Thursday, June 16, 2011

Darjat dalam solat berjemaah

Assalamualaikum. Alhamdulillah masih diberikan kekuatan oleh Allah untuk saya berkongsi lagi dalam laman blog ini. InsyaAllah post kali ini saya akan kongsikan sedikit syarah hadis riwayat Bukhari berkenaan solat berjemaah. Syarah ini saya ambil dari kitab Fathul Baari jilid 4 keluaran Pustaka Azzam.

Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Solat seseorang dalam suatu jemaah dilipat gandakan daripada solatnya (sendirian) di rumahnya dan di pasarnya dengan dua puluh lima kali lipat. Yang demikian itu apabila ia berwudhu, seraya memperbaiki wudhunya, kemudian keluar ke masjid. Tidak ada yang mengeluarkannya kecuali solat, maka ia tidak melangkah satu langkat melainkan diangkat untuknya satu darjat dan dihapus darinya satu kesalahan. Apabila dia solat, maka para malaikat sentiasa berselawat kepadanya selama ia berada di tempat solatnya. (Para malaikat mengatakan), 'Ya Allah, berilah selawat (keberkatan) kepadanya. Ya Allah, berilah rahmat kepadanya'. Salah seorang di antara kamu sentiasa berada dalam solat selama ia menunggu solat."
-Sahih, riwayat Bukhari (no. 611)-

Dari Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Solat berjemaah lebih utama dibanding solat sendirian dengan terpaut dua puluh tujuh darjat."
-Sahih, riwayat Bukhari (no. 609)-

Dua hadis diatas diletakkan dalam kitab 'Azan', dibawah bab 'keutamaan solat berjemaah'. Jika kita lihat, terdapat perbezaan dalam mengatakan dua puluh lima dan dua puluh tujuh darjat. Perbahasan panjang lebar diberikan dalam Fathul Baari namun bukan perkara ini yang saya ingin kongsikan, kerana yang pasti adalah solat jemaah mempunyai tingkatan yang jauh lebih tinggi berbanding solat sendirian.

Mengenai kata bilangan "darjat", "lipat" atau "bahagian", kesemuanya ada digunakan dalam hadis diatas mengikut jalur-jalur berbeza, namun jalur yang menggunakan "darjat" dikatakan lebih banyak bebanding yang lain. Ibnu Atsir mengatakan bahawa yang lebih tepat adalah "darjat", iaitu menunjukkan tingkatan ketinggian.

Sebahagian ulama membincangkan mengenai faktor-faktor yang menyebabkan adanya darjat-darjat tersebut. Al Muhib Ath Thabari menyatakan bahawa dalam hadis Abu Hurairah di atas terdapat beberapa faktor tersebut, lalu ditambah perkara lain yang mempunyai kaitan. Beberapa ulama memperincikan faktor tersebut, dan Ibnu Hajar (penulis Fathul Baari) turut mengemukakan faktor-faktor tersebut.

Berikut merupakan faktor yang menyebabkan adanya darjat-darjat tersebut:
1) Menjawab azan disertai niat untuk solat berjemaah.
2) Bersegera untuk solat di awal waktu.
3) Berjalan menuju masjid dengan tenang.
4) Masuk masjid sambil berdoa.
5) Solat Tahiyatul masjid ketika memasukinya dan berniat solat jemaah.
6) Menunggu pelaksanaan solat jemaah.
7) Solat dan permohonan ampunan oleh malaikat untuk orang yang solat berjemaah.
8) Persaksian para malaikat atas mereka.
9) Menjawab qamat.
10) Selamat dari gangguan syaitan ketika syaitan itu lari saat qamat.
11) Berdiri menunggu takbiratul ihram imam atau masuk bersamanya pada posisi dimana ia mendapati imam.
12) Mendapat takbiratul ihram bersama imam.
13) Meratakan saf serta mengisi celah-celahnya.
14) Menjawab imam saat ia mengucapkan "sami'allahu liman hamidah".
15) Umumnya terdapat perasaan aman dari lupa serta mengingatkan imam apabila lupa dengan mengucapkan tasbih atau membenarkan bacaannya yang keliru.
16) Adanya rasa khusyuk serta terpelihara dari hal-hal yang melalaikan.
17) Memperbaiki penampilan.
18) Diliputi oleh para malaikat.
19) Latihan bacaan yang baik serta mengetahui rukun-rukunnya.
20) Menampakkan syiar Islam.
21) Mengecewakan syaitan yang berkumpul dalam rangka ibadah serta tolong-menolong dalam ketaatan dan membangkitkan semangat mereka yang bermalas-malasan.
22) Selamat dari sifat munafik serta gangguan orang lain kerana diduga tidak pernah melakukan solat.
23) Menjawab salam imam.
24) Mengambil manfaat dari perkumpulan mereka dalam berdoa dan berzikir, serta yang sempurna dapat mengisi yang kurang.
25) Menyatukan hati sesama tetangga demi terciptanya perjanjian diantara mereka pada waktu-waktu solat.

Terdapat tambahan dua faktor dalam solah jahriyat, iaitu
26) berdiam saat imam membaca serta mendengarkannya, dan
27) mengucapkan "amin" saat imam mengucapkan "amin" agar bersamaan dengan ucapan "amin" para malaikat.
Inilah faktor-faktor yang dianjurkan secara khusus dalam solat berjemaah dan mengangkat mereka yang solat berjemaah ke darjat yang lebih tinggi, wallahualam.

Semoga dengan perkongsian ini akan lebih menaikkan semangat kita untuk solat secara berjemaah, samada di surau atau di masjid. Keutamaannya sangat jelas, maka beruntunglah mereka yang berusaha memperbaiki dirinya demi mendapatkan keredhaan Allah Taala. Sebarang teguran dan pandangan sangat dialu-alukan. ^^