Baqarah, ayat 186-

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Musa Al-Asy'ari bahawa ia mengatakan, "Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w. dalam suatu peperangan, tidaklah kami mendaki tanjakan, menaiki bukit dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir. Kemudian baginda mendekati kami dan bersabda:

'Wahai sekalian manusia, tahanlah diri kalian, sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Rabb yang pekak dan jauh, akan tetapi kalian berdoa kepada Rabb yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Sesungguhnya Rabb yang kalian seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kalian daripada leher binatang tunggangannya. Wahai Abdullah bin Qais, maukah engkau aku ajarkan sebuah kalimat yang termasuk perbendaharaan syurga? Iaitu ucapan La haula walaa quwwata illaa billaah (tidak ada daya dan kekuatan melainkan hanya dengan pertolongan Allah)'"
-juga diriwayatkan Bukhari dan Muslim dengan sedikit perbezaan lafaz-

Dari Abu Sa'id bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Tidaklah seorang muslim berdoa kepada Allah dengan doa yang tidak mengandung dosa atau memutuskan tali silaturrahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya satu di antara 3 perkara:
Pertama- boleh jadi Allah menyegerakan (pengabulan) baginya di dunia, atau
Kedua- Allah menyimpan baginya sebagai pahala di akhirat, atau
Ketiga- Allah menahan keburukan dari dirinya yang semisal dengan apa yang ia minta."

Mereka mengatakan, "kalau begitu, kami akan memperbanyakkan doa." Baginda bersabda, "Allah lebih banyak lagi (pemberianNya)."
-riwayat Imam Ahmad, disahihkan oleh Syaikh Al-Albani-

Marilah kita sama-sama perbanyakkan berdoa kepada Allah. Semoga perkongsian ini memberi kita kefahaman tentang cara dan syarat dalam berdoa, juga janji-janji Allah berkenaan penerimaanNya. Doa kita tidak akan disia-siakan olehNya selagi kita masih menuruti segala perintahNya dan berdoa dengan penuh keyakinan kepadaNya. Berdoalah dengan ikhlas dari hati, dengan penuh pemahaman dan pengharapan, bukan sekadar mengaminkan doa orang lain tanpa memahaminya, insyaAllah itulah yang terbaik. Wallahualam... =)

Monday, November 8, 2010

Nikmat yang besar


"Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepadamu, mensucikan dan mengajarimu al-Kitab (Al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah) serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui. Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku"
-surah Al-Baqarah, ayat 151,152-

InsyaAllah untuk post kali ini saya ingin kongsikan sedikit tafsir berkenaan ayat 151 dan 152 dari Surah Al-Baqarah. Penulisan ini saya petik dari kitab Shahih Tafsir Ibnu Katsir. Sama-sama kita luangkan masa dan memahaminya. =)

Dalam ayat pertama ini, Allah mengingatkan kepada hambaNya akan nikmat yang sangat besar, iaitu diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai rasulNya, baginda membacakan ayat-ayat Allah Taala secara jelas, lalu Allah menyucikan mereka semua dari pelbagai akhlak yang buruk, kekotoran jiwa dan setiap perbuatan kaum Jahiliyah. Allah mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada alam yang terang benderang.

Sebelum ini hamba-hambaNya hidup dalam kebodohan (Jahiliyah) dan tidak mempunyai kesopanan dalam berbicara. Berkat risalah yang dibawa Rasulullah s.a.w. akhirnya mereka menjadi manusia yang ilmunya paling dalam, hatinya paling baik, sikapnya paling bersahaja dan paling jujur dalam ucapannya.

Oleh itu, Allah Taala mengimbau orang-orang yang beriman untuk mengakui nikmat tersebut dan menyambutnya dengan mengingat (berzikir) dan bersyukur kepadaNya. Allah berfirman, "Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku."

Dalam sebuah hadis sahih, Allah berfirman, "Wahai anak Adam, jika engkau mengingatiKu dalam dirimu, maka Aku akan mengingatimu dalam diriKu. Dan jika engkau mengingatiKu di suatu majlis, maka Aku akan mengingatimu di tengah majlis para Malaikat.

Dan jika engkau mendekat kepadaKu sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadamu sehasta. Dan jika engkau mendekat kepadaKu sehasta, maka Aku akan mendekat kepadamu sedepa. Dan jika engkau mendatangiKu dengan berjalan, maka Aku akan mendatangimu dengan berlari kecil."
-sahih, riwayat Bukhari dan Ahmad-

InsyaAllah dengan peringatan ini dapat mengingatkan kita akan suatu nikmat yang sangat besar, yang perlu kita syukuri, kerana menjadi hambaNya yang beriman. Semoga kita sentiasa bersyukur kepada Allah, walau apa jua musibah yang menimpa kita. Sesungguhnya Allah menjanjikan kebaikan kepada mereka yang bersabar dan sentiasa bersyukur kepadaNya.

Allah Taala berfirman, "Dan (ingatlah) tatkala Rabbmu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat)Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat)Ku, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih"
-surah Ibrahim, ayat 7-

Monday, November 1, 2010

Keseorangan?


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah melihat seorang tawanan wanita yang terpisah dari bayinya. Setiap kali ia mendapatkan bayi tawanan lainnya, ia terus mengambil dan mendekapnya ke dada, dan ia terus berkeliling mencari anaknya. Tatkala ia menemukan anaknya, maka ia mendekapnya, kemudian menyusuinya.

Rasulullah s.a.w. pun bersabda, "Bagaimana menurut kalian, apakah wanita ini akan tegar melemparkan anaknya ke dalam api, padahal ia mampu untuk tidak melemparkannya?" Para sahabat pun menjawab, "Tidak, wahai Rasulullah." Lalu baginda pun bersabda, "Demi Allah, sungguh Allah lebih sayang kepada hamba-hambaNya daripada wanita ini kepada anaknya."
-sahih: riwayat Muslim (juga oleh Bukhari dengan perbezaan lafaz)-

Sebagai manusia, secara zahirnya kita sememangnya memerlukan kasih sayang daripada seseorang. Ibu merupakan orang yang paling rapat dengan kita, kerana dia yang melahirkan kita, menyusu dan menjaga kita sejak kecil, walaupun pelbagai karenah yang kita lakukan. Namun apabila seseorang itu mulai rasa kehilangan kasih sayang dari seorang ibu, maka dia akan cuba untuk mendapatkan kasih sayang daripada orang lain, sahabat, abang, kakak mahupun dari gurunya sendiri.

Kita pasti berasa gembira dan senang apabila mempunyai seseorang yang menyayangi kita, mengambil berat mengenai diri kita, walau apa jua yang berlaku. Tetapi sedarkah kita, bahawa kasih sayang dari seseorang manusia itu sangat terhad? Boleh hilang dalam sekelip mata? Malah, mungkin berubah kepada perasaan benci. Itulah manusia, tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.

Sebagai seorang hamba yang mengakui dirinya beriman, kita perlu yakin bahawa kasih sayang daripada Allah itu lebih besar dan lebih kekal. Allah tidak memilih hamba-hambaNya berdasarkan warna kulit, mahupun raut wajah. Dia sentiasa mengasihi hambaNya, sekalipun hambaNya itu pernah melakukan dosa yang besar. Itulah kasih sayang Allah, Pencipta kita semua.

Seperti yang ditanya oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis diatas, adakah seorang ibu sanggup untuk melemparkan anaknya ke dalam api? Mungkin dalam zaman sekarang, perkara itu tidak mustahil. Begitu banyak anak-anak yang dibuang dan dibunuh. Namun, kasih sayang Allah melebihi daripada sangkaan kita. Allah tidak ingin hambaNya dilemparkan ke api neraka, kecuali mereka itu benar-benar kufur dan ingkar kepadaNya. Dia masih menerima taubat kita walaupun kita selalu melakukan dosa kepadaNya.

Sama-samalah kita muhasabah diri dan berfikir sebentar, siapakah yang mampu memberikan kasih sayang yang terbaik kepada kita, samada manusia sendiri mahupun Allah Yang Mahakuasa. Istighfarlah, dan perbanyakkan sujud kepadaNya, sebagai tanda syukur kita atas limpah kasih sayangNya yang tidak terhingga. Semoga Allah sentiasa melindungi kita daripada dosa dan maksiat, dan menempatkan kita bersama kekasihNya di syurga kelak. Wallahualam. =)

"Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak (Allah) Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (dalam hati mereka)."
-surah Maryam (19), ayat 96-