Saturday, August 21, 2010

Apakah peranan kita dalam Islam?

InsyaAllah untuk post kali ini, saya ingin kongsikan video 'Shift Your Paradigm' kepada rakan-rakan sekalian. Video ini sangat menarik dan bermanfaat bagi saya, sebagai peringatan akan kelemahan diri, dan motivasi untuk kita terus berjuang menegakkan Islam dimuka bumi Allah ini.

Video ini mempunyai 2 siri, dan terbahagi kepada 3 fasa. Fasa pertama menceritakan beberapa masalah yang melanda umat Islam kini. Fasa kedua pula menceritakan semula sejarah kegemilangan Islam yang pernah kita kecapi. Manakala fasa terakhir merupakan kesimpulan, dan peringatan akan peranan kita dalam mengembalikan kegemilangan Islam di muka bumi. Semoga rakan-rakan mendapat pengajaran yang berguna melalui video ini, insyaAllah. =)



Siri kedua tidak dapat di embed. Jadi rakan-rakan boleh menonton sendiri di Youtube,
Shift Your Paradigm (Part 2)

Saturday, August 7, 2010

Kiblat


InsyaAllah untuk post kali ini, saya kongsikan tafsir ayat ke 115 dari surah Al-Baqarah. Tafsir ini saya salin daripada Shahih Tafsir Ibnu Katsir. Semoga kita semua dapat ambil manfaat dari perkongsian ini.

"Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadap, di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Mahaluas (rahmatNya) lagi Maha Mengetahui"
-surah Al-Baqarah, ayat 115-

Ali bin Abi Thalhah meriwayat dari Ibnu Abbas, ia mengatakan "Perkara yang pertama kali dinaskh dalam Al-Quran adalah masalah kiblat, kerana ketika Rasulullah s.a.w. hijrah ke Madinah dan penduduk disana adalah orang Yahudi, Allah memerintahkan beliau untuk menghadap ke Baitul Maqdis. Maka orang-orang Yahudi pun merasa senang. Rasulullah s.a.w. menghadap ke sana selama beberapa belas bulan.

Sebenarnya Rasulullah s.a.w. lebih menyukai kiblat Ibrahim (Ka'abah). Maka beliau berdoa dan mengarahkan pandangannya ke langit, lalu Allah Taala menurunkan ayat "Sungguh Kami (sering) melihat wajahmu menengadah ke langit..." hingga firmanNya, "Palingkanlah wajahmu ke arahnya" (Al-Baqarah, ayat 144).

Maka orang-orang Yahudi merasa ragu akan hal itu. Mereka mengatakan, "Apa yang memalingkan mereka dari kiblat yang sebelumnya mereka menghadap?" Maka Allah menurunkan ayat, "Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadap disitulah wajah Allah."
-Ath-Thabari-

Ibnu Jarir mengatakan, "Dan ulama lain mengatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. sebagai pemberian izin dari Allah untuk mengerjakan solat sunnat dengan menghadap ke arah mana saja, baik timur maupun barat, ketika berada dalam perjalanan, ketika perang, dan dalam ketakutan yang sangat." -Ath-Thabari-

Dan dari Ibnu Umar disebutkan bahawa ia pernah mengerjakan solat ke arah mana saja binatang kenderaannya menghadap. Dan ia menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. juga melakukannya, sebagai penafsiran ayat ini "Maka ke mana pun kamu menghadap, disitulah wajah Allah."
-riwayat Muslim, Tirmidzi, AnNasai dan Ibnu Abi Hatim-

Dan dalam sahih al-Bukhari, disebutkan dari Nafi' dari Ibnu Umar, bahawa ia pernah ditanya tentang solat khauf dan (pengaturan) safnya. Kemudian ia mengatakan, "Jika rasa takut sangat, maka hendaklah mereka mengerjakannya dengan berjalan kaki atau sambil berkenderaan, dengan menghadap kiblat ataupun tidak menghadap kiblat." Nafi mengatakan, "Dan tidaklah aku mengetahui Ibnu Umar mengatakan demikian melainkan berasal dari Nabi s.a.w."
-Fathul Baari: Al-Bukhari-

Ada pula yang mengatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada orang yang tidak mengetahui arah kiblat secara pasti disebabkan cuaca yang gelap, langit yang mendung dan semisalnya, lalu ia mengerjakan solat tanpa menghadap kiblat. (Ibnu Katsir)

Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi serba sedikit ilmu yang berguna bagi kita sebagai seorang muslim. Mungkin apabila kita berada dalam satu perjalanan yang jauh, dan tidak dapat mencari arah kiblat yang sebenar, maka kita dibenarkan untuk menghadap mana-mana arah. Begitu juga ketika berada dalam kapal terbang, maka dibenarkan solat tanpa perlu mengulanginya lagi apabila tiba. Pastikan kita yakin, dan ingatlah firman Allah diatas, untuk membuang keraguan dalam diri.

Andai kata terdapat kesilapan dalam perkongsian ini, mohon teguran dari rakan-rakan. Semoga dengan ilmu ini, dapat memberikan pencerahan kepada kita semua. Wallahu'alam =)

Dari Uthman, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sebaik-baik diantara kamu (Muslim) adalah mereka yang belajar Al-Quran, dan mengajarkannya"
-sahih Bukhari-