Sunday, March 7, 2010

Demam?

Apabila kita senang, bahagia, kita mudah lupa dan leka. Tetapi apabila ditimpa musibah, barulah diri ini mendapat 'peringatan' akan kesenangan yang sementara itu. Sudah agak lama diri ini tidak menulis post baru, insyaAllah dalam keadaan diri serba tidak sihat ini, saya tergerak untuk menulis, meluahkan perasaan dan pengajaran untuk dikongsi bersama.

Diri ini apabila demam, maka demamlah dia berseorangan. Setiap ujian itu pasti ada sebab-sebab dan kebaikan disebaliknya. InsyaAllah, berseorangan ini tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang, kerana suatu hari nanti, kita akan berseorangan juga menghadap Allah. =)

Teringatkan firman Allah, "Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau..." (surah al-Hadid, 57:20) maka diri ini terkedu sebentar, apakah diri ini terlalu mengejar keindahan dunia ini? Apa yang pasti, hidup kita hanya sementara, semua orang pasti akan mati, kan?

"Pada hari itu (kiamat), tidak ada suatu pun dari kamu yang tersembunyi (bagi Allah). Adapun orang yang kitabnya (catatan amalan) diberikan di tangan kanannya, maka dia berkata, 'ambillah, bacalah kitabku'. 'Sesungguhnya aku yakin, bahawa (suatu saat) aku akan menerima perhitungan terhadap diriku'. Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredhai, dalam syurga yang tinggi" -surah al-Haqqah, 69:19-22 -

Setiap orang yang beriman, pasti inginkan balasan syurga yang dijanjikan Allah. Setiap orang akan dihitung amalnya, seorang demi seorang. Adakah kita mempunyai teman membantu kita dihadapan Allah nanti? Tidak, kita akan berseorangan, maka apa yang boleh membantu kita adalah ilmu dan amal kebaikan yang kita lakukan didunia ini.

"Barangsiapa mengerjakan kebaikan, maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa berbuat kejahatan, maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri. Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hambaNya" -surah Fussilat, 41:46-

Dari Abi Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila manusia itu telah meninggal dunia, maka terputuslah amal-amalannya kecuali 3 perkara
1)Anak yang soleh yang mendoakannya
2)Sedekah jariyah yang dilakukannya
3)Ilmunya yang dimanfaatkan"

-sahih, riwayat Muslim dan Tirmizi-

Jadi, sama-samalah kita teruskan melakukan kebaikan, tidak kira kepada diri sendiri, rakan-rakan mahupun kedua ibu bapa kita. Sama-sama kita cari ilmu, agar setiap amalan yang kita lakukan tidak melanggar apa yang disyariatkan Allah (AlQuran) dan rasulullah s.a.w. (hadis). Semoga dengan peringatan ini, dapat mengingatkan diri penulis ini yang sentiasa lupa, begitu juga buat rakan-rakan pembaca yang selalu membaca blog saya. =)

No comments:

Post a Comment