Sunday, March 28, 2010

Peringatan sebelum Final Exam

Alhamdulillah, sungguh pantas masa berlalu, akhirnya tamat sesi pembelajaran semester ke-4. Sudah tentu kita sedang bersiap sedia untuk menghadapi final exam, membaca nota-nota kuliah, berbincang dengan rakan, bertanya pada pensyarah. InsyaAllah untuk post kali ini, saya ingin berkongsikan sedikit peringatan, buat diri kita yang sentiasa lupa, agar peperiksaan yang akan kita hadapi ini mendapat rahmat dan keberkatan Allah.

Seperti biasa, apabila menjelangnya 'musim' peperiksaan, kita mestilah lebih mendekatkan diri kita kepada Allah. Jika sebelum ini kita jarang turun surau, mulai sekarang kita tanamkan azam untuk sentiasa berjemaah disurau. Perbanyakkan solat sunat dan berdoa kepada Allah, terutama di sepertiga malam yang terakhir, kerana waktu itulah doa-doa kita mudah untuk dimakbulkan Allah. Mohonlah keampunan, kejayaan dalam peperiksaan, dan tanamkan azam untuk menjadi lebih baik lagi dimasa akan datang.

Diberitakan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Allah turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam. Dia berfirman 'Barang siapa berdoa kepadaKu, akan Kuperkenankan doanya. Barang siapa meminta kepadaKu, akan Ku beri dia. Siapa yang minta ampun, akan Ku ampuninya."
-sahih riwayat Bukhari, bab Solat Tahajud-

Yang kedua, mohonlah keampunan dan doa daripada kedua ibu bapa kita. Bagi yang tinggal berdekatan, pulanglah sebentar, bagi yang jauh, telefonlah mereka. Tanyakan khabar, mohon kemaafan, dan ucapkan terima kasih kepada mereka. Sesungguhnya yang membantu kita untuk hidup dan berjaya hingga kini adalah atas usaha dan doa daripada ibu bapa kita juga. Pastikan kita sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan mereka.

"Dan Kami perintahkan (wajibkan) manusia agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kamu dikembalikan"
-surah Luqman, 31:14-

Ketiga, menjaga waktu tidur dengan baik. Ramai pelajar yang suka menghabis waktu malamnya sehingga ke pagi, lebih teruk apabila ada yang menggunakan waktu itu untuk bermain game dan menonton movie. Susunlah masa kita dengan lebih teratur, kerana malam itu telah Allah jadikan untuk kita berehat. Malah sebagai bakal doktor, kita patut lebih tahu berapa lama waktu yang secukupnya untuk kita tidur.

"Dialah yang menjadikan malam bagimu, agar kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sungguh, yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mendengar (dan mengambil pelajaran darinya)."

-surah Yunus, 10:67-

Yang terakhir dari saya, jagalah kesihatan kita dengan baik. Pastikan kita minum air kosong (masak/mineral) secukupnya, agar fisiologi tubuh kita sentiasa dalam keadaan baik dan mudah untuk kita belajar. Ambillah vitamin, madu lebah mahupun kismis setiap hari. Curilah sedikit masa untuk bersenam pada waktu petang, agar badan kita lebih cergas. Selangkan masa study kita dengan meregangkan badan, jangan jadikan study kita 'bosan' kerana otak kita akan kepenatan dan sukar untuk mengingati apa yang telah kita pelajari.

Semoga dengan peringatan yang serba sedikit ini dapat membantu rakan-rakan sekalian. Teruskan usaha, jangan stress, dan sama-samalah kita lakukan terbaik pada final exam ini. Semoga kita dapat sama-sama naik ke tahun 3 di HUKM kelak, insyaAllah =)

"Wahai orang-orang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar"
-surah Al-Baqarah, 2:153-

Tuesday, March 16, 2010

Membentuk budaya pelajar cemerlang


Islam tidak terbatas dalam konteks ibadah sahaja, bahkan lebih luas dan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Islam mengajar kita menjadi manusia yang terbaik, dari segi pemikiran, akhlak, sahsiah dan budaya kerja. Allah berfirman:

"Dan katakanlah, 'Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga RasulNya dan orang-orang Mukmin; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan."
-surah At-Taubah, 9:105-

"Bekerjalah", merupakan kata suruhan yang cukup jelas dalam menekankan kepentingan bekerja, termasuklah belajar dan menuntut ilmu. Jika difahami suruhan ini, Allah dengan jelas telah menolak sifat malas dalam diri seorang muslim. Maka menjadi kewajipan kepada kita untuk terus berusaha, untuk berjaya dalam kehidupan kita.

Setiap apa yang kita lakukan akan dihitung diakhirat kelak. Allah, rasulNya dan orang-orang beriman akan menjadi saksi atas setiap perlakuan kita didunia ini. Secara tidak langsung, ayat ini menekankan bahawa setiap perlakuan kita mestilah selari dengan perintah Allah, tidak melanggar apa yang dilarangNya.

"Katakanlah, 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam."
-surah Al-An'am, 6:162-

Sebagai pelajar, keikhlasan dalam menuntut ilmu sangatlah penting. Jika kita belajar untuk mencari keredhaan Allah, maka tidak perlu ada rasa takut, kecewa dan berputus asa walaupun sebesar mana kesulitan yang kita hadapi. Kita mesti yakin bahawa Allah pasti akan menolong kita, jika benar apa yang kita lakukan ini untuk keredhaanNya.

Istiqamah dan bersederhana dalam melakukan kebaikan adalah lebih baik dan dituntut. Begitu juga ketika kita mengulangkaji pelajaran. Tidak perlu kita memaksa diri belajar dari larut malam hingga ke pagi, tetapi aturlah masa agar ianya tidak mengganggu masa tidur dan membolehkan kita fokus keesokan harinya.

Aisyah r.a. pernah menceritakan kisah seorang wanita yang berlebih-lebihan dalam solatnya. Rasulullah bersabda:
"Jangan begitu! Kerjakanlah sekadar mampu. Demi Allah, Dia tidak bosan memberikan pahala, sehingga kamu sendiri yang merasa bosan (mengamalkannya). Amal yang lebih disukai disisi Allah ialah amal yang dilakukan secara tetap dan teratur"
-sahih, riwayat Imam Bukhari-

Belajar juga termasuk sebagai salah satu ibadah, apabila kita niatkan keranaNya. Jika kita belajar dengan sebenar-benar ikhlas kerana Allah, insyaAllah diri kita akan lebih dekat kepadaNya.

InsyaAllah, semoga dengan peringatan dan perkongsian ini dapat membantu kita menjadi pelajar yang berjaya dunia akhirat. Sama-samalah kita rajinkan diri kita, ikhlas kerana Allah dan istiqamah dalam menuntut ilmu. Akhir kata, semoga berjaya dalam formative dan final exam. =)

Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah s.a.w. mengingatkan,
"Tuhan kalian berfirman: Wahai anak Adam (manusia sekalian)! Hendaklah kamu sibuk beribadah kepadaKu, nescaya Aku penuhi hatimu dengan rasa cukup dan Aku penuhi kedua-dua tanganmu dengan rezeki.

Wahai anak Adam! Janganlah kamu menjauhi dirimu daripadaKu, kerana tentu Aku penuhi hatimu dengan rasa serba tidak cukup dan Aku penuhi kedua-dua tanganmu dengan kesibukan."

-sahih, riwayat al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi-

Sunday, March 7, 2010

Demam?

Apabila kita senang, bahagia, kita mudah lupa dan leka. Tetapi apabila ditimpa musibah, barulah diri ini mendapat 'peringatan' akan kesenangan yang sementara itu. Sudah agak lama diri ini tidak menulis post baru, insyaAllah dalam keadaan diri serba tidak sihat ini, saya tergerak untuk menulis, meluahkan perasaan dan pengajaran untuk dikongsi bersama.

Diri ini apabila demam, maka demamlah dia berseorangan. Setiap ujian itu pasti ada sebab-sebab dan kebaikan disebaliknya. InsyaAllah, berseorangan ini tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang, kerana suatu hari nanti, kita akan berseorangan juga menghadap Allah. =)

Teringatkan firman Allah, "Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau..." (surah al-Hadid, 57:20) maka diri ini terkedu sebentar, apakah diri ini terlalu mengejar keindahan dunia ini? Apa yang pasti, hidup kita hanya sementara, semua orang pasti akan mati, kan?

"Pada hari itu (kiamat), tidak ada suatu pun dari kamu yang tersembunyi (bagi Allah). Adapun orang yang kitabnya (catatan amalan) diberikan di tangan kanannya, maka dia berkata, 'ambillah, bacalah kitabku'. 'Sesungguhnya aku yakin, bahawa (suatu saat) aku akan menerima perhitungan terhadap diriku'. Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredhai, dalam syurga yang tinggi" -surah al-Haqqah, 69:19-22 -

Setiap orang yang beriman, pasti inginkan balasan syurga yang dijanjikan Allah. Setiap orang akan dihitung amalnya, seorang demi seorang. Adakah kita mempunyai teman membantu kita dihadapan Allah nanti? Tidak, kita akan berseorangan, maka apa yang boleh membantu kita adalah ilmu dan amal kebaikan yang kita lakukan didunia ini.

"Barangsiapa mengerjakan kebaikan, maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa berbuat kejahatan, maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri. Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hambaNya" -surah Fussilat, 41:46-

Dari Abi Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila manusia itu telah meninggal dunia, maka terputuslah amal-amalannya kecuali 3 perkara
1)Anak yang soleh yang mendoakannya
2)Sedekah jariyah yang dilakukannya
3)Ilmunya yang dimanfaatkan"

-sahih, riwayat Muslim dan Tirmizi-

Jadi, sama-samalah kita teruskan melakukan kebaikan, tidak kira kepada diri sendiri, rakan-rakan mahupun kedua ibu bapa kita. Sama-sama kita cari ilmu, agar setiap amalan yang kita lakukan tidak melanggar apa yang disyariatkan Allah (AlQuran) dan rasulullah s.a.w. (hadis). Semoga dengan peringatan ini, dapat mengingatkan diri penulis ini yang sentiasa lupa, begitu juga buat rakan-rakan pembaca yang selalu membaca blog saya. =)