Saturday, December 10, 2011

Bersediakah kita?


"Sungguh, hari kiamat itu akan datang, Aku merahsiakan (waktunya) agar setiap orang dibalas sesuai dengan apa yang telah dia usahakan"
-surah Taha, ayat 15-

Ali bin Abi Talhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas berkenaan dengan firmanNya "Aku merahsiakan (waktunya)", bermakna tiada yang mengetahui kecuali Allah sendiri. Dalam surah Al-A'raf ayat 187, Allah berfirman:

"Kiamat itu sangat berat (huru-haranya bagi makhluk) yang dilangit dan dibumi, tidak akan datang kepadamu kecuali secara tiba-tiba."

Maksud "agar setiap orang dibalas sesuai dengan apa yang telah dia usahakan" adalah Allah pasti akan mendatangkan hari kiamat agar Dia dapat membalas setiap orang sesuai dengan amal perbuatannya. Dalam surah Al-Zalzalah, ayat 7 dan 8, Allah berfirman:

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya"
-Tafsir Ibnu Katsir-

Ayat-ayat Al-Quran dan berbagai hadis mengungkapkan adanya dua tahap hari akhir (sebelum datangnya kiamat). Tahap pertama adalah satu jangka masa ketika manusia mengalami pelbagai masalah material dan spiritual. Setelah itu, bumi akan memasuk jangka masa yang disebut "Masa keemasan" yang ditandai dengan kehidupan yang penuh rahmat dan berkah, dengan tegaknya agama yang benar.

Menjelang akhir masa keemasan, akan ada keruntuhan sosial dalam waktu singkat, dan inilah saatnya manusia menunggu hari kiamat. Wallahualam, Allah lebih mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
-Harun Yahya: Hari Akhir & Imam Mahdi-

Sumber asal: Syaamil Alquran, Miracle The Referrence 22 in 1

Monday, December 5, 2011

Syaitan Menanamkan Kekufuran


"Tidakkah engkau melihat, bahawa sesungguhnya Kami telah mengutus syaitan-syaitan itu kepada orang-orang kafir untuk mendorong mereka (berbuat maksiat) dengan bersungguh-sungguh?"
-Surah Maryam, ayat 83-

Allah menerangkan bahawa syaitan sangatlah kufur dan suka melawan. Al-Quran juga mengajarkan bahawa syaitan akan mendekati manusia dari setiap arah, dan ia akan berusaha dengan segala cara untuk membawa manusia kepada kerosakan moral.

Metode yang paling sering dilakukan syaitan dalam rencana jahatnya adalah menghalang manusia dari melihat kebaikan dalam segala peristiwa yang menimpanya. Dengan demikian, ia juga berusaha untuk menyesatkan manusia kepada keberontakan dan kekufuran. Orang yang tidak mampu memahami keindahan akhlak Al-Quran akan jauh dari ajaran Islam dan mereka menghabiskan kehidupan mereka hanya untuk mengejar kesia-siaan dan melupakan akhirat.

Syaitan membisikkan tipu daya yang menyenangkan kepada manusia. Ia mengajaknya untuk melawan Allah. Seseorang mungkin tidak akan merasa kesusahan untuk melihat jirannya terkena musibah kerana itu adalah sebahagian dari takdirnya. Namun dia tidak bersikap demikian ketika ia atau keluarganya tertimpa musibah yang sama. Kerana hasutan syaitan, ia lebih mudah melawan kepada Allah.
-Harun Yahya-

Sumber: Miracle The Referrence, Syamail Alquran 22 in 1

Friday, November 4, 2011

Bersabarlah


"Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan petang hari dengan mengharap keredhaanNya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia, dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya sudah melampaui batas"
-surah Al-Kahfi, ayat 28-

Firman Allah "dan bersabarlah engkau" yakni duduk dan berkumpullah kamu dengan mereka yang mengingati Allah, bertahlil kepadaNya, bertakbir, bertasbih, bertahmid, dan yang selalu meminta hanya kepadaNya di pagi dan petang hari, tanpa memilih apakah ia dari golongan yang kaya atau miskin, kuat atau pun lemah.

Disebutkan bahawa ayat ini diturunkan ketika beberapa orang pembesar kaum Quraisy meminta Nabi Muhammad s.a.w. jika hendak berdakwah kepada mereka, maka hendaklah tidak menggabungkan mereka dengan kaum lain dan tidak boleh bersama para sahabat Nabi s.a.w. yang tidak berdarjat tinggi sebagaimana kaum Quraisy.

Demi melemahkan dan membantah permintaan pembesar kaum Quraisy ini, Allah menurunkan ayat ini (ayat 28 surah Al-Kahf). Selain memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w untuk tidak mengabulkan pemintaan pembesar kaum Quraisy, Allah mengajar Nabi s.a.w. untuk menjadikan sabar sebagai perisai diri dalam berdakwah kepada mereka.

"Dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti keinginannya", iaitu tidak mengikuti permintaan orang yang disibukkan dengan dunia dan meninggalkan akhirat. "Dan keadaannya sudah melampaui batas", mereka memiliki amal yang seluruhnya melampaui batas dan sia-sia, jangan sesekali mentaati dan sejalan dengan keinginan buruk mereka.
-Tafsir Ibnu Katsir-

Semoga perkongsian tafsir ayat 28 surah Al-Kahfi ini bermanfaat buat sahabat-sahabat sekalian. ^^

Rujukan: Syaamil Alquran; Miracle The Referrence 22 in 1

Thursday, October 27, 2011

Golongan Kanan

Salah satu sunnah Rasulullah s.a.w yang begitu mudah untuk kita lakukan setiap hari adalah dengan memulakan dan memuliakan yang kanan. Dalam hadis riwayat Bukhari, Aisyah berkata:

"Telah menjadi kebiasaan Nabi s.a.w. memulai dengan yang kanan ketika memakai sandal, menyikat rambut, bersuci dan dalam segala urusannya"
-Sahih Bukhari-

Kebanyakan urusan baginda dimulai dengan yang kanan, contohnya ketika makan, minum dan memberi barang dengan tangan kanan. Malah baginda mendahulukan kaki kanan ketika memakai kasut dan ketika masuk ke masjid. Imam Nawawi menyatakan, "Kaedah Syara' sentiasa suka mendahulukan yang kanan dalam hal-hal yang bersifat penghormatan dan berhias (kebersihan), sementara untuk perkara sebaliknya disukai dimulai dengan yang kiri."

Ulama mengatakan bahawa Nabi s.a.w menyukai sikap optimis, dimana golongan kanan merupakan penghuni syurga Allah, sebagaimana firman Allah:

"(Ingatlah) suatu hari (yang ketika itu) Kami panggil setiap umat dengan pemimpinnya (catatan amalnya), dan orang-orang yang kitab amalnya diberikan di tangan kanannya, maka mereka akan membaca kitab itu. Mereka tidak akan dirugikan sedikit pun."
-surah Al-Isra', ayat 71-

Oleh itu, mulai sekarang, mari kita sama-sama mengamalkan sunnah Nabi s.a.w. ini dalam urusan kita seharian, dan kita niatkan dengan ikhlas semata-mata untuk mencari redha Allah Taala. ^^

Rujukan: Fathul Bari, Syarah Sahih Bukhari