Tuesday, November 30, 2010

Doamu tidak akan disia-siakan


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
-surah Al-Baqarah, ayat 186-

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Musa Al-Asy'ari bahawa ia mengatakan, "Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w. dalam suatu peperangan, tidaklah kami mendaki tanjakan, menaiki bukit dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir. Kemudian baginda mendekati kami dan bersabda:

'Wahai sekalian manusia, tahanlah diri kalian, sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Rabb yang pekak dan jauh, akan tetapi kalian berdoa kepada Rabb yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Sesungguhnya Rabb yang kalian seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kalian daripada leher binatang tunggangannya. Wahai Abdullah bin Qais, maukah engkau aku ajarkan sebuah kalimat yang termasuk perbendaharaan syurga? Iaitu ucapan La haula walaa quwwata illaa billaah (tidak ada daya dan kekuatan melainkan hanya dengan pertolongan Allah)'"
-juga diriwayatkan Bukhari dan Muslim dengan sedikit perbezaan lafaz-

Dari Abu Sa'id bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Tidaklah seorang muslim berdoa kepada Allah dengan doa yang tidak mengandung dosa atau memutuskan tali silaturrahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya satu di antara 3 perkara:
Pertama- boleh jadi Allah menyegerakan (pengabulan) baginya di dunia, atau
Kedua- Allah menyimpan baginya sebagai pahala di akhirat, atau
Ketiga- Allah menahan keburukan dari dirinya yang semisal dengan apa yang ia minta."

Mereka mengatakan, "kalau begitu, kami akan memperbanyakkan doa." Baginda bersabda, "Allah lebih banyak lagi (pemberianNya)."
-riwayat Imam Ahmad, disahihkan oleh Syaikh Al-Albani-

Marilah kita sama-sama perbanyakkan berdoa kepada Allah. Semoga perkongsian ini memberi kita kefahaman tentang cara dan syarat dalam berdoa, juga janji-janji Allah berkenaan penerimaanNya. Doa kita tidak akan disia-siakan olehNya selagi kita masih menuruti segala perintahNya dan berdoa dengan penuh keyakinan kepadaNya. Berdoalah dengan ikhlas dari hati, dengan penuh pemahaman dan pengharapan, bukan sekadar mengaminkan doa orang lain tanpa memahaminya, insyaAllah itulah yang terbaik. Wallahualam... =)

Monday, November 8, 2010

Nikmat yang besar


"Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepadamu, mensucikan dan mengajarimu al-Kitab (Al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah) serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui. Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku"
-surah Al-Baqarah, ayat 151,152-

InsyaAllah untuk post kali ini saya ingin kongsikan sedikit tafsir berkenaan ayat 151 dan 152 dari Surah Al-Baqarah. Penulisan ini saya petik dari kitab Shahih Tafsir Ibnu Katsir. Sama-sama kita luangkan masa dan memahaminya. =)

Dalam ayat pertama ini, Allah mengingatkan kepada hambaNya akan nikmat yang sangat besar, iaitu diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. Sebagai rasulNya, baginda membacakan ayat-ayat Allah Taala secara jelas, lalu Allah menyucikan mereka semua dari pelbagai akhlak yang buruk, kekotoran jiwa dan setiap perbuatan kaum Jahiliyah. Allah mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada alam yang terang benderang.

Sebelum ini hamba-hambaNya hidup dalam kebodohan (Jahiliyah) dan tidak mempunyai kesopanan dalam berbicara. Berkat risalah yang dibawa Rasulullah s.a.w. akhirnya mereka menjadi manusia yang ilmunya paling dalam, hatinya paling baik, sikapnya paling bersahaja dan paling jujur dalam ucapannya.

Oleh itu, Allah Taala mengimbau orang-orang yang beriman untuk mengakui nikmat tersebut dan menyambutnya dengan mengingat (berzikir) dan bersyukur kepadaNya. Allah berfirman, "Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku."

Dalam sebuah hadis sahih, Allah berfirman, "Wahai anak Adam, jika engkau mengingatiKu dalam dirimu, maka Aku akan mengingatimu dalam diriKu. Dan jika engkau mengingatiKu di suatu majlis, maka Aku akan mengingatimu di tengah majlis para Malaikat.

Dan jika engkau mendekat kepadaKu sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadamu sehasta. Dan jika engkau mendekat kepadaKu sehasta, maka Aku akan mendekat kepadamu sedepa. Dan jika engkau mendatangiKu dengan berjalan, maka Aku akan mendatangimu dengan berlari kecil."
-sahih, riwayat Bukhari dan Ahmad-

InsyaAllah dengan peringatan ini dapat mengingatkan kita akan suatu nikmat yang sangat besar, yang perlu kita syukuri, kerana menjadi hambaNya yang beriman. Semoga kita sentiasa bersyukur kepada Allah, walau apa jua musibah yang menimpa kita. Sesungguhnya Allah menjanjikan kebaikan kepada mereka yang bersabar dan sentiasa bersyukur kepadaNya.

Allah Taala berfirman, "Dan (ingatlah) tatkala Rabbmu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat)Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat)Ku, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih"
-surah Ibrahim, ayat 7-

Monday, November 1, 2010

Keseorangan?


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah melihat seorang tawanan wanita yang terpisah dari bayinya. Setiap kali ia mendapatkan bayi tawanan lainnya, ia terus mengambil dan mendekapnya ke dada, dan ia terus berkeliling mencari anaknya. Tatkala ia menemukan anaknya, maka ia mendekapnya, kemudian menyusuinya.

Rasulullah s.a.w. pun bersabda, "Bagaimana menurut kalian, apakah wanita ini akan tegar melemparkan anaknya ke dalam api, padahal ia mampu untuk tidak melemparkannya?" Para sahabat pun menjawab, "Tidak, wahai Rasulullah." Lalu baginda pun bersabda, "Demi Allah, sungguh Allah lebih sayang kepada hamba-hambaNya daripada wanita ini kepada anaknya."
-sahih: riwayat Muslim (juga oleh Bukhari dengan perbezaan lafaz)-

Sebagai manusia, secara zahirnya kita sememangnya memerlukan kasih sayang daripada seseorang. Ibu merupakan orang yang paling rapat dengan kita, kerana dia yang melahirkan kita, menyusu dan menjaga kita sejak kecil, walaupun pelbagai karenah yang kita lakukan. Namun apabila seseorang itu mulai rasa kehilangan kasih sayang dari seorang ibu, maka dia akan cuba untuk mendapatkan kasih sayang daripada orang lain, sahabat, abang, kakak mahupun dari gurunya sendiri.

Kita pasti berasa gembira dan senang apabila mempunyai seseorang yang menyayangi kita, mengambil berat mengenai diri kita, walau apa jua yang berlaku. Tetapi sedarkah kita, bahawa kasih sayang dari seseorang manusia itu sangat terhad? Boleh hilang dalam sekelip mata? Malah, mungkin berubah kepada perasaan benci. Itulah manusia, tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.

Sebagai seorang hamba yang mengakui dirinya beriman, kita perlu yakin bahawa kasih sayang daripada Allah itu lebih besar dan lebih kekal. Allah tidak memilih hamba-hambaNya berdasarkan warna kulit, mahupun raut wajah. Dia sentiasa mengasihi hambaNya, sekalipun hambaNya itu pernah melakukan dosa yang besar. Itulah kasih sayang Allah, Pencipta kita semua.

Seperti yang ditanya oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis diatas, adakah seorang ibu sanggup untuk melemparkan anaknya ke dalam api? Mungkin dalam zaman sekarang, perkara itu tidak mustahil. Begitu banyak anak-anak yang dibuang dan dibunuh. Namun, kasih sayang Allah melebihi daripada sangkaan kita. Allah tidak ingin hambaNya dilemparkan ke api neraka, kecuali mereka itu benar-benar kufur dan ingkar kepadaNya. Dia masih menerima taubat kita walaupun kita selalu melakukan dosa kepadaNya.

Sama-samalah kita muhasabah diri dan berfikir sebentar, siapakah yang mampu memberikan kasih sayang yang terbaik kepada kita, samada manusia sendiri mahupun Allah Yang Mahakuasa. Istighfarlah, dan perbanyakkan sujud kepadaNya, sebagai tanda syukur kita atas limpah kasih sayangNya yang tidak terhingga. Semoga Allah sentiasa melindungi kita daripada dosa dan maksiat, dan menempatkan kita bersama kekasihNya di syurga kelak. Wallahualam. =)

"Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak (Allah) Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (dalam hati mereka)."
-surah Maryam (19), ayat 96-