Saturday, May 16, 2009

Mencari cahaya yang menerangi...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


"Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Tuhan kamu, dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang"
-surah An-Nisa, ayat 174-

Cahaya yang dimaksudkan ialah Al-Quran yang diturunkan kepada kita semua. Allah berfirman 'Wahai manusia', bukan hanya kepada orang beriman, kerana Al-Quran itulah petunjuk bagi seluruh manusia.

"Sungguh, telah datang kepadamu cahaya dari Allah (Rasulullah s.a.w.), dan Kitab yang menjelaskan. Dengan Kitab itulah Allah memberi petunjuk kepada orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan Allah mengeluarkan orang itu dari gelap gelita kepada cahaya dengan izin-Nya, dan menunjukkan ke jalan yang lurus"
-surah Al-Maidah, ayat 15,16-

Memang, telah jelas kepada kita bahawa Al-Quran itu petunjuk, panduan hidup bagi manusia. Pernah tak kita terasa seperti Islam itu jauh dari kita? Bagi saya, memang saya pernah merasainya sendiri.

Saya memikirkan, macam mana Al-Quran itu dijadikan petunjuk, sedangkan aku membacanya tiap-tiap hari. Adakah ayatnya seperti mantera-mantera, sebab saya lihat orang buat air yasin, katanya boleh membuka hati. Tetapi kenapa orang yang minumnya masih tidak terbuka hatinya? Pelbagai persoalan pernah keluar dari diri ini.

Bagaimana cara sebenarnya untuk kita menjadikannya sebagai petunjuk? Saudara Hafiz Firdaus dalam bukunya "Marilah Berkenalan dengan al-Quran" ada menyatakan, faktor yang membezakan antara kemuliaan yang dicapai oleh umat Islam dahulu dan kehinaan yang dialami zaman kini, akan ditemui bahawa salah satu daripadanya ialah cara berinteraksi dengan al-Quran.

Umat Islam pada zaman Rasulullah hingga beberapa kurun selepas itu, benar-benar mengenali al-Quran dan menjadikan ia buku panduan bagi segala tindak tanduk mereka. Mereka tidak sekadar membaca al-Quran, tetapi juga menelaah, mempraktikkan dan berhujah dengannya.

Berbeza dengan umat Islam masa kini, boleh dikatakan majoriti daripadanya hanya membaca al-Quran. Itupun adakalanya berpuas hati sekadar dengan beberapa surah saja. Umat Islam masa kini tidak mengenali al-Quran, jauh sekali daripada menjadikannya sebagai panduan kehidupan.

Dalam ayat 15 surah Al-Maidah diatas, pada awalnya Allah berfirman:
"Wahai Ahli Kitab! Sungguh, Rasul Kami telah datang kepadamu, menjelaskan banyak hal dari isi Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak pula yang dibiarkannya". Kemudian bersambunglah dengan ayat diatas tadi. Semoga kita tidak menyembunyikan dan membiarkan isi Kitab yang diturunkan kepada umat Islam, iaitu Al-Quran.

Post kali ini bukan ingin mengkritik sesiapa, cuma ingin mengajak kita berfikir, 'Sejauh manakah kita menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk?', dan sama-sama kita memperbaiki diri kita. InsyaAllah pada post akan datang saya akan kongsikan sedikit bagaimana sebenarnya kita menjadikan Al-Quran itu sebagai panduan. Mohon teguran atas salah silap. =)

No comments:

Post a Comment