Tuesday, February 16, 2010

Generasi AlQuran dan Hadis

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah"
-surah al-Alaq, ayat 1,2-

Alhamdulillah, dari hari ke hari, diri ini sedang belajar memahami ciptaan Allah yang mulia, iaitu manusia. Sedang kita belajar tentang makhluk yang serba lengkap ini, kita jarang berbincang mengenai Pencipta Yang Maha Kuasa. Apakah kita sudah cukup mengenali Tuhan kita?

InsyaAllah dalam post kali ini, saya ingin tekankan tentang kepentingan menuntut ilmu agama, terutama AlQuran dan Hadis. Tidak dinafikan kita lahir dalam keluarga muslim, kita diajar mengucap dua kalimah syahadah dari kecil lagi. Tetapi, ilmu yang kita ada masih belum cukup untuk memastikan diri kita sentiasa di jalan yang benar, jalan yang diredhai Allah.

Rasulullah s.a.w. dalam khutbahnya yang terakhir, baginda memesan kepada umat Islam, supaya berpeganglah kepada AlQuran dan sunnahnya, nescaya kita tidak akan sesat didunia ini. Dua perkara ini perlu kita fahami sepenuhnya, perlu sentiasa diingatkan, agar kita berada di jalan yang benar dan diredhai Allah.

"AlQuran ini menjadi panduan bagi membuka hati manusia dan menjadi hidayah petunjuk serta rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya)"
-surah Al-Jasiyah, ayat 20-

Bagi setiap Muslim yang betul-betul beriman kepada Allah, bacalah dan tadabbur (memahami) setiap ayat-ayat di dalam AlQuran. Memang kita tidak pandai memahami bahasa Arab sepenuhnya, tetapi menjadi kewajipan bagi kita untuk memahaminya menggunakan kitab terjemahan maupun tafsir AlQuran. Allah begitu menekankan perkara ini, dan mengingatkan kita dengan firmannya:

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai"
-surah Al-A'raf, ayat 179-

Selepas AlQuran, panduan kita yang utama ialah hadis Rasulullah s.a.w. Memang ramai diantara kita yang selalu membaca AlQuran, tetapi kita terlupa untuk mencari dan belajar ilmu hadis. Apabila kita tidak pandai membezakan antara hadis ataupun bukan, antara sahih mahupun dhaif, maka dengan kejahilan inilah yang menyebabkan ramai umat Islam yang sesat dan berlakunya perpecahan.

Sememangnya hadis Rasulullah s.a.w. yang menerangkan dan menjelaskan lagi maksud ayat-ayat AlQuran, yang mengajar cara-cara mengabdikan diri kepada Allah, menerangkan perlakuan mulia baginda dalam kehidupan seharian. Bagindalah ikutan dan idola sebenar yang perlu kita contohi. Maka menjadi kewajipan bagi kita untuk mencari dan memahami hadis-hadis baginda dengan sedaya yang mampu.

"Barangsiapa yang taat kepada rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah, dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka (ketahuilah), Kami tidak mengutusmu (Muhammad) untuk menjadi pengawal mereka (pemelihara mereka dari melakukan kesalahan)"
-surah an-Nisa, ayat 80-

Sama-samalah kita memperbanyakkan lagi ilmu agama, supaya dengannya dapat membawa diri kita ke jalan kebenaran dan keredhaan Allah. Walaupun kita sibuk belajar ilmu perubatan, ilmu akhirat ini tidak boleh sama sekali kita ketepikan, kerana tanpanya, kita akan sesat dan terpesong dari tujuan sebenar penciptaan kita didunia ini.

InsyaAllah, segala yang baik kita ambil pengajaran, jika terdapat kesilapan mohon teguran rakan-rakan sekalian. =)

Friday, February 5, 2010

Muhasabah diri

Sudah bertahun lamanya kita hidup di dunia ini, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi kehidupan selepas kematian? Adakah kita yakin bahawa amalan kita sudah cukup untuk menjamin syurga Allah?

Seruan Allah kepada mereka yang beriman:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Mahateliti terhadap apa yang kamu kerjakan"
-al-Hasyr, ayat 18-

Walaupun kita sebagai pelajar sentiasa sibuk belajar, mengulangkaji, membuat kerja mahupun menguruskan program, kita perlu sentiasa ingat bahawa kita pasti akan mati. Mungkin esok, mungkin lusa, ataupun minggu depan, hanya Allah yang mengetahui ajal maut seseorang. Sebagai hamba yang beriman, Allah mengingatkan kita supaya sentiasa refleksi diri kita, kerana diakhirat kelak, tiada siapa yang dapat menolong kita melainkan amalan kita sendiri.

Sentiasa mengingati mati tidak bermaksud kita perlu bersedih selalu, menangis siang malam kerana dosa-dosa yang kita telah buat. Apa yang penting ialah kita sedar akan apa yang telah kita lakukan, istighfar (meminta keampunan Allah) sebanyak mungkin, dan memperbanyakkan lagi amalan kebaikan (solat sunat, puasa, sedekah, tolong rakan, nasihat-menasihati). Kita sebagai manusia biasa tidak boleh lari dari melakukan kesilapan.

"Dan bagi setiap umat mempunyai arah (kiblat) yang masing-masing menujunya. Maka, berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan kebaikan, kerana dimana saja kamu berada, Allah pasti akan mengumpulkan kamu semuanya (pada hari kiamat). Sungguh, Allah Mahakuasa atas segala sesuatu."
-surah al-Baqarah, ayat 148-

Jadi marilah kita sama-sama muhasabah diri, fikirkan sejauh manakah keimanan kita, sejauh mana kita kenal Allah dan Rasulullah s.a.w., cukupkah ilmu-ilmu yang kita belajar ini untuk membawa kita lebih dekat kepada Allah. Sama-samalah kita perbaiki lagi diri kita, banyakkan lagi membuat kebaikan kepada Allah dan kepada sesama manusia. Semoga peringatan ini bermanfaat buat rakan-rakan semua. Selamat belajar. =)

"Dan sesungguhnya seseorang manusia itu hanya memperoleh (pahala) apa yang telah diusahakannya, dan sesungguhnya usaha itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya), kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna."

-surah an-Najm, ayat 39-41-

Tuesday, January 19, 2010

Terangilah diri ini dengan ilmu

Semua umat Islam bermazhab, akan tetapi hanya sebilangan kecil daripada kita yang tahu cara dan syarat bermazhab. InsyaAllah untuk post kali ini, saya ingin kongsikan sebuah buku yang bagus dan menarik, iaitu mengenai bermazhab dalam Islam. Bagi diri saya, perkara ini perlu kita fahami dengan jelas agar tiada perselisihan berlaku dan umat Islam dapat bersatu semula dijalan kebenaran.

Saya ingin mencadangkan sebuah buku yang bertajuk "Pedoman-pedoman Bermazhab dalam Islam" yang ditulis oleh Hafiz Firdaus Abdullah, keluaran Jahabersa. Penjelasannya sangat mudah untuk difahami, dan disertakan juga rujukan bagi setiap isi yang disampaikan. Rakan-rakan boleh cuba mencarinya di kedai buku ataupun membacanya menggunakan link e-book yang saya sertakan.
E-Book
www.jahabersa.com.my

Bahagian pertama dalam buku ini diterangkan secara ringkas dan padat mengenai sejarah kemunculan mazhab. Dari memahami sejarah ini, kita akan dapati betapa pentingnya mazhab dalam mengembalikan umat Islam kepada ajaran yang sebenar, iaitu berpandukan Al-Quran dan Hadis. Ini kerana umat Islam pada kurun kedua hijrah sudah mula menyimpang dari nilai-nilai Islam yang sebenar.

Munculnya imam-imam mazhab ketika itu adalah sebagai punca sumber ilmu pengetahuan. Mereka menyampaikan ilmu-ilmu berdasarkan Al-Quran dan Hadis dalam menaikkan semula martabat agama Islam. Mereka semuanya berpegang pada prinsip Ahli Sunnah Wa al-Jamaah, cuma terdapat sedikit perbezaan dari sudut fiqh.

Perbezaan yang wujud hanyalah berkisar pada perkara-perkara furu' (cabang), dan bukannya usul (asas) keislaman. Perkara ini terjadi kerana setiap imam itu mempunyai penafsiran yang berbeza tentang sesuatu dalil. Faktor kedua adalah kerana hadis-hadis yang mereka perolehi agak terhad dengan keadaan masyarakat ketika itu, maka mereka mengeluarkan pendapat dan hukum berpandukan hadis yang mereka sempat terima.

Jika kita lihat, umat Islam masa kini kebanyakannya berpecah kerana perkara furu' ini. Masalahnya timbul bukan kerana imam mazhab, tetapi oleh pengikut-pengikut sesuatu mazhab tersebut. Didalam buku ini diterangkan dengan baik mengenai syarat-syarat dalam bermazhab, bolehkah kita bertukar-tukar mazhab, mengikut salah satu ataupun meninggalkan semua ajaran mazhab tersebut. Kita juga perlu mengetahui bagaimana imam-imam mazhab ini menyelesaikan masalah perbezaan pendapat tersebut.

Al-Sya'rani rahimahullah menerangkan, "Tujuan yang ingin dicapai oleh para imam mazhab ialah menjelaskan kepada manusia apa yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat umum kerana kebanyakan ahli masyarakat tidak mampu memahami dalil-dalil al-Quran dan Hadis secara langsung."

Antara kelemahan masyarakat sekarang ialah kita mudah melabel seseorang itu salah maupun sesat. Begitu juga dalam konteks bermazhab, kita juga tidak boleh menghukum imam mazhab itu salah apabila terdapat kesilapan dalam kesahihan hadis yang dia temui. Para imam mazhab berwasiat kepada umat Islam dengan wasiat yang masyhur, "Apabila sesuatu hadis itu sahih, maka itulah mazhab aku." Jika terdapat ulama' hadis menemui hadis yang lebih sahih untuk sesuatu hukum itu, maka kita gunakanlah hadis itu.

Taqlid terhadap sesuatu hukum tanpa mengetahui dalil-dalilnya merupakan salah satu kelemahan yang membawa kepada kejatuhan umat Islam. Kita semua perlu cuba sedaya mungkin dalam memahami setiap hukum itu, dalil Al-Quran mahupun Hadis yang menerangkannya. Kita perlu berlapang dada jika kita menemui hadis yang kedudukannya lebih baik daripada hadis yang kita amalkan sebelumnya, inilah sebenarnya wasiat para imam mazhab.

Berkata al-Syafie, "Sesuatu sunnah daripada Rasulullah s.a.w. kemungkinan akan sampai atau tidak kepada seseorang itu. Maka apabila saja aku menghuraikan pendapatku atau merumuskan sesuatu prinsip, dan pada waktu sama wujud satu hadis yang sah dari Nabi s.a.w. yang menerangkan sebaliknya, maka pendapat yang betul itu adalah apa yang Nabi katakan, dan demikianlah juga akan menjadi pendapat aku."

InsyaAllah, buku ini akan menerangkan dengan lebih baik lagi mengenai persoalan-persoalan yang sering timbul mengenai mazhab. Semoga rakan-rakan yang masih keliru tentang perkara ini bolehlah cuba memahami buku "Pedoman-pedoman Bermazhab dalam Islam", agar kita keluar dari kepompong dan membentuk umat Islam yang berilmu. Sama-sama kita kaji dan ambil yang baik, sesungguhnya setiap manusia ada kelemahan, hanya Allah Yang Maha Mengetahui tiap sesuatu.

Sunday, January 17, 2010

Perlindungan

InsyaAllah untuk post kali ini, saya kongsikan tafsir mengenai surah al-Nas yang saya petik dari Tafsir al-Munir karangan Dr. Wahbah al-Zuhaily. Surah al-Nas, al-Falaq dan al-Ikhlas digunakan oleh Nabi s.a.w. untuk memohon perlindungan Allah dari sihir Yahudi, perlindungan dari sifat munafik, juga digunakan untuk berubat. Baginda selalu mengamalkan ketiga-tiga surah ini, jadi saya tergerak untuk berkongsikan tafsir bagi surah terakhir ini.

"Katakanlah (wahai Muhammad), aku mohon perlindungan kepada Tuhan pemelihara manusia, Raja manusia, Sembahan manusia,
dari kejahatan (bisikan) syaitan yang sentiasa bersembunyi,
yang membisikkan (kejahatan) di dada manusia,
dari kalangan jin dan manusia."

-surah Al-Nas, ayat 1-6-

Dalam tiga ayat pertama, dinyatakan tiga sifat Allah iaitu Tuhan Pemelihara (Rububiyyah), Penguasa dan Tuhan yang dipuja (Ilahiyyah). Dialah pemilik segala-galanya. Semua makhluk dicipta oleh-Nya. Kita semua adalah kepunyaan dan hamba kepada Allah. Diulang-ulang perkataan "manusia" dalam surah ini ialah untuk menambahkan lagi penerangan dan penjelasan tentang martabat manusia sebagai makhluk Allah yang mulia.

"dari kejahatan (bisikan) syaitan yang sentiasa bersembunyi" ertinya berlindunglah kepada Allah dari godaan syaitan yang sentiasa menimbulkan was-was, yang tidak nampak oleh mata biasa manusia kerana sifatnya yang licik. Sekiranya manusia mengingati Allah, syaitan akan mundur dan menjadi lemah. Jika manusia lupa pada Allah, maka ia mula membesar dan bermaharajalela di dalam hati manusia.

Ibnu Abbas mentafsirkan ayat ini dengan katanya, "Syaitan duduk bergayut di dalam hati manusia. Apabila manusia lupa dan lalai (mengingati Allah), dia akan membisikkan (kejahatan). Tetapi apabila disebut nama Allah, dia terdiam dan mengecut."

Abi Tamimah meriwayatkan dari seorang yang ikut membonceng seekor keldai bersama rasulullah s.a.w, katanya:
"Keldai Nabi jatuh terpelecot, aku pun berkata 'Celaka syaitan." Baginda lantas bersabda, "Jangan kamu kata celaka syaitan. Sekiranya kamu berkata begitu, dia (syaitan) semakin membesar dan dia akan berkata, 'Aku kacau dia dengan kekuatanku', tetapi sekiranya kamu ucapkan, 'Dengan nama Allah,' syaitan akan semakin mengecil sehingga menjadi seumpama lalat."
-riwayat Imam Ahmad (disahihkan oleh Sheikh Al-Albani dalam Sahihul Jaami)-

"Yang membisikkan di dada manusia", menunjukkan bahawa syaitan selalu membisik keinginan yang tidak elok di hati manusia. Disebut dada kerana ia merangkumi hati. "Dari kalangan jin dan manusia", menunjukkan bahawa syaitan itu terdiri daripada manusia dan juga jin.

Firman Allah (bermaksud), "Demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh, iaitu syaitan manusia dan syaitan jin. Sebahagian mereka mengilhamkan kepada sebahagian yang lain kata-kata manis sebagai godaan."
-surah Al-An'am, ayat 112-

Seperti yang pernah saya tuliskan dalam post sebelum ini, terlalu banyak godaan-godaan syaitan pada masa kini. Syaitan tidak semestinya berbisik seperti yang kita fikir-fikirkan, tetapi dengan menggunakan pelbagai helah seperti hiburan, kekayaan, pangkat dan pujian. Kita dapat perhatikan dengan sendiri, bagaimana manusia sekarang begitu mengejar-ngejar kemewahan dunia, dan kita dapat perhatikan bagaimana akhlak manusia turut runtuh.

Semakin leka manusia dengan tujuan sebenar penciptaan mereka, semakin seronok syaitan, kerana manusia sudah dilalaikan. Bukan sahaja syaitan jin yang kita tidak dapat lihat, tetapi juga syaitan manusia yang seronok melihat agama Islam ini runtuh.

Didalam video The Arrivals, diterangkan bagaimana 'gerakan' syaitan ini melakukan kerja-kerja mereka. Mereka menjajah sesuatu negara, kemudian mereka tinggalkan kesan-kesan mereka, bentuk pemikiran mereka dan sebagainya. Media merupakan saluran yang paling baik untuk mereka melalaikan manusia. Mereka tunjukkan 'kebaikan-kebaikan' mereka, dan manusia menerimanya kerana cara hidup mereka yang 'menyeronokkan'. Lama-kelamaan manusia akan lupa dengan perintah Allah Taala.

Oleh sebab itu, sama-samalah kita minta perlindungan pada Allah dari godaan-godaan syaitan. Amalkan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan Al-Nas setiap kali lepas solat sebagaimana diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir, "Rasulullah telah menyarankan kepadaku agar membaca setiap lepas solat tiga surah al-Muawwizat."
-riwayat Ahmad, Abu Daud, Al-Tirmizi dan Nasa'i-

Segala yang baik itu datangnya dari Allah, jadi sama-samalah kita sampaikan ilmu yang baik dan benar kepada orang-orang disekeliling kita, InsyaAllah.
FOM Ads

Friday, January 8, 2010

Buka matamu, hatimu dan fikiranmu....lihatlah!

"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah 'Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya).' Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah."
-surah al-Baqarah, ayat 120-

Mungkin agak lambat diri ini menyedari perkara ini, tetapi tidak terlambat untuk disampaikan kepada kawan-kawan diluar sana. Perkara ini sebenarnya memang ramai yang ketahui, tetapi usaha-usaha 'musuh' itu lebih rapi dalam memastikan kita lupa tentang perkara ini. Alhamdulillah, kawan saya berikan satu link kepada saya, yang sangat berguna bagi kita yang mengakui beriman kepada Allah, dan saya cuba sampaikan kepada kawan-kawan melalui post ini, insyaAllah.

Allah telah bersumpah dalam ayat diatas, bahawa Yahudi dan Nasrani tidak akan rela membiarkan agama Allah ini tertegak dimuka bumi, dan akan berusaha sedaya mungkin supaya kita mengikuti mereka. Apakah mereka ingin sampaikan 'kepercayaan' mereka secara terus kepada kita? Tidak!

Mereka tahu akan kekuatan agama Allah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka mungkin lebih kenal Islam dari kita, dan mereka tahu kelemahan-kelemahan umat Muhammad s.a.w. Oleh sebab itu kita masih leka dan lalai sehingga kita tidak perasan yang sebenarnya usaha mereka sudah lama bertapak dinegara kita.

McDonald, rokok, Coke, Starbucks, artis, bola sepak, couple, semuanya cukup dikenali oleh remaja-remaja sekarang. Inilah serangan mereka, musuh-musuh Allah yang suka jika kita ikut mereka. Walaupun negara kita sudah merdeka, tetapi sebenarnya penjajahan masih berterusan. Dari segi pentadbiran, cara hidup, pendidikan, mereka sudah berjaya menerapkan 'pemikiran-pemikiran' yang mereka rancangkan.

Memang kita semua nampak cara hidup sekarang 'moden' dan 'up-to-date', tapi itulah yang mereka ingin kita fikirkan. Mereka, iaitu Yahudi dan Nasrani, tidak takut jika ada pihak yang cuba menegakkan Islam, sebab majoriti daripada umat Islam telah mengikut corak pemikiran mereka. Apabila hukum-hukum Allah ingin ditegakkan, maka kita akan lihatnya sebagai 'tidak masuk akal', 'kolot', 'tidak mengikut peredaran masa.' Mereka dah berjaya menjatuhkan Islam dengan menggunakan orang Islam itu sendiri.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan teman orang yang diluar kalanganmu (agama lain) sebagai teman kepercayaanmu, (kerana) mereka tidak henti-hentinya menyusahkan kamu. Mereka mengharapkan kehancuranmu. Sungguh, telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang tersembunyi di hati mereka lebih jahat. Sungguh, telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu mengerti."
-surah Ali-Imran, ayat 118-

Cubalah kita lihat negara-negara yang bekerjasama dengan musuh-musuh Allah ini, adakah mereka tetap menegakkan Islam? Atau mereka turut terpengaruh dengan budaya-budaya Yahudi dan Nasrani? Mungkin kita lihat bahawa negara mereka juga maju, tetapi adakah negara mereka aman daripada pergaduhan, pembunuhan, penindasan, penzaliman? Sebenarnya negara kita juga begitu, tetapi kita tidak sedar hakikat kebenaran ini.


Banyak sebenarnya yang kita tidak nampak, termasuklah diri penulis ini sendiri. Saya hanya menyampaikan apa yang saya tahu, tapi yakinlah bahawa janji-janji Allah itu benar, kerana Allah Maha Mengetahui setiap apa yang Dia ciptakan.

Bangkitlah kawan-kawanku, sama-sama kita bangun dan buang semua bentuk pemikiran musuh-musuh Allah itu. Kembalilah kita pada Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai pegangan hidup kita. Jangan kita ber'tuhan'kan undang-undang yang dibuat oleh Yahudi dan Nasrani, walaupun 'orang kita' sendiri yang menjalankannya. Hanya Allah, Tuhan sekalian alam yang patut kita patuh.

"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik (ingkar)."
-surah Ali-Imran, ayat 110-

FOM Ads