Monday, April 26, 2010

Ujian itu....


"Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelummu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?' Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."
-surah Al-Baqarah(2), ayat 214-

Setiap hamba Allah yang beriman pasti akan diuji, tidak kira dengan ujian fizikal mahupun mental. Apabila seseorang semakin dekat dengan jalan Allah, semakin bertambah ujian-ujian yang perlu diharunginya. Sejarah telah mengajar kita, bahawa tiada seorang nabi pun yang tidak diuji oleh Allah, apatah lagi kita. Itulah hakikat kehidupan yang perlu kita harungi.

Allah menceritakan cubaan dan ujian yang menimpa para sahabat dalam perang Ahzab, "(iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan(mu) dan hatimu naik menyesak sampai ke leher, dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam prasangka.

Disitulah orang-orang mukmin diuji dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang dahsyat. Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit berkata 'Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya."

-surah Al-Ahzab(33), ayat 10-12-

Begitu sekali Allah gambarkan tentang ujian-ujianNya, yang mampu merubah isi hati seseorang. Tanpa iman yang kukuh, seseorang itu akan bersangka buruk dengan Tuhannya. Mereka akan menyangka bahawa Allah tidak menolong mereka, menipu mereka dengan janji-janji kosong. Mereka inilah yang dikatakan Allah sebagai orang munafik.

Bagi mereka yang beriman, Allah telah ingatkan, 'sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.' Oleh itu, buat rakan-rakan yang akan menghadapi peperiksaan ulangan, buatlah yang terbaik. Ingatlah janji Allah, tanamkan sepenuh keyakinan kita, jangan sesekali kita berputus asa. Perbetulkan niat dan ikhlaskan diri kita dalam menuntut ilmu, insyaAllah, Allah sentiasa bersama hambaNya yang beriman.

Dari Abu Hurairah, dia menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan padanya, maka Allah mengujinya."
-riwayat Bukhari (Kitab:orang sakit, Bab: Imbalan bagi yang sakit)-

Buat rakan-rakan yang berjaya, tahniah diucapkan. Kita mesti sentiasa ingat, bahawa kesenangan ini juga merupakan ujian daripada Allah. Maka manfaatkanlah masa cuti ini dengan perkara-perkara yang berfaedah. Pastikan kita melakukan persiapan sebaik mungkin sebelum kita naik ke tahun klinikal. Sama-samalah kita doakan rakan-rakan yang akan menghadapi peperiksaan ulangan, agar kita semua dapat bersama-sama naik ke tahun 3, insyaAllah =)

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan pasukan (musuh), maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah (nama) Allah banyak-banyak (berzikir dan berdoa), supaya kamu berjaya."
-surah An-Anfal(8), ayat 45-

Saturday, April 24, 2010

Ulangkaji - Bacaan Fatihah dalam solat


Dari An-Nawwas bin Sam'an, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Allah telah membuat perumpamaan siratul mustaqim (jalan yang lurus), di dua sisi sirat terdapat dua pagar. Di pagar tersebut tersebut terdapat pintu-pintu yang terbuka. Dan dipintu-pintu terdapat tirai-tirai yang terurai.

Di depan sirat terdapat seorang yang berseru 'Wahai manusia, masuklah kalian semua ke dalam sirat ini dan janganlah berbelok'. Dan di atas sirat terdapat penyeru yang akan berseru. Apabila ada manusia yang ingin membuka pintu-pintu tersebut, penyeru diatas sirat itu berkata 'Celaka (hati-hatilah) kamu, janganlah engkau membukanya. Jika engkau membukanya, nescaya kau akan terperosok masuk ke dalamnya.'

Sirat itu adalah Islam. Pagar itu adalah batasan-batasan Allah. Pintu-pintu yang terbuka itu adalah perkara yang diharamkan Allah. Penyeru di depan pintu sirat adalah Kitabullah. Dan penyeru di atas sirat adalah pemberi peringatan dari Allah yang ada didalam hati setiap muslim."

-riwayat Ahmad, disahihkan oleh Syaikh al-Albani-

Beginilah gambaran 'siratul mustaqim' yang kita selalu bacakan dalam surah Al-Fatihah. Hadis ini saya ambil daripada buku Shahih Tafsir Ibnu Katsir, didalam menguraikan ayat ke-6 surah Al-Fatihah. Sama-samalah kita fahami dan ambil pengajaran dari hadis ini.

Dalam sehari, setiap muslim akan membaca sekurang-kurangnya 17 kali surah Al-Fatihah (solat fardhu), bagi yang selalu melakukan solat sunat, tentu lebih banyak. Tidak kira sama ada sebagai makmum sekalipun, setiap muslim diwajibkan membaca Al-Fatihah, berdasarkan hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim "Tidak sah solat bagi orang yang tidak membaca Faatihatul Kitab (surah Al-Fatihah)."

Timbul persoalan, apa yang perlu makmum lakukan ketika imam membaca Al-Fatihah mahupun surah-surah lain? Berdasarkan buku Fiqh Sunnah tulisan Sayyid Sabiq, makmum itu diwajibkan berdiam dan mendengar bacaan imam. Dalilnya berdasarkan firman Allah Taala, "Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia, serta diamlah (dengan sebulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat."
-surah al-A'raf, ayat 204-

Sayyid Sabiq juga mengemukakan pendapat Abu Bakar bin al-'Arabi, jika imam sudah membaca Al-Fatihah (secara kuat), maka si makmum tidak perlu membacanya. Makmum mestilah membaca al-Quran di dalam hati dengan tadabur (memahami) dan tafakkur. Inilah sistem al-Quran dan hadis, memelihara ibadah dan menjaga Sunnah. Pendapat ini menjadi pilihan az-Zuhri, Ibnu al-Mubarak, Malik, Ahmad dan Ishaq, yang disokong oleh Ibnu Taimiyah.

Pendapat ini didasarkan kepada dalil al-Quran di atas, dan hadis Imran bin al-Husein, dimana Nabi s.a.w. mendengar seorang lelaki membaca surah al-A'la dibelakangnya, "Sesungguhnya aku mengetahui bahawa ada beberapa orang antara kamu telah membuat fikiranku bercelaru dengan bacaan!"
-riwayat Muslim (Kitab solat, Bab: Makmum dilarang menguatkan bacaan dibelakang imamnya)-

Maka dapatlah kita ambil pengajaran bahawa dalam solat berjemaah, kita dilarang menguatkan bacaan sehingga boleh mengganggu kekhusyukan orang lain. Bacalah dengan perlahan, mahupun dalam hati seperti pendapat Abu Bakar bin al-'Arabi diatas.

Berdasarkan perintah wajibnya membaca Al-Fatihah, saya bawakan satu lagi hadis yang menunjukkan Al-Fatihah dibaca perlahan. Dari Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa membaca Ummul Quran (Al-Fatihah) didalamnya, maka solatnya kurang...kurang...kurang, yakni tidak sempurna"

Dikatakan kepada Abu Hurairah, "(Bagaimana jika) kami berada di belakang imam?" Maka Abu Hurairah berkata, "Bacalah Al-Fatihah itu secara sirr (sembunyi/ hanya terdengar oleh diri sendiri), kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, Allah berfirman:

'Aku telah membagi solat (bacaan Al-Fatihah) menjadi dua bahagian antara diriKu dengan hambaKu, dan bagi hambaKu apa yang dia minta. Jika ia mengucapkan 'Alhamdulillahi Rabbilalamin', maka Allah berfirman 'HambaKu telah memujiKu.' Jika ia mengucapkan 'Ar-Rahmanir Rahiim', maka Allah berfirman 'HambaKu telah menyanjungKu.' Jika ia mengucapkan 'Maaliki yaumid Diin', maka Allah berfirman 'HambaKu telah memuliakanKu.'

Jika ia mengucapkan 'Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'iin', maka Allah berfirman ' Ini adalah antara diriKu dan hambaKu, dan bagi hambaKu apa yang ia minta.' Dan jika dia mengucapkan 'Ihdinas siratal mustaqiim...(hingga habis surah Al-Fatihah)', maka Allah berfirman 'Ini untuk hambaKu dan bagi hambaKu apa yang ia minta."

-riwayat Muslim dan An-Nasai(sahih)-

Kadangkala terdapat kaum muslimin yang keliru, kenapa ada imam yang membaca 'bismillah' dengan kuat dan ada yang tidak ketika membaca Al-Fatihah. Bagi menjawab persoalan ini, kedua-duanya boleh. Hadis Anas menyatakan bahawa Rasulullah, Abu Bakar, Umar dan Uthman tidak membaca 'bismillah', tetapi terus membaca 'alhamdulillahi rabbil'alamin' (riwayat Bukhari dan Muslim). Manakala kebanyakan para sahabat membaca 'bismillah', berdasarkan hadis Nu'aim al-Mujammir (riwayat an-Nasai, Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban). Ibnu al-Qayyim mengambil kedua-dua pendapat dan memutuskan "Kadang-kadang Nabi s.a.w. membaca 'bismillah' dengan kuat, tetapi beliau sering membacanya dengan suara perlahan" (Fiqh Sunnah).

Semoga dengan penerangan serba ringkas ini dapat memberi lebih kefahaman kepada kita tentang bacaan Al-Fatihah dalam solat, agar solat kita lebih khusyuk, lebih diberkati, dan lebih dekat kepada sunnah yang diajar Rasulullah s.a.w. Jika timbul keraguan, maka rujuklah kembali kepada al-Quran dan hadis, tanyalah pada mereka yang arif tentang kedua-duanya. Wallahualam =)

Monday, April 19, 2010

Ulangkaji - Cara Berwudhu

Assalamualaikum. InsyaAllah untuk post kali ini, saya ingin kita sama-sama 'refresh', atau dalam kata lainnya, mengulangkaji mengenai berwudhu sebagaimana wudhu nabi s.a.w. Sejak kecil lagi kita sudah belajar, jadi apa salahnya kita mengingatkan, malah memperbetulkan apa yang kurang, agar amal ibadah kita lebih sempurna, insyaAllah.

Humran r.a. maula kepada Usman menceritakan bahawa dia melihat Usman bin Affan meminta sebuah bekas air untuk berwudhu. Dia menuangkan air itu ke tangannya dan membasuh kedua tapak tangannya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam air, lalu berkumur-kumur dan membersihkan hidung dengan menghirup air ke hidung dan menyemburkannya kembali.

Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali, membasuh kedua belah tangannya hingga siku tiga kali. Kemudian dia menyapu kepalanya, dan setelah itu dia membasuh kaki hingga dua mata kaki tiga kali. Kemudian dia berkata, "Bersabda Rasulullah s.a.w, 'Barangsiapa berwudhu seperti wudhu ku ini, kemudian sembahyang dua rakaat dengan khusyuk, nescaya dia diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu."

-Sahih Bukhari, bab Wudhu-

Daripada hadis ini, dapat kita ambil beberapa pengajaran. Yang pertama, Rasulullah s.a.w. berwudhu hanya dengan bekas air yang kecil. Dalam hadis lain (sahih Bukhari), Anas bin Malik mengatakan baginda berwudhu hanya dengan satu mud air (secupak), iaitu lebih kurang 600-700ml. Ini menunjukkan betapa hemahnya baginda dalam penggunaan air, tidak seperti yang kita lakukan hari ini.

Kedua, baginda memasukkan tangannya ke dalam bekas air setelah membasuhnya terlebih dahulu. Pencampuran ini yang kita kenali sebagai air musta'mal, masih boleh digunakan untuk menyucikan, seperti diterangkan oleh Sayyid Sabiq dalam kitab Fiqh Sunnah. Hadis Rubayyi binti Mu'wwiz (riwayat Abu Daud, Muslim) menyatakan baginda menyapu kepala dengan sisa air basuhan tangannya. Syarat air musta'mal yang masyur telah menyukarkan dalam berwudhu, malah membawa kepada pembaziran air. Wallahualam.

Ketiga, berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Walaupun ulama' berbeza pendapat samada hukumnya sunat atau wajib, tetapi dalam kebanyakkan hadis-hadis sahih menunjukkan baginda selalu berbuat demikian. Perbuatan ini juga didapati dapat menghilangkan penyakit resdung, malah kajian oleh pasukan doktor dari Univ. Alexandria menyatakan perbuatan ini dapat melindungi manusia dari perpindahan microb dari hidung ke organ dalaman (Yusuff al-Hajj Ahmad, Sains Moden menurut perspektif AlQuran & As-sunnah, Jahabersa).

Keempat, membasuh anggota wudhu sebanyak tiga kali merupakan jumlah maksimum, bukannya kewajipan. Dalam hadis sahih Bukhari yang lain turut dinyatakan nabi s.a.w. berwudhu masing-masing satu kali (Ibnu Abbas), dan juga dua kali (Abdullah bin Zaid). Jika anggota wudhu cukup dibasahi dengan sekali, itu sudah mencukupi, tetapi jangan melebihi tiga kali kerana itu adalah bisikan syaitan. Rasulullah mengingatkan "Inilah wudhu, sesiapa menambahnya maka dia berbuat keburukan, melampaui batas dan zalim" (Shahih Sunan Ibnu Majah).

Kelima, kebanyakan hadis menyatakan kepala hanya dibasuh dengan sekali basuhan saja, tidak seperti anggota wudhu yang lain. Perkara ini juga dinyatakan oleh Sayyid Sabiq dalam Fiqh Sunnah. Cara menyapu yang diriwayatkan sekumpulan ulama hadis (termasuk Bukhari dan Muslim) adalah menyapu dari depan kepala ke belakang, kemudian menariknya semula kehadapan. Baginda tidak menyapu ubun-ubun sahaja, tetapi hadis-hadisnya menunjukkan baginda menyapu sebahagian besar kepala.

Sapu kedua-dua telinga dengan menggunakan air yang sama, ini kerana ada sebuah hadis sahih menyatakan 'kedua-dua telinga termasuk sebahagian kepala', dan hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasai yang menceritakan baginda menyapu kepala dan telinga dengan satu kali sapu sahaja (dinilai sahih oleh al-Albani).

Menyapu kepala juga dibenarkan dengan menyapu ke atas serban, seperti hadis riwayat Amar bin Umaiyah (Sahih Bukhari). Hadis daripada Bilal, nabi s.a.w. bersabda "Sapulah ke atas kedua-dua khuf dan khimar (kain penutup kepala, seperti serban dan lain-lain seumpamanya)" (riwayat Ahmad). Ini juga menunjukkan bahawa para muslimat juga boleh menyapu ke atas tudungnya, wallahualam.

Keenam, digalakkan melakukan solat sunat dua rakaat selepas selesai berwudhu (solat sunat wudhu), sebagaimana diterangkan dalam hadis pertama diatas. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa, Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Bilal, "Wahai Bilal, ceritakanlah kepadaku satu amalam yang paling engkau utamakan selama memeluk Islam. Sebab, aku mendengar bunyi seliparmu dihadapanku ketika aku berada disyurga"

Bilal berkata, "Sebenarnya tidak ada satu amalan yang paling aku utamakan selain mengerjakan solat sunat semampuku sebaik sahaja setelah berwudhu, sama ada di siang hari atau malam." -Sahih Bukhari-

InsyaAllah, semoga dengan perkongsian ini, kita dapat ambil pengajaran yang berguna dan memperbetulkan mana-mana kesilapan kita ketika berwudhu. Jika rakan-rakan terdapat kemusykilan, bolehlah mengkaji kebenaran apa yang saya sampaikan, dan bertanya kepada ustaz yang mahir dalam bidang fiqh. Sebahagian dari isi artikel ini diambil daripada artikel tulisan Hafiz Firdaus- Berwudhu. Sekian, wassalam. =)