Sunday, June 21, 2009

Teruskan memberi =)

hi-bloom

Dari Hakim bin Hizam r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda,
"Tangan yang di atas (memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (menerima atau meminta). Maka kerana itu, mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Siapa yang mohon dipelihara (agar dia tidak sampai meminta), Allah akan memeliharanya, dan siapa yang mohon dicukupkan (agar tidak bergantung pada orang lain), Allah akan mencukupkannya"
-Riwayat Imam Bukhari-

Allah menuntut hamba-Nya memberi daripada menerima mahupun meminta-minta. Secara tidak langsung, tuntutan hadis ini supaya kita berusaha dengan sendiri daripada meminta rezeki daripada orang lain. Walau susah bagaimana pun, teruskan berdoa dan meminta hanya pada Allah.

Kemudian Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya mulakan memberi sedekah kepada keluarga kita. Ini kerana ahli keluarga yang paling dekat dan mudah untuk kita membuat pahala bersedekah. Tuntutan ini juga, supaya kita tidak mengabaikan keluarga, tidak membiarkan mereka kesusahan. Kemudian barulah kita sedekahkan kepada saudara, rakan-rakan dan orang sekeliling.

Diajar lagi kepada kita, supaya kita memberi sedekah itu ketika kita senang. Ini secara tidak langsung supaya kita tidak lupa akan mereka yang susah, apatah lagi terhadap pemberi rezeki kita Yang Maha Agung, agar kita bersyukur.

Kemudian, apabila memberi itu, Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya memohon kebaikan daripada Allah. Minta perlindungan dijauhkan dari meminta dan kesusahan kelak, agar sentiasa dirahmati Allah Taala.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, ada seorang lelaki berkata, "Saya akan bersedekah."

Lalu ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan seorang pencuri. Orang ramai memperkatakan, "Ada pula orang bersedekah kepada pencuri."

Orang yang bersedekah itu berkata, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah."

Lalu ia keluar membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya kepada seorang perempuan pelacur. Orang ramai memperkatakan, "Semalam ada orang memberikan sedekah kepada wanita pelacur."

Orang itu berkata, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah."

Ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan orang kaya. Orang ramai memperkatakan pula, "Rupanya orang kaya pun menerima sedekah juga."

Kata orang yang memberi sedekah, "Oh Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya berikan sedekah saya kepada pencuri, kepada wanita pelacur, dan kepada orang kaya."

Kemudian ia bermimpi. Rasanya ada malaikat yang mengatakan kepadanya, "Sedekah engkau kepada pencuri, semoga menyebabkan ia berhenti mencuri. Sedekah engkau kepada pelacur, semoga menyebabkan ia berhenti melacur. Dan sedekah engkau kepada orang kaya, semoga menyedarkannya dan mendorongnya untuk menafkahkan apa yang diberikan Allah kepadanya."

-Riwayat Imam Bukhari-

Bersedekahlah kepada mereka yang baik mahupun tidak, dan teruskanlah berbuat baik dan jangan berputus asa. Semoga sedekah itu akan memberikan kebaikan kepada mereka, dan Allah akan membalas setiap kebaikan itu, insyaAllah.

Selamat Ber'amal!!! =)

No comments:

Post a Comment