InsyaAllah dalam post kali ini saya sertakan beberapa hadis mengenai puasa Asyura, yang saya ambil daripada kitab Fiqh Sunnah oleh As-Sayid Sabiq. Semoga dengan peringatan ini dapat menjadi satu peringatan dan ilmu yang berguna buat kita semua.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya:
"Rasulullah s.a.w. pernah ditanya 'Solat apakah yang diutamakan setelah solat fardu?' Beliau menjawab 'Mengerjakan solat sunat ditengah malam' Beliau ditanya lagi, 'Puasa apakah lebih diutamakan setelah puasa Ramadan?' Beliau menjawab 'Berpuasa dibulan Allah yang kamu namakan sebagai bulan al-Muharram"
-diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Abu Daud-
Dari Aisyah r.a. katanya:
"Hari Asyura merupakan hari dimana orang-orang Quraisy biasa berpuasa ketika itu sejak zaman Jahiliah lagi. Rasulullah pula biasa berpuasa pada hari tersebut. Tatkala datang ke Madinah, beliau berpuasa dan menyuruh orang ramai untuk turut berpuasa pada hari itu. Namun sebaik diwajibkan puasa Ramadhan, beliau bersabda: 'Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari ini, maka berpuasalah dan siapa yang tidak, maka berbukalah"
-diriwayatkan oleh Bukhari-
Dari Ibnu Abbas r.a. katanya:
"Nabi s.a.w. datang ke Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Beliau bertanya: 'Hari apakah hari ini?' Mereka menjawab: 'Hari ini merupakan hari terbaik, dimana ketika itu Allah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan Bani Israel daripada kepungan musuh mereka, hingga ia dijadikan oleh Nabi Musa a.s. sebagai hari berpuasa. Mendengar itu, beliau bersabda: 'Aku lebih berhak memuliakan hari ini berbanding kamu' Kemudian beliau berpuasa pada hari itu dan menyuruh kaum muslimin agar turut berpuasa"
-diriwayatkan oleh Bukhari-
Dari Ibnu Abbas r.a. katanya:
"Tatkala Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan orang ramai agar turut berpuasa, mereka berkata: 'Wahai Rasulullah! Ia merupakan hari yang diraikan oleh orang Yahudi dan Nasrani!' Beliau bersabda: 'Jika usiaku sempat menemui tahun hadapan ini, insyaAllah kita akan berpuasa pada hari kesembilan.'
Ibnu Abbas berkata: 'Sayangnya belum lagi tiba tahun berikutnya, Rasulullah s.a.w. telah pun wafat."
-diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud-
Para ulama menyebutkan bahawa puasa Asyura ada tiga tingkatan, iaitu:
Pertama, puasa selama tiga hari, hari ke-9, 10, dan ke-11.
Kedua, puasa pada hari ke-9 dan ke-10.
Ketika berpuasa pada hari ke-10 sahaja.
Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu rakan-rakan pembaca, supaya kita tahu kenapakah disunatkan puasa pada hari Asyura ini. Walaupun begitu, membuat bubur Asyura atau merayakan hari tersebut tidaklah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Disini saya sertakan link yang saya temui berkaitan puasa sunat Asyura yang dipetik dari Fiqh al-Siyam tulisan Dr Yusuf al-Qaradawi.
Koleksi Soal Jawab Agama
No comments:
Post a Comment