Wednesday, January 5, 2011

Ketaatan kepada manusia


عَنْ عَلِيٍّ قَالَ
بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَرِيَّةً وَاسْتَعْمَلَ عَلَيْهِمْ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ وَأَمَرَهُمْ أَنْ يَسْمَعُوا لَهُ وَيُطِيعُوا فَأَغْضَبُوهُ فِي شَيْءٍ فَقَالَ اجْمَعُوا لِي حَطَبًا فَجَمَعُوا لَهُ ثُمَّ قَالَ أَوْقِدُوا نَارًا فَأَوْقَدُوا ثُمَّ قَالَ أَلَمْ يَأْمُرْكُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تَسْمَعُوا لِي وَتُطِيعُوا قَالُوا بَلَى قَالَ فَادْخُلُوهَا قَالَ فَنَظَرَ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ فَقَالُوا إِنَّمَا فَرَرْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ النَّارِ فَكَانُوا كَذَلِكَ وَسَكَنَ غَضَبُهُ وَطُفِئَتِ النَّارُ فَلَمَّا رَجَعُوا ذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَوْ دَخَلُوهَا مَا خَرَجُوا مِنْهَا إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ


Dari 'Ali r.a. dia berkata, "Rasulullah s.a.w. pernah mengutus suatu ekspedisi dan mengangkat seorang lelaki dari Ansar sebagai pemimpinnya, mereka diperintahkan untuk taat dan mendengar kepadanya. Suatu ketika pemimpinnya marah terhadap anak buahnya kerana suatu perkara, dia berkata, "Kumpulkanlah kayu api."

Setelah kayu api terkumpul dia berkata, "Bukankah Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan kepada kalian untuk mendengarkanku dan mentaatiku?" Mereka menjawab, "Ya." Dia berkata, "Oleh kerana itu, masuklah kalian ke dalam api tersebut."

Ali berkata, "Lalu sebahagian yang lain saling memandang kepada yang lainnya, sambil berkata, "Kita harus lari kepada Rasulullah s.a.w. dari api tersebut." Anak buahnya masih saja (dalam kebimbangan) seperti itu, hingga kemarahannya mereda dan api dimatikan. Ketika mereka kembali, mereka memberitahukan peristiwa itu kepada Nabi s.a.w., lalu beliau bersabda: "Sekiranya kalian masuk ke dalamnya, niscaya kalian tidak akan dapat keluar dari api tersebut. Ketaatan itu hanya dalam kebajikan."
-riwayat Muslim (no. 3425), Bukhari (no. 6612)-

InsyaAllah daripada hadis ini, dapat kita fahami bahawa apabila seseorang pemimpin itu menyuruh kepada suatu perkara yang bercanggah dengan syariat, maka tertolaklah ketaatan kita kepadanya. Dalam sahih Muslim, hadis diatas diletakkan dibawah tajuk 'Wajibnya taat kepada pemimpin selama bukan dalam kemaksiatan', begitu juga dalam sahih Bukhari. Maka jelaslah juga bahawa mentaati pemimpin itu hukumnya adalah wajib.

Daripada hadis ini juga, dapat kita fahami bahawa seorang pemimpin Islam tidak boleh membawa anak buah atau pengikutnya ke lembah dosa dan maksiat. Pemimpin Islam bertanggungjawab untuk melaksanakan suruhan dan perintah Allah dengan sebaiknya, berlandaskan Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Mereka seharusnya menyelamatkan pengikutnya dari azab api neraka, bukan sebaliknya.

Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang berguna dari kisah hadis di atas, agar dengannya kita dapat menambahkan keimanan kita kepada Allah, dan menjauhkan diri kita dari kemurkaanNya, insyaAllah. =)