Monday, May 20, 2013

Pilihan


Assalamualaikum. Setelah lama menyepikan diri dan menyibukkan diri dengan kerja dan peperiksaan, alhamdulillah masih diberikan kesempatan dan peluang olehNya untuk terus berdakwah melalui penulisan blog. Moga ilmu yang dikongsikan ini mampu memberi manfaat buat rakan-rakan sekalian.

Salah satu realiti kehidupan ini yang perlu kita tahu dan faham adalah mengenai pilihan. Apa pun kerja yang kita lakukan, pasti tidak boleh lari dari membuat pilihan. Jika pelajar dan mahasiswa contohnya, mereka bukan sahaja perlu memilih pilihan jawapan di atas kertas, aktiviti-aktiviti, malah pemilihan kawan juga menjadi isu penting dalam membentuk pola pemikiran dan personaliti yang hebat.

"Dan Tuhanmu menciptakan dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan, dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukanNya."
-surah AlQasas, ayat 68-

Memang sesetengah perkara itu adalah ketentuan Allah sendiri, tetapi sebahagian yang lain perlukan pilihan kita. Jodoh contohnya, merupakan perkara yang ditentukan Allah sejak awal lagi, tetapi dalam masa yang sama Rasulullah mengajar kita untuk mengutamakan calon isteri yang beragama lebih dari perkara lain. Sesetengah orang membiarkan masa menentukan, ada yang pasrah dan tidak ingin berusaha, sedangkan usaha kearah kebaikan itu juga diperhitungkan Allah.

"Perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat, 
dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat,
dan (sebaliknya) perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, 
dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.
Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan orang-orang (yang jahat); mereka itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia."
-surah AnNur, ayat 26-

Jika kita selalu membaca terjemahan AlQuran dan hadis, kita dapat simpulkan bahawa setiap yang disuruh pada kita adalah perkara yang baik-baik belaka. Ini kerana Allah hanya menerima hambaNya yang baik. Bukan nilaian fizikal, tetapi amal kebaikannya, akhlaknya, tutur katanya. Syurga juga dipenuhi dengan keindahan dan kebaikan, khas buat mereka yang baik. Jadikan "BAIK" sebagai kata kunci dan panduan dalam kehidupan seharian kita, serta pastikan "BAIK" itu berlandaskan syariat, bukan akal fikiran kita sahaja.

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu"
-surah AlBaqarah, ayat 168-

Berusahalah sebaiknya untuk mendapatkan yang baik dalam kehidupan ini. Mungkin hasilnya tidak sebaik yang kita inginkan, tetapi usahanya yang dinilai oleh Allah Taala. Moga dengan baiknya usaha yang kita lakukan mampu menempatkan kita bersama orang-orang yang baik lagi taat pada pencipta yang agung.