Wednesday, July 22, 2009

Beruntungnya...

hi-bloom

InsyaAllah selepas lama tidak menulis blog, jadi saya kongsikan sedikit pengalaman, mungkin ada yang penah alami, tetapi suka untuk saya kongsikannya. =)

Sem baru ini saya tinggal ditempat baru, walaupun sebelumnya sedih dan risau apabila tak dapat tinggal dalam kolej induk. Alhamdulillah, suasananya berbeza dari apa yang disangka. Setiap kali hampir masuk waktu, pasti akan jelas kedengaran bacaan Al-Quran, kemudian azan yang menyeru kita kepada Allah, kedengaran di sekitar Kg Baru ini, membuatkan saya teringatkan suasana di Mekah, waktu umrah kecik-kecik dulu.

Satu kali selepas solat berjemaah, seperti biasa saya bersalam-salaman dengan saudara disebelah. Apabila saya toleh ke belakang, menghulurkan tangan untuk bersalam, saya tersentak melihat pakcik itu yang ketiadaan tangan kanannya. MasyaAllah.

Secara spontan, pakcik tu meletakkan tangan kirinya memegang tanganku. Sebak sangat waktu tu, siapa tak tersentuh melihat betapa baiknya pakcik itu, walaupun keadaannya kurang sempurna. Bersyukur sangat pada Allah, yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Tak dapat dibayangkan, bagaimana sukarnya hidup dalam serba kekurangan, untuk makan, untuk solat, apatah lagi untuk membuat kerja harian. Bersyukur sangat kita dilahirkan dalam keadaan yang serba serbi mencukupi.

"Sungguh, Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarrah (iaitu sesuatu yang terkecil dan teringan), dan jika ada kebajikan (sekecil zarrah), niscaya Allah akan melipat gandakannya, dan memberikan pahala yang besar dari sisi-Nya"
-surah An-Nisa', 4: 40-

Setiap kali pergi ke masjid selepas itu, saya jadi suka melihat pakcik tu. Gayanya bersahaja, jalan dengan penuh lemah lembut, membuatkan hati ini turut menjadi lembut. Kadang-kadang tertanya juga, kenapa Allah jadikan setiap kita ini berbeza-beza. Pasti ada sebabnya Allah jadikan seseorang itu begitu.

Jika semua manusia diciptakan sempurna, pasti kita akan lupa pada pencipta kita. Orang yang serba kekurangan, mereka sedar betapa kecil dan lemahnya diri ini. Bagi kita yang melihatnya, ianya sebagai peringatan kepada kita betapa beruntungnya kita. Alangkah zalimnya bagi mereka yang langsung tiada perasaan dan tidak bersyukur.

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azab-Ku sangat berat"
-surah Ibrahim, 14:7-

hi-bloom

Setiap yang kita lalui dalam kehidupan kita, pasti akan ada pengajaran dan peringatan kepada kita. Cuma semuanya bergantung pada kita, samada kita perasan atau membiarkannya tdak bermakna kepada kita. Jika setiap yang kita lalui itu dijadikan pengajaran, insyaAllah kita akan menjadi manusia yang berjaya, tabah melalui setiap ujian-ujian kehidupan.

Itulah tarbiyah dari Allah, yang kadang-kadang kita tidak perasan. Untuk menerimanya dengan baik, perlukan diri dan sikap yang sentiasa positif. Mereka yang suka berfikir, pasti akan mendapat pengajarannya, insyaAllah. Mereka itulah yang dikatakan Allah sebagai Ulul Albab.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi Ulul Albab (orang yang berakal).
Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), 'Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka"

-surah Ali-Imran, 3: 190,191-

Semoga dengan kisah yang serba ringkas ini bermanfaat buat rakan-rakan yang membaca. Setiap yang baik itu dari Allah, saya hanya berkongsikan apa yang tersimpan dihati. Moga kita tergolong dikalangan mereka yang beriman, insyaAllah. =)

Wednesday, July 8, 2009

Bisikan.....

hi-bloom

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya, dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa meliputi PengetahuanNya.

Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikiran."

-surah Al-Baqarah, 2: 268,269-

InsyaAllah saya kongsikan mengenai tafsir yang saya petik daripada Tafsir Al-Munir oleh Dr. Wahbah Al-Zuhaily. Semoga rakan-rakan dapat meluangkan masa sedikit, sebagai peringatan kepada kita agar tidak terlalai dengan kehidupan di dunia ini.

Sejak dari awal kejadian manusia lagi, syaitan merupakan musuh yang nyata. Syaitan telah bersumpah untuk menyesatkan kaum manusia.

"Iblis berkata: Demi kekuasaanMu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan."
-surah Sad, 38: 82-83-

Seperti petikan surah Al-Baqarah diatas, Allah menceritakan bagaimana syaitan itu menimbulkan perasaan was-was dan keraguan pada diri manusia, dengan menakutkan mereka kepada kefakiran dan kemiskinan. Ia inginkan agar manusia tidak menginfakkan hartanya untuk kebaikan, menyuruh agar kita menjadi bakhil dan kedekut.

Menerusi riwayat Ibn Abi Hatim, daripada Abdullah bin Mas'ud katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sesungguhnya terdapat bisikan daripada syaitan yang terlintas di hati anak Adam, dan juga terdapat bisikan daripada malaikat.

Bisikan syaitan itu menjanjikan tentang kejahatan dan mendustakan kebenaran, manakala bisikan malaikat menjanjikan kejahatan dan mendustakan kebenaran.

Sesiapa yang mendapati perkara tersebut, ketahuilah bahawa ia adalah daripada Allah, maka ucapkanlah puji-pujian kepada Allah. Sesiapa yang mendapati hal sebaliknya, mintalah perlindungan daripada syaitan. Kemudian baginda membacakan firman Allah dari surah Al-Baqarah ayat 268 di atas."


Pada ayat 269, Allah Taala khabarkan tentang hikmah yang diberikan kepada hambaNya yang Dia kehendaki. Hikmah yang dimaksudkan itu merupakan ilmu, kefahaman dan Al-Quran. Hal ini membimbing manusia agar dapat membezakan antara hakikat dan bayangan, was-was dan ilham. Wahana hikmah ialah akal.

Sesiapa yang diberikan taufik oleh Allah Taala akan mendapat ilmu yang bermanfaat, disamping membimbingnya mendapat hidayah akal. Ini bererti ia mendapat petunjuk kepada dua jenis kebaikan, iaitu kebaikan di dunia dan di akhirat. Malah, ia juga lebih memahami hakikat yang benar.

Diriwayatkan daripada Ibn Mas'ud katanya, Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Tiada hasad melainkan pada dua: Seorang hamba yang Allah berikan harta, lalu ia menggunakan dan membelanjakan di jalan yang benar, dan juga orang yang Allah berikan hikmah kepadanya, lalu ia menggunakannya untuk membuat ketetapan dan mengajar"

Jadi, sama-samalah kita renungkan dan berhati-hati agar kita tidak tergoda dengan bisikan syaitan. Marilah kita sama-sama berdoa, teruskan buat kebaikan, agar diberikan hikmah yang Allah janjikan itu. =)

Tuesday, June 30, 2009

Refleksi diri


Mengapa begitu mudah kita menyalahkan seseorang? Takdir? Setiap yang berlaku dalam hidup ini, begitu sukar untuk kita tunjukkan bahawa ianya disebabkan oleh diri kita sendiri. Kenapa??

Ramai orang yang tidak nampak apa kelemahannya, dan ada juga yang tidak mahu meletakkan kesalahan itu pada dirinya sendiri. Jika tiada orang yang boleh disalahkan, takdir pula menjadi mangsa. Itulah kita, manusia yang sungguh lemah, dan tidak mahu meletakkan diri dibawah.

"Sungguh, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh! Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah, dan apabila mendapat kebaikan, dia jadi kikir."
-surah Al-Ma'arij, 70: 19-21-

Setiap musibah, dan peristiwa buruk yang berlaku pada kita, merupakan ujian dari Allah. Jika kelemahan itu dapat kita kesan dan atasinya, merekalah yang berjaya dalam ujian itu. Tetapi, kita selalu tidak nampak kelemahan itu, dan disebabkan itu juga kita meletakkan kesalahan pada orang lain. Kita rasa sedih, kecewa.

"Dan mengapa kamu (hairan) ketika ditimpa musibah (kekalahan), padahal kamu telah menimpakan musibah dua kali ganda (kepada musuhmu), kamu berkata, "Dari mana datangnya kekalahan ini?" Katakanlah, "Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri." Sungguh, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
-surah Ali-Imran, 3: 165-

Begitu sekali Allah Taala ajarkan kepada kita, supaya meletakkan kelemahan itu pada diri kita sendiri. Kita tidak layak untuk menyalahkan orang lain, dan kita diajar untuk bermuhasabah. Renungkan, dan berfikir, 'dimanakah kesilapanku?', 'apa yang kurang pada diriku?', 'sudah cukup baikkah aku?'

"Kebaikan apa pun kamu peroleh, adalah dari sisi Allah, dan keburukan apa pun yang menimpamu, itu adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Kami mengutusmu (Muhammad) menjadi rasul kepada (seluruh) manusia. Dan cukuplah Allah yang menjadi saksi."
-surah An-Nisa, 4: 79-

Janganlah kita sombong dan berbangga diri, janganlah mudah menyalahkan orang lain. Marilah kita sama-sama refleks diri kita terlebih dahulu, muhasabah. InsyaAllah, jika benar kita mencari keredhaan Allah, kita akan dapat jawapannya.

"Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga terdekat dan jauh, rakan sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri."
-surah An-Nisa', 4: 37-

Sunday, June 21, 2009

Teruskan memberi =)

hi-bloom

Dari Hakim bin Hizam r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda,
"Tangan yang di atas (memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (menerima atau meminta). Maka kerana itu, mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Siapa yang mohon dipelihara (agar dia tidak sampai meminta), Allah akan memeliharanya, dan siapa yang mohon dicukupkan (agar tidak bergantung pada orang lain), Allah akan mencukupkannya"
-Riwayat Imam Bukhari-

Allah menuntut hamba-Nya memberi daripada menerima mahupun meminta-minta. Secara tidak langsung, tuntutan hadis ini supaya kita berusaha dengan sendiri daripada meminta rezeki daripada orang lain. Walau susah bagaimana pun, teruskan berdoa dan meminta hanya pada Allah.

Kemudian Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya mulakan memberi sedekah kepada keluarga kita. Ini kerana ahli keluarga yang paling dekat dan mudah untuk kita membuat pahala bersedekah. Tuntutan ini juga, supaya kita tidak mengabaikan keluarga, tidak membiarkan mereka kesusahan. Kemudian barulah kita sedekahkan kepada saudara, rakan-rakan dan orang sekeliling.

Diajar lagi kepada kita, supaya kita memberi sedekah itu ketika kita senang. Ini secara tidak langsung supaya kita tidak lupa akan mereka yang susah, apatah lagi terhadap pemberi rezeki kita Yang Maha Agung, agar kita bersyukur.

Kemudian, apabila memberi itu, Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya memohon kebaikan daripada Allah. Minta perlindungan dijauhkan dari meminta dan kesusahan kelak, agar sentiasa dirahmati Allah Taala.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, ada seorang lelaki berkata, "Saya akan bersedekah."

Lalu ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan seorang pencuri. Orang ramai memperkatakan, "Ada pula orang bersedekah kepada pencuri."

Orang yang bersedekah itu berkata, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah."

Lalu ia keluar membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya kepada seorang perempuan pelacur. Orang ramai memperkatakan, "Semalam ada orang memberikan sedekah kepada wanita pelacur."

Orang itu berkata, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah."

Ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan orang kaya. Orang ramai memperkatakan pula, "Rupanya orang kaya pun menerima sedekah juga."

Kata orang yang memberi sedekah, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya berikan sedekah saya kepada pencuri, kepada wanita pelacur, dan kepada orang kaya."

Kemudian ia bermimpi. Rasanya ada malaikat yang mengatakan kepadanya, "Sedekah engkau kepada pencuri, semoga menyebabkan ia berhenti mencuri. Sedekah engkau kepada pelacur, semoga menyebabkan ia berhenti melacur. Dan sedekah engkau kepada orang kaya, semoga menyedarkannya dan mendorongnya untuk menafkahkan apa yang diberikan Allah kepadanya."

-Riwayat Imam Bukhari-

Bersedekahlah kepada mereka yang baik mahupun tidak, dan teruskanlah berbuat baik dan jangan berputus asa. Semoga sedekah itu akan memberikan kebaikan kepada mereka, dan Allah akan membalas setiap kebaikan itu, insyaAllah.

Selamat Ber'amal!!! =)

Saturday, June 20, 2009

Blog baru..

Alhamdulillah, untuk kawan-kawan pembaca dan follower, saya dah buat satu blog baru.
Blog baru itu saya khususkan pada perubatan, terutamanya perubatan alternatif. InsyaAllah, niat asalnya untuk berkongsikan ilmu yang tak seberapa, agar dapat bermanfaat kepada kawan-kawan.

Tergerak hati untuk membuat blog baru ini disebabkan ramai yang kurang kesedaran mengenai pentingnya menjaga kesihatan waktu muda ini, sebelum ditimpa penyakit dan musibah. Memang semuanya ketentuan Allah Taala, tapi kita sebagai hamba-Nya turut perlu menjaga jasad yang dipinjamkan ini, apatah lagi dalam menghadapi hidup yang penuh dengan ujian-ujian.

Saya akui, orang-orang yang saya kenal pun ada yang sudah jatuh sakit. Tapi sayangnya, dalam usia yang muda sudah mendapat kanser, ketumbuhan. Kebanyakannya disebabkan tidak tahu, kadang-kadang tidak mahu ambil tahu. Jadi saya harapkan, dengan perkongsian ilmu itu, dapat kita lebih berhati-hati, insyaAllah. Perubatan alternatif ini bukan bulat-bulat untuk tidak menyokong perubatan moden, tapi sebagai alternatif lain. Mungkin jika ikut perubatan moden, kita perlu buang ketumbuhan itu, perlu 'suppress' dan matikan sel itu, tapi ada juga alternatif lain, iaitu kita merawat secara perlahan-lahan dengan membetulkan sel-sel tersebut.

Alhamdulillah, walaupun masih belajar untuk menjadi doktor, apa salahnya jika saya kongsikan ilmu kepada orang lain. Setiap orang ada kelebihan masing-masing. Jadi apa yang saya tahu, saya kongsikan kepada kawan-kawan, insyaAllah kerana Allah Taala. Saya berharap niat saya ini tidak berubah, dan terus-menerus menyampaikan yang benda baik.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda, "Bagi setiap penyakit yang diturunkan Allah, ada ubat yang juga diturunkan-Nya"
-riwayat Imam Bukhari-

http://munir0813.blogspot.com/