Monday, December 12, 2011

Perintah menghadap Firaun


"Pergilah engkau bersama saudaramu dengan membawa tanda-tanda (kekuasaan)Ku, dan janganlah kamu berdua lalai mengingatiKu. Pergilah kamu berdua kepada Firaun, kerana dia benar-benar telah melampaui batas"
-surah Taha, ayat 42,43-

Ayat diatas merupakan perintah dari Allah Taala kepada Musa dan Harun untuk menghadap Firaun kerana dia (Firaun) telah melampaui batas dan amat durhaka kepada Allah.

Allah memerintahkan Musa menyeru Firaun untuk menyembah Allah semata-mata kerana tiada sekutu bagiNya. Perintah kepadanya untuk memperlakukan bani Israil dengan perlakuan yang baik dan jangan lagi menyiksa serta menindas mereka. Sesungguhnya Firaun telah berlaku sewenang-wenangnya lagi melampaui batas, lebih memilih kehidupan dunia serta melupakan Tuhannya Yang Maha Tinggi.

Kemudian, Musa memohon kepada Tuhannya dengan doa yang cukup terkenal agar dilapangkan dadanya dalam menunaikan tugas risalah yang dibebankan, yang sangat berat dan besar. Musa berdoa, "Ya Tuhan! Lapangkanlah dadaku, mudahkanlah urusanku, uraikanlah ikatan lidahku, agar mereka memahami ucapanku" (surah Taha, ayat 25-28)
-Tafsir Ibnu Katsir-

Info tambahan:
Raja Menes dikenali sebagai Firaun Mesir pertama yang menyatukan seluruh Mesir Kuno untuk pertama kalinya dalam sejarah sebuah negara kesatuan, lebih kurang pada abad ke-3 M. Istilah 'Firaun" merujuk kepada istana raja Mesir, namun bertukar menjadi gelaran raja-raja Mesir.

Firaun dianggap sebagai penjelmaan dewa terbesar dalam kepercayaan Mesir Kuno yang politeism dan sesat. Pengurusan tanah rakyat, pembahagiaan pendapatan, hasil pertanian, jasa dan produksi, dikelola atas nama Firaun.

Rakyat Mesir sangat memegang kepercayaan akan kedewaan Firaun. Firaun mengancam Musa dengan mengatakan, "Sungguh, jika kamu menyembah Tuhan selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan" (surah As-Syura, 29). Dan dia berkata kepada orang-orang disekelilingnya, "Aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku" (surah Al-Qasas, 38). Dia mengatakan ini semua kerana menganggap dirinya adalah tuhan.
-Harun Yahya: Jejak Bangsa-bangsa Terdahulu-

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat sahabat-sahabat. Sesungguhnya setiap ayat-ayat Al-Quran itu ada pengajarannya, buat hamba-hambaNya yang beriman, agar mereka tidak tersesat dan melampaui batas. Wallahu'alam. ^^