Friday, April 24, 2009

"Ku sangka panas sampai ke petang....

....tetapi hujan di tengahari". Kemudian kita pun cakap, "Habislah baju aku kat ampaian. Baru je sidai pagi tadi". Tetapi apakan daya, itu ketentuan Yang Maha Kuasa.

Post kali ini bukan mengenai ramalan kaji cuaca, tetapi mengenai cuaca kehidupan yang sukar diramal. Kadang-kadang sudah menjadi kebiasaan untuk kita menyangka apa akan terjadi selepas ini, burukkah? Atau baikkah???

Kebetulan dah habis seminggu exam dan ada masa rehat sebelum OSPE selasa nanti. Bila terbuka Friendster seorang rakan waktu sekolah dulu, tergerak hati nak tulis post kali ini. InsyaAllah, semoga ada sesuatu yang berguna untuk kita bersama.

Jika kita perhatikan, zaman selepas sekolah ini banyak merubah sikap seseorang. Waktu peralihan ini akan ramai yang hanyut dibuai keindahan dunia ini. Bukan saja saya lihat pada rakan-rakan saja, tetapi hakikatnya diri ini pun dah alaminya sendiri, sebab itu saya ingin sangat menulisnya.

Kadang-kadang, bila lihat kawan yang dulunya baik, waktu sekolah dulu jadi ahli badan agama lagi, tetapi bila sudah tamat sekolah, mereka pun terjebak dengan dunia "kasih-kekasih" ini. Mungkin kita hanya dari sekolah biasa. Tetapi bila dilihat yang dulunya sekolah agama pun terjadi perkara ini, maknanya, perkara ini memang fenomena yang tidak mengenal 'siapa orang itu dahulunya'.

Sesiapa saja boleh berubah, walaupun diri ini sendiri pernah merasakan 'aku budak baik', tetapi itulah kenyataan yang kita kena terima.

Allah berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.:
Katakanlah "Wahai manusia! Telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, sebab itu barang siapa mendapat petunjuk, maka sebenarnya (petunjuk itu) untuk dirinya sendiri. Dan barang siapa sesat, sesungguhnya kesesatan itu (mencelakakan) dirinya sendiri. Dan aku bukanlah pemelihara dirimu"
-surah Hud, ayat 108-

Syukur sangat-sangat sebab Allah masih tetapkan kita pada jalan yang betul. Bagi diriku, jika tidak disebabkan-Nya, tentu aku akan terus hanyut dan dibuai dengan keindahan dunia yang sementara ini.

Jika kita fahami ayat diatas, Allah katakan bahawa telah datang kepada kita kebenaran dari Tuhanmu, itulah Al-Quran dan agama Islam. Kita semuanya beragama Islam, mengucapkan 2 kalimah syahadah, malahan tercatat di I.C. bahawa kita ini beragama Islam. Tetapi, ianya tidak bermakna seseorang itu baik dan betul-betul beriman.

Dari kecil kita diajar membaca Al-Quran. Setiap hari kita membacanya, sebab kita diajar bahawa Al-Quran ini panduan hidup yang serba lengkap. Tetapi diri ini perasan bahawa saya sendiri tidak memahaminya, bagaimana saya ingin jadikannya sebagai panduan?? Saya akui waktu disekolah dulu memang tidak banyak pendedahan untuk memahami dan tadabbur Al-Quran. Bagi saya, mungkin inilah yang menyebabkan diri ini terhanyut.

Alhamdulillah, Dia masih sayangkan kita. Allah tidak hukum kita terus ketika kita sedang lupa dan leka, dan masih memberi kita peluang untuk berubah dan kembali ke jalan yang sebenar. Memang dirasakan diri ini sangat teruk dan tidak boleh dimaafkan, tetapi bila lama kelamaan kita minta petunjuk dari-Nya, baru diriku tahu bahawa aku dahulu sangat jahil dan imanku sangat lemah.

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa"
-surah Ali-Imran, ayat 133-

Tetapi, kita sudah menzalimi diri kita sendiri. Masih layakkah untukku mendapatkan syurga-Nya? Manakan tidak, waktu zaman berkasih-kasihan, siap berdua-duaan lagi. Jalan kehulu kehilir disebabkan 'sayang'nya pada insan yang cantik dimata. Pernah terdetik, "bahagianya ada orang yang disayangi", tetapi, kekal ke? Tidak juga. Macam-macam dugaan dalam mendapatkan kasih sayang manusia, tetapi hakikat-Nya, kasih sayang Tuhan tidak putus-putus pada hamba-Nya. Zalimnya diri ini....

"Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji dan menzalimi diri sendiri, segera mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui"
-surah Ali-Imran, ayat 135-

Inilah satu pengajaran untuk diriku. Ingin sangat kusampaikan kepada kawan-kawan yang masih terleka dengan keindahan kasih sayang manusia, tetapi baru hari ini diri penulis ini berani menyatakannya.

"Sungguh, telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah (Allah), kerana itu berjalanlah kamu di bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan (kebenaran)"
-surah Ali-Imran, ayat 137-

Bila ianya sudah berlaku pada diri kita, barulah kita tahu akan kebenaran yang dinyatakan Allah. Dalam ayat 137 diatas, Allah menyuruh kita memerhatikan bagaimana kesudahan orang yang mendustakan kebenaran yang dibawakan Rasulullah. Marilah kita sama-sama perhatikan, bahagiakah mereka, sejauh mana cinta itu boleh memberikan kebahagiaan.

InsyaAllah, semoga kelemahan diri ini dapat menguatkan diri pembaca. Semoga apa yang berlaku pada orang lain, tidak berlaku pada kita, dan janganlah kita putus dari memohon pertolongan Allah, Tuhan sekalian alam. =)

2 comments:

  1. setiap manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan.Syukur andainya diberi peluang untuk bertaubat dan memperbaiki kesalahan. Tiada cinta yang hakiki melainkan dengan Maha HAk dan Maha Tahu. Bukan Dia tak sayang apabila kita terleka dengan dunia, namun dsitu akan lahir pengajaran buat diri agar diri ini memahami erti seorang hamba yang sentiasa bergantung harap padaNYA.

    “Tiada yang dapat mengusir syahwat atau kecintaan pada kesenangan duniawi selain rasa takut kepada Allah yang menggetarkan hati, atau rasa rindu kepada ALLAH yang membuat hati merana”
    (IBNU ATHAILLAH)

    wallahualam

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah... time kasih lina...

    ReplyDelete