Thursday, June 11, 2009

Bersederhana

Tidak berlebih-lebih dan tidak terlalu sedikit dalam beribadat, itulah yang dituntut oleh Rasulullah s.a.w. Kita ikutlah sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda. InsyaAllah post kali ini, saya kongsikan sedikit hadis-hadis dari Shahih Bukhari dan dari Riyadus Shalihin oleh Imam Nawawi, semoga dapat dijadikan sebagai peringatan bersama.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barang siapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu, kerjakanlah menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam"
-riwayat Bukhari-

Dikalahkan oleh agama bermaksud menjadi lemah dan malas beribadat dan beramal. Bukan saja amal ibadat yang berat, malah yang ringan pun dia tidak akan sanggup amalkan kelak. Umpama orang yang terus menerus solat, sudah tentu badannya akan menjadi lemah dan dia tidak akan mencari nafkah hidupnya.

Pada riwayat Imam Bukhari yang lain disebutkan, "Berlaku luruslah, lakukanlah yang sederhana, pergilah diwaktu pagi, juga diwaktu petang serta disebahagian malam. Berbuatlah sederhana, tentu engkau akan sampai pada tujuannya"

Imam Nawawi mengatakan, maksudnya ialah hendaklah engkau semua memohonkan pertolongan untuk melakukan ketaatan kepada Allah Azzawajalla itu dengan melakukan pelbagai amalan di waktu engkau semua dalam keadaan bersemangat, serta hati dalam keadaan lapang, sehingga dengan demikian, engkau semua akan merasa lazat (gembira) melakukan ibadah tadi, dan tidak akan merasa bosan. Juga dengan itu, apa yang dimaksudkan sudah pula tercapai.

Ini adalah seperti seseorang yang ingin pergi ke suatu tempat, ia tentu berangkat dalam keadaan seperti di atas dan ia berehat, baik dirinya maupun kenderaannya, apabila sudah penat ataupun hati kurang sedap. Dengan demikian dapatlah ia mencapai tujuannya tanpa terlalu penat dan tertekan. Wallahu'alam.

Dari Aisyah r.a. katanya, "Biasanya Rasulullah s.a.w. apabila menyuruh para sahabatnya, disuruh mereka mengerjakan amal-amal yang mereka sanggup mengerjakannya"

Lantas mereka berkata, "Ya Rasulullah! Kami ini tidak seperti anda, Allah s.w.t telah mengampuni dosa anda yang telah lalu dan yang akan datang"

Mendengar ucapan mereka itu Nabi s.a.w. marah, sehingga kelihatan tanda marah dimukanya.

Sabda beliau, "Sesungguhnya yang paling taqwa dan yang lebih alim tentang Allah di antara kamu semua ialah aku"

-riwayat Bukhari-

Maksud ucapan para sahabat itu, ialah supaya mereka disuruh oleh Nabi s.a.w. untuk mengerjakan amal yang lebih berat, supaya mereka dapat pahala yang lebih banyak untuk menghapus dosa-dosa mereka yang banyak. Menurut kefahaman mereka, amal yang ringan itu hanya di buat oleh orang-orang yang telah diampuni Allah seperti rasul-rasul.

Sebenarnya, perintah yang telah diberikan Nabi s.a.w. kepada mereka adalah perintah Allah, walaupun ringan untuk dikerjakan, tetapi pahalanya banyak. Nabi s.a.w. sesungguhnya tahu tentang hal itu, sebab itu baginda berkata seperti dalam hadis diatas.

Dari Abu Juhaifah, iaitu Wahab bin Abdullah r.a. katanya, "Nabi s.a.w. mempersaudarakan antara Salman dan Abuddarda'- maksudnya keduanya disuruh berjanji untuk berlaku sebagai saudara."

Salman pada suatu hari ketika menziarahi Abuddarda', ia melihat Ummud Darda' (isteri Abuddarda') mengenakan pakaian yang serba kusut, yakni tidak berhias sama sekali. Salman bertanya kepadanya, "Mengapa saudari berkeadaan sedemikian?"

Wanita itu menjawab, "Saudaramu iaitu Abuddarda' itu sudah tidak ada hajatnya lagi pada keduniaan, maksudnya, sudah meninggalkan keduniaan, baik terhadap wanita dan lain-lain"


Dalam riwayat Addaraquthni, lafaz Fiddunyaa diganti dengan lafaz Fi nisaid dunyaa, ertinya tidak ada hajatnya lagi pada kaum wanita di dunia ini. Sementara itu dalam riwayat Ibnu Khuzaiman, ditambah pula dengan kata-kata Yashuumun nahaar wa yaquumullail, ertinya ia berpuasa pada siang harinya dan terus bersolat pada malam harinya.

Abuddarda' lalu datang, kemudian ia membuatkan makanan untuk Salman. Setelah selesai, Abuddarda' berkata kepada Salman, "Makanlah kerana saya berpuasa."

Salman menjawab, "Saya tidak akan suka makan sehingga engkau pun makan." Abuddarda' lalu makan.

Setelah malam tiba, Abuddarda' mulai bangun. Salman berkata kepadanya, "Tidurlah!" Ia tidur semula. Tidak lama kemudian, bangun lagi dan Salman berkata pula, "Tidurlah!" Kemudian setelah tiba akhir malam, Salman lalu berkata pada Abuddarda', "Bangunlah sekarang!" Keduanya ters bersembahyang.

Seterusnya Salman lalu berkata, "Sesungguhnya untuk Tuhanmu itu ada hak atas dirimu, untuk dirimu sendiri juga ada hak atasmu, untuk keluargamu pun ada hak atasmu. Maka berikanlah kepada setiap yang berhak itu akan haknya masing-masing."

Pada paginya, Abuddarda' mendatangi Nabi s.a.w. kemudian menyebutkan peristiwa semalam itu, lalu Nabi s.a.w. bersabda, "Salman benar ucapannya."

-riwayat Bukhari-

Imam Nawawi menerangkan berdasarkan hadis ini, syariat agama Islam memerintahkan kaum Muslimin agar antara seorang dengan yang lainnya perlu berbaik seperti saudaranya sendiri dan bukan semata-mata kerana benda lain, tetapi hanya untuk mengharapkan keredhaan Tuhan. Juga memerintahkan agar saling mengunjungi kerana Allah, demikianlah pula bermalam dirumah saudaranya.

Disamping itu, syariat membolehkan seseorang lelaki bercakap dengan wanita lain yang bukan mahramnya, bilamana betul-betul ada keperluan yang penting untuk berbuat demikian.

Selain itu, dalam hadis ini pula terdapat anjuran yang menekankan antara seorang muslim dengan muslim yang lain, hendaklah sentiasa nasihat menasihati dengan cara yang baik, mengingatkan yang lupa dan lalai dalam melaksanakan perindah Allah.

InsyaAllah, semoga kita dapat amalkan kesederhanaan dalam hidup dan amalan kita. Islam itu mudah, dan janganlah kita perberatkan, tetapi juga tidak bermaksud kita boleh mengambil ringan dengan perintah Allah itu. Jadi, sama-samalah kita menjaga amal ibadat kita, moga mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Jika dalam beribadat pun ada kesederhanaan, dalam kehidupan pun begitu jua. Janganlah kita terlalu mengejarkan keduniaan sehingga lupa pada tujuan hidup. Cukuplah besederhana dalam mencari rezeki, tidak perlu bermewah-mewah. Jika ada rezeki yang banyak, hulurkan pada mereka yang kekurangan, itulah yang dituntut oleh Allah. Wallahualam...

No comments:

Post a Comment