Thursday, September 15, 2011

Harta dan umur

Dari Anas bin Malik r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Anak Adam akan semakin tumbuh dewasa dan semakin besar pula bersamanya dua perkara, iaitu cintakan harta dan panjang umur. "
-Sahih Bukhari-

Harta dan umur yang panjang merupakan dua perkara yang selalu dititik beratkan oleh manusia. Kita dapat lihat bagaimana manusia sibuk mengumpulkan harta. Siang malam bekerja, ditambah pula mengejar kerja tambahan untuk mendapatkan gaji yang tinggi. Sebahagian pula menginginkan wajah yang sentiasa muda dan cantik, walaupun umur sudah mencecah lebih 50-an. Ada juga yang terlalu takut dengan kematian sehingga sanggup menghabiskan duit beribu-ribu untuk memanjangkan usia. Apakah kita juga begitu?

Perlu kita sentiasa ingat, bahawa harta itu hanyalah pinjaman sementara yang diberikan Allah, maka besederhalah dan pergunakanlah untuk memperbanyakkan amalan kita. Gunakan harta yang kita ada untuk bersedekah, membeli buku sebagai bekalan ilmu, mahupun untuk mengembangkan kerja-kerja Islam. Biarlah umur kita sedikit, namun padat dengan amal dan perkara yang diredhai Allah.

Semoga masa muda yang diberikan oleh Allah ini dapat kita manfaatkan sebaiknya. Janganlah kita hanya memandang hari esok, tetapi gunakanlah masa hari ini dengan sebaiknya,agar kita semua mendapat rahmat dan balasan syurga dari Allah Taala.

Dari Anas dia berkata, “Doa yang paling banyak dipanjatkan Nabi s.a.w. adalah:

“Wahai Rabb kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat,
dan hindarkanlah kami dari siksa api neraka
."
-Sahih Bukhari-

Ali bin Abi Thalib berkata, “Dunia berlalu dengan membelakangi, sedangkan akhirat berlalu dengan menghadap. Masing-masing dari keduanya mempunyai banyak anak, maka jadilah kalian anak-anak akhirat dan jangan menjadi anak-anak dunia. Sesungguhnya hari ini ada amal namun tidak ada perhitungan, sedangkan esok yang ada hanyalah perhitungan namun tidak ada lagi amal.”
-Sahih Bukhari-

Saturday, July 30, 2011

Ramadhan datang lagi ^^


Assalamualaikum. Alhamdulillah, sama-sama kita bersyukur kepada Allah kerana masih memberi kita peluang untuk bersama dalam bulan Ramadhan, bulan yang mulia dan penuh dengan keberkatan.

"Barangsiapa yang menegakkan Ramadhan kerana iman kepada Allah dan mengharapkan pahala (hanya dari-Nya), maka akan diampuni dosa-dosa yang telah dikerjakannya."
-sahih Muslim(no 1870), sahih Bukhari(no. 1869)-

Menegakkan Ramadhan yang dimaksudkan diatas berdasarkan riwayat hadis lain adalah ibadah puasa dan solat malam. Jika diambil secara umumnya, maka ibadah-ibadah yang wajib itu diperbaiki dan yang sunat diperbanyakkan, dengan niat penuh keimanan kepada Allah dan mengharapkan pahala hanya dari-Nya.

"Solat lima waktu, jumaat ke jumaat, dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah penghapus untuk dosa antara keduanya selagi dia menjauhi dosa besar"
-sahih Muslim(no 344)-

"Ibnu 'Abbas r.a berkata bahawa Nabi s.a.w adalah orang yang paling lembut (dermawan) dalam segala kebaikan. Dan kelembutan Beliau yang paling baik adalah saat bulan Ramadhan ketika Jibril alaihisalam datang menemui Beliau. Dan Jibril a.s. datang menemui Beliau pada setiap malam di bulan Ramadhan (untuk membacakan Al Qur'an) hingga Al Qur'an selesai dibacakan untuk Nabi s.a.w. Apabila Jibril a.s. datang menemui Beliau, maka Beliau adalah orang yang paling lembut dalam segala kebaikan melebihi lembutnya angin yang berhembus".
-sahih Muslim(no 1769)-

InsyaAllah sama-sama kita perbaiki diri kita dengan pelbagai amal soleh dan ibadah kepada Allah. Jadikan bulan Ramadhan ini sebagai waktu untuk kita memperbanyakkan ilmu akhirat dan menjadi pencetus semangat untuk kita terus beribadah pada bulan-bulan seterusnya. Allahu'alam. ^^

Saturday, July 9, 2011

Cahaya untuk melihat kebenaran

Assalamualaikum. InsyaAllah post kali ini dikongsikan tafsir surah Al-An'am, ayat 122-123.

"Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap-gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan"
-Al-An'am, ayat 122-

Ayat ini menunjukkan perumpamaan Allah untuk orang mukmin yang dahulunya dalam kesesatan lalu Allah menghidupkan hatinya dengan keimanan, memberi petunjuk dan memberi taufiq kepadanya untuk mengikuti para RasulNya. Ulama tafsir ada yang menyatakan bahawa cahaya itu adalah AlQuran, dan ada mengatakan cahaya itu adalah Islam, kedua-duanya benar menurut Imam Ibnu Katsir.

Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah menciptakan makhlukNya dalam kegelapan, kemudian Allah memercikkan cahayaNya kepadanya. Barangsiapa yang mendapatkan cahaya itu, maka ia mendapat petunjuk, dan siapa yang tidak mendapatkannya, maka ia tersesat."
-riwayat Ahmad, shahih menurut al-Albani-

Banyak ayat-ayat dalam Al-Quran yang menyebutkan perumpamaan orang mukmin dan orang kafir. Contohnya ayat 24 surah Hud, "Perbandingan kedua golongan itu seperti orang buta dan tuli dengan orang yang dapat melihat dan mendengar. Adakah kedua golongan itu sama keadaan dan sifatnya? Maka tidakkah kamu mengambil pelajaran?"

"Demikianlah Kami jadikan orang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan." Allah jadikan mereka menganggap apa yang mereka lakukan itu sebagai baik, sedangkan kesesatan mereka itu merupakan ketentuan dan kebijaksanaan Allah Taala.

"Dan demikianlah Kami adakan pada tiap-tiap negeri penjahat-penjahat yang terbesar agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. Dan mereka tidak memperdaya melainkan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya"
-surah Al-An'am, ayat 123-

Sambungan dari ayat pertama diatas, maka Allah menyatakan ketentuannya bahawa akan ada golongan penentang yang akan memusuhi Islam, sebagaimana para Rasul terdahulu diuji. Sebagaimana firmanNya, "Dan seperti itulah, telah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari (kalangan) orang-orang yang berdosa"
-surah Al-Furqaan, ayat 31-

Mujahid dan Qatadah menyatakan 'penjahat-penjahat yang terbesar' itu adalah golongan para pembesar (Ath-Thabari). Ibnu Katsir pula mengatakan dengan firman Allah dalam surah Saba', ayat 34-35,
"Dan Kami tidak mengutus kepada suatu negeri seorang pemberi peringatan pun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata, 'Sungguh, kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya.' Dan mereka berkata, 'Kami lebih banyak mempunyai harta dan anak-anak (daripada kamu) dan kami sekali-kali tidak akan diazab.'"

Begitu juga firman dalam surah az-Zukhruf, ayat 23. Ibnu Katsir menyatakan, maksud 'makar' (tipu daya) itu adalah ajakan mereka kepada kesesatan dengan perkataan dan perbuatan yang indah-indah. Kemudian Allah berfirman, "Dan mereka tidak memperdaya melainkan dirinya sendiri", yang menunjukkan bahawa keburukan tipu daya mereka itu lambat laun akan kembali kepada diri mereka sendiri.

Semoga dengan perkongsian ini bermanfaat buat semua sahabat. Semoga kita dibukakan hati oleh Allah untuk menerima Islam dengan sebaiknya, dan ditunjukkan kita akan kebenaran yang hakiki. InsyaAllah ^^

"Katakanlah yang benar walaupun ianya pahit"

Thursday, June 16, 2011

Darjat dalam solat berjemaah

Assalamualaikum. Alhamdulillah masih diberikan kekuatan oleh Allah untuk saya berkongsi lagi dalam laman blog ini. InsyaAllah post kali ini saya akan kongsikan sedikit syarah hadis riwayat Bukhari berkenaan solat berjemaah. Syarah ini saya ambil dari kitab Fathul Baari jilid 4 keluaran Pustaka Azzam.

Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Solat seseorang dalam suatu jemaah dilipat gandakan daripada solatnya (sendirian) di rumahnya dan di pasarnya dengan dua puluh lima kali lipat. Yang demikian itu apabila ia berwudhu, seraya memperbaiki wudhunya, kemudian keluar ke masjid. Tidak ada yang mengeluarkannya kecuali solat, maka ia tidak melangkah satu langkat melainkan diangkat untuknya satu darjat dan dihapus darinya satu kesalahan. Apabila dia solat, maka para malaikat sentiasa berselawat kepadanya selama ia berada di tempat solatnya. (Para malaikat mengatakan), 'Ya Allah, berilah selawat (keberkatan) kepadanya. Ya Allah, berilah rahmat kepadanya'. Salah seorang di antara kamu sentiasa berada dalam solat selama ia menunggu solat."
-Sahih, riwayat Bukhari (no. 611)-

Dari Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Solat berjemaah lebih utama dibanding solat sendirian dengan terpaut dua puluh tujuh darjat."
-Sahih, riwayat Bukhari (no. 609)-

Dua hadis diatas diletakkan dalam kitab 'Azan', dibawah bab 'keutamaan solat berjemaah'. Jika kita lihat, terdapat perbezaan dalam mengatakan dua puluh lima dan dua puluh tujuh darjat. Perbahasan panjang lebar diberikan dalam Fathul Baari namun bukan perkara ini yang saya ingin kongsikan, kerana yang pasti adalah solat jemaah mempunyai tingkatan yang jauh lebih tinggi berbanding solat sendirian.

Mengenai kata bilangan "darjat", "lipat" atau "bahagian", kesemuanya ada digunakan dalam hadis diatas mengikut jalur-jalur berbeza, namun jalur yang menggunakan "darjat" dikatakan lebih banyak bebanding yang lain. Ibnu Atsir mengatakan bahawa yang lebih tepat adalah "darjat", iaitu menunjukkan tingkatan ketinggian.

Sebahagian ulama membincangkan mengenai faktor-faktor yang menyebabkan adanya darjat-darjat tersebut. Al Muhib Ath Thabari menyatakan bahawa dalam hadis Abu Hurairah di atas terdapat beberapa faktor tersebut, lalu ditambah perkara lain yang mempunyai kaitan. Beberapa ulama memperincikan faktor tersebut, dan Ibnu Hajar (penulis Fathul Baari) turut mengemukakan faktor-faktor tersebut.

Berikut merupakan faktor yang menyebabkan adanya darjat-darjat tersebut:
1) Menjawab azan disertai niat untuk solat berjemaah.
2) Bersegera untuk solat di awal waktu.
3) Berjalan menuju masjid dengan tenang.
4) Masuk masjid sambil berdoa.
5) Solat Tahiyatul masjid ketika memasukinya dan berniat solat jemaah.
6) Menunggu pelaksanaan solat jemaah.
7) Solat dan permohonan ampunan oleh malaikat untuk orang yang solat berjemaah.
8) Persaksian para malaikat atas mereka.
9) Menjawab qamat.
10) Selamat dari gangguan syaitan ketika syaitan itu lari saat qamat.
11) Berdiri menunggu takbiratul ihram imam atau masuk bersamanya pada posisi dimana ia mendapati imam.
12) Mendapat takbiratul ihram bersama imam.
13) Meratakan saf serta mengisi celah-celahnya.
14) Menjawab imam saat ia mengucapkan "sami'allahu liman hamidah".
15) Umumnya terdapat perasaan aman dari lupa serta mengingatkan imam apabila lupa dengan mengucapkan tasbih atau membenarkan bacaannya yang keliru.
16) Adanya rasa khusyuk serta terpelihara dari hal-hal yang melalaikan.
17) Memperbaiki penampilan.
18) Diliputi oleh para malaikat.
19) Latihan bacaan yang baik serta mengetahui rukun-rukunnya.
20) Menampakkan syiar Islam.
21) Mengecewakan syaitan yang berkumpul dalam rangka ibadah serta tolong-menolong dalam ketaatan dan membangkitkan semangat mereka yang bermalas-malasan.
22) Selamat dari sifat munafik serta gangguan orang lain kerana diduga tidak pernah melakukan solat.
23) Menjawab salam imam.
24) Mengambil manfaat dari perkumpulan mereka dalam berdoa dan berzikir, serta yang sempurna dapat mengisi yang kurang.
25) Menyatukan hati sesama tetangga demi terciptanya perjanjian diantara mereka pada waktu-waktu solat.

Terdapat tambahan dua faktor dalam solah jahriyat, iaitu
26) berdiam saat imam membaca serta mendengarkannya, dan
27) mengucapkan "amin" saat imam mengucapkan "amin" agar bersamaan dengan ucapan "amin" para malaikat.
Inilah faktor-faktor yang dianjurkan secara khusus dalam solat berjemaah dan mengangkat mereka yang solat berjemaah ke darjat yang lebih tinggi, wallahualam.

Semoga dengan perkongsian ini akan lebih menaikkan semangat kita untuk solat secara berjemaah, samada di surau atau di masjid. Keutamaannya sangat jelas, maka beruntunglah mereka yang berusaha memperbaiki dirinya demi mendapatkan keredhaan Allah Taala. Sebarang teguran dan pandangan sangat dialu-alukan. ^^

Tuesday, May 10, 2011

Ruqyah


Assalamualaikum. InsyaAllah kali ini saya cuba menulis serba sedikit mengenai ruqyah, sebagai salah cara perubatan yang diajar dalam Islam. Saya harap ilmu yang saya kongsikan ini serba sedikit bermanfaat buat rakan-rakan pembaca. Mohon teguran jika terdapat kesilapan atau kekurangan.

Dari Aisyah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. apabila sakit beliau baca untuk dirinya sendiri surah muawwizat kemudian beliau tiupkan. Tatkala sakit beliau bertambah keras, kubacakan surah-surah itu keatasnya, kemudian kusapukan dengan tangannya dengan mengharapkan barakah daripadanya."
-sahih Bukhari (no.4085) dan Muslim (no.4066)-

Hadis diatas merupakan salah satu hadis yang mensyariatkan penggunaan ruqyah dalam mengubati sakit. Di sini juga dapat kita fahami bahawa kita sendiri boleh dan digalakkan mengubati diri sendiri menggunakan ruqyah dan doa berdasarkan kemampuan. Sesetengah orang berpendapat bahawa hanya ustaz atau ustazah yang boleh, tetapi hakikatnya diri sendiri sepatutnya merawat terlebih dahulu sebelum pergi kepada ustaz atau ustazah.

Ruqyah bukan semata-mata untuk mengubati sihir dan guna-guna, tetapi juga untuk penyakit fizikal seperti demam, sengatan dan lain-lain. Memang diakui bahawa sebahagian penyakit fizikal juga boleh terjadi disebabkan oleh jin/makhluk halus. Contohnya kes yang terjadi pada seorang pesakit ibu saya, dimana dia disahkan mempunyai cyst pada organ peranakannya, tetapi saiznya berubah-ubah setiap kali diperiksa. Perubatan dengan ruqyah mendapati cyst tersebut terjadi disebabkan oleh jin dan boleh diubati dengan ruqyah syariah.

Dari Auf Bin Malik Al-Asyja'i r.a. dia berkata, "Kami sering menggunakan mantera/ruqyah pada masa Jahiliah. Lalu kami tanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., 'Ya Rasulullah, bagaimana tentang mantera itu menurut engkau?' Beliau berkata, 'Tidak mengapa menggunakan mantera selama tidak mengandungi syirik"
-sahih Muslim (no.4079)-

Daripada hadis diatas, Rasulullah s.a.w. menetapkan bahawa ruqyah yang dibolehkan mestilah tidak mengandungi unsur-unsur syirik, iaitu pengharapan kepada sesuatu selain Allah, seperti menggunakan sihir. Ruqyah yang disyariatkan adalah menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa daripada hadis Nabi s.a.w.

Dalam hadis Abu Said Al-Khudri r.a., berkenaan sahabat yang melalui satu kampung dan meruqyah menggunakan surah Al-Fatihah, maka mereka pulang dan bertanya dengan Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab, "Tidak tahukah kamu bahawa surah Al-Fatihah itu dapat digunakan untuk meruqyah?"
-sahih Bukhari (no.5303) dan Muslim (no.4080)-

Sebahagian ulama mengatakan boleh menggunakan mana-mana ayat Al-Quran sebagai ruqyah berdasarkan hadis di atas serta beberapa dalil Al-Quran seperti ayat 44 surah Fussilat, "Al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman". Antara ayat yang selalu di gunakan selain Al-Fatihah adalah ayat Kursi, lima ayat pertama dan dua ayat akhir surah Al-Baqarah, serta tiga surah terakhir (surah muawwizat).

Sesetengah ustaz yang telah biasa merawat dengan ruqyah menetapkan ayat-ayat tertentu berdasarkan pengalaman mereka. Bagi kita yang tidak biasa, cukuplah dengan surah-surah yang mudah ataupun doa-doa Nabi s.a.w. Berikut merupakan link artikel Ustz Zaharuddin yang memuatkan beberapa doa dari hadis Nabi s.a.w.
Panduan Ringkas Bacaan Doa Kesembuhan

Kita juga boleh memasang audio mp3 bacaan-bacaan Al-Quran sebagai salah satu cara. Kebanyakan ustaz yang memang berpengalaman merawat akan menasihatkan pesakit untuk memasang bacaan-bacaan Al-Quran setiap hari, kerana syaitan tidak senang mendengarnya.
Bagi yang mungkin disebabkan jin, kemungkinan untuk mengalami tanda-tanda itu tinggi, seperti menggigil, terasa sakit sewaktu membacanya dan sebagainya. Maka jalan yang terbaik ialah dengan merujuk ustaz atau ustazah yang berpengalaman.

Perlu kita fahami bahawa meruqyah ini memerlukan pengharapan yang tinggi kepada Allah Taala. Segala yang halal dan haram, dosa dan pahala perlu dijaga, sama sepertimana kita menginginkan doa-doa kita dikabulkan Allah. Sesungguhnya Allah yang menurunkan penyakit dan Dialah yang Maha Penyembuh. Amalkan zikir-zikir yang diajar baginda Nabi s.a.w. seperti pada waktu Subuh dan Asar, sebagai pelindung diri.

Kita juga tidak boleh melupakan ikhtiar dan usaha untuk menggunakan ubat atau rawatan lain, terutama bagi penyakit fizikal. Ini kerana Rasulullah s.a.w. juga menggunakan ubat seperti madu dan habbatus sauda untuk menyembuhkan penyakit. Maka, jadikanlah ruqyah ini sebagai pelengkap dalam rawatan kita.

"Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan Allah turunkan juga ubat baginya"
-sahih, riwayat Ibnu Majah, Al-Hakim-

Semoga kita sama-sama dapat ilmu yang bermanfaat dari artikel ini dan dapat mengamalkan dalam kehidupan kita. Mohon teguran jika terdapat salah dan silap. Allahu'alam. ^^