Showing posts with label sedih. Show all posts
Showing posts with label sedih. Show all posts

Wednesday, July 22, 2009

Beruntungnya...

hi-bloom

InsyaAllah selepas lama tidak menulis blog, jadi saya kongsikan sedikit pengalaman, mungkin ada yang penah alami, tetapi suka untuk saya kongsikannya. =)

Sem baru ini saya tinggal ditempat baru, walaupun sebelumnya sedih dan risau apabila tak dapat tinggal dalam kolej induk. Alhamdulillah, suasananya berbeza dari apa yang disangka. Setiap kali hampir masuk waktu, pasti akan jelas kedengaran bacaan Al-Quran, kemudian azan yang menyeru kita kepada Allah, kedengaran di sekitar Kg Baru ini, membuatkan saya teringatkan suasana di Mekah, waktu umrah kecik-kecik dulu.

Satu kali selepas solat berjemaah, seperti biasa saya bersalam-salaman dengan saudara disebelah. Apabila saya toleh ke belakang, menghulurkan tangan untuk bersalam, saya tersentak melihat pakcik itu yang ketiadaan tangan kanannya. MasyaAllah.

Secara spontan, pakcik tu meletakkan tangan kirinya memegang tanganku. Sebak sangat waktu tu, siapa tak tersentuh melihat betapa baiknya pakcik itu, walaupun keadaannya kurang sempurna. Bersyukur sangat pada Allah, yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Tak dapat dibayangkan, bagaimana sukarnya hidup dalam serba kekurangan, untuk makan, untuk solat, apatah lagi untuk membuat kerja harian. Bersyukur sangat kita dilahirkan dalam keadaan yang serba serbi mencukupi.

"Sungguh, Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarrah (iaitu sesuatu yang terkecil dan teringan), dan jika ada kebajikan (sekecil zarrah), niscaya Allah akan melipat gandakannya, dan memberikan pahala yang besar dari sisi-Nya"
-surah An-Nisa', 4: 40-

Setiap kali pergi ke masjid selepas itu, saya jadi suka melihat pakcik tu. Gayanya bersahaja, jalan dengan penuh lemah lembut, membuatkan hati ini turut menjadi lembut. Kadang-kadang tertanya juga, kenapa Allah jadikan setiap kita ini berbeza-beza. Pasti ada sebabnya Allah jadikan seseorang itu begitu.

Jika semua manusia diciptakan sempurna, pasti kita akan lupa pada pencipta kita. Orang yang serba kekurangan, mereka sedar betapa kecil dan lemahnya diri ini. Bagi kita yang melihatnya, ianya sebagai peringatan kepada kita betapa beruntungnya kita. Alangkah zalimnya bagi mereka yang langsung tiada perasaan dan tidak bersyukur.

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azab-Ku sangat berat"
-surah Ibrahim, 14:7-

hi-bloom

Setiap yang kita lalui dalam kehidupan kita, pasti akan ada pengajaran dan peringatan kepada kita. Cuma semuanya bergantung pada kita, samada kita perasan atau membiarkannya tdak bermakna kepada kita. Jika setiap yang kita lalui itu dijadikan pengajaran, insyaAllah kita akan menjadi manusia yang berjaya, tabah melalui setiap ujian-ujian kehidupan.

Itulah tarbiyah dari Allah, yang kadang-kadang kita tidak perasan. Untuk menerimanya dengan baik, perlukan diri dan sikap yang sentiasa positif. Mereka yang suka berfikir, pasti akan mendapat pengajarannya, insyaAllah. Mereka itulah yang dikatakan Allah sebagai Ulul Albab.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi Ulul Albab (orang yang berakal).
Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), 'Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka"

-surah Ali-Imran, 3: 190,191-

Semoga dengan kisah yang serba ringkas ini bermanfaat buat rakan-rakan yang membaca. Setiap yang baik itu dari Allah, saya hanya berkongsikan apa yang tersimpan dihati. Moga kita tergolong dikalangan mereka yang beriman, insyaAllah. =)

Tuesday, June 30, 2009

Refleksi diri


Mengapa begitu mudah kita menyalahkan seseorang? Takdir? Setiap yang berlaku dalam hidup ini, begitu sukar untuk kita tunjukkan bahawa ianya disebabkan oleh diri kita sendiri. Kenapa??

Ramai orang yang tidak nampak apa kelemahannya, dan ada juga yang tidak mahu meletakkan kesalahan itu pada dirinya sendiri. Jika tiada orang yang boleh disalahkan, takdir pula menjadi mangsa. Itulah kita, manusia yang sungguh lemah, dan tidak mahu meletakkan diri dibawah.

"Sungguh, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh! Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah, dan apabila mendapat kebaikan, dia jadi kikir."
-surah Al-Ma'arij, 70: 19-21-

Setiap musibah, dan peristiwa buruk yang berlaku pada kita, merupakan ujian dari Allah. Jika kelemahan itu dapat kita kesan dan atasinya, merekalah yang berjaya dalam ujian itu. Tetapi, kita selalu tidak nampak kelemahan itu, dan disebabkan itu juga kita meletakkan kesalahan pada orang lain. Kita rasa sedih, kecewa.

"Dan mengapa kamu (hairan) ketika ditimpa musibah (kekalahan), padahal kamu telah menimpakan musibah dua kali ganda (kepada musuhmu), kamu berkata, "Dari mana datangnya kekalahan ini?" Katakanlah, "Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri." Sungguh, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
-surah Ali-Imran, 3: 165-

Begitu sekali Allah Taala ajarkan kepada kita, supaya meletakkan kelemahan itu pada diri kita sendiri. Kita tidak layak untuk menyalahkan orang lain, dan kita diajar untuk bermuhasabah. Renungkan, dan berfikir, 'dimanakah kesilapanku?', 'apa yang kurang pada diriku?', 'sudah cukup baikkah aku?'

"Kebaikan apa pun kamu peroleh, adalah dari sisi Allah, dan keburukan apa pun yang menimpamu, itu adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Kami mengutusmu (Muhammad) menjadi rasul kepada (seluruh) manusia. Dan cukuplah Allah yang menjadi saksi."
-surah An-Nisa, 4: 79-

Janganlah kita sombong dan berbangga diri, janganlah mudah menyalahkan orang lain. Marilah kita sama-sama refleks diri kita terlebih dahulu, muhasabah. InsyaAllah, jika benar kita mencari keredhaan Allah, kita akan dapat jawapannya.

"Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga terdekat dan jauh, rakan sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri."
-surah An-Nisa', 4: 37-

Friday, April 17, 2009

Hmm...sedihnya...

Satu demi satu ujian datang. Walaupun setahun, macam-macam yang ujian kita dapat, dan macam-macam pengakhiran yang kita dapat. Ada yang sedih, ada yang menggembirakan.

Walaupun sejauh mana kita merancang, menginginkan sesuatu, sejauh mana pun kita cuba mendapatkannya, tetapi akhirnya kita tidak dapat yang kita inginkan. Jika tiada iman, sudah tentu seseorang itu bunuh diri. Tetapi ini bukanlah pertama kali. Bila diingat balik, sejak kecil lagi ujian macam ini diberi.

“…tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”
–Al-Baqarah, ayat 216-

Tetapi alhamdulillah, kita tidak berjaya dalam sesuatu, Allah bagi peluang dalam bidang lain. Memang betullah apa yang Allah katakan. Cuma kadang-kadang, kita susah juga nak terima hakikat yang menyedihkan itu. Kita rasakan kita sudah cuba yang terbaik, tetapi kenapa kita diberi balasan begini, apa salah diri ini. Kadang-kadang terasa macam tidak berguna pun ada. Tetapi insyaAllah, ada hikmah disebalik kesusahan dan kehampaan yang kita terima.

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (suatu urusan), tetaplah bekerja keras. Dan hanya kepada Tuhanmulah kamu berharap” –Asy-syarh, ayat 5-8-

Dua kali Allah ulang dalam ayat diatas, bahawa setiap kesusahan pasti ada kesudahan yang menggembirakan. Walaupun benda yang kita lakukan itu tidak berjaya macam yang kita inginkan, Allah suruh kita untuk tetap bekerja keras. Kita harapkan benda yang kita lakukan ini akan mendapat balasan yang baik, mungkin lebih baik lagi, insyaAllah.

“Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak karunia-Nya. Dia memberikan kebaikan kepada siapa saja yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang”
–Yunus, ayat 107-

Subhanallah, Maha Suci Allah. Moga Allah sentiasa merahmati kita. Biarlah ianya tidak dipandang oleh orang disekeliling kita, tetapi Allah tetap tahu bahawa kita sedang mencari rahmat-Nya. Diri ini kadang-kadang, nak juga ada rasa dihargai oleh orang sekeliling kita, kadang-kadang nak lebih dari itu. Moga kita dapat buang pemikiran ini, dan terus buat kebaikan hanya untuk keredhaan-Nya.

Satu lagi yang buat kita sedih ialah bila kita rasa seperti keseorangan. Terutama apabila kita menjadi pemimpin. Kita lihat rakan-rakan gembira dengan hal masing-masing, tetapi kita dibelenggu macam-macam masalah. Walaupun kita buat untuk kebaikan mereka juga, tetapi kita terasa keseorangan. Ada juga yang nak tolong kita, yang sedar akan masalah kita, kadang-kadang kita terasa seperti tidak cukup juga, dan kadang kala kita terpaksa berlakon seperti tiada apa-apa yang berlaku. Biarlah mereka gembira, mungkin Allah akan bagi sesuatu yang lebih menggembirakan suatu hari nanti.

Alhamdulillah, walaupun perasaan itu ada, kita tetap tabah. Biarlah Al-Quran menjadi peneman kita. Diri ini ingin sangat untuk merasakan kehadiran-Nya, walaupun kita tidak dapat melihatnya lagi.

“Inilah (Al-Quran) suatu keterangan yang jelas untuk semua manusia, dan menjadi petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan janganlah kamu berasa lemah dan jangan bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu beriman” –Ali-Imran, ayat 138,139-

Sesungguhnya Allah sangat dekat dengan kita, tetapi mungkin iman ini masih tidak cukup kuat untuk sentiasa merasai-Nya. Sama-samalah kita berdoa, agar dikuatkan iman ini, sehingga apabila kita melihat alam ini, kita akan tersenyum melihat kehebatan-Nya. Diri ini ingin sangat untuk menjadi seperti itu. InsyaAllah. Sama-samalah kita mencari keredhaan-Nya dan teruskan perjalanan kita sebagai khalifah yang tabah.