Tuesday, February 16, 2010

Generasi AlQuran dan Hadis

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah"
-surah al-Alaq, ayat 1,2-

Alhamdulillah, dari hari ke hari, diri ini sedang belajar memahami ciptaan Allah yang mulia, iaitu manusia. Sedang kita belajar tentang makhluk yang serba lengkap ini, kita jarang berbincang mengenai Pencipta Yang Maha Kuasa. Apakah kita sudah cukup mengenali Tuhan kita?

InsyaAllah dalam post kali ini, saya ingin tekankan tentang kepentingan menuntut ilmu agama, terutama AlQuran dan Hadis. Tidak dinafikan kita lahir dalam keluarga muslim, kita diajar mengucap dua kalimah syahadah dari kecil lagi. Tetapi, ilmu yang kita ada masih belum cukup untuk memastikan diri kita sentiasa di jalan yang benar, jalan yang diredhai Allah.

Rasulullah s.a.w. dalam khutbahnya yang terakhir, baginda memesan kepada umat Islam, supaya berpeganglah kepada AlQuran dan sunnahnya, nescaya kita tidak akan sesat didunia ini. Dua perkara ini perlu kita fahami sepenuhnya, perlu sentiasa diingatkan, agar kita berada di jalan yang benar dan diredhai Allah.

"AlQuran ini menjadi panduan bagi membuka hati manusia dan menjadi hidayah petunjuk serta rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya)"
-surah Al-Jasiyah, ayat 20-

Bagi setiap Muslim yang betul-betul beriman kepada Allah, bacalah dan tadabbur (memahami) setiap ayat-ayat di dalam AlQuran. Memang kita tidak pandai memahami bahasa Arab sepenuhnya, tetapi menjadi kewajipan bagi kita untuk memahaminya menggunakan kitab terjemahan maupun tafsir AlQuran. Allah begitu menekankan perkara ini, dan mengingatkan kita dengan firmannya:

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai"
-surah Al-A'raf, ayat 179-

Selepas AlQuran, panduan kita yang utama ialah hadis Rasulullah s.a.w. Memang ramai diantara kita yang selalu membaca AlQuran, tetapi kita terlupa untuk mencari dan belajar ilmu hadis. Apabila kita tidak pandai membezakan antara hadis ataupun bukan, antara sahih mahupun dhaif, maka dengan kejahilan inilah yang menyebabkan ramai umat Islam yang sesat dan berlakunya perpecahan.

Sememangnya hadis Rasulullah s.a.w. yang menerangkan dan menjelaskan lagi maksud ayat-ayat AlQuran, yang mengajar cara-cara mengabdikan diri kepada Allah, menerangkan perlakuan mulia baginda dalam kehidupan seharian. Bagindalah ikutan dan idola sebenar yang perlu kita contohi. Maka menjadi kewajipan bagi kita untuk mencari dan memahami hadis-hadis baginda dengan sedaya yang mampu.

"Barangsiapa yang taat kepada rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah, dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka (ketahuilah), Kami tidak mengutusmu (Muhammad) untuk menjadi pengawal mereka (pemelihara mereka dari melakukan kesalahan)"
-surah an-Nisa, ayat 80-

Sama-samalah kita memperbanyakkan lagi ilmu agama, supaya dengannya dapat membawa diri kita ke jalan kebenaran dan keredhaan Allah. Walaupun kita sibuk belajar ilmu perubatan, ilmu akhirat ini tidak boleh sama sekali kita ketepikan, kerana tanpanya, kita akan sesat dan terpesong dari tujuan sebenar penciptaan kita didunia ini.

InsyaAllah, segala yang baik kita ambil pengajaran, jika terdapat kesilapan mohon teguran rakan-rakan sekalian. =)

No comments:

Post a Comment