Tuesday, November 13, 2012

Jangan lupa

Apabila selalu dilupakan dengan urusan kehidupan kita di dunia ini, kita tidak ingat bahawa ada perkara penting yang perlu kita tekankan, iaitu bekalan di akhirat kelak. Jika mereka yang ada kefahaman pun mudah lupa, apatah lagi mereka yang telah hanyut dan tidak memahami tujuan kita diciptakan di muka bumi ini.

"Kami tidak menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada antara keduanya dengan bermain-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan haq, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Sesungguhnya hari keputusan (Kiamat) itu adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya,
iaitu hari yang seorang sahabat tidak dapat memberi manfaat kepada sahabat karibnya sedikit pun, dan mereka tidak akan mendapat pertolongan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Allah.
Sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang."

-surah Ad-Dukhan, ayat 38-42-

Dalam ayat 38 dan 39 di atas, Allah mengajar manusia untuk mentadaburi apa yang ada dalam penciptakan langit dan bumi. Melihat keindahan, keajaiban dan mengkaji ciptaanNya. Jika manusia benar-benar memahami setiap kejadian Allah, pasti mereka mendapati bahawa setiap kejadianNya mempunyai tujuan, bukan sia-sia.

Begitu juga dengan kita sebagai manusia, kita mempunyai tujuan yang jelas iaitu sebagai hambaNya, dimana setiap perlakuan kita dimuka bumi ini akan diperhitungkan dihadapan Allah kelak. Digambar oleh Allah dalam ayat diatas, bahawa saat perhitungan ini, sahabat yang sangat rapat pun tidak dapat membantu kita. Tiada lagi talian hayat ketika itu, melainkan amal-amal yang kita telah lakukan.

Maka ingatlah, jangan kita leka dan sia-siakan masa yang ada!

Korbankan keseronokan dan kesenangan yang ada untuk melakukan amal kebaikan.
Bantulah sahabat-sahabat, ahli keluarga dan mereka yang memerlukan. Saling menasihati dan bertegurlah agar semua hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni, kerana kita dijadikan untuk hidup bermasyarakat dan bukannya untuk mementingkan diri sendiri.

Ingatlah bahawa balasan di akhirat itu sangat menakutkan, seperti firman Allah dalam ayat berikutnya:
"Sesungguhnya pohon zaqqum itu makanan orang yang banyak berdosa. (Ia) seperti kotoran minyak yang mendidih di dalam perut, seperti mendidihnya air yang panas. 

'Peganglah dia kemudian seretlah dia ke tengah-tengah neraka. Kemudian tuangkanlah di atas kepadanya siksaan (dari) air yang amat panas. Rasakanlah, sesungguhnya kamu orang yang perkasa lagi mulia (didunia dahulu). Sesungguhnya ini adalah azab yang dahulu kamu meragu-ragukannya'."
-surah Ad-Dukhan, ayat 43-50-

Tuesday, August 7, 2012

Maki hamun

Apabila kita dimarah atau dimaki, apakah respon yang kita berikan? Jika ikut kata hati, sudah tentu kita akan marah orang tersebut, lagi-lagi dalam perkara yang tidak patut berlaku. Tetapi jika ikut kata iman, kita akan bersabar dan membalas dengan senyuman.

Allah berfirman dalam surah An-Nisa, ayat 148, maksudnya:
"Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang, kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui."

Dalam tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Abbas mengatakan bahawa Allah memberikan keringanan kepada orang yang dizalimi untuk mendoakan keburukan kepada orang tersebut. Jika ia bersabar, maka itu lebih baik baginya.

Dalam hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Dua orang yang saling mencela, maka dosanya ditanggung oleh orang yang memulainya, selama orang yang dizalimi tidak melampaui batas."
(lafaz hadis ini juga terdapat dalam Sahih Muslim)

Hadis ini menunjukkan dengan jelas bahawa orang yang memulai sesuatu perbalahan atau celaan itu akan menanggung dosa. Manakala orang yang dicela itu dibolehkan membalas, tetapi tidak boleh melampaui batas. Contohnya orang mengutuk kita dengan kata-kata, maka tidak boleh kita membalas dengan menampar mukanya, tetapi cukuplah hanya dengan kata-kata juga. 

"Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Mahakuasa"
-surah An-Nisa, ayat 149-


Kesimpulannya, membalas dengan kebaikan itu lebih mulia disisi Allah. Allah bersifat Maha Pemaaf, dan Dia memaafkan setiap kesalahan yang kita lakukan. Maka begitu juga dengan kita, perlu ada sifat kasih sayang dan mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain. ^^

"Tidak akan berkurang harta kerana sedekah. Dan Allah tidaklah menambahkan kepada seorang hamba yang memberikan maaf, kecuali kemuliaan. Dan barangsiapa yang merendahkan diri kepada Allah, nescaya Allah akan mengangkatnya."
-hadis riwayat Muslim-

Thursday, May 10, 2012

Kisah Musyrik yang kaya & Muslim yang miskin

Assalamualaikum.
Untuk post kali ini saya cuba kongsikan satu kisah yang diceritakan oleh Allah dalam surah Al-Kahfi, buat hamba-hambaNya yang beriman. Sama-sama kita fahami, kutip pengajaran-pengajarannya dan amalkan dalam kehidupan kita, insyaAllah.


Dan berikanlah kepada mereka (orang mukmin & orang kafir) sebuah perumpamaan dua orang lelaki, Kami jadikan bagi seorang di antara keduanya (yang kafir) dua buah kebun anggur, dan Kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon kurma, dan di antara kedua kebun itu Kami buatkan ladang.

Kedua-dua buah kebun itu menghasilkan buahnya, dan kebun itu tidak berkurang buahnya sedikit pun, dan Kami alirkan sungai di celah-celah kedua kebun itu.

Dan dia (orang kafir) mempunyai kekayaan besar, maka ia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika bercakap-cakap dengan dia:
"Hartaku lebih banyak daripada hartamu, dan pengikut-pengikutku lebih kuat."

Dan dia (orang kafir) memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri (kerana keangkuhan & kekafirannya). Ia berkata:
"Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya, dan aku kira hari Kiamat itu tidak akan datang, dan sekiranya aku dikembalikan kepada Rabb-ku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu."

Kawannya (yang mukmin) berkata kepadanya sambil bercakap-cakap dengannya:
"Apakah kamu ingkar kepada (Rabb) yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani, lalu Dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna? Tetapi aku (percaya bahawa) Dialah Allah, Rabb-ku, dan aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Rabb-ku.

Dan mengapa kamu tidak mengatakan ketika kamu memasuki kebunmu: 'masya-Allah, laa quwwata illaa billah' (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah), sekalipun kamu anggap aku lebih sedikit (yakni kurang) darimu dalam hal harta dan keturunan.

Maka mudah-mudahan Rabb-ku akan memberikan kepadaku (kebun) yang lebih baik dari kebunmu (ini), dan Dia mengirimkan hujan dari langit, sehingga (kebun itu) menjadi tanah yang licin, atau airnya menjadi surut ke dalam tanah, maka engkau tidak akan dapat menemukannya lagi."

Dan harta kekayaannya dibinasakan, lalu ia (orang kafir) membolak-balik kedua tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang ia telah belanjakan untuk itu, sedang pohon anggur itu roboh bersama para-paranya, dan dia berkata:
"Aduhai kiranya dulu aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Rabb-ku."

Dan tidak ada (lagi) baginya segolongan pun yang akan menolongnya selain Allah, dan sekali-kali ia tidak dapat membela dirinya. Di sana (akhirat), kepatuhan itu hanya bagi Allah Yang Maha Benar. Dia adalah sebaik-baik Pemberi pahala dan sebaik-baik Pemberi balasan.

-surah Al-Kahfi, ayat 32-44-


Semoga bermanfaat, walaupun sekadar menyalin daripada tafsir Al-Quran. ^^

"Dan sesungguhnya Kami telah menjelaskan berulang-ulang kepada manusia  dalam Al-Quran ini dengan bermacam-macam perumpamaan. Tetapi manusia memang yang paling banyak membantah"
-surah Al-Kahfi, ayat 54-

Friday, April 6, 2012

Was-was

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah kerana masih memberi peluang untuk diri ini terus menulis. InsyaAllah untuk post kali ini, saya akan kongsikan sedikit ilmu, yang ada hubungkaitnya dengan apa yang saya pelajari sebagai pelajar perubatan. Sama-sama kita ambil manfaat.

Was-was, atau ragu-ragu dalam apa yang dilakukan, merupakan penyakit yang selalu mengganggu masyarakat kita. Antara perkara yang selalu dikaitkan dengan was-was adalah ketika ibadah, seperti takbiratul ihram beberapa kali kerana tidak yakin dengan niat yang dilafazkan. Lebih merbahaya apabila was-was ini melibatkan akidah seorang Muslim.

Sebagaimana hadis riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Syaitan akan datang kepada seseorang, lalu berkata, 'Siapa yang menjadikan ini? Siapa yang menjadikan itu?' sampai ia berkata, 'Siapa yang menjadikan Tuhanmu?' Apabila sampai pada pertanyaan demikian, hendaklah orang itu mohon perlindungan kepada Tuhan, dan hendaklah berhenti memikirkannya."
-riwayat Bukhari & Muslim-

Was-was tidak menunjukkan kekurangan iman seseorang, malah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang Allah kehendaki. Syaitan berusaha untuk merosakkan manusia dengan menimbulkan rasa was-was, agar mereka tersesat dari jalan yang benar. Maka amat penting bagi orang beriman untuk melawan rasa was-was dengan sebaik mungkin.

Antara perkara yang boleh kita lakukan untuk mengatasi was-was:
1) Berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan

"Maka apabila engkau hendak membaca Al-Quran,
mohonlah perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk.
Sungguh, syaitan itu tidak akan berpengaruh
terhadap orang yang beriman dan bertawakal kepada Allah"
-surah An-Nahl, ayat 98,99-

2) Berhenti melayani perasaan was-was

Sebagaimana yang diterangkan dalam hadis diatas, Rasulullah s.a.w. mengajar supaya kita berhenti memikirkan perkara tersebut. Kita perlu cuba menyibukkan diri dengan perkara lain seperti contoh berzikir, istighfar, membuat kerja-kerja yang bermanfaat.

3) Menuntut ilmu

Perkara yang ditimbulkan oleh perasaan was-was juga boleh terjadi disebabkan kurangnya ilmu, terutamanya yang berkaitan dengan akidah dan ibadah. Perbanyakkanlah belajar dengan membaca buku-buku, mendengar ceramah/kuliyah, dan bertanya kepada mereka yang lebih arif dan alim berkenaannya. Bukan sahaja untuk ilmu agama, malah berkaitan ilmu-ilmu lain juga.

4) Membaca surah Al-Mu'awwidzatain

Al-Mu'awwidzatain adalah dua surah mohon perlindungan, iaitu surah al-Falaq dan surah an-Nas. Terdapat banyak hadis berkenaan keutamaan dua surah ini, antaranya hadis Uqbah bin Amir, dimana Rasulullah bersabda: "Wahai Uqbah, maukah kamu aku ajarkan dua surah yang termasuk dua surah terbaik yang dibaca oleh manusia?"

Aku (Uqbah) menjawab, "Tentu wahai Rasulullah." Lalu baginda membacakan untukku surah al-Falaq dan surah an-Nas. Kemudian tiba waktu solat, baginda menjadi imam lalu membaca kedua surah tersebut. Kemudian baginda lalu dihadapanku dan bersabda:

"Bagaimana pendapatmu wahai Uqbah?
Bacalah kedua surah tersebut ketika hendak tidur dan ketika bangun dari tidur"
-riwayat Ahmad, Daud & an-Nasai-

Jika perasaan was-was itu terlalu teruk, adalah penting untuk kita merujuk kepada pakar psikiatri. Penyakit ini dikenali sebagai 'Obsessive-Compulsive Disorder', iaitu keadaan dimana seseorang sering memikirkan tentang sesuatu berulang kali, tidak boleh berhenti walaupun telah mencuba, sehingga boleh mengganggu kerja dan kehidupannya (obsessive). Kadangkala ia dimanifestasikan dengan gerak laku fizikal (compulsive), seperti membasuh tangan berulang kali, menutup dan membuka suis lampu, memeriksa tombol pintu kerana dikhuatiri tidak dikunci.

Sesungguhnya berusaha untuk mengubati sesuatu masalah sangatlah dituntut, dan tidak patut seseorang menzalimi dirinya dengan membiarkan diri dibelenggu oleh was-was yang berterusan. Semoga apa yang dikongsikan ini bermanfaat buat semua sahabat yang membaca.Sebarang teguran dan tambahan idea sangat-sangat dituntut. Allahu'alam. ^^

Rujukan: "Isu-isu Fiqh Perubatan Semasa", Al-Syeikh Walid bin Rasyid Al-Su'aidan

Wednesday, March 28, 2012

Permudahkanlah Jalan Itu

Dari Abi Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang melapangkan dari orang mukmin 
kedukaan dunia, 
nescaya Allah akan melapangkan dia dari satu kedukaan 
dari segala kedukaan pada hari qiamat.
Dan barangsiapa yang memudahkan 
atas orang yang susah,
nescaya Allah akan memudahkan atasnya 
dalam dunia dan akhirat.
Dan barangsiapa menutupi rahsia seorang Islam,
nescaya Allah menutupinya 
dalam dunia dan akhirat.
Dan Allah selalu menolong hambaNya,
selama hambaNya itu dalam usaha 

menolong saudaranya.


Dan barangsiapa yang menjalani satu jalan 
untuk menuntut ilmu,
nescaya Allah mudahkan baginya 
satu jalan kepada syurga.
Dan tidak berhimpun satu kaum dalam satu rumah 

dari rumah-rumah Allah
untuk membaca kitab Allah 
dan mempelajarinya di antara mereka
melainkan diturunkan ke atas perhimpunan mereka itu 
ketenangan dan diliputi mereka itu oleh rahmat 
dan dilingkungi mereka itu oleh malaikat,
dan Allah menyebut mereka 
kepada orang yang berada di sisiNya.
Dan barangsiapa yang terlambat 

dengan dia amalannya,
tidaklah akan segera (naik) 
dengan dia nisabnya (keturunannya)."
-riwayat Bukhari dan Muslim (lafaz imam Muslim)-


Hadis ini merupakan hadis ke-36 daripada 40 hadis susunan Imam Nawawi. Terdapat 3 perkara utama yang Rasulullah s.a.w. ingin sampaikan dari hadis ini, dan suka untuk saya kongsikan agar dapat kita ambil pengajaran bersama.
  
1) Balasan kepada orang yang melapang, memudah & menutupi rahsia saudaranya

Jelas daripada hadis ini bahawa setiap amal kebaikan yang kita lakukan ke atas saudara kita, pasti akan dibalas mulia oleh Allah Taala. Walaupun kita terpaksa gadaikan sedikit masa, duit atau tenaga untuk menolong mereka, ianya akan menjadi aset penting di akhirat kelak. Jangan sesekali kita rasa penat dan mengeluh, kerana Allah akan selalu menolong hambaNya selagi mana hambaNya itu menolong saudaranya.

2) Menempuh jalan menuntut ilmu

Ilmu tidak akan diperoleh melainkan kita berusaha untuk mendapatkannya, walaupun sekadar membaca dan mendengar dari orang lain. Apatah lagi bagi mereka yang terpaksa menempuh kesukaran untuk mendapatkan ilmu. Setiap kali dia bersabar dan berusaha, insyaAllah dia akan dipermudahkan ke syurga Allah kelak.

Turut disebut juga kebaikan dan keutamaan membaca alquran dan mempelajarinya. Dalam hadis ini dijelaskan empat kebaikan iaitu:
  • diturunkan ke atas mereka ketenangan dan ketenteraman jiwa
  • mereka diliputi rahmat
  • mereka dilingkungi oleh para malaikat
  • mendapat perhatian dan pujian Allah

3) Orang yang terkebelakang dalam usaha kebaikan

Di akhir hadis ini diterangkan pula mengenai mereka yang sedikit atau tidak diterima amalannya. Mereka yang 'terlambat' ini tidak akan mencapai darjat kemuliaan disisi Allah. Nisab, yakni keturunan seseorang itu tidak dapat mengangkat darjatnya disisi Allah. Walau seseorang itu dari golongan bangsawan, kaya, memiliki kekuasaan di dunia, ianya tidak diterima Allah, melainkan amal soleh dan taqwa.

Sebagaimana firman Allah:
"Kemudian apabila ditiup sangkakala, 
maka pada hari itu tidak ada hubungan keturunan antara mereka, 
dan tidak mereka bertanya-tanya 
(mengenai kekeluargaan mereka dan lain-lainnya).
Barangsiapa berat timbangan (kebaikan)nya, 

maka merekalah orang yang berjaya.
Dan barangsiapa ringan timbangan (kebaikan)nya, 

maka merekalah orang-orang yang merugikan diri sendiri, 
mereka kekal dalam neraka Jahannam"
-surah Al-Mu'minun, ayat 101-103-

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat sahabat-sahabat yang membaca. Sama-samalah kita perbanyakkan amalan, rajinkan diri menuntut ilmu dan saling tolong-menolong. Wallahua'lam. ^^

Thursday, March 15, 2012

Jangan lemahkan dirimu kerana cinta


Memang fitrah manusia memerlukan perhatian dan kasih sayang, tidak kira kepada ibu bapa, sahabat, suami atau isteri, apatah lagi kepada Pencipta Yang Agung, iaitu Allah Taala. Apatah lagi di zaman remaja menuju ke alam pekerjaan ini, begitu ramai yang memperkatakan mengenai cinta dan perkahwinan.

Sebagai Muslim, kita tahu cinta yang tertinggi adalah kepada Allah dan Rasulullah s.a.w., sebagaimana hadis yang popular berkenaan 3 perkara yang memberi kemanisan iman, iaitu cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi cinta kepada yang lain, mencintai orang lain kerana Allah semata-mata, dan benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampak kedalam api neraka(riwayat Bukhari).

Sangat menyedihkan apabila seseorang Muslim itu meletakkan cinta manusia itu lebih tinggi daripada cintanya kepada Tuhan, kerana cinta manusia ini bersifat sementara dan tidak kekal. Status dan wall post di Facebook berkenaan 'cinta manusia' setiap hari hanya akan melemahkan iman kita. Apabila tidak dapat meraih 'cinta' itu, maka diceritakan pula kekecewaan dan kesedihan kepada khalayak ramai. Perkara ini jelas memperlihatkan kelemahan diri kita.

Bagi mereka yang mempunyai kefahaman tentang Islam, kita sepatutnya tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Sangat sayang apabila seorang pendakwah dan penggerak Islam itu juga turut hanyut dengan 'cinta manusia'. Walaupun postnya berbentuk Islamik, namun isinya jelas mempersoalkan cinta dan perasaan sesama manusia. Lebih menyedihkan apabila post-post begini ditulis hampir setiap hari, sedangkan banyak kerja-kerja dakwah yang kita lupakan.

Sama-samalah kita refleksi diri kita, sejauh manakah cinta kita kepada Allah Yang Maha Penyayang. Adakah cinta kepada hambaNya itu mampu meningkatkan iman kita dan membawa kita kepada kejayaan dunia akhirat, atau ianya hanya melemahkan kita dan menghanyutkan kita dalam kebahagiaan yang sementara. Sama-sama kita perbaiki kelemahan diri. Teruslah berbuat kebaikan dan kebenaran agar hidup kita diberkati Allah Taala.

Dari Syaddad bin Aus, Nabi s.a.w. bersabda:
"Orang yang cerdik (berakal) ialah orang yang memperhitungkan keadaan dirinya dan suka beramal mencari bekal sesudah matinya, sedangkan orang yang lemah ialah orang yang dirinya selalu mengikuti hawa nafsunya dan mengharap-harapkan kemurahan Allah atasnya, yakni mengharapkan kebahagiaan dan pengampunan di akhirat, tanpa beramal soleh"
-riwayat Tirmidzi, hadis hasan-

Monday, February 20, 2012

Berterusan dalam melakukan perubahan


Pernahkah kita merasai sukarnya untuk melakukan sesuatu kebaikan? Kadangkala bila kita cuba melakukan sesuatu kebaikan yang jarang dilihat, maka akan ada pandangan negatif terhadap kita. Dirasainya sebagai 'pelik', 'buang tebiat', malah ada yang mengatakan kita 'tidak sihat'. Mungkinkah itu suatu lumrah?

Apabila sesuatu kebaikan itu dibalas dengan negatif, maka kita akan berasa berat untuk teruskan.  Kita rasa bersalah, takut diperkatakan oleh orang lain, dan akhirnya kita meninggalkan kebaikan itu walaupun kita tahu ianya benar-benar baik. Itulah beratnya ujian untuk melakukan perubahan pada diri.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata 'Kami beriman', sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"
-surah Al-Ankabut, ayat 2-

Memang kebaikan itu selalunya sukar untuk dibuat, walaupun hanya membuang sampah kedalam tong sampah. Apatah lagi bagi yang baru berjinak untuk berubah, melakukan sunnah Rasulullah s.a.w. dan perintah Allah Taala itu terasa sangat berat dan menyusahkan.

"Kamu benar-benar akan diuji dengan harta dan dirimu. Dan (juga) kamu benar-benar akan mendengar dari orang-orang yang diberi Kitab sebelummu dan dari orang yang mempersekutukan Allah itu, gangguan yang banyak menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan"
-surah Ali-Imran, ayat 186-

Apa yang terbaik untuk pastikan kebaikan itu berterusan adalah melakukannya berdasarkan ilmu. Apabila kita faham apa erti kebaikan yang sebenar menurut pandangan Allah dan Rasulullah s.a.w., insyaAllah kita akan lebih yakin untuk melakukannya. Tetapi jika kita sekadar ikut-ikutan, tidak faham erti sesuatu kebaikan itu, maka mudahlah untuk kita meninggalkan amalan tersebut.

Jika kita mudah rasa lemah, carilah kawan yang mampu menyokong kita kearah kebaikan. Keadaan sekeliling mampu mempengaruhi kita. Jika 'kawan' disekeliling selalu memberi pandangan negatif terhadap kebaikan yang kita ingin lakukan, maka kita akan mudah berputus asa dan akan tewas dalam melakukan kebaikan.

Dan yang paling penting adalah doa kepada Allah Taala, agar tetapkan kita pada kebaikan. Semoga kebaikan yang kita lakukan, walaupun sedikit, tetapi ianya diberkati. Tabahkan diri, dan teruslah melakukan perubahan kearah kebaikan yang diredhai Allah. ^^

"Barangsiapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan"
-surah Ali-Imran, ayat 185-

Monday, February 6, 2012

Bahagia bersama


Setiap orang pasti inginkan kebahagiaan. Kita tahu walau betapa banyaknya harta, betapa besarnya rumah, belum pasti kita akan bahagia. Walau secantik mana kekasih kita, seindah mana kata-katanya, belum pasti dia mampu memberi kebahagiaan kepada kita. Namun bagi kita yang punya agama dan pegangan, kita tahu bahawa kebahagiaan yang hakiki adalah di syurga kelak.

Manusia apabila tidak dapat melihat kebahagiaan yang dijanjikan Allah itu, maka kita mudah lupa dan leka. Bila kita ke kelas mahupun ke tempat kerja, kita akan disibukkan dengan urusan dunia. Jadi hasilnya, hanya sebilangan kecil yang masih terus menanamkan niat mengejar syurga Allah itu. Maka adalah tidak pelik untuk melihat betapa ramainya manusia yang lupa pada tujuan asal penciptaannya.

Jika kita adalah antara insan yang masih diberi iman dan keyakinan tinggi pada syurga Allah, adakah sanggup kita membiarkan ahli keluarga dan sahabat-sahabat kita lupa pada tujuan asal penciptaan dan terus dihanyut kelekaan? Jika neraka berada didepan mata kita, adakah sanggup kita melihat mereka dicampak kedalam api neraka? Pasti tidak. Maka kita perlu selamatkan mereka.

Jawapannya kita sendiri sudah tahu, iaitu dakwah. Ya, dakwah! Perkataan ini bukan khas untuk ustaz-ustaz sahaja, tetapi kewajipan atas setiap muslim. Mereka yang mengaku beriman mesti mengajak orang sekelilingnya menuju ketaatan pada Allah. Sebagaimana seseorang yang suka dirinya berada dalam kebaikan, maka orang tersebut pasti ingin melihat saudaranya turut gembira, dan inilah kasih sayang yang sebenar-benarnya.

Dari Anas r.a., Rasulullah s.a.w bsabda, "Tidak sempurna iman seseorang diantara kalian sehingga dia mengasihi saudaranya (sesama Islam) sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"
-sahih Bukhari-

Sama-sama kita tanya pada diri kita, adakah kita benar-benar sayang pada ibu bapa kita? Adik-beradik kita? Sahabat-sahabat kita? Jika benar, maka kongsikanlah kebaikan bersama dengan mereka walaupun sekadar satu nasihat. Sebarkanlah ilmu walaupun hanya menulis di 'wall fb'. Tunjukkan akhlak yang baik, kata-kata yang baik, seperti Rasulullah s.a.w. mengajar kita.

Semoga dengan usaha kita yang sedikit ini mampu menyebarkan kebaikan dan keindahan Islam kepada orang disekeliling kita. Mulakan sedikit demi sedikit, dan perbaiki dari hari ke hari. InsyaAllah jika setiap Muslim melakukan kebaikan ini setiap masa, pasti masyarakat kita akan aman dan bahagia. Anda mampu mengubahnya. ^^

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang dari perkara yang salah (buruk & keji) serta kamu pula beriman kepada Allah."
-surah Ali-Imran, ayat 110-

Tuesday, January 24, 2012

Siapalah aku...


Ramai dikalangan kita menganggap bahawa tanda seseorang itu sayang kepada kita, dia sanggup melakukan apa saja untuk kita. Membelikan kita hadiah yang hebat-hebat, sentiasa meluahkan kata-kata yang menyenangkan hati dan tidak sesekali melukakan hati kita.

Ya, ianya menambahkan kasih sayang kita kepada dia. Namun yang lebih penting, adakah hubungan kita dengan Allah akan turut bertambah atau sebaliknya? Teringat satu hadis yang cukup popular tentang 3 tanda manisnya iman:

"3 perkara apabila terdapat pada diri seseorang maka ia mendapat manisnya iman, iaitu Allah dan RasulNya lebih ia cintai dari segalanya, mencintai seseorang kerana Allah dan ia benci kepada kekufuran sebagaimana ia benci dicampakkan kedalam neraka"
-riwayat Bukhari-

Manusia secara lumrahnya sangat menginginkan kasih sayang. Apabila keseorangan atau kesedihan, pasti dilubuk hatinya menginginkan seseorang untuk mendengar luahan tersebut. Jika tiada siapa ingin mendengar, maka kita akan terus kecewa dan menghampiri kebinasaan. Apabila keadaan ini berlarutan tanpa dikawal, maka orang tersebut akan merasakan tiada gunanya hidup didunia ini.

Tidakkah kita tahu, bahawa disisi kita sentiasa ada Yang Maha Mendengar. Dia sentiasa melihat kita seharian, sentiasa bersedia mendengar luahan dan permintaan kita. Maka amat rugilah kita jika kita tidak menghargai kewujudanNya.

"Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku, katakanlah sesungguhnya Aku (Allah) dekat. Aku perkenankan permintaan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik lagi benar"
-surah Al-Baqarah, ayat 186-

Memang benar kita tidak dapat melihatNya. Namun dengan iman dan ilmu sahaja yang mampu merasai kewujudanNya. Tanamkan rasa cinta kita kepadaNya, kenal sifat-sifatNya dan ingat nama-namaNya dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Semoga hati yang lemah itu akan menjadi kuat, tabah dan mampu sabar menghadapi semua liku-liku kehidupan. Ingatlah, kasih sayang Allah itu sentiasa ada.

(Dah lama tak menulis. Sedang mencari semula minat dan rentak. Semoga Allah berikan kita kekuatan. ^^)

Wednesday, January 4, 2012

Persiapkan dirimu !


"Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (darinya)"
-surah Al-Anbiya', ayat 1-

Sekadar peringatan bersama, sebagaimana Allah firmankan dalam Al-Quran, bahawa Kiamat itu dekat dan pasti akan tiba. Tetapi realitinya, manusia masih berada dalam kelalaian, tidak memperbanyakkan amal dan tidak mempersiapkan dirinya untuk menghadapi hari Kiamat.

Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata, "Tatkala Rasulullah s.a.w. dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai, tiba-tiba seorang Arab Badui datang dan bertanya, 'Bilakah Kiamat itu datang?'

Namun Rasulullah s.a.w. melanjutkan ucapannya sehingga sebahagian orang beranggapan bahawa baginda mendengar pertanyaan itu, tetapi tidak menyukainya. Sebahagian lagi beranggapan bahawa baginda tidak mendengar pertanyaan itu.

Namun ketika baginda selesai dari ucapannya, baginda berkata, 'Manakah orang yang bertanya tentang Kiamat tadi?' Ia menjawab, 'Saya wahai Rasulullah!' Baginda bersabda, 'Jika amanah sudah disia-siakan, maka tunggulah datangnya Kiamat'

Lelaki itu bertanya, 'Bagaimanakah terjadinya kesia-siaan itu, wahai Rasulullah?' Baginda menjawab, 'Iaitu ketika suatu urusan diserahkan bukan kepada ahlinya (yang layak), maka tunggulah kedatangan Kiamat itu'"
-Sahih Bukhari-