Wednesday, July 22, 2009

Beruntungnya...

hi-bloom

InsyaAllah selepas lama tidak menulis blog, jadi saya kongsikan sedikit pengalaman, mungkin ada yang penah alami, tetapi suka untuk saya kongsikannya. =)

Sem baru ini saya tinggal ditempat baru, walaupun sebelumnya sedih dan risau apabila tak dapat tinggal dalam kolej induk. Alhamdulillah, suasananya berbeza dari apa yang disangka. Setiap kali hampir masuk waktu, pasti akan jelas kedengaran bacaan Al-Quran, kemudian azan yang menyeru kita kepada Allah, kedengaran di sekitar Kg Baru ini, membuatkan saya teringatkan suasana di Mekah, waktu umrah kecik-kecik dulu.

Satu kali selepas solat berjemaah, seperti biasa saya bersalam-salaman dengan saudara disebelah. Apabila saya toleh ke belakang, menghulurkan tangan untuk bersalam, saya tersentak melihat pakcik itu yang ketiadaan tangan kanannya. MasyaAllah.

Secara spontan, pakcik tu meletakkan tangan kirinya memegang tanganku. Sebak sangat waktu tu, siapa tak tersentuh melihat betapa baiknya pakcik itu, walaupun keadaannya kurang sempurna. Bersyukur sangat pada Allah, yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Tak dapat dibayangkan, bagaimana sukarnya hidup dalam serba kekurangan, untuk makan, untuk solat, apatah lagi untuk membuat kerja harian. Bersyukur sangat kita dilahirkan dalam keadaan yang serba serbi mencukupi.

"Sungguh, Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarrah (iaitu sesuatu yang terkecil dan teringan), dan jika ada kebajikan (sekecil zarrah), niscaya Allah akan melipat gandakannya, dan memberikan pahala yang besar dari sisi-Nya"
-surah An-Nisa', 4: 40-

Setiap kali pergi ke masjid selepas itu, saya jadi suka melihat pakcik tu. Gayanya bersahaja, jalan dengan penuh lemah lembut, membuatkan hati ini turut menjadi lembut. Kadang-kadang tertanya juga, kenapa Allah jadikan setiap kita ini berbeza-beza. Pasti ada sebabnya Allah jadikan seseorang itu begitu.

Jika semua manusia diciptakan sempurna, pasti kita akan lupa pada pencipta kita. Orang yang serba kekurangan, mereka sedar betapa kecil dan lemahnya diri ini. Bagi kita yang melihatnya, ianya sebagai peringatan kepada kita betapa beruntungnya kita. Alangkah zalimnya bagi mereka yang langsung tiada perasaan dan tidak bersyukur.

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azab-Ku sangat berat"
-surah Ibrahim, 14:7-

hi-bloom

Setiap yang kita lalui dalam kehidupan kita, pasti akan ada pengajaran dan peringatan kepada kita. Cuma semuanya bergantung pada kita, samada kita perasan atau membiarkannya tdak bermakna kepada kita. Jika setiap yang kita lalui itu dijadikan pengajaran, insyaAllah kita akan menjadi manusia yang berjaya, tabah melalui setiap ujian-ujian kehidupan.

Itulah tarbiyah dari Allah, yang kadang-kadang kita tidak perasan. Untuk menerimanya dengan baik, perlukan diri dan sikap yang sentiasa positif. Mereka yang suka berfikir, pasti akan mendapat pengajarannya, insyaAllah. Mereka itulah yang dikatakan Allah sebagai Ulul Albab.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi Ulul Albab (orang yang berakal).
Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), 'Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka"

-surah Ali-Imran, 3: 190,191-

Semoga dengan kisah yang serba ringkas ini bermanfaat buat rakan-rakan yang membaca. Setiap yang baik itu dari Allah, saya hanya berkongsikan apa yang tersimpan dihati. Moga kita tergolong dikalangan mereka yang beriman, insyaAllah. =)

Wednesday, July 8, 2009

Bisikan.....

hi-bloom

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya, dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa meliputi PengetahuanNya.

Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikiran."

-surah Al-Baqarah, 2: 268,269-

InsyaAllah saya kongsikan mengenai tafsir yang saya petik daripada Tafsir Al-Munir oleh Dr. Wahbah Al-Zuhaily. Semoga rakan-rakan dapat meluangkan masa sedikit, sebagai peringatan kepada kita agar tidak terlalai dengan kehidupan di dunia ini.

Sejak dari awal kejadian manusia lagi, syaitan merupakan musuh yang nyata. Syaitan telah bersumpah untuk menyesatkan kaum manusia.

"Iblis berkata: Demi kekuasaanMu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan."
-surah Sad, 38: 82-83-

Seperti petikan surah Al-Baqarah diatas, Allah menceritakan bagaimana syaitan itu menimbulkan perasaan was-was dan keraguan pada diri manusia, dengan menakutkan mereka kepada kefakiran dan kemiskinan. Ia inginkan agar manusia tidak menginfakkan hartanya untuk kebaikan, menyuruh agar kita menjadi bakhil dan kedekut.

Menerusi riwayat Ibn Abi Hatim, daripada Abdullah bin Mas'ud katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sesungguhnya terdapat bisikan daripada syaitan yang terlintas di hati anak Adam, dan juga terdapat bisikan daripada malaikat.

Bisikan syaitan itu menjanjikan tentang kejahatan dan mendustakan kebenaran, manakala bisikan malaikat menjanjikan kejahatan dan mendustakan kebenaran.

Sesiapa yang mendapati perkara tersebut, ketahuilah bahawa ia adalah daripada Allah, maka ucapkanlah puji-pujian kepada Allah. Sesiapa yang mendapati hal sebaliknya, mintalah perlindungan daripada syaitan. Kemudian baginda membacakan firman Allah dari surah Al-Baqarah ayat 268 di atas."


Pada ayat 269, Allah Taala khabarkan tentang hikmah yang diberikan kepada hambaNya yang Dia kehendaki. Hikmah yang dimaksudkan itu merupakan ilmu, kefahaman dan Al-Quran. Hal ini membimbing manusia agar dapat membezakan antara hakikat dan bayangan, was-was dan ilham. Wahana hikmah ialah akal.

Sesiapa yang diberikan taufik oleh Allah Taala akan mendapat ilmu yang bermanfaat, disamping membimbingnya mendapat hidayah akal. Ini bererti ia mendapat petunjuk kepada dua jenis kebaikan, iaitu kebaikan di dunia dan di akhirat. Malah, ia juga lebih memahami hakikat yang benar.

Diriwayatkan daripada Ibn Mas'ud katanya, Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Tiada hasad melainkan pada dua: Seorang hamba yang Allah berikan harta, lalu ia menggunakan dan membelanjakan di jalan yang benar, dan juga orang yang Allah berikan hikmah kepadanya, lalu ia menggunakannya untuk membuat ketetapan dan mengajar"

Jadi, sama-samalah kita renungkan dan berhati-hati agar kita tidak tergoda dengan bisikan syaitan. Marilah kita sama-sama berdoa, teruskan buat kebaikan, agar diberikan hikmah yang Allah janjikan itu. =)