Thursday, December 24, 2009

Dimalam yang indah ini...

Dari Abu Sa'id al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dia akan diberi cahaya yang dapat meneranginya hingga ke hari Jumaat berikutnya."
-diriwayatkan oleh an-Nasa'i, al-Baihaqi, dan al-Hakim-
(al-Hakim berkata 'Sanad hadis ini sahih, walaupun al-Bukhari dan Muslim tidak meriwayatkannya')


InsyaAllah sempena malam Jumaat ini, saya ingin kongsikan satu perumpamaan yang Allah sampaikan didalam surah al-Kahfi. Semoga kita sama-sama dapat tadabbur, yakni memahami apa yang diceritakan dibawah agar kita dapat mengambil pengajaran yang sangat berguna buat kehidupan kita. Kita sama-sama berlindung pada Allah daripada syaitan, agar kita tidak tersalah dalam memahaminya, dan merujuk pada kitab-kitab tafsir sebagai panduan jika terdapat kemusykilan.

"Dan berikanlah (Muhammad) kepada mereka (orang Mukmin dan orang kafir) sebuah perumpamaan, dua orang lelaki, yang seorang (yang kafir) Kami beri dua buah kebun anggur dan Kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antara keduanya Kami buatkan ladang.

Kedua kebun itu menghasilkan buahnya, dan tidak berkurang (buahnya) sedikit pun, dan di celah-celah kedua kebun itu Kami alirkan sungai, dan dia memiliki kekayaan besar. Maka dia berkata kepada kawannya (yang beriman) ketika bercakap dengannya, "Hartaku lebih banyak daripadamu dan pengikutku lebih kuat."

Dan dia memasuki kebunnya dengan sikap merugikan dirinya sendiri (kerana angkuh dan kafir); dia berkata "Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya, dan aku kira hari Kiamat itu tidak akan datang. Dan sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini."

Kawannya (yang beriman) berkata kepadanya sambil bercakap-cakap dengannya "Apakah engkau ingkar kepada (Tuhan) yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari setitis air mani, lalu Dia menjadikan engkau seorang lelaki yang sempurna? Tetapi aku (percaya bahawa) Dialah Allah, Tuhanku dan aku tidak mempersekutukan Tuhanku dengan sesuatu pun.

Dan mengapa ketika engkau memasuki kebunmu tidak mengucapkan 'MasyaAllah, la quwwata illa billah' (Sungguh, atas kehendak Allah, semua ini terwujud, tidak ada kekuatan kecuali dengan Allah), sekali pun engkau anggap harta dan keturunanku lebih sedikit berbandingmu.

Maka mudah-mudahan Tuhanku akan memberikan kepadaku (kebun) yang lebih baik dari kebunmu"; dan Dia mengirimkan petir dari langit ke kebunmu, sehingga (kebun) itu menjadi tanah yang licin, atau airnya surut ke dalam tanah, maka engkau tidak akan dapat menemukannya lagi.

Dan harta kekayaannya dibinasakan, lalu dia (orang kafir) membolak-balikkan kedua tapak tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang telah dia belanjakan untuk itu, sedang pohon anggur roboh bersama penyangganya lalu dia berkata, "Betapa sekiranya dulu aku tidak mempersekutukan Tuhanku dengan sesuatu pun."

Dan tidak ada (lagi) baginya segolongan pun yang dapat menolong selain Allah; dan dia pun tidak akan dapat membela dirinya. Di sana, pertolongan itu hanya dari Allah Yang Maha Benar. Dialah (pemberi) pahala terbaik dan (pemberi) balasan terbaik."

-surah al-Kahfi, ayat 32-44-

Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran daripada ayat-ayat Allah diatas. Ingatlah, kita dijadikan dari keadaan yang serba kekurangan, dari tanah yang hina dan setitis air mani. Semua nikmat itu datang kepada kita daripada Allah Taala, maka janganlah kita kufur dan ingkar kepada perintahNya. Sama-samalah kita istighfar dan merenung sejenak, semoga Allah ampuni dosa-dosa kita yang terdahulu, insyaAllah. =)

Tuesday, December 22, 2009

Puasa Sunat Hari Asyura

InsyaAllah dalam post kali ini saya sertakan beberapa hadis mengenai puasa Asyura, yang saya ambil daripada kitab Fiqh Sunnah oleh As-Sayid Sabiq. Semoga dengan peringatan ini dapat menjadi satu peringatan dan ilmu yang berguna buat kita semua.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya:
"Rasulullah s.a.w. pernah ditanya 'Solat apakah yang diutamakan setelah solat fardu?' Beliau menjawab 'Mengerjakan solat sunat ditengah malam' Beliau ditanya lagi, 'Puasa apakah lebih diutamakan setelah puasa Ramadan?' Beliau menjawab 'Berpuasa dibulan Allah yang kamu namakan sebagai bulan al-Muharram"
-diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Abu Daud-

Dari Aisyah r.a. katanya:
"Hari Asyura merupakan hari dimana orang-orang Quraisy biasa berpuasa ketika itu sejak zaman Jahiliah lagi. Rasulullah pula biasa berpuasa pada hari tersebut. Tatkala datang ke Madinah, beliau berpuasa dan menyuruh orang ramai untuk turut berpuasa pada hari itu. Namun sebaik diwajibkan puasa Ramadhan, beliau bersabda: 'Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari ini, maka berpuasalah dan siapa yang tidak, maka berbukalah"
-diriwayatkan oleh Bukhari-

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya:
"Nabi s.a.w. datang ke Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Beliau bertanya: 'Hari apakah hari ini?' Mereka menjawab: 'Hari ini merupakan hari terbaik, dimana ketika itu Allah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan Bani Israel daripada kepungan musuh mereka, hingga ia dijadikan oleh Nabi Musa a.s. sebagai hari berpuasa. Mendengar itu, beliau bersabda: 'Aku lebih berhak memuliakan hari ini berbanding kamu' Kemudian beliau berpuasa pada hari itu dan menyuruh kaum muslimin agar turut berpuasa"
-diriwayatkan oleh Bukhari-

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya:
"Tatkala Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan orang ramai agar turut berpuasa, mereka berkata: 'Wahai Rasulullah! Ia merupakan hari yang diraikan oleh orang Yahudi dan Nasrani!' Beliau bersabda: 'Jika usiaku sempat menemui tahun hadapan ini, insyaAllah kita akan berpuasa pada hari kesembilan.'

Ibnu Abbas berkata: 'Sayangnya belum lagi tiba tahun berikutnya, Rasulullah s.a.w. telah pun wafat."

-diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud-

Para ulama menyebutkan bahawa puasa Asyura ada tiga tingkatan, iaitu:
Pertama, puasa selama tiga hari, hari ke-9, 10, dan ke-11.
Kedua, puasa pada hari ke-9 dan ke-10.
Ketika berpuasa pada hari ke-10 sahaja.

Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu rakan-rakan pembaca, supaya kita tahu kenapakah disunatkan puasa pada hari Asyura ini. Walaupun begitu, membuat bubur Asyura atau merayakan hari tersebut tidaklah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Disini saya sertakan link yang saya temui berkaitan puasa sunat Asyura yang dipetik dari Fiqh al-Siyam tulisan Dr Yusuf al-Qaradawi.
Koleksi Soal Jawab Agama

Thursday, December 10, 2009

Jom borak!


Kenapa sesuatu perkara yang baik, tidak ramai yang mahu berkata-kata tentangnya? Ketika berborak, berbincang, tajuk-tajuk yang bermanfaat dan kebaikannya sudah jelas ini tetap tidak menjadi satu topik yang digemari ramai.

Manusia lebih suka untuk berbincang dan berkata-kata tentang sesuatu yang menggembirakan dan memenuhi jiwanya, ramai antara kita yang leka sehingga tidak perasan bahawa yang diperkatakan itu adalah kerana hawa nafsunya sendiri. Berborak tentang "teman hidup", "kesenangan & kemewahan", "pangkat" dan "hiburan" sangat mudah untuk keluar dari mulut kita. Tetapi apabila diajak berborak tentang "Tuhan", "dosa pahala", "ajal maut", "syurga & neraka", begitu mudah kita mengelak dari mendengarnya. Kenapa??

Mungkinkah kerana topik-topik ini membosankan? Tidak menggembirakan? Tidak memenuhi jiwa dan perasaan kita?

Mungkin inilah hakikatnya, yang menyebabkan kita lebih hanyut dengan keseronokan dunia. Kita tidak kisah lagi tentang ajal yang akan datang menjemput kita bila-bila masa. Walaupun kadang-kadang hati kita tersentak dan insaf ketika mendengar ceramah, tetapi kita sangat mudah melupakannya apabila keluar dari rumah Allah.

Kita lupa bahawa kita punyai Tuhan yang sentiasa memerhati setiap tingkah laku kita, malaikat-malaikat yang sentiasa mencatat baik buruk setiap amalan kita. Kita rasa senang dengan kejayaan yang kita dapat didunia ini, nikmat rezeki yang sentiasa ada, kebahagiaan dengan orang disekeliling kita, sehingga terasa diri ini sudah cukup baik dan serba lengkap.

Katakanlah (Muhammad), "Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya?"

"Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya"

-surah al-Kahfi, ayat 103 & 104-

Allah menceritakan tentang ciri-ciri manusia yang paling rugi diakhirat kelak. Walaupun manusia merasakan diri mereka telah melakukan yang terbaik, tetapi Allah mengatakan bahawa pebuatannya sia-sia. Kenapa? Mencari rezeki dengan penat lelah waktu pagi petang, stress dengan kerja yang bertimbun-timbun, bersusah payah belajar di universiti sehingga tak tidur malam, adakah semua perkara ini akan menjadi sia-sia???

"Mereka itu adalah orang yang mengingkari ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak percaya) terhadap pertemuan denganNya. Maka sia-sia amal mereka, dan Kami tidak memberikan penimbangan terhadap (amal) mereka pada hari kiamat"

"Demikianlah, balasan mereka itu ialah neraka Jahanam, kerana kekafiran mereka, dan kerana mereka menjadikan ayat-ayatKu dan rasul-rasulKu sebagai bahan olok-olok"

-surah al-Kahfi, ayat 105 & 106-

Adakah untuk orang kafir sahaja? Tidak! Walaupun kita sebagai umat Islam, apabila kita leka dan lupa tentang peringatan Allah dan ajaran Rasulullah s.a.w., maka kita pasti akan termasuk dalam golongan ini. Allah tidak akan menilai kita berdasarkan status "Islam" dalam I.C kita, tetapi bagaimana niat dan perbuatan yang kita lakukan sehari-hari.

Kita tidak mudah untuk lari daripada kelekaan dunia, kerana syaitan selalu membisik kita untuk melupakan perintah Allah. Apabila kita terpengaruh, maka petunjuk dari Allah saja yang dapat menyelamatkan kita.

Wahai kawan-kawanku, marilah kita sentiasa ingat dengan tujuan hidup kita. Walaupun diri ini masih tak sempurna, kawan-kawanlah yang akan membantuku untuk ingat pada Yang Esa. Marilah kita sama-sama mencari syurga Allah yang kekal abadi.

"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka"
-surah al-Baqarah, ayat 201-

=)