Friday, April 24, 2009

"Ku sangka panas sampai ke petang....

....tetapi hujan di tengahari". Kemudian kita pun cakap, "Habislah baju aku kat ampaian. Baru je sidai pagi tadi". Tetapi apakan daya, itu ketentuan Yang Maha Kuasa.

Post kali ini bukan mengenai ramalan kaji cuaca, tetapi mengenai cuaca kehidupan yang sukar diramal. Kadang-kadang sudah menjadi kebiasaan untuk kita menyangka apa akan terjadi selepas ini, burukkah? Atau baikkah???

Kebetulan dah habis seminggu exam dan ada masa rehat sebelum OSPE selasa nanti. Bila terbuka Friendster seorang rakan waktu sekolah dulu, tergerak hati nak tulis post kali ini. InsyaAllah, semoga ada sesuatu yang berguna untuk kita bersama.

Jika kita perhatikan, zaman selepas sekolah ini banyak merubah sikap seseorang. Waktu peralihan ini akan ramai yang hanyut dibuai keindahan dunia ini. Bukan saja saya lihat pada rakan-rakan saja, tetapi hakikatnya diri ini pun dah alaminya sendiri, sebab itu saya ingin sangat menulisnya.

Kadang-kadang, bila lihat kawan yang dulunya baik, waktu sekolah dulu jadi ahli badan agama lagi, tetapi bila sudah tamat sekolah, mereka pun terjebak dengan dunia "kasih-kekasih" ini. Mungkin kita hanya dari sekolah biasa. Tetapi bila dilihat yang dulunya sekolah agama pun terjadi perkara ini, maknanya, perkara ini memang fenomena yang tidak mengenal 'siapa orang itu dahulunya'.

Sesiapa saja boleh berubah, walaupun diri ini sendiri pernah merasakan 'aku budak baik', tetapi itulah kenyataan yang kita kena terima.

Allah berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.:
Katakanlah "Wahai manusia! Telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, sebab itu barang siapa mendapat petunjuk, maka sebenarnya (petunjuk itu) untuk dirinya sendiri. Dan barang siapa sesat, sesungguhnya kesesatan itu (mencelakakan) dirinya sendiri. Dan aku bukanlah pemelihara dirimu"
-surah Hud, ayat 108-

Syukur sangat-sangat sebab Allah masih tetapkan kita pada jalan yang betul. Bagi diriku, jika tidak disebabkan-Nya, tentu aku akan terus hanyut dan dibuai dengan keindahan dunia yang sementara ini.

Jika kita fahami ayat diatas, Allah katakan bahawa telah datang kepada kita kebenaran dari Tuhanmu, itulah Al-Quran dan agama Islam. Kita semuanya beragama Islam, mengucapkan 2 kalimah syahadah, malahan tercatat di I.C. bahawa kita ini beragama Islam. Tetapi, ianya tidak bermakna seseorang itu baik dan betul-betul beriman.

Dari kecil kita diajar membaca Al-Quran. Setiap hari kita membacanya, sebab kita diajar bahawa Al-Quran ini panduan hidup yang serba lengkap. Tetapi diri ini perasan bahawa saya sendiri tidak memahaminya, bagaimana saya ingin jadikannya sebagai panduan?? Saya akui waktu disekolah dulu memang tidak banyak pendedahan untuk memahami dan tadabbur Al-Quran. Bagi saya, mungkin inilah yang menyebabkan diri ini terhanyut.

Alhamdulillah, Dia masih sayangkan kita. Allah tidak hukum kita terus ketika kita sedang lupa dan leka, dan masih memberi kita peluang untuk berubah dan kembali ke jalan yang sebenar. Memang dirasakan diri ini sangat teruk dan tidak boleh dimaafkan, tetapi bila lama kelamaan kita minta petunjuk dari-Nya, baru diriku tahu bahawa aku dahulu sangat jahil dan imanku sangat lemah.

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa"
-surah Ali-Imran, ayat 133-

Tetapi, kita sudah menzalimi diri kita sendiri. Masih layakkah untukku mendapatkan syurga-Nya? Manakan tidak, waktu zaman berkasih-kasihan, siap berdua-duaan lagi. Jalan kehulu kehilir disebabkan 'sayang'nya pada insan yang cantik dimata. Pernah terdetik, "bahagianya ada orang yang disayangi", tetapi, kekal ke? Tidak juga. Macam-macam dugaan dalam mendapatkan kasih sayang manusia, tetapi hakikat-Nya, kasih sayang Tuhan tidak putus-putus pada hamba-Nya. Zalimnya diri ini....

"Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji dan menzalimi diri sendiri, segera mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui"
-surah Ali-Imran, ayat 135-

Inilah satu pengajaran untuk diriku. Ingin sangat kusampaikan kepada kawan-kawan yang masih terleka dengan keindahan kasih sayang manusia, tetapi baru hari ini diri penulis ini berani menyatakannya.

"Sungguh, telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah (Allah), kerana itu berjalanlah kamu di bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan (kebenaran)"
-surah Ali-Imran, ayat 137-

Bila ianya sudah berlaku pada diri kita, barulah kita tahu akan kebenaran yang dinyatakan Allah. Dalam ayat 137 diatas, Allah menyuruh kita memerhatikan bagaimana kesudahan orang yang mendustakan kebenaran yang dibawakan Rasulullah. Marilah kita sama-sama perhatikan, bahagiakah mereka, sejauh mana cinta itu boleh memberikan kebahagiaan.

InsyaAllah, semoga kelemahan diri ini dapat menguatkan diri pembaca. Semoga apa yang berlaku pada orang lain, tidak berlaku pada kita, dan janganlah kita putus dari memohon pertolongan Allah, Tuhan sekalian alam. =)

Friday, April 17, 2009

Hmm...sedihnya...

Satu demi satu ujian datang. Walaupun setahun, macam-macam yang ujian kita dapat, dan macam-macam pengakhiran yang kita dapat. Ada yang sedih, ada yang menggembirakan.

Walaupun sejauh mana kita merancang, menginginkan sesuatu, sejauh mana pun kita cuba mendapatkannya, tetapi akhirnya kita tidak dapat yang kita inginkan. Jika tiada iman, sudah tentu seseorang itu bunuh diri. Tetapi ini bukanlah pertama kali. Bila diingat balik, sejak kecil lagi ujian macam ini diberi.

“…tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”
–Al-Baqarah, ayat 216-

Tetapi alhamdulillah, kita tidak berjaya dalam sesuatu, Allah bagi peluang dalam bidang lain. Memang betullah apa yang Allah katakan. Cuma kadang-kadang, kita susah juga nak terima hakikat yang menyedihkan itu. Kita rasakan kita sudah cuba yang terbaik, tetapi kenapa kita diberi balasan begini, apa salah diri ini. Kadang-kadang terasa macam tidak berguna pun ada. Tetapi insyaAllah, ada hikmah disebalik kesusahan dan kehampaan yang kita terima.

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (suatu urusan), tetaplah bekerja keras. Dan hanya kepada Tuhanmulah kamu berharap” –Asy-syarh, ayat 5-8-

Dua kali Allah ulang dalam ayat diatas, bahawa setiap kesusahan pasti ada kesudahan yang menggembirakan. Walaupun benda yang kita lakukan itu tidak berjaya macam yang kita inginkan, Allah suruh kita untuk tetap bekerja keras. Kita harapkan benda yang kita lakukan ini akan mendapat balasan yang baik, mungkin lebih baik lagi, insyaAllah.

“Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak karunia-Nya. Dia memberikan kebaikan kepada siapa saja yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang”
–Yunus, ayat 107-

Subhanallah, Maha Suci Allah. Moga Allah sentiasa merahmati kita. Biarlah ianya tidak dipandang oleh orang disekeliling kita, tetapi Allah tetap tahu bahawa kita sedang mencari rahmat-Nya. Diri ini kadang-kadang, nak juga ada rasa dihargai oleh orang sekeliling kita, kadang-kadang nak lebih dari itu. Moga kita dapat buang pemikiran ini, dan terus buat kebaikan hanya untuk keredhaan-Nya.

Satu lagi yang buat kita sedih ialah bila kita rasa seperti keseorangan. Terutama apabila kita menjadi pemimpin. Kita lihat rakan-rakan gembira dengan hal masing-masing, tetapi kita dibelenggu macam-macam masalah. Walaupun kita buat untuk kebaikan mereka juga, tetapi kita terasa keseorangan. Ada juga yang nak tolong kita, yang sedar akan masalah kita, kadang-kadang kita terasa seperti tidak cukup juga, dan kadang kala kita terpaksa berlakon seperti tiada apa-apa yang berlaku. Biarlah mereka gembira, mungkin Allah akan bagi sesuatu yang lebih menggembirakan suatu hari nanti.

Alhamdulillah, walaupun perasaan itu ada, kita tetap tabah. Biarlah Al-Quran menjadi peneman kita. Diri ini ingin sangat untuk merasakan kehadiran-Nya, walaupun kita tidak dapat melihatnya lagi.

“Inilah (Al-Quran) suatu keterangan yang jelas untuk semua manusia, dan menjadi petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan janganlah kamu berasa lemah dan jangan bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu beriman” –Ali-Imran, ayat 138,139-

Sesungguhnya Allah sangat dekat dengan kita, tetapi mungkin iman ini masih tidak cukup kuat untuk sentiasa merasai-Nya. Sama-samalah kita berdoa, agar dikuatkan iman ini, sehingga apabila kita melihat alam ini, kita akan tersenyum melihat kehebatan-Nya. Diri ini ingin sangat untuk menjadi seperti itu. InsyaAllah. Sama-samalah kita mencari keredhaan-Nya dan teruskan perjalanan kita sebagai khalifah yang tabah.

Tuesday, April 14, 2009

Bahagia atau Derita yang kita pilih???

Post kali ini sebenarnye diambil dari majalah Solusi isu no. 6. Saya tertarik dengan tafsiran mengenai surah Taha ayat 123 hingga 126. InsyaAllah dengan sedikit perkongsian ini, sama-sama kita fahami dan ambil sebagai pengajaran.

Firman ALlah dalam surah Taha ayat 123-126, maksudnya:
"Turunlah kamu berdua dari Syurga itu bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi sesetengahnya yang lain. Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu, nescaya ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka"

Menurut ulama mufassirin, antaranya Ibn Athiyyah dalam tafsirnya al-Muharrar al-Wajiz, arahan yang dikemukan Allah itu merujuk kepada ramai orang, termasuk syaitan yang diketuai iblis. Dan petunjuk yang dimaksudkan merujuk kepada kitab-kitab Allah. Ayat ini ditulis ketika kisah penurunan Nabi Adam ke bumi.

Kita sebagai umat nabi Muhammad s.a.w. telah diberikan petunjuk oleh Allah, itulah Al-Quran Yang Agung. Dalamnya terdapat perintah-perintah Allah, larangan-Nya, nasihat-Nya. Sebagai orang beriman, wajib kita beriman kepada kitab yang diturunkan, apatah lagi untuk mengikutinya.

Jika kita lihat pada masa kini, pembacaan Al-Quran itu kurang dikalangan masyarakat, apa lagi untuk memahaminya. Sedangkan itulah petunjuk untuk kehidupan kita. Allah katakan dalam ayat diatas, tidak akan sesat dan tidak akan celaka apabila kita ikut petunjuk-Nya itu iaitu Al-Quran.

Jadi, sama-samalah kita menjadikan Al-Quran ini sebagai panduan dan rujukan kita. Bukan sekadar kitab, tetapi perintah dari Allah, kata-kata dari Tuhan sekalian alam. Semuanya bergantung pada kita, samada kita nak pilih bahagia atau derita kelak. Fikir-fikirkanlah.

"dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sungguh, dia kan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan mengumpulkannya pada hari Qiamat dalam keadaan buta"

Allah memberi peringatan kepada kita tentang balasan apabila kita tidak ikut perintah-Nya. Perintah-perintah Allah dalam Al-Quran adalah jelas, ditambah lagi dengan hadis-hadis Rasulullah, peringatan yang cukup untuk memandu kita kearah kebahagian yang kekal abadi.

Memang kita akan dapati apabila kita nak ikut, macam-macam ujian datang. Ada orang akan tidak suka dengan kita, ada orang tidak terima. Itulah yang dimaksudkan dengan ayat pertama tadi, sebahagian menjadi musuh kepada sebahagian yang lain. Moga kita termasuk dalam orang yang mendapat petunjuk dari-Nya.

"Dia berkata:'Ya Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal dahulu aku dapat melihat."

Apabila di hari pembalasan, mereka yang dibangkit dalam keadaan buta bertanya kepada Allah, kerana didunia ini kita dilahirkan serba sempurna. Ada pancaindera, ada harta, ada jawatan. Tetapi apa jawapan yang diterima....

"Allah berfirman:'Demikianlah dahulu telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, dan kamu mengabaikannya, jadi begitulah pada hari ini kamu diabaikan"

Jadi telah jelas ayat-ayat yang Allah berikan, tetapi mereka menolak. MasyaAllah. Ada antara kita yang lebih memandang yang zahir, yang kita nampak, sehingga kita menolak perintah-perintah Allah. Seperti contoh, yang kita sering lihat ialah mengenai aurat. Sesetengah orang memandangnya ringan dan tidak kisah pun mengenai perintah menutup aurat, sedangkan itu perintah dari Tuhan, hanya Dia yang tahu kerana Dia yang menciptakan kita.

Alangkah sedihnya jika kita lihat orang lebih mengejar kepada keduniaan, yang tampak "Bahagia", tetapi melanggar perintah Allah. Sedangkan dalam Al-Quran, Allah telah berikan banyak contoh-contoh sebagai pengajaran, bahawa yang kita sangkakan "bahagia" itu tidak akan kemana pun tanpa keredhaan dari Allah yang menciptakan kita.

InsyaAllah, moga dapat kita amik pengajaran dan sama-sama muhasabah diri. Sama-samalah kita saling ingat-mengingati kerana manusia mudah lupa dan alpa.

Saturday, April 11, 2009

Mari berdoa... =)

Sempena menjelang musim peperiksaan ini, kita akan lihat setiap orang akan banyak berdoa daripada kebiasaannya. Jadi tergerak hati saya untuk menulis sedikit seruan Allah dalam alQuran mengenai berdoa, moga doa kita lebih dekat kepadaNya. =)

Doa itu sebenarnya dikira sebagai ibadat dan suruhan Allah. Dalam Al-Quran, Allah berfirman:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
"Dan berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina." -surah Ghafir, ayat 60-

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." -surah Al Baqarah, ayat 186-

Jika kita fahami maksud kedua-dua ayat ini, terdapat syarat-syarat yang Allah letakkan. Allah perintahkan supaya kita tidak sombong dalam berdoa mahupun beribadat kepadaNya, dan Allah tekankan supaya kita menyahut seruanNya, yakni apa yang diperintahkan.

Kita lihat semula diri kita, jika ada larangan Allah yang kita lakukan, sama-samalah kita hentikanNya. Sebab perkara-perkara seperti ini yang akan menyebabkan doa kita tidak termakbul, subhanallah.

Apabila kita berdoa juga, hendaklah kita berdoa dengan perasaan rendah diri, dengan rasa takut jika doa kita tidak termakbul dan dengan penuh mengharap hanya kepadaNya. Allah berfirman:
ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
وَلا تُفْسِدُوا فِي الأرْضِ بَعْدَ إِصْلاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَةَ
اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ
"Berdoalah kepada Tuhan kamu Dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan Segala Yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya Dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga Dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang Yang memperbaiki amalannya." -surah Al-A'raf, ayat 55,56-

Jadi insyaAllah dengan sedikit peringatan ini dapat memperbaiki amalan kita. Sesungguhnya diri saya pun masih banyak kelemahan dan mohon teguran dalam setiap yang saya tulis jika ada salah dan silap.

Semoga Berjaya Kepada Rakan-rakan...=)

Saturday, April 4, 2009

hadiah untukku...

Pejam celik, pejam celik, cepat sungguh masa berlalu. Dari seorang insan yg kerdil, melalui liku-liku hidup untuk mematangkan diri. Kejap je sudah 20 tahun, rasa macam baru setahun je hidup, tapi itulah kehidupan. Thanx kat kawan-kawan yang wish =)

Syukur sangat pada Allah kerana masih memberi peluang untuk terus membaiki diri ini. Memang tiada siapa pun yang sempurna di dunia ini, tetapi yang lebih baik ialah kita mengejar ke arah kesempurnaan.

Pagi-pagi lagi sudah diberi ujian oleh Nya. Berulang kali terjaga dari tidur, terase panas badan, dengan selsemanya, masyaAllah. Cuba untuk berfikiran positif, mungkin inilah tandaNya Allah sayangkan kita. Teringat kisah seorang sahabat baginda yang menangis apabila satu hari tu, dia tidak diberi apa-apa ujian seperti dilupakanNya.

"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan/ujian) seperti orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, dan digoncang, sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata: 'Kapankah datang pertolongan Allah?'. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat" -surah Al-Baqarah, ayat 214-

Bersyukur sangat kita dilahirkan dalam keadaan Islam walaupun kita tidak memilihnya sewaktu diperut ibu. Banyak kita dapat daripada agama Allah ini, dengan panduan hidup yang menjadi mukjizat Rasulullah s.a.w. hingga ke hari ini. Kita tahu apa tujuan penciptaan kita, kita tahu ape matlamat kita, cara-cara mencapainya. Janganlah kita sia-siakan kelebihan yang kita ada.

Dari ceramah pagi tadi, diceritakan macam-macam orang buat kajian untuk mencari faktor kejayaan. Mula-mula orang temui I.Q, kemudian orang jumpa yang lebih baik iaitu E.Q. Masih bukan jawapan yang paling tepat, selepas itu ditemui pula S.Q, Spiritual Quotion. Ditemui 'God Spot' dibahagian otak manusia, membuktikan manusia tidak dapat lari dari mempercayai kepada Tuhan. MasyaAllah.

Dikongsikan pula, mengapa setiap ajaran agama mempercayai bahawa adanya kehidupan selepas kematian ini? Jawapannya, kerana tiada keadilan mutlak dikehidupan ini. Cuba kita bayangkan, sebanyak-banyak dosa yang dilakukan penjenayah, tetapi hukuman bunuhnya tidak dapat membayar nyawa-nyawa yang dibunuhnya. Ada yang orang lain dapat sesuatu lebih baik dari kita. Adilkah? Memang tidak adil, dan sebab ketidakadilan inilah ramai orang percaya bahawa di kehidupan akan datang akan adanya keadilan yang mutlak.

Orang-orang mencari jawapan untuk persoalan didalam jiwa, tapi bagi kita yang beriman, semua jawapan sudah diberi oleh Allah. Dari awal pembentukan kejadian, apa yang akan ditempuhinya, suka-duka kehidupan, dan balasan bagi setiap sesuatu sehingga ke kehidupan yang seterusnya. Kenapa kita tidak menggunakan panduan yang diberikan itu??

"Sungguh, Kami telah datang membawa kebenaran kepada kamu, tetapi kebanyakan diantara kamu benci pada kebenaran itu"
-surah Az-Zukhruf, ayat 78-

Ditegaskan juga, untuk memiliki harga diri yang tinggi, seseorang itu perlu mempunyai harga diri yang positif. Suara hati yang selalu bercakap dengan diri kita yang akan membentuk diri kita. Jika kita selalu fikirkan yang negatif, negatiflah kita. Sebab itu dalam AlQuran, Allah selalu mendidik kita untuk sentiasa ke arah positif. Allah suruh kita selalu mengingatiNya. Sedar tidak sedar, AlQuran inilah motivasi yang paling baik untuk manusia.

"Inilah (Al-Quran) suatu keterangan yang jelas untuk semua manusia, dan menjadi petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan janganlah kamu berasa lemah dan bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang beriman." -surah Ali-Imran, ayat 138-139-

Harap sedikit perkongsian ini dapat sama-sama membuka minda kita untuk sama-sama berfikir dan menjadi insan yang lebih baik, insyaAllah. Mohon teguran jika terdapat kekurangan =)