Thursday, July 29, 2010

Penghuni syurga yang terakhir


InsyaAllah, setelah lama menyepi daripada menulis, saya akan cuba untuk meneruskan usaha perkongsian ilmu ini semula. Semoga Allah berikan kekuatan kepada diri ini, dan terima kasih buat rakan-rakan yang banyak membantu. Untuk post kali ini, saya ingin berkongsi satu hadis sahih riwayat Imam Muslim. InsyaAllah, sama-samalah kita ambil pengajaran dan peringatan yang berguna. =)

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah menceritakan kepada para sahabat mengenai keadaan di hari kiamat kelak. Selepas Allah selesai menghukumi hamba-hambaNya , Dia mengeluarkan orang yang dikehendakiNya dari penghuni neraka. Dia memerintahkan para malaikat agar mengeluarkan penghuni neraka yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, iaitu orang yang mengucapkan 'la ilaha illallah".

Setelah Allah selesai menghakimi para hambaNya, tinggal seorang sedang menghadap ke neraka dan dia adalah calon penghuni syurga yang masuk paling akhir. Lalu ia berkata, "Wahai Tuhanku. Palingkanlah wajahku dari neraka, kerana wap neraka meracuniku dan getaran apinya membakarku." Orang itu memohon kepada Allah dengan doa yang Allah kehendaki.

Kemudian Allah bertanya kepadanya, "Jika Aku kabulkan permintaanmu itu, apakah kamu ingin meminta yang lainnya?" Orang itu menjawab, "Tidak, aku tidak meminta kepadaMu yang lainnya." Kemudian Allah memberinya apa yang dikehendakinya dengan berpegang pada janjinya, lalu Allah memalingkannya dari neraka.

Maka tatkala orang itu sampai disyurga dan melihatnya, atas izin Allah ia terdiam, lalu berkata, "Wahai Tuhanku! Dekatkanlah saya ke pintu syurga." Allah berseru kepadanya, "Tidakkah kamu telah memberikan janji untuk tidak meminta kembali kepadaKu selain apa yang telah Aku berikan kepadamu? Celakalah kamu wahai Manusia, mengapa kamu mengingkari janji?"

Kemudian orang itu berkata, "Wahai Tuhanku..." dan orang itu memohon kepada Allah sehingga Allah berfirman, "Jika Aku mengabulkan permintaanmu, apakah kamu ingin meminta yang lain?" Orang itu menjawab, "Demi keagunganMu, aku tidak meminta yang lainnya." Maka Allah memberikan orang itu apa yang dia kehendaki dengan janjinya, dan mendekatkannya ke pintu syurga.

Ketika ia berdiri dipintu syurga, telah nampak dihadapannya keluasan syurga, ia menyaksikan kenikmatan dan kebahagiaan didalam syurga. Lalu atas kehendak Allah ia terdiam, kemudian berkata, "Ya Tuhanku! Masukkanlah saya ke dalam syurga."

Kemudian Allah berseru padanya, "Tidakkah kamu telah berjanji untuk tidak meminta selain apa yang telah Aku berikan padamu? Celakalah kamu manusia, mengapa mengingkari janji?" Kemudian orang itu berkata,"Ya Tuhan, saya bukanlah makhlukMu yang paling celaka."

Orang itu selalu berdoa kepada Allah sehingga Allah tertawa kerananya, dan ketika Allah tertawa, Allah berseru, "Masuklah kamu ke syurga." Ketika orang itu masuk ke syurga, Allah berseru kepadanya, "Berharaplah", kemudian orang itu meminta kepada Allah dan berharap.

Kata Abu Hurairah, "Orang itulah penghuni syurga yang masuk paling akhir."
-Muslim, 1/112-114-


Sebagai hamba Allah yang lemah, kita sememangnya disuruh agar memperbanyakkan berdoa kepada Allah, kerana hanya Dia yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Allah tetap mengasihi hambaNya, tidak menzalimi kita walau sedikit pun. Cuma kita yang selalu menzalimi diri kita sendiri.

Perlu kita ingat, bahawa berdoa dan memohon kepada Allah itu tidak terhad dan tidak boleh dihentikan sekalipun. Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menggambarkan, bagaimana Allah tetap mengkabulkan doa hambaNya, sekalipun manusia tersebut berjanji untuk tidak meminta lagi. Maka, jangan sesekali kita berputus asa dalam memohon pertolongan Allah.

Jika kita dapat melihat keindahan syurga, pasti semua manusia akan menurut perintah Allah. Tetapi kita sering tertipu dan leka dengan 'keindahan dunia' yang sementara, yang terlalu sedikit jika dibandingkan dengan syurga Allah. Bagi kita yang beriman, sama-samalah kita tanamkan azam untuk mendapatkan syurga Allah, semoga dengan itu, kita sentiasa memperbaiki diri kita dari hari ke hari. =)