Monday, June 15, 2009

Kenapa? Kenapa? Kenapa?

"Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikan sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan, dan Kami berikan Nabi Isa ibn Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Rohulqudus (Jibril) dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka ada di antara mereka, orang yang beriman dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan, tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya"
-Al-Baqarah, 2: 253-

Jika Allah menghendaki, tentulah umat-umat yang diutus rasul kepada mereka tidak akan berbunuh-bunuhan selepas para rasul menyampaikan keterangan, malah dengan mukjizat yang membuktikan bahawa mereka adalah benar dan wajib diikuti. Tetapi, kenapa masih berlaku perbalahan dan perselisihan faham??

Jika Allah tidak menghendaki mereka berbunuh-bunuhan, tentulah mereka akan mengikut para rasul dan menerima kebenaran daripada Tuhan. Walaubagaimanapun, mereka dibiarkan dan diberi kebebasan untuk berfikir, meneliti, dan memahami dengan menggunakan akal yang diberikan, agar mereka dapat memilih jalan yang baik dan jalan bahagia dengan kerelaan sendiri.

Sayangnya, mereka tidak berfikir dengan waras, malah mencetuskan sengketa dalam menerima agama. Ada di kalangan mereka yang beriman dengan apa yang disampaikan oleh para rasul, ada juga yang kufur.

Jika Allah menghendaki, sekalipun kecenderungan, kemahuan dan keinginan mereka bercanggah, nescaya mereka tidak akan berbalah antara satu sama lain. Akan tetapi Allah melakukan apa sahaja dan menghukum serta menetapkan apa yang Dia mahu. Semua itu adalah ketentuan qada' dan qadarNya.

Saya kongsikan tafsir dari Tafsir Al-Munir ini agar kita memahami, kenapa masih terdapat perselisihan pendapat walaupun telah diberikan Al-Quran dan hadis Rasulullah kepada kita semua. Walaupun ayat di atas di maksudkan pada kaum yang lain, tetapi kita boleh lihat kebenarannya pada agama kita sendiri. Sama-samalah kita berdoa agar kita tergolong dalam hamba-hambaNya yang beriman dan berada di jalan yang benar, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment