Showing posts with label bahagia. Show all posts
Showing posts with label bahagia. Show all posts

Tuesday, June 2, 2009

Belum cukup baik lagi....

Hmmm...tak nak la jadi baik sangat, nanti orang cakap aku poyo pulak. Jahat sangat pun tak nak jugak, nanti orang benci. Jadi orang biasa-biasa je...

Pernah beberapa kali saya mendengar orang berkata sedemikian. Betul ke kita boleh jadi orang 'biasa-biasa' je? Apa yang saya tahu, bahawa pengakhiran hidup kita ada dua, sama ada syurga, ataupun neraka. Jadi, 'biasa-biasa' ini dimana pula? Mungkin perlu merasai neraka dulu kemudian baru ke syurga? Allah lebih mengetahui.

InsyaAllah post kali ini saya ingin kongsikan satu hadis Rasulullah s.a.w. yang saya petik dari buku terjemahan Shahih Bukhari. Semoga dengan perkongsian ilmu ini, kita dapat fahami, dan kita jadikannya sebagai pendorong kita untuk terus melakukan amal kebaikan, insyaAllah kerana Allah Taala.

Dari Ali r.a. katanya: "Kami menghadiri pemakaman Baqi' Gharqad. Ketika Nabi s.a.w. tiba, beliau terus duduk dan kami pun duduk pula di sekeliling beliau. Di tangannya ada sebuah tongkat. Beliau merunduk dan menggaris-garis tanah dengan tongkat itu.

Kemudian beliau bersabda, "Tiap-tiap orang hidup dituliskan Allah tempatnya di syurga atau di neraka. Dituliskan juga apakah dia celaka atau bahagia"

Bertanya seseorang, "Ya Rasulullah! Tidak bolehkah kami menyerah saja kepada kitab kami, sehingga kami tidak perlu beramal?? Siapa di antara kami termasuk bahagia, sendirinya ia akan mengamalkan amal bahagia, dan orang yang ditulis celaka akan beramal celaka."

Nabi s.a.w. menjawab, "Ada pun orang yang bahagia, ialah mereka yang dimudahkan Allah melakukan amal bahagia, dan orang yang celaka ialah orang yang mudah melakukan amal celaka."

Kemudian Nabi s.a.w. membaca firman Allah s.w.t. :

"Maka barang siapa memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga),maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kemudahan (kebahagiaan).

Dan ada pun orang yang kikir dan merasa dirinya cukup (tidak perlu pertolongan Allah), serta mendustakan pahala yang terbaik (syurga), maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kesukaran (kesengsaraan, kejahatan)"

-surah Al-Lail, ayat 5 hingga 10-

Kita tentukanlah tujuan hidup kita sama ada bahagia atau derita di akhirat nanti. Janganlah kita inginkan bahagia di dunia semata-mata, kerana hidup ini hanya sementara. Mana tahu, esok kita dah tiada di dunia ini lagi.

Marilah kita sama-sama mengejar syurga Allah, dan teruskan berbuat kebaikan. Walaupun setiap sesuatu itu sudah tertulis, tetapi kita teruskanlah berdoa dan berbuat kebaikan. InsyaAllah amal yang baik kerana Allah, akan membuat kita dekat dengan-Nya. =)

Tuesday, April 14, 2009

Bahagia atau Derita yang kita pilih???

Post kali ini sebenarnye diambil dari majalah Solusi isu no. 6. Saya tertarik dengan tafsiran mengenai surah Taha ayat 123 hingga 126. InsyaAllah dengan sedikit perkongsian ini, sama-sama kita fahami dan ambil sebagai pengajaran.

Firman ALlah dalam surah Taha ayat 123-126, maksudnya:
"Turunlah kamu berdua dari Syurga itu bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi sesetengahnya yang lain. Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu, nescaya ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka"

Menurut ulama mufassirin, antaranya Ibn Athiyyah dalam tafsirnya al-Muharrar al-Wajiz, arahan yang dikemukan Allah itu merujuk kepada ramai orang, termasuk syaitan yang diketuai iblis. Dan petunjuk yang dimaksudkan merujuk kepada kitab-kitab Allah. Ayat ini ditulis ketika kisah penurunan Nabi Adam ke bumi.

Kita sebagai umat nabi Muhammad s.a.w. telah diberikan petunjuk oleh Allah, itulah Al-Quran Yang Agung. Dalamnya terdapat perintah-perintah Allah, larangan-Nya, nasihat-Nya. Sebagai orang beriman, wajib kita beriman kepada kitab yang diturunkan, apatah lagi untuk mengikutinya.

Jika kita lihat pada masa kini, pembacaan Al-Quran itu kurang dikalangan masyarakat, apa lagi untuk memahaminya. Sedangkan itulah petunjuk untuk kehidupan kita. Allah katakan dalam ayat diatas, tidak akan sesat dan tidak akan celaka apabila kita ikut petunjuk-Nya itu iaitu Al-Quran.

Jadi, sama-samalah kita menjadikan Al-Quran ini sebagai panduan dan rujukan kita. Bukan sekadar kitab, tetapi perintah dari Allah, kata-kata dari Tuhan sekalian alam. Semuanya bergantung pada kita, samada kita nak pilih bahagia atau derita kelak. Fikir-fikirkanlah.

"dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sungguh, dia kan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan mengumpulkannya pada hari Qiamat dalam keadaan buta"

Allah memberi peringatan kepada kita tentang balasan apabila kita tidak ikut perintah-Nya. Perintah-perintah Allah dalam Al-Quran adalah jelas, ditambah lagi dengan hadis-hadis Rasulullah, peringatan yang cukup untuk memandu kita kearah kebahagian yang kekal abadi.

Memang kita akan dapati apabila kita nak ikut, macam-macam ujian datang. Ada orang akan tidak suka dengan kita, ada orang tidak terima. Itulah yang dimaksudkan dengan ayat pertama tadi, sebahagian menjadi musuh kepada sebahagian yang lain. Moga kita termasuk dalam orang yang mendapat petunjuk dari-Nya.

"Dia berkata:'Ya Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal dahulu aku dapat melihat."

Apabila di hari pembalasan, mereka yang dibangkit dalam keadaan buta bertanya kepada Allah, kerana didunia ini kita dilahirkan serba sempurna. Ada pancaindera, ada harta, ada jawatan. Tetapi apa jawapan yang diterima....

"Allah berfirman:'Demikianlah dahulu telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, dan kamu mengabaikannya, jadi begitulah pada hari ini kamu diabaikan"

Jadi telah jelas ayat-ayat yang Allah berikan, tetapi mereka menolak. MasyaAllah. Ada antara kita yang lebih memandang yang zahir, yang kita nampak, sehingga kita menolak perintah-perintah Allah. Seperti contoh, yang kita sering lihat ialah mengenai aurat. Sesetengah orang memandangnya ringan dan tidak kisah pun mengenai perintah menutup aurat, sedangkan itu perintah dari Tuhan, hanya Dia yang tahu kerana Dia yang menciptakan kita.

Alangkah sedihnya jika kita lihat orang lebih mengejar kepada keduniaan, yang tampak "Bahagia", tetapi melanggar perintah Allah. Sedangkan dalam Al-Quran, Allah telah berikan banyak contoh-contoh sebagai pengajaran, bahawa yang kita sangkakan "bahagia" itu tidak akan kemana pun tanpa keredhaan dari Allah yang menciptakan kita.

InsyaAllah, moga dapat kita amik pengajaran dan sama-sama muhasabah diri. Sama-samalah kita saling ingat-mengingati kerana manusia mudah lupa dan alpa.