Tuesday, June 30, 2009

Refleksi diri


Mengapa begitu mudah kita menyalahkan seseorang? Takdir? Setiap yang berlaku dalam hidup ini, begitu sukar untuk kita tunjukkan bahawa ianya disebabkan oleh diri kita sendiri. Kenapa??

Ramai orang yang tidak nampak apa kelemahannya, dan ada juga yang tidak mahu meletakkan kesalahan itu pada dirinya sendiri. Jika tiada orang yang boleh disalahkan, takdir pula menjadi mangsa. Itulah kita, manusia yang sungguh lemah, dan tidak mahu meletakkan diri dibawah.

"Sungguh, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh! Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah, dan apabila mendapat kebaikan, dia jadi kikir."
-surah Al-Ma'arij, 70: 19-21-

Setiap musibah, dan peristiwa buruk yang berlaku pada kita, merupakan ujian dari Allah. Jika kelemahan itu dapat kita kesan dan atasinya, merekalah yang berjaya dalam ujian itu. Tetapi, kita selalu tidak nampak kelemahan itu, dan disebabkan itu juga kita meletakkan kesalahan pada orang lain. Kita rasa sedih, kecewa.

"Dan mengapa kamu (hairan) ketika ditimpa musibah (kekalahan), padahal kamu telah menimpakan musibah dua kali ganda (kepada musuhmu), kamu berkata, "Dari mana datangnya kekalahan ini?" Katakanlah, "Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri." Sungguh, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
-surah Ali-Imran, 3: 165-

Begitu sekali Allah Taala ajarkan kepada kita, supaya meletakkan kelemahan itu pada diri kita sendiri. Kita tidak layak untuk menyalahkan orang lain, dan kita diajar untuk bermuhasabah. Renungkan, dan berfikir, 'dimanakah kesilapanku?', 'apa yang kurang pada diriku?', 'sudah cukup baikkah aku?'

"Kebaikan apa pun kamu peroleh, adalah dari sisi Allah, dan keburukan apa pun yang menimpamu, itu adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Kami mengutusmu (Muhammad) menjadi rasul kepada (seluruh) manusia. Dan cukuplah Allah yang menjadi saksi."
-surah An-Nisa, 4: 79-

Janganlah kita sombong dan berbangga diri, janganlah mudah menyalahkan orang lain. Marilah kita sama-sama refleks diri kita terlebih dahulu, muhasabah. InsyaAllah, jika benar kita mencari keredhaan Allah, kita akan dapat jawapannya.

"Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga terdekat dan jauh, rakan sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri."
-surah An-Nisa', 4: 37-

Sunday, June 21, 2009

Teruskan memberi =)

hi-bloom

Dari Hakim bin Hizam r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda,
"Tangan yang di atas (memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (menerima atau meminta). Maka kerana itu, mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Siapa yang mohon dipelihara (agar dia tidak sampai meminta), Allah akan memeliharanya, dan siapa yang mohon dicukupkan (agar tidak bergantung pada orang lain), Allah akan mencukupkannya"
-Riwayat Imam Bukhari-

Allah menuntut hamba-Nya memberi daripada menerima mahupun meminta-minta. Secara tidak langsung, tuntutan hadis ini supaya kita berusaha dengan sendiri daripada meminta rezeki daripada orang lain. Walau susah bagaimana pun, teruskan berdoa dan meminta hanya pada Allah.

Kemudian Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya mulakan memberi sedekah kepada keluarga kita. Ini kerana ahli keluarga yang paling dekat dan mudah untuk kita membuat pahala bersedekah. Tuntutan ini juga, supaya kita tidak mengabaikan keluarga, tidak membiarkan mereka kesusahan. Kemudian barulah kita sedekahkan kepada saudara, rakan-rakan dan orang sekeliling.

Diajar lagi kepada kita, supaya kita memberi sedekah itu ketika kita senang. Ini secara tidak langsung supaya kita tidak lupa akan mereka yang susah, apatah lagi terhadap pemberi rezeki kita Yang Maha Agung, agar kita bersyukur.

Kemudian, apabila memberi itu, Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya memohon kebaikan daripada Allah. Minta perlindungan dijauhkan dari meminta dan kesusahan kelak, agar sentiasa dirahmati Allah Taala.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, ada seorang lelaki berkata, "Saya akan bersedekah."

Lalu ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan seorang pencuri. Orang ramai memperkatakan, "Ada pula orang bersedekah kepada pencuri."

Orang yang bersedekah itu berkata, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah."

Lalu ia keluar membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya kepada seorang perempuan pelacur. Orang ramai memperkatakan, "Semalam ada orang memberikan sedekah kepada wanita pelacur."

Orang itu berkata, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah."

Ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan orang kaya. Orang ramai memperkatakan pula, "Rupanya orang kaya pun menerima sedekah juga."

Kata orang yang memberi sedekah, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya berikan sedekah saya kepada pencuri, kepada wanita pelacur, dan kepada orang kaya."

Kemudian ia bermimpi. Rasanya ada malaikat yang mengatakan kepadanya, "Sedekah engkau kepada pencuri, semoga menyebabkan ia berhenti mencuri. Sedekah engkau kepada pelacur, semoga menyebabkan ia berhenti melacur. Dan sedekah engkau kepada orang kaya, semoga menyedarkannya dan mendorongnya untuk menafkahkan apa yang diberikan Allah kepadanya."

-Riwayat Imam Bukhari-

Bersedekahlah kepada mereka yang baik mahupun tidak, dan teruskanlah berbuat baik dan jangan berputus asa. Semoga sedekah itu akan memberikan kebaikan kepada mereka, dan Allah akan membalas setiap kebaikan itu, insyaAllah.

Selamat Ber'amal!!! =)

Saturday, June 20, 2009

Blog baru..

Alhamdulillah, untuk kawan-kawan pembaca dan follower, saya dah buat satu blog baru.
Blog baru itu saya khususkan pada perubatan, terutamanya perubatan alternatif. InsyaAllah, niat asalnya untuk berkongsikan ilmu yang tak seberapa, agar dapat bermanfaat kepada kawan-kawan.

Tergerak hati untuk membuat blog baru ini disebabkan ramai yang kurang kesedaran mengenai pentingnya menjaga kesihatan waktu muda ini, sebelum ditimpa penyakit dan musibah. Memang semuanya ketentuan Allah Taala, tapi kita sebagai hamba-Nya turut perlu menjaga jasad yang dipinjamkan ini, apatah lagi dalam menghadapi hidup yang penuh dengan ujian-ujian.

Saya akui, orang-orang yang saya kenal pun ada yang sudah jatuh sakit. Tapi sayangnya, dalam usia yang muda sudah mendapat kanser, ketumbuhan. Kebanyakannya disebabkan tidak tahu, kadang-kadang tidak mahu ambil tahu. Jadi saya harapkan, dengan perkongsian ilmu itu, dapat kita lebih berhati-hati, insyaAllah. Perubatan alternatif ini bukan bulat-bulat untuk tidak menyokong perubatan moden, tapi sebagai alternatif lain. Mungkin jika ikut perubatan moden, kita perlu buang ketumbuhan itu, perlu 'suppress' dan matikan sel itu, tapi ada juga alternatif lain, iaitu kita merawat secara perlahan-lahan dengan membetulkan sel-sel tersebut.

Alhamdulillah, walaupun masih belajar untuk menjadi doktor, apa salahnya jika saya kongsikan ilmu kepada orang lain. Setiap orang ada kelebihan masing-masing. Jadi apa yang saya tahu, saya kongsikan kepada kawan-kawan, insyaAllah kerana Allah Taala. Saya berharap niat saya ini tidak berubah, dan terus-menerus menyampaikan yang benda baik.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda, "Bagi setiap penyakit yang diturunkan Allah, ada ubat yang juga diturunkan-Nya"
-riwayat Imam Bukhari-

http://munir0813.blogspot.com/

Monday, June 15, 2009

Stress!!!

Hidup sekarang makin penuh dengan stress, tekanan belajar, tekanan kerja. Tetapi sedar tak sedar, makin ramai juga yang jatuh sakit. Badan jadi lemah, sakit sana sini, malah yang lebih teruk apabila di sahkan menghidap penyakir kronik mahupun kanser.

Mungkin bukan diri saya yang mengalaminya, tetapi ianya berlaku pada orang yang saya rapat dan kenal. Kesan stres ini bukan saja dari segi biologi, ianya juga memberi kesan kepada jiwa dan sikap seseorang. Ramai orang akan berubah kerana stres, sama ada kearah yang baik atau sebaliknya. Malah, merokok juga sesetengah orang katakan kerana ingin hilangkan stres.

Jadi saya ingin kongsikan sedikit "ubat" kepada stres. Pertamanya, kembali kepada Al-Quran yang Allah turunkan.

"Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu pelajaran (Al-Quran) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman"
-surah Yunus, 10: 57-

Penyakit yang di maksudkan oleh Allah itu bukanlah sakit jantung kerana merujuk kepada 'dada', tetapi penyakit jiwa, sikap seseorang itu sendiri. Kajian mendapati, kebanyakan penyakit adalah disebabkan sikap seseorang itu sendiri, bagi kawan yang belajar M&S, perkara ini pun penah ditekankan dalam kuliah.

Dari sikaplah yang membentuk cara hidup seseorang, samada menjadi malas, pengotor, atau sebaliknya. Pemilihan pemakanan pun bergantung pada diri sendiri. Ada yang tidak suka makan ubat mahupun makanan tambahan, ada pula yang suka makan ikut orang tanpa tahu baik buruknya.

Bagaimana Al-Quran menjadi ubat? Jika kita memahami dengan betul, setiap ayat-ayat Al-Quran itu sentiasa memandu kita kearah kebaikan. Allah menekankan supaya hamba-Nya beriman kepadaNya, dan yakin dengan balasan baik yang dijanjikanNya. Jika seseorang itu betul-betul beriman, dan ikut sebagaimana disuruh Allah, dia pasti akan menemui ketenangan.

"...Janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takulah kepada-Ku, agar Aku sempurnakan nikmat-Ku kepadamu, dan agar kamu mendapat petunjuk"
-surah Al-Baqarah, 2: 150-

"Adakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan kegoncangan sehingga rasul dan orang-orang beriman berkata,'Kapankah datang pertolongan Allah?' Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat"
-surah Al-Baqarah, 2:214-

Cuba lihat, bagaimana Allah memberikan kata-kata semangat kepada hamba-Nya yang beriman. Allah sentiasa memberikan khabar gembira kepada mereka yang bersabar, yang sentiasa yakin dengan pertolongan Allah. Adakah bila kita yakin dengan pertolongan Tuhan itu, kita masih perlu takut, resah, dan tertekan??? Tepuk dada, tanyalah iman.

Solat juga membina jati diri seseorang. Imam Abu al-Aliyah berkata, "Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan itu adalah ikhlas, khusyuk, dan zikrullah. Ikhlas membawa seseorang itu kepada makruf, khusyuk akan mencegahnya daripada perbuatan mungkar, dan zikrullah dapat membantunya melakukan yang makruf dan mencegahnya dari yang mungkar."

Hal ini disebutkan di dalam Tafsir al-Azhar oleh Prof Hamka. Jati diri yang terbina di atas landasan keikhlasan hati, kekhusyukkan minda dan zikrullah mampu menjadikan seseorang hebat di penjurunya.

Jadi, marilah kita mengelakkan diri kita dari stress dengan dua perkara ini, Al-Quran dan solat. Apabila hidup tanpa stres, kesihatan pun sudah pasti terjamin, insyaAllah.

"iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram"
-surah Ar-Rad, 13: 28-

Kenapa? Kenapa? Kenapa?

"Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikan sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan, dan Kami berikan Nabi Isa ibn Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Rohulqudus (Jibril) dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka ada di antara mereka, orang yang beriman dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan, tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya"
-Al-Baqarah, 2: 253-

Jika Allah menghendaki, tentulah umat-umat yang diutus rasul kepada mereka tidak akan berbunuh-bunuhan selepas para rasul menyampaikan keterangan, malah dengan mukjizat yang membuktikan bahawa mereka adalah benar dan wajib diikuti. Tetapi, kenapa masih berlaku perbalahan dan perselisihan faham??

Jika Allah tidak menghendaki mereka berbunuh-bunuhan, tentulah mereka akan mengikut para rasul dan menerima kebenaran daripada Tuhan. Walaubagaimanapun, mereka dibiarkan dan diberi kebebasan untuk berfikir, meneliti, dan memahami dengan menggunakan akal yang diberikan, agar mereka dapat memilih jalan yang baik dan jalan bahagia dengan kerelaan sendiri.

Sayangnya, mereka tidak berfikir dengan waras, malah mencetuskan sengketa dalam menerima agama. Ada di kalangan mereka yang beriman dengan apa yang disampaikan oleh para rasul, ada juga yang kufur.

Jika Allah menghendaki, sekalipun kecenderungan, kemahuan dan keinginan mereka bercanggah, nescaya mereka tidak akan berbalah antara satu sama lain. Akan tetapi Allah melakukan apa sahaja dan menghukum serta menetapkan apa yang Dia mahu. Semua itu adalah ketentuan qada' dan qadarNya.

Saya kongsikan tafsir dari Tafsir Al-Munir ini agar kita memahami, kenapa masih terdapat perselisihan pendapat walaupun telah diberikan Al-Quran dan hadis Rasulullah kepada kita semua. Walaupun ayat di atas di maksudkan pada kaum yang lain, tetapi kita boleh lihat kebenarannya pada agama kita sendiri. Sama-samalah kita berdoa agar kita tergolong dalam hamba-hambaNya yang beriman dan berada di jalan yang benar, insyaAllah.

Friday, June 12, 2009

Berhati-hati dengan media

Baru-baru ini saya terbaca buletin yang ditulis oleh kawan di friendster, mengenai ubat gigi. Kemudian saya terlihat iklan oleh Colgate yang jelas mempersendakan ubat gigi Mu'min yang tidak mengandungi flouride. Jadi, saya tertarik untuk mendekati isu ini dan ingin kongsikan sedikit ilmu, semoga kita sama-sama mengkaji dan menambah pengetahuan yang ada.

Flouride digunakan dalam kebanyakan ubat gigi kerana kajian mendapati ianya dapat mencegah kaviti pada gigi, malah membantu proses remineralisation. Tidak hairanlah kenapa Colgate mempersendakan ubat gigi tanpa flourida. Tetapi, janganlah terlalu cepat kita membuat keputusan. Mari kita mengkaji pula pendapat pihak lain yang tidak ingin menggunakan flourida dalam ubat gigi mereka.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengeluarkan fakta di laman web mereka mengenai Ancaman Bahaya Flourida. Dahulu terdapat kes berlakunya kematian seorang budak disebabkan ubat gigi berflourida. Flourida juga didapati boleh menyebabkan "Dental Flourosis" pada kanak-kanak di bawah umur 4 tahun, mempunyai kesan Neurotoxicity dan boleh menyebabkan kanser.

http://www.muslimconsumer.org.my/fluorida/
http://www.fluoridealert.org/fluoride-facts.htm

Di Amerika terdapat satu percanggahan mengenai penambahan flourida dalam air untuk dibekalkan pada rakyat, ada pihak yang menyokong dan ada pihak yang membantah. Seperti Flouride Action Network (FAN) merupakan salah satu organisasi yang menegakkan betapa bahaya flourida ini terhadap kesihatan.

Apabila saya membaca satu artikel mengenai "Dental Flourosis", saya mendapati bahawa ianya terjadi apabila kandungan flourida melebihi dos-dos tertentu. Ianya kerap berlaku pada kanak-kanak di antara umur 1 hingga 4 tahun, dan ada juga didapati pada kanak-kanak berumur 8 tahun, mengikut kandungan flouridanya.
http://medicinaoral.com/medoralfree01/v14i2/medoralv14i2p103.pdf

Kandungan flourida yang diperlukan oleh setiap individu adalah berbeza mengikut tahap kesihatan masing-masing. Tidak semua orang sesuai untuk mengambil flourida, terutama pada kanak-kanak. Perhatian terhadap kanak-kanak perlu diambil berat kerana mereka masih dalam proses pembesaran, malah di antara mereka yang termakan ubat gigi tersebut.

Sebenarnya didalam makanan kita sudah mengandungi flourida yang diperlukan oleh badan. Susu ibu juga mengandungi flourida, tetapi pada kandungan yang sangat rendah, sebab itu ianya tidak merbahaya. Apabila kita lihat kesan-kesan buruknya lebih banyak dari kebaikan, saya menasihatkan agar kita kurangkan dan jauhi ubat gigi yang berflourida. Memang ianya baik untuk gigi, tetapi tidak bermakna jika gigi sihat tetapi kesihatan kita terganggu secara tidak disedari.

Jadi, saya mohon teguran jika ada salah silap dalam post ini. Semoga kita sama-sama berhati-hati dalam kehidupan kita agar tidak mudah untuk ikut dengan sesuatu yang tidak kita tahu.

Bacalah juga artikel di bawah ini.

http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/page.php?14


blogtokguru

Thursday, June 11, 2009

Bersederhana

Tidak berlebih-lebih dan tidak terlalu sedikit dalam beribadat, itulah yang dituntut oleh Rasulullah s.a.w. Kita ikutlah sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda. InsyaAllah post kali ini, saya kongsikan sedikit hadis-hadis dari Shahih Bukhari dan dari Riyadus Shalihin oleh Imam Nawawi, semoga dapat dijadikan sebagai peringatan bersama.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barang siapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu, kerjakanlah menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam"
-riwayat Bukhari-

Dikalahkan oleh agama bermaksud menjadi lemah dan malas beribadat dan beramal. Bukan saja amal ibadat yang berat, malah yang ringan pun dia tidak akan sanggup amalkan kelak. Umpama orang yang terus menerus solat, sudah tentu badannya akan menjadi lemah dan dia tidak akan mencari nafkah hidupnya.

Pada riwayat Imam Bukhari yang lain disebutkan, "Berlaku luruslah, lakukanlah yang sederhana, pergilah diwaktu pagi, juga diwaktu petang serta disebahagian malam. Berbuatlah sederhana, tentu engkau akan sampai pada tujuannya"

Imam Nawawi mengatakan, maksudnya ialah hendaklah engkau semua memohonkan pertolongan untuk melakukan ketaatan kepada Allah Azzawajalla itu dengan melakukan pelbagai amalan di waktu engkau semua dalam keadaan bersemangat, serta hati dalam keadaan lapang, sehingga dengan demikian, engkau semua akan merasa lazat (gembira) melakukan ibadah tadi, dan tidak akan merasa bosan. Juga dengan itu, apa yang dimaksudkan sudah pula tercapai.

Ini adalah seperti seseorang yang ingin pergi ke suatu tempat, ia tentu berangkat dalam keadaan seperti di atas dan ia berehat, baik dirinya maupun kenderaannya, apabila sudah penat ataupun hati kurang sedap. Dengan demikian dapatlah ia mencapai tujuannya tanpa terlalu penat dan tertekan. Wallahu'alam.

Dari Aisyah r.a. katanya, "Biasanya Rasulullah s.a.w. apabila menyuruh para sahabatnya, disuruh mereka mengerjakan amal-amal yang mereka sanggup mengerjakannya"

Lantas mereka berkata, "Ya Rasulullah! Kami ini tidak seperti anda, Allah s.w.t telah mengampuni dosa anda yang telah lalu dan yang akan datang"

Mendengar ucapan mereka itu Nabi s.a.w. marah, sehingga kelihatan tanda marah dimukanya.

Sabda beliau, "Sesungguhnya yang paling taqwa dan yang lebih alim tentang Allah di antara kamu semua ialah aku"

-riwayat Bukhari-

Maksud ucapan para sahabat itu, ialah supaya mereka disuruh oleh Nabi s.a.w. untuk mengerjakan amal yang lebih berat, supaya mereka dapat pahala yang lebih banyak untuk menghapus dosa-dosa mereka yang banyak. Menurut kefahaman mereka, amal yang ringan itu hanya di buat oleh orang-orang yang telah diampuni Allah seperti rasul-rasul.

Sebenarnya, perintah yang telah diberikan Nabi s.a.w. kepada mereka adalah perintah Allah, walaupun ringan untuk dikerjakan, tetapi pahalanya banyak. Nabi s.a.w. sesungguhnya tahu tentang hal itu, sebab itu baginda berkata seperti dalam hadis diatas.

Dari Abu Juhaifah, iaitu Wahab bin Abdullah r.a. katanya, "Nabi s.a.w. mempersaudarakan antara Salman dan Abuddarda'- maksudnya keduanya disuruh berjanji untuk berlaku sebagai saudara."

Salman pada suatu hari ketika menziarahi Abuddarda', ia melihat Ummud Darda' (isteri Abuddarda') mengenakan pakaian yang serba kusut, yakni tidak berhias sama sekali. Salman bertanya kepadanya, "Mengapa saudari berkeadaan sedemikian?"

Wanita itu menjawab, "Saudaramu iaitu Abuddarda' itu sudah tidak ada hajatnya lagi pada keduniaan, maksudnya, sudah meninggalkan keduniaan, baik terhadap wanita dan lain-lain"


Dalam riwayat Addaraquthni, lafaz Fiddunyaa diganti dengan lafaz Fi nisaid dunyaa, ertinya tidak ada hajatnya lagi pada kaum wanita di dunia ini. Sementara itu dalam riwayat Ibnu Khuzaiman, ditambah pula dengan kata-kata Yashuumun nahaar wa yaquumullail, ertinya ia berpuasa pada siang harinya dan terus bersolat pada malam harinya.

Abuddarda' lalu datang, kemudian ia membuatkan makanan untuk Salman. Setelah selesai, Abuddarda' berkata kepada Salman, "Makanlah kerana saya berpuasa."

Salman menjawab, "Saya tidak akan suka makan sehingga engkau pun makan." Abuddarda' lalu makan.

Setelah malam tiba, Abuddarda' mulai bangun. Salman berkata kepadanya, "Tidurlah!" Ia tidur semula. Tidak lama kemudian, bangun lagi dan Salman berkata pula, "Tidurlah!" Kemudian setelah tiba akhir malam, Salman lalu berkata pada Abuddarda', "Bangunlah sekarang!" Keduanya ters bersembahyang.

Seterusnya Salman lalu berkata, "Sesungguhnya untuk Tuhanmu itu ada hak atas dirimu, untuk dirimu sendiri juga ada hak atasmu, untuk keluargamu pun ada hak atasmu. Maka berikanlah kepada setiap yang berhak itu akan haknya masing-masing."

Pada paginya, Abuddarda' mendatangi Nabi s.a.w. kemudian menyebutkan peristiwa semalam itu, lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Salman benar ucapannya."

-riwayat Bukhari-

Imam Nawawi menerangkan berdasarkan hadis ini, syariat agama Islam memerintahkan kaum Muslimin agar antara seorang dengan yang lainnya perlu berbaik seperti saudaranya sendiri dan bukan semata-mata kerana benda lain, tetapi hanya untuk mengharapkan keredhaan Tuhan. Juga memerintahkan agar saling mengunjungi kerana Allah, demikianlah pula bermalam dirumah saudaranya.

Disamping itu, syariat membolehkan seseorang lelaki bercakap dengan wanita lain yang bukan mahramnya, bilamana betul-betul ada keperluan yang penting untuk berbuat demikian.

Selain itu, dalam hadis ini pula terdapat anjuran yang menekankan antara seorang muslim dengan muslim yang lain, hendaklah sentiasa nasihat menasihati dengan cara yang baik, mengingatkan yang lupa dan lalai dalam melaksanakan perindah Allah.

InsyaAllah, semoga kita dapat amalkan kesederhanaan dalam hidup dan amalan kita. Islam itu mudah, dan janganlah kita perberatkan, tetapi juga tidak bermaksud kita boleh mengambil ringan dengan perintah Allah itu. Jadi, sama-samalah kita menjaga amal ibadat kita, moga mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Jika dalam beribadat pun ada kesederhanaan, dalam kehidupan pun begitu jua. Janganlah kita terlalu mengejarkan keduniaan sehingga lupa pada tujuan hidup. Cukuplah besederhana dalam mencari rezeki, tidak perlu bermewah-mewah. Jika ada rezeki yang banyak, hulurkan pada mereka yang kekurangan, itulah yang dituntut oleh Allah. Wallahualam...

Monday, June 8, 2009

Apa yang ada.....

...kita bersyukurlah. Tidak semua yang kita ada, orang lain ada. Tetapi kadang-kadang kita terlupa akan nikmat-nikmat yang kita dapat, dan masih inginkan yang lebih baik lagi dari itu.

Sesetengah orang masih merasakan dirinya tak cukup cantik, belum cukup mewah dengan kekayaan dunia. Sehingga ada yang sanggup suntik, buat pembedahan untuk mendapatkan wajah yang diidamkan. Sedangkan Allah telah memberi yang sebaik-baiknya, walaupun lain dari orang lain.

"dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu"
-surah At-Talaq 65: ayat 3-

Ada juga yang sentiasa merasakan tidak cukup dengan rezeki dan kesenangan yang diberi. Apabila melihatkan orang lain lebih darinya, ada yang sanggup berlumba-lumba. Persaingan katanya, tetapi di hati terdapat iri hati dan perasaan kurang senang melihat kelebihan orang.

"Sungguh, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah, dan apabila mendapat kebaikan, dia jadi kikir"
-surah Al-Ma'arij 70: ayat 19-21-

Siapakah kita? Perlukah kita berbangga dengan kenikmatan dunia, yang hanya dipandang oleh mata manusia. Sedarkah kita ini diciptakan, oleh Yang Maha Esa, yang mana kita sering lupakan-Nya apabila sibuk dengan urusan dunia.

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, agar kamu bersyukur"
-surah An-Nahl 16: ayat 78-

Agar kamu bersyukur, itu yang dikatakan Allah dalam Al-Quran yang suci. Jika kita fikir-fikir kembali, masih terdapat saudara kita yang tidak dapat mendengar, ada yang tidak dapat melihat, tetapi kita kadang-kadang masih susah nak rasakan kesyukuran itu. Mungkin kita masih belum cukup dididik untuk bersyukur atas setiap yang ada.

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat"
-surah Ibrahim 14: ayat 7-

MasyaAllah, sekali lagi peringatan dari Allah buat kita. Betapa beratnya azab Allah, apabila kita kufur dengan nikmat yang diberi-Nya. Moga kita dijauhkan dari kemurkaan Allah.

Marilah kita sama-sama bersyukur dengan segala apa yang kita ada, walaupun sekecil-kecil zarah. Sama-sama kita tunduk, sujud kepada Allah atas setiap kesenangan yang kita perolehi, walaupun tidak sebaik orang lain. InsyaAllah, setiap kali kita berdoa kepada-Nya, Allah akan beri yang lebih baik, dari bentuk yang kita tak sangka-sangka. =)

Friday, June 5, 2009

Perjalanan dimalam hari.

Disini ingin saya kongsikan satu hadis yang baru sahaja saya baca sebenarnya. Jika sebelum ini saya tak banyak bercerita, jadi kali ini saya ambil hadis ini kerana ianya satu cerita, menceritakan mimpi Rasulullah s.a.w, yang baginda ceritakan kepada sahabatnya. Moga kita dapat sama-sama ambil pengajaran daripada hadis ini, insyaAllah.

Dari Samurah bin Jundab r.a. katanya: "Pada suatu ketika setelah solat, Nabi s.a.w. menghadapkan mukanya pada kami, lalu bersabda: "Siapa di antara kamu yang bermimpi semalam?"

Kata Samurah, siapa yang bermimpi, diceritakannya mimpinya itu kepada beliau. Kata beliau (Nabi s.a.w.), "MasyaAllah!"

Kemudian pada suatu hari beliau bertanya pula, "Adakah di antara kamu yang bermimpi semalam?". Jawab kami, "Tidak!"

Kata Nabi s.a.w. "Tetapi aku bermimpi semalam. Dua orang lelaki datang kepadaku, lalu keduanya memegang tanganku dan membawaku ke negeri suci. Di sana, aku melihat seseorang sedang duduk dan yang seorang lagi berdiri dengan sepotong besi berkait (Kalub) di tangannya.

Para sahabat kami dari Musa menceritakan, "Lelaki itu memasukkan kalub ke pipinya sampai kekuduk, kemudian ditusuk pula pipinya yang sebelah seperti itu juga, sehingga kedua pipinya bertemu. Kemudian pipinya itu kembali pula seperti biasa. Begitulah perbuatan itu dilakukannya berulang-ulang"

Aku (Nabi s.a.w.) bertanya, "Apakah ini?". Keduanya menjawab, "Teruslah berjalan!"

Maka kami berjalan terus, hingga bertemu dengan seorang lelaki yang sedang tidur telentang dan seorang lagi berdiri di kepalanya memegang sebuah batu. Maka dilemparkan kepala orang yang tidur dengan batu itu lalu pecah, dan batu itu terpelanting. Si lelaki itu pergi mengambil batunya, tetapi belum sampai ia kembali ke tempatnya semula, kepala yang pecah tadi telah kembali seperti biasa. Perbuatan itu dilakukannya terus-menerus.


"Siapa ini?" tanyaku (Nabi s.a.w.). Jawabnya, "Teruslah berjalan!"

Kami terus berjalan dan bertemu dengan sebuah lubang seperti tungku, di atasnya sempit dan di bawahnya lapang, dan di dalamnya api menyala-nyala. Waktu mereka dekat ke api yang terus naik ke atas, mereka hampir terlempar ke luar, dan apabila api padam, mereka jatuh ke bawah. Di dalamnya ada kaum lelaki dan wanita bertelanjang.

Aku (Nabi s.a.w.) bertanya, "Siapa pula ini?" Sahutnya, "Berjalanlah terus!"

Kami berjalan terus, hingga sampai ke sebuah sungai darah. Seorang lelaki berdiri di tengah sungai itu, dan di pinggirnya ada seorang lelaki memegang batu. Apabila orang yang di dalam sungai hendak keluar, ia dilempar ke mulutnya oleh orang yang memegang batu di pinggir sungai itu, dan batu itu memantul dan ditangkap kembali oleh si pelempar. Demikianlah seterusnya, tiap kali orang yang dalam sungai hendak keluar, dilemparkan orang ke mulutnya dan ia kembali ke tempatnya semula.

Tanyaku, "Siapa pula itu?" Jawabnya, "Teruslah berjalan!"

Kami berjalan terus hingga sampai di sebuah kebun yang menghijau. Dalam kebun itu ada sebatang pohon besar. Pada pohon itu kelihatan seorang tua dan beberapa orang anak-anak, dan seorang lelaki sedang menyalakan api berdekatan pohon di hadapannya.

Kedua-dua lelaki tadi membawaku naik ke atas pohon dan terus masuk ke sebuah rumah indah yang belum pernah aku melihat seindah itu. Di sana aku melihat beberapa orang lelaki dewasa, pemuda, wanita dan anak-anak. Keluar dari situ, aku terus dibawa naik ke sebuah rumah yang lebih indah lagi dari yang tadi. Di situ banyak kelihatan orang dewasa dan pemuda.

Kataku, "Telah tuan-tuan bawa aku keliling malam ini. Sekarang ceritakanlah kepadaku apa yang telah kulihat sejak tadi."

Jawab keduanya, "Ya, baiklah! Ada pun orang yang menusuk pipinya, ialah pembohong. Ia menceritakan kebohongan, lantas diterima orang dan tersiar ke mana-mana. Begitulah ia diperlakukan sampai hari kiamat.

Orang yang Tuan lihat kepalanya pecah dilempar dengan batu, ialah orang yang diajarkan Allah kepadanya Al-Quran, lantas ia tidur saja malam hari dan tidak pernah mengamalkannya waktu siang hari. Ia diperlakukan sebegitu hingga hari kiamat nanti.

Orang-orang yang Tuan lihat berada di dalam lubang, ialah penzina-penzina.

Orang-orang yang berada di dalam sungai, ialah orang yang memakan riba.

Orang tua yang berada di pohon, ialah Nabi Ibrahim a.s. dan anak-anak yang berada di kelilingnya ialah anak orang ramai, dan orang yang menyalakan api ialah malaikat Malik penjaga neraka.

Rumah yang mula-mula Tuan masuki itulah tempat umum kaum Muslimin, sedangkan tempat ini (rumah yang lebih indah) khas bagi para Syuhada.

Saya adalah Jibril, dan ini Mika'il. Angkatlah kepala Tuan!"

Maka kuangkat kepalaku, kebetulan di atasku ada seperti awan. Keduanya berkata, "Itulah tempat Tuan."

Kataku, "Biarkanlah aku ke sana." Jawabnya, "Sekarang masih ada sisa usia Tuan. Nanti kalau sudah cukup masanya, Tuan akan pergi ke tempat Tuan itu."

Hadis ini saya petik dari Terjemahan Hadis Shahih Bukhari. Terdapat sedikit bahasa Indonesia yang digunakan, tetapi diharapkan pembaca masih boleh memahami hadis yang saya kongsikan ini.

Semoga cerita daripada hadis ini dapat kita ambil pengajaran yang berguna. Jauhkanlah diri dari menipu, amalkanlah pengajaran yang kita dapat dari Al-Quran, jauhi zina, jauhi riba dan siksaan api neraka. Sama-sama kita berdoa, dan terus berbuat kebaikan, agar kita dapat memasuki rumah kedua yang dipenuhi para Syuhada itu, insyaAllah. =)

Tuesday, June 2, 2009

Belum cukup baik lagi....

Hmmm...tak nak la jadi baik sangat, nanti orang cakap aku poyo pulak. Jahat sangat pun tak nak jugak, nanti orang benci. Jadi orang biasa-biasa je...

Pernah beberapa kali saya mendengar orang berkata sedemikian. Betul ke kita boleh jadi orang 'biasa-biasa' je? Apa yang saya tahu, bahawa pengakhiran hidup kita ada dua, sama ada syurga, ataupun neraka. Jadi, 'biasa-biasa' ini dimana pula? Mungkin perlu merasai neraka dulu kemudian baru ke syurga? Allah lebih mengetahui.

InsyaAllah post kali ini saya ingin kongsikan satu hadis Rasulullah s.a.w. yang saya petik dari buku terjemahan Shahih Bukhari. Semoga dengan perkongsian ilmu ini, kita dapat fahami, dan kita jadikannya sebagai pendorong kita untuk terus melakukan amal kebaikan, insyaAllah kerana Allah Taala.

Dari Ali r.a. katanya: "Kami menghadiri pemakaman Baqi' Gharqad. Ketika Nabi s.a.w. tiba, beliau terus duduk dan kami pun duduk pula di sekeliling beliau. Di tangannya ada sebuah tongkat. Beliau merunduk dan menggaris-garis tanah dengan tongkat itu.

Kemudian beliau bersabda, "Tiap-tiap orang hidup dituliskan Allah tempatnya di syurga atau di neraka. Dituliskan juga apakah dia celaka atau bahagia"

Bertanya seseorang, "Ya Rasulullah! Tidak bolehkah kami menyerah saja kepada kitab kami, sehingga kami tidak perlu beramal?? Siapa di antara kami termasuk bahagia, sendirinya ia akan mengamalkan amal bahagia, dan orang yang ditulis celaka akan beramal celaka."

Nabi s.a.w. menjawab, "Ada pun orang yang bahagia, ialah mereka yang dimudahkan Allah melakukan amal bahagia, dan orang yang celaka ialah orang yang mudah melakukan amal celaka."

Kemudian Nabi s.a.w. membaca firman Allah s.w.t. :

"Maka barang siapa memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga),maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kemudahan (kebahagiaan).

Dan ada pun orang yang kikir dan merasa dirinya cukup (tidak perlu pertolongan Allah), serta mendustakan pahala yang terbaik (syurga), maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kesukaran (kesengsaraan, kejahatan)"

-surah Al-Lail, ayat 5 hingga 10-

Kita tentukanlah tujuan hidup kita sama ada bahagia atau derita di akhirat nanti. Janganlah kita inginkan bahagia di dunia semata-mata, kerana hidup ini hanya sementara. Mana tahu, esok kita dah tiada di dunia ini lagi.

Marilah kita sama-sama mengejar syurga Allah, dan teruskan berbuat kebaikan. Walaupun setiap sesuatu itu sudah tertulis, tetapi kita teruskanlah berdoa dan berbuat kebaikan. InsyaAllah amal yang baik kerana Allah, akan membuat kita dekat dengan-Nya. =)