Saturday, July 9, 2011

Cahaya untuk melihat kebenaran

Assalamualaikum. InsyaAllah post kali ini dikongsikan tafsir surah Al-An'am, ayat 122-123.

"Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap-gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan"
-Al-An'am, ayat 122-

Ayat ini menunjukkan perumpamaan Allah untuk orang mukmin yang dahulunya dalam kesesatan lalu Allah menghidupkan hatinya dengan keimanan, memberi petunjuk dan memberi taufiq kepadanya untuk mengikuti para RasulNya. Ulama tafsir ada yang menyatakan bahawa cahaya itu adalah AlQuran, dan ada mengatakan cahaya itu adalah Islam, kedua-duanya benar menurut Imam Ibnu Katsir.

Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah menciptakan makhlukNya dalam kegelapan, kemudian Allah memercikkan cahayaNya kepadanya. Barangsiapa yang mendapatkan cahaya itu, maka ia mendapat petunjuk, dan siapa yang tidak mendapatkannya, maka ia tersesat."
-riwayat Ahmad, shahih menurut al-Albani-

Banyak ayat-ayat dalam Al-Quran yang menyebutkan perumpamaan orang mukmin dan orang kafir. Contohnya ayat 24 surah Hud, "Perbandingan kedua golongan itu seperti orang buta dan tuli dengan orang yang dapat melihat dan mendengar. Adakah kedua golongan itu sama keadaan dan sifatnya? Maka tidakkah kamu mengambil pelajaran?"

"Demikianlah Kami jadikan orang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan." Allah jadikan mereka menganggap apa yang mereka lakukan itu sebagai baik, sedangkan kesesatan mereka itu merupakan ketentuan dan kebijaksanaan Allah Taala.

"Dan demikianlah Kami adakan pada tiap-tiap negeri penjahat-penjahat yang terbesar agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. Dan mereka tidak memperdaya melainkan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya"
-surah Al-An'am, ayat 123-

Sambungan dari ayat pertama diatas, maka Allah menyatakan ketentuannya bahawa akan ada golongan penentang yang akan memusuhi Islam, sebagaimana para Rasul terdahulu diuji. Sebagaimana firmanNya, "Dan seperti itulah, telah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari (kalangan) orang-orang yang berdosa"
-surah Al-Furqaan, ayat 31-

Mujahid dan Qatadah menyatakan 'penjahat-penjahat yang terbesar' itu adalah golongan para pembesar (Ath-Thabari). Ibnu Katsir pula mengatakan dengan firman Allah dalam surah Saba', ayat 34-35,
"Dan Kami tidak mengutus kepada suatu negeri seorang pemberi peringatan pun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata, 'Sungguh, kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya.' Dan mereka berkata, 'Kami lebih banyak mempunyai harta dan anak-anak (daripada kamu) dan kami sekali-kali tidak akan diazab.'"

Begitu juga firman dalam surah az-Zukhruf, ayat 23. Ibnu Katsir menyatakan, maksud 'makar' (tipu daya) itu adalah ajakan mereka kepada kesesatan dengan perkataan dan perbuatan yang indah-indah. Kemudian Allah berfirman, "Dan mereka tidak memperdaya melainkan dirinya sendiri", yang menunjukkan bahawa keburukan tipu daya mereka itu lambat laun akan kembali kepada diri mereka sendiri.

Semoga dengan perkongsian ini bermanfaat buat semua sahabat. Semoga kita dibukakan hati oleh Allah untuk menerima Islam dengan sebaiknya, dan ditunjukkan kita akan kebenaran yang hakiki. InsyaAllah ^^

"Katakanlah yang benar walaupun ianya pahit"

Thursday, June 16, 2011

Darjat dalam solat berjemaah

Assalamualaikum. Alhamdulillah masih diberikan kekuatan oleh Allah untuk saya berkongsi lagi dalam laman blog ini. InsyaAllah post kali ini saya akan kongsikan sedikit syarah hadis riwayat Bukhari berkenaan solat berjemaah. Syarah ini saya ambil dari kitab Fathul Baari jilid 4 keluaran Pustaka Azzam.

Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Solat seseorang dalam suatu jemaah dilipat gandakan daripada solatnya (sendirian) di rumahnya dan di pasarnya dengan dua puluh lima kali lipat. Yang demikian itu apabila ia berwudhu, seraya memperbaiki wudhunya, kemudian keluar ke masjid. Tidak ada yang mengeluarkannya kecuali solat, maka ia tidak melangkah satu langkat melainkan diangkat untuknya satu darjat dan dihapus darinya satu kesalahan. Apabila dia solat, maka para malaikat sentiasa berselawat kepadanya selama ia berada di tempat solatnya. (Para malaikat mengatakan), 'Ya Allah, berilah selawat (keberkatan) kepadanya. Ya Allah, berilah rahmat kepadanya'. Salah seorang di antara kamu sentiasa berada dalam solat selama ia menunggu solat."
-Sahih, riwayat Bukhari (no. 611)-

Dari Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Solat berjemaah lebih utama dibanding solat sendirian dengan terpaut dua puluh tujuh darjat."
-Sahih, riwayat Bukhari (no. 609)-

Dua hadis diatas diletakkan dalam kitab 'Azan', dibawah bab 'keutamaan solat berjemaah'. Jika kita lihat, terdapat perbezaan dalam mengatakan dua puluh lima dan dua puluh tujuh darjat. Perbahasan panjang lebar diberikan dalam Fathul Baari namun bukan perkara ini yang saya ingin kongsikan, kerana yang pasti adalah solat jemaah mempunyai tingkatan yang jauh lebih tinggi berbanding solat sendirian.

Mengenai kata bilangan "darjat", "lipat" atau "bahagian", kesemuanya ada digunakan dalam hadis diatas mengikut jalur-jalur berbeza, namun jalur yang menggunakan "darjat" dikatakan lebih banyak bebanding yang lain. Ibnu Atsir mengatakan bahawa yang lebih tepat adalah "darjat", iaitu menunjukkan tingkatan ketinggian.

Sebahagian ulama membincangkan mengenai faktor-faktor yang menyebabkan adanya darjat-darjat tersebut. Al Muhib Ath Thabari menyatakan bahawa dalam hadis Abu Hurairah di atas terdapat beberapa faktor tersebut, lalu ditambah perkara lain yang mempunyai kaitan. Beberapa ulama memperincikan faktor tersebut, dan Ibnu Hajar (penulis Fathul Baari) turut mengemukakan faktor-faktor tersebut.

Berikut merupakan faktor yang menyebabkan adanya darjat-darjat tersebut:
1) Menjawab azan disertai niat untuk solat berjemaah.
2) Bersegera untuk solat di awal waktu.
3) Berjalan menuju masjid dengan tenang.
4) Masuk masjid sambil berdoa.
5) Solat Tahiyatul masjid ketika memasukinya dan berniat solat jemaah.
6) Menunggu pelaksanaan solat jemaah.
7) Solat dan permohonan ampunan oleh malaikat untuk orang yang solat berjemaah.
8) Persaksian para malaikat atas mereka.
9) Menjawab qamat.
10) Selamat dari gangguan syaitan ketika syaitan itu lari saat qamat.
11) Berdiri menunggu takbiratul ihram imam atau masuk bersamanya pada posisi dimana ia mendapati imam.
12) Mendapat takbiratul ihram bersama imam.
13) Meratakan saf serta mengisi celah-celahnya.
14) Menjawab imam saat ia mengucapkan "sami'allahu liman hamidah".
15) Umumnya terdapat perasaan aman dari lupa serta mengingatkan imam apabila lupa dengan mengucapkan tasbih atau membenarkan bacaannya yang keliru.
16) Adanya rasa khusyuk serta terpelihara dari hal-hal yang melalaikan.
17) Memperbaiki penampilan.
18) Diliputi oleh para malaikat.
19) Latihan bacaan yang baik serta mengetahui rukun-rukunnya.
20) Menampakkan syiar Islam.
21) Mengecewakan syaitan yang berkumpul dalam rangka ibadah serta tolong-menolong dalam ketaatan dan membangkitkan semangat mereka yang bermalas-malasan.
22) Selamat dari sifat munafik serta gangguan orang lain kerana diduga tidak pernah melakukan solat.
23) Menjawab salam imam.
24) Mengambil manfaat dari perkumpulan mereka dalam berdoa dan berzikir, serta yang sempurna dapat mengisi yang kurang.
25) Menyatukan hati sesama tetangga demi terciptanya perjanjian diantara mereka pada waktu-waktu solat.

Terdapat tambahan dua faktor dalam solah jahriyat, iaitu
26) berdiam saat imam membaca serta mendengarkannya, dan
27) mengucapkan "amin" saat imam mengucapkan "amin" agar bersamaan dengan ucapan "amin" para malaikat.
Inilah faktor-faktor yang dianjurkan secara khusus dalam solat berjemaah dan mengangkat mereka yang solat berjemaah ke darjat yang lebih tinggi, wallahualam.

Semoga dengan perkongsian ini akan lebih menaikkan semangat kita untuk solat secara berjemaah, samada di surau atau di masjid. Keutamaannya sangat jelas, maka beruntunglah mereka yang berusaha memperbaiki dirinya demi mendapatkan keredhaan Allah Taala. Sebarang teguran dan pandangan sangat dialu-alukan. ^^

Tuesday, May 10, 2011

Ruqyah


Assalamualaikum. InsyaAllah kali ini saya cuba menulis serba sedikit mengenai ruqyah, sebagai salah cara perubatan yang diajar dalam Islam. Saya harap ilmu yang saya kongsikan ini serba sedikit bermanfaat buat rakan-rakan pembaca. Mohon teguran jika terdapat kesilapan atau kekurangan.

Dari Aisyah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. apabila sakit beliau baca untuk dirinya sendiri surah muawwizat kemudian beliau tiupkan. Tatkala sakit beliau bertambah keras, kubacakan surah-surah itu keatasnya, kemudian kusapukan dengan tangannya dengan mengharapkan barakah daripadanya."
-sahih Bukhari (no.4085) dan Muslim (no.4066)-

Hadis diatas merupakan salah satu hadis yang mensyariatkan penggunaan ruqyah dalam mengubati sakit. Di sini juga dapat kita fahami bahawa kita sendiri boleh dan digalakkan mengubati diri sendiri menggunakan ruqyah dan doa berdasarkan kemampuan. Sesetengah orang berpendapat bahawa hanya ustaz atau ustazah yang boleh, tetapi hakikatnya diri sendiri sepatutnya merawat terlebih dahulu sebelum pergi kepada ustaz atau ustazah.

Ruqyah bukan semata-mata untuk mengubati sihir dan guna-guna, tetapi juga untuk penyakit fizikal seperti demam, sengatan dan lain-lain. Memang diakui bahawa sebahagian penyakit fizikal juga boleh terjadi disebabkan oleh jin/makhluk halus. Contohnya kes yang terjadi pada seorang pesakit ibu saya, dimana dia disahkan mempunyai cyst pada organ peranakannya, tetapi saiznya berubah-ubah setiap kali diperiksa. Perubatan dengan ruqyah mendapati cyst tersebut terjadi disebabkan oleh jin dan boleh diubati dengan ruqyah syariah.

Dari Auf Bin Malik Al-Asyja'i r.a. dia berkata, "Kami sering menggunakan mantera/ruqyah pada masa Jahiliah. Lalu kami tanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., 'Ya Rasulullah, bagaimana tentang mantera itu menurut engkau?' Beliau berkata, 'Tidak mengapa menggunakan mantera selama tidak mengandungi syirik"
-sahih Muslim (no.4079)-

Daripada hadis diatas, Rasulullah s.a.w. menetapkan bahawa ruqyah yang dibolehkan mestilah tidak mengandungi unsur-unsur syirik, iaitu pengharapan kepada sesuatu selain Allah, seperti menggunakan sihir. Ruqyah yang disyariatkan adalah menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa daripada hadis Nabi s.a.w.

Dalam hadis Abu Said Al-Khudri r.a., berkenaan sahabat yang melalui satu kampung dan meruqyah menggunakan surah Al-Fatihah, maka mereka pulang dan bertanya dengan Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab, "Tidak tahukah kamu bahawa surah Al-Fatihah itu dapat digunakan untuk meruqyah?"
-sahih Bukhari (no.5303) dan Muslim (no.4080)-

Sebahagian ulama mengatakan boleh menggunakan mana-mana ayat Al-Quran sebagai ruqyah berdasarkan hadis di atas serta beberapa dalil Al-Quran seperti ayat 44 surah Fussilat, "Al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman". Antara ayat yang selalu di gunakan selain Al-Fatihah adalah ayat Kursi, lima ayat pertama dan dua ayat akhir surah Al-Baqarah, serta tiga surah terakhir (surah muawwizat).

Sesetengah ustaz yang telah biasa merawat dengan ruqyah menetapkan ayat-ayat tertentu berdasarkan pengalaman mereka. Bagi kita yang tidak biasa, cukuplah dengan surah-surah yang mudah ataupun doa-doa Nabi s.a.w. Berikut merupakan link artikel Ustz Zaharuddin yang memuatkan beberapa doa dari hadis Nabi s.a.w.
Panduan Ringkas Bacaan Doa Kesembuhan

Kita juga boleh memasang audio mp3 bacaan-bacaan Al-Quran sebagai salah satu cara. Kebanyakan ustaz yang memang berpengalaman merawat akan menasihatkan pesakit untuk memasang bacaan-bacaan Al-Quran setiap hari, kerana syaitan tidak senang mendengarnya.
Bagi yang mungkin disebabkan jin, kemungkinan untuk mengalami tanda-tanda itu tinggi, seperti menggigil, terasa sakit sewaktu membacanya dan sebagainya. Maka jalan yang terbaik ialah dengan merujuk ustaz atau ustazah yang berpengalaman.

Perlu kita fahami bahawa meruqyah ini memerlukan pengharapan yang tinggi kepada Allah Taala. Segala yang halal dan haram, dosa dan pahala perlu dijaga, sama sepertimana kita menginginkan doa-doa kita dikabulkan Allah. Sesungguhnya Allah yang menurunkan penyakit dan Dialah yang Maha Penyembuh. Amalkan zikir-zikir yang diajar baginda Nabi s.a.w. seperti pada waktu Subuh dan Asar, sebagai pelindung diri.

Kita juga tidak boleh melupakan ikhtiar dan usaha untuk menggunakan ubat atau rawatan lain, terutama bagi penyakit fizikal. Ini kerana Rasulullah s.a.w. juga menggunakan ubat seperti madu dan habbatus sauda untuk menyembuhkan penyakit. Maka, jadikanlah ruqyah ini sebagai pelengkap dalam rawatan kita.

"Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan Allah turunkan juga ubat baginya"
-sahih, riwayat Ibnu Majah, Al-Hakim-

Semoga kita sama-sama dapat ilmu yang bermanfaat dari artikel ini dan dapat mengamalkan dalam kehidupan kita. Mohon teguran jika terdapat salah dan silap. Allahu'alam. ^^

Saturday, April 23, 2011

Tidak Mengungkit

Assalamualaikum. InsyaAllah setelah lama menyepi dari menulis blog, saya ingin kongsikan tafsir surah Al-Baqarah berkenaan bersedekah. Tafsir ini saya ambil dari Shahih Tafsir Ibnu Katsir. Semoga diri ini dan rakan-rakan yang membaca dapat mengambil pengajarannya.
ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٲلَهُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتۡبِعُونَ مَآ أَنفَقُواْ مَنًّ۬ا وَلَآ أَذً۬ى‌ۙ لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ
"Orang-orang yang menafkahkan hartanya dijalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya, dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Rabb mereka. Tidak ada kekhawatiran atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

قَوۡلٌ۬ مَّعۡرُوفٌ۬ وَمَغۡفِرَةٌ خَيۡرٌ۬ مِّن صَدَقَةٍ۬ يَتۡبَعُهَآ أَذً۬ى‌ۗ وَٱللَّهُ غَنِىٌّ حَلِيمٌ۬
Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُ ۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ فَمَثَلُهُ ۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٌ۬ فَأَصَابَهُ ۥ وَابِلٌ۬ فَتَرَڪَهُ ۥ صَلۡدً۬ا‌ۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬ مِّمَّا ڪَسَبُواْ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya' kepada manusia, dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari Kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu jadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir"
-Al-Baqarah, ayat 262-264-

Allah memuji orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalanNya dengan tidak mengungkit-ungkitnya dihadapan orang lain. "Dan dengan tidak menyakiti", bererti mereka tidak melakukan perkara yang tidak disukai oleh orang yang menerima. Kemudian Allah menjanjikan pahala atas kebaikan itu. Mereka tidak akan khawatir terhadap pelbagai kengerian di hari Kiamat, dan tidak akan kecewa atas kekurangan di kehidupan dunia, kerana mereka telah memperoleh sesuatu yang jauh lebih baik.

"Perkataan yang baik" berupa kata-kata yang baik dan doa bagi orang Muslim, "dan pemberian maaf" iaitu memaafkan dan mengampunkan sesuatu kezaliman, baik dari segi ucapan maupun perbuatan.

Beberapa hadis juga telah melarang kita mengungkit-ungkit pemberian, antaranya hadis dari Abu Dzar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ada tiga orang yang Allah tidak akan mengajak mereka bicara (dengan kelembutan) pada hari Kiamat kelak, tidak melihat mereka (dengan pandangan kasih sayang), dan tidak pula mensucikan mereka dan bagi mereka azab yang pedih, iaitu orang yang mengungkit-ungkit pemberian yang ia telah berikan (al-mannan), orang yang memanjangkan kainnya di bawah mata kaki/buku lali (al-musbil), dan orang yang menjual barang dagangannya dengan sumpah palsu"
-Shahih Muslim-

Allah Taala menyatakan dalam ayat ketiga di atas bahawa pahala sedekah boleh hilang atau terbatal dengan sebab mengungkit-ungkit atau menyakiti hati penerimanya, "seperti orang yang menafkah hartanya kerana riya' kepada manusia". Orang yang riya memperlihatkan kebaikannya, sedangkan niat sebenarnya adalah untuk mendapat pujian orang lain, bukan untuk keredhaan Allah Taala. Oleh kerana itu Allah berfirman "dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari Kemudian".

Kemudian Allah membuat perumpamaan bagi golongan tersebut, seperti batu yang licin. Pahalanya seperti tanah yang berada diatasnya. Walaupun pahala itu boleh dilihat, tetapi ianya mudah hilang apabila terkena air hujan. Nauzubillah, semoga Allah jauhkan kita daripada termasuk dalam golongan tersebut.


Semoga kita dapat sama-sama ikhlaskan diri kepada Allah ketika memberikan sedekah, serta tidak mengungkit maupun menyakitkan hati penerimanya. Kita doakan agar amal kita diterima Allah, dan mendapat balasan sebaiknya di akhirat kelak, insyaAllah. ^^

Thursday, March 17, 2011

Rindu Pada-Nya

"Barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Allah, sesungguhnya ketetapan Allah akan datang, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"
-al-Ankabut, ayat 5-


"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan ilmu-Mu yang ghaib,
kekuasaan-Mu atas ciptaan,
hidupkanlah aku selama kehidupan ini baik bagiku,
dan wafatkanlah aku jika kematian memang lebih baik bagiku.

Aku memohon kepada-Mu rasa takut kepada-Mu di saat sendirian
dan di saat berada di tengah keramaian.
Aku memohon kepada-Mu perkataan yang benar pada saat marah dan redha.
Aku memohon kepada-Mu sikap tenang saat fakir dan kaya.
Aku memohon kepada-Mu kenikmatan yang tidak fana.
Aku memohon kepada-Mu kesejukan mata yang tidak terputus.
Aku memohon kepada-Mu rasa redha sesudah ketetapan.
Aku memohon kesejukan kehidupan setelah kematian.
Aku memohon kelazatan memandang wajah-Mu,
dan aku memohon kerinduan untuk berjumpa dengan-Mu
tanpa mudarat dan dimudaratkan
serta tanpa fitnah yang menyesatkan.

Ya Allah, hiasilah kami dengan hiasan iman,
dan jadikanlah kami pemberi petunjuk yang diberi petunjuk."

Hadis riwayat An-Nasai, Ibnu Hibban dengan sanad yang kuat. Doa ini diambil dari buku Zadul Ma'ad, oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyah. Semoga bermanfaat buat sahabat sekalian. ^^