Showing posts with label syukur. Show all posts
Showing posts with label syukur. Show all posts

Wednesday, July 22, 2009

Beruntungnya...

hi-bloom

InsyaAllah selepas lama tidak menulis blog, jadi saya kongsikan sedikit pengalaman, mungkin ada yang penah alami, tetapi suka untuk saya kongsikannya. =)

Sem baru ini saya tinggal ditempat baru, walaupun sebelumnya sedih dan risau apabila tak dapat tinggal dalam kolej induk. Alhamdulillah, suasananya berbeza dari apa yang disangka. Setiap kali hampir masuk waktu, pasti akan jelas kedengaran bacaan Al-Quran, kemudian azan yang menyeru kita kepada Allah, kedengaran di sekitar Kg Baru ini, membuatkan saya teringatkan suasana di Mekah, waktu umrah kecik-kecik dulu.

Satu kali selepas solat berjemaah, seperti biasa saya bersalam-salaman dengan saudara disebelah. Apabila saya toleh ke belakang, menghulurkan tangan untuk bersalam, saya tersentak melihat pakcik itu yang ketiadaan tangan kanannya. MasyaAllah.

Secara spontan, pakcik tu meletakkan tangan kirinya memegang tanganku. Sebak sangat waktu tu, siapa tak tersentuh melihat betapa baiknya pakcik itu, walaupun keadaannya kurang sempurna. Bersyukur sangat pada Allah, yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Tak dapat dibayangkan, bagaimana sukarnya hidup dalam serba kekurangan, untuk makan, untuk solat, apatah lagi untuk membuat kerja harian. Bersyukur sangat kita dilahirkan dalam keadaan yang serba serbi mencukupi.

"Sungguh, Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarrah (iaitu sesuatu yang terkecil dan teringan), dan jika ada kebajikan (sekecil zarrah), niscaya Allah akan melipat gandakannya, dan memberikan pahala yang besar dari sisi-Nya"
-surah An-Nisa', 4: 40-

Setiap kali pergi ke masjid selepas itu, saya jadi suka melihat pakcik tu. Gayanya bersahaja, jalan dengan penuh lemah lembut, membuatkan hati ini turut menjadi lembut. Kadang-kadang tertanya juga, kenapa Allah jadikan setiap kita ini berbeza-beza. Pasti ada sebabnya Allah jadikan seseorang itu begitu.

Jika semua manusia diciptakan sempurna, pasti kita akan lupa pada pencipta kita. Orang yang serba kekurangan, mereka sedar betapa kecil dan lemahnya diri ini. Bagi kita yang melihatnya, ianya sebagai peringatan kepada kita betapa beruntungnya kita. Alangkah zalimnya bagi mereka yang langsung tiada perasaan dan tidak bersyukur.

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azab-Ku sangat berat"
-surah Ibrahim, 14:7-

hi-bloom

Setiap yang kita lalui dalam kehidupan kita, pasti akan ada pengajaran dan peringatan kepada kita. Cuma semuanya bergantung pada kita, samada kita perasan atau membiarkannya tdak bermakna kepada kita. Jika setiap yang kita lalui itu dijadikan pengajaran, insyaAllah kita akan menjadi manusia yang berjaya, tabah melalui setiap ujian-ujian kehidupan.

Itulah tarbiyah dari Allah, yang kadang-kadang kita tidak perasan. Untuk menerimanya dengan baik, perlukan diri dan sikap yang sentiasa positif. Mereka yang suka berfikir, pasti akan mendapat pengajarannya, insyaAllah. Mereka itulah yang dikatakan Allah sebagai Ulul Albab.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi Ulul Albab (orang yang berakal).
Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), 'Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka"

-surah Ali-Imran, 3: 190,191-

Semoga dengan kisah yang serba ringkas ini bermanfaat buat rakan-rakan yang membaca. Setiap yang baik itu dari Allah, saya hanya berkongsikan apa yang tersimpan dihati. Moga kita tergolong dikalangan mereka yang beriman, insyaAllah. =)

Sunday, June 21, 2009

Teruskan memberi =)

hi-bloom

Dari Hakim bin Hizam r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda,
"Tangan yang di atas (memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (menerima atau meminta). Maka kerana itu, mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Siapa yang mohon dipelihara (agar dia tidak sampai meminta), Allah akan memeliharanya, dan siapa yang mohon dicukupkan (agar tidak bergantung pada orang lain), Allah akan mencukupkannya"
-Riwayat Imam Bukhari-

Allah menuntut hamba-Nya memberi daripada menerima mahupun meminta-minta. Secara tidak langsung, tuntutan hadis ini supaya kita berusaha dengan sendiri daripada meminta rezeki daripada orang lain. Walau susah bagaimana pun, teruskan berdoa dan meminta hanya pada Allah.

Kemudian Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya mulakan memberi sedekah kepada keluarga kita. Ini kerana ahli keluarga yang paling dekat dan mudah untuk kita membuat pahala bersedekah. Tuntutan ini juga, supaya kita tidak mengabaikan keluarga, tidak membiarkan mereka kesusahan. Kemudian barulah kita sedekahkan kepada saudara, rakan-rakan dan orang sekeliling.

Diajar lagi kepada kita, supaya kita memberi sedekah itu ketika kita senang. Ini secara tidak langsung supaya kita tidak lupa akan mereka yang susah, apatah lagi terhadap pemberi rezeki kita Yang Maha Agung, agar kita bersyukur.

Kemudian, apabila memberi itu, Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya memohon kebaikan daripada Allah. Minta perlindungan dijauhkan dari meminta dan kesusahan kelak, agar sentiasa dirahmati Allah Taala.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, ada seorang lelaki berkata, "Saya akan bersedekah."

Lalu ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan seorang pencuri. Orang ramai memperkatakan, "Ada pula orang bersedekah kepada pencuri."

Orang yang bersedekah itu berkata, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah."

Lalu ia keluar membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya kepada seorang perempuan pelacur. Orang ramai memperkatakan, "Semalam ada orang memberikan sedekah kepada wanita pelacur."

Orang itu berkata, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah."

Ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan orang kaya. Orang ramai memperkatakan pula, "Rupanya orang kaya pun menerima sedekah juga."

Kata orang yang memberi sedekah, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya berikan sedekah saya kepada pencuri, kepada wanita pelacur, dan kepada orang kaya."

Kemudian ia bermimpi. Rasanya ada malaikat yang mengatakan kepadanya, "Sedekah engkau kepada pencuri, semoga menyebabkan ia berhenti mencuri. Sedekah engkau kepada pelacur, semoga menyebabkan ia berhenti melacur. Dan sedekah engkau kepada orang kaya, semoga menyedarkannya dan mendorongnya untuk menafkahkan apa yang diberikan Allah kepadanya."

-Riwayat Imam Bukhari-

Bersedekahlah kepada mereka yang baik mahupun tidak, dan teruskanlah berbuat baik dan jangan berputus asa. Semoga sedekah itu akan memberikan kebaikan kepada mereka, dan Allah akan membalas setiap kebaikan itu, insyaAllah.

Selamat Ber'amal!!! =)

Monday, June 8, 2009

Apa yang ada.....

...kita bersyukurlah. Tidak semua yang kita ada, orang lain ada. Tetapi kadang-kadang kita terlupa akan nikmat-nikmat yang kita dapat, dan masih inginkan yang lebih baik lagi dari itu.

Sesetengah orang masih merasakan dirinya tak cukup cantik, belum cukup mewah dengan kekayaan dunia. Sehingga ada yang sanggup suntik, buat pembedahan untuk mendapatkan wajah yang diidamkan. Sedangkan Allah telah memberi yang sebaik-baiknya, walaupun lain dari orang lain.

"dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu"
-surah At-Talaq 65: ayat 3-

Ada juga yang sentiasa merasakan tidak cukup dengan rezeki dan kesenangan yang diberi. Apabila melihatkan orang lain lebih darinya, ada yang sanggup berlumba-lumba. Persaingan katanya, tetapi di hati terdapat iri hati dan perasaan kurang senang melihat kelebihan orang.

"Sungguh, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah, dan apabila mendapat kebaikan, dia jadi kikir"
-surah Al-Ma'arij 70: ayat 19-21-

Siapakah kita? Perlukah kita berbangga dengan kenikmatan dunia, yang hanya dipandang oleh mata manusia. Sedarkah kita ini diciptakan, oleh Yang Maha Esa, yang mana kita sering lupakan-Nya apabila sibuk dengan urusan dunia.

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, agar kamu bersyukur"
-surah An-Nahl 16: ayat 78-

Agar kamu bersyukur, itu yang dikatakan Allah dalam Al-Quran yang suci. Jika kita fikir-fikir kembali, masih terdapat saudara kita yang tidak dapat mendengar, ada yang tidak dapat melihat, tetapi kita kadang-kadang masih susah nak rasakan kesyukuran itu. Mungkin kita masih belum cukup dididik untuk bersyukur atas setiap yang ada.

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat"
-surah Ibrahim 14: ayat 7-

MasyaAllah, sekali lagi peringatan dari Allah buat kita. Betapa beratnya azab Allah, apabila kita kufur dengan nikmat yang diberi-Nya. Moga kita dijauhkan dari kemurkaan Allah.

Marilah kita sama-sama bersyukur dengan segala apa yang kita ada, walaupun sekecil-kecil zarah. Sama-sama kita tunduk, sujud kepada Allah atas setiap kesenangan yang kita perolehi, walaupun tidak sebaik orang lain. InsyaAllah, setiap kali kita berdoa kepada-Nya, Allah akan beri yang lebih baik, dari bentuk yang kita tak sangka-sangka. =)