Sunday, May 3, 2009

Hujan !

Sebenarnya saya ingin menulis mengenai tajuk lain, tetapi cabaran ketika cuti ini menyukarkan saya untuk meluahkan idea-idea dengan baik. =)

Jadi bagi post kali ini, saya ingin kongsikan satu hadis dari Sahih Bukhari. Semoga sama-sama kita lapangkan fikiran dan sama-sama memahaminya, insyaAllah.

Dari Abu Musa r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda:
"Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutus aku untuk menyampaikannya, seperti HUJAN LEBAT jatuh ke bumi.

Bumi itu ada yang subur, menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput yang banyak.

Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga bergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan dia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak) dan untuk bercucuk tanam.

Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain, iaitu diatas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput.

Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama, yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya.

Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah, yang aku diutus untuk menyampaikannya."


Rasulullah membandingkan ilmu itu bagaikan hujan lebat, dan manusia pula adalah bumi dimana air hujan itu jatuh dan berkumpul. Berdasarkan dua ayat yang terakhir dari hadis ini, ilmu yang dimaksudkan ialah apa yang diturunkan Allah, iaitu Al-Quran. Terdapat 3 golongan manusia digolongkan oleh baginda.

Golongan pertama ialah bumi yang menerima hujan, menjadi subur dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Perumpamaan ini bagi orang yang mempunyai ilmu dan mengamalkan ilmunya itu. Mereka memahami ilmu itu sampai ke hati, dan mereka amalkan serta memberi kebaikan itu kepada orang lain seperti rumput dan tumbuh-tumbuhan yang dimaksudkan.

Golongan kedua pula ialah bumi yang menggenangkan air, tidak menumbuhkan tumbuhan tetapi masih boleh memberi manfaat dengan air yang dikumpulkannya. Bumi ini adalah sama dengan orang yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkannya, sebab itu dia tidak dapat menumbuhkan sesuatu. Namun, orang lain masih dapat mengambil manfaat darinya jika dia mengajarkan ilmu itu.

Golongan ketiga pula ialah bumi yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput, itulah orang yang tidak mahu menerima petunjuk yang diberikan Allah. Bukan saja diri sendiri tidak mendapat manfaat, malah orang-orang disekitarnya.

Jika tanah-tanah ini dilihat, kita pun pasti boleh menilainya dari segi fizikal juga. Bagi tanah yang subur, rumputnya menghijau, orang yang melihatnya pun berasa tenang. Tapi jika tanah yang berlopak-lopak dengan air, jika ianya kolam, pasti baik, tetapi jika ianya seperti tempat kerbau berkubang, pasti kurang senang kita melihat. Bagi tanah yang tidak menyerap air, tidak menakungkan air, tanah itu pasti kering, tiada tumbuhan dan rumput.

Marilah kita sama-sama menjadi golongan pertama. Kita manfaatkan ilmu-ilmu yang telah Allah berikan dan juga dari baginda Rasulullah s.a.w. Dalam khutbah terakhir, baginda memberitahu bahawa barang siapa berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadisnya pasti tidak akan sesat didunia ini. Dua inilah panduan yang perlu kita ikuti sentiasa, sepanjang hidup kita, agar mendapat kebahagiaan yang sebenar-benarnya.

Semoga dengan perkongsian ini, sama-sama kita fikirkan golongan mana kita berada. Semoga ilmu-ilmu yang Allah berikan, dapat kita sama-sama memahaminya, kita amalkan, dan kita gunakannya untuk memberikan manfaat kepada orang lain. =)

No comments:

Post a Comment