Friday, August 28, 2009

Jom kita meneroka kebesaran Allah

iluvislam

"Bacalah dengan nama Tuhan-mu yang telah menciptakan (sekalian makhluk).
Menciptakan manusia dari segumpal darah.
Bacalah! Dan Tuhan engkau itu adalah Maha Mulia.
Yang mengajarkan manusia dengan pena (qalam).
Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya."

-surah Al-Alaq, ayat 1 hingga 5-

Itulah wahyu pertama Allah Taala yang disampaikan oleh Jibril kepada Muhammad s.a.w. Nabi bukanlah seorang yang pandai membaca. Beliau adalah ummi, iaitu buta huruf, tidak pandai menulis dan tidak pula pandai membaca. Tetapi Jibril mendesaknya, memeluknya keras bagi meyakinkannya sehingga tiga kali, diajarkan ayat-ayat itu sehingga Nabi dapat menghafalnya, dengan itu dapatlah dia membacanya.

Allah yang menciptakan semuanya. Nabi yang tidak pandai menulis dan membaca itu akan pandai membaca ayat-ayat yang diturunkan kepadanya. Bila wahyu-wahyu itu telah turun kelak, dia akan diberi nama AlQuran, yang bererti bacaan.

Dengan ringkas Allah menerangkan asal usul kejadian seluruh manusia, semuanya sama, iaitu dari segumpal darah, yang terbentuk daripada segumpal mani (nuthfah). Allah terangkan kejadian ini dalam surah Mukminun, ayat 12 hingga 14. Segumpal mani itu pula berasal dari butiran halus makanan manusia yang diambil dari bumi. Protin, vitamin, enzim, hormon, semuanya diambil dari bumi, dari sayuran, buah-buahan, daging. Kemudian manusia itu bertambah besar dan dewasa.

Pada ayat ketiga, Allah menyuruh lagi membaca diatas nama Tuhan yang Maha Mulia, maha penyayang, maha pengasih kepada makhlukNya.

"Yang mengajarkan manusia dengan qalam", itulah kemuliaan dan keistimewaanNya. Diajarkan manusia pelbagai ilmu, dibukaNya pelbagai rahsia, diserahkanNya pelbagai kunci untuk membuka pembendaharaan Allah, iaitu dengan qalam. Tuhan mentakdirkan dengan pena, ilmu pengetahuan itu dapat dicatat.

"Ilmu pengetahuan adalah laksana binatang buruan, dan penulisan adalah tali pengikat buruan tersebut. Oleh itu, ikatlah buruanmu dengan tali yang teguh"

iluvislam

Daripada penulisan itulah Allah mengajar manusia, "Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya". Pena adalah beku, kaku, tidak hidup, namun apa yang dituliskan itu adalah pelbagai hal yang dapat difahamkan manusia.

Sheikh Muhammad Abduh dalam tafsirnya berkata, "Tidak dapat kata-kata yang lebih mendalam dan alasan yang lebih sempurna daripada ayat ini, didalam menyatakan kepentingan membaca dan menulis ilmu pengetahuan dalam segala cabang dan bahagian." Beliau juga berkata, "Kalau ayat pembukaan wahyu ini tidak menggetarkan hati mereka, maka tidaklah mereka akan bangun lagi selama-lamanya".

Ibnu Katsir juga berkata dalam tafsirnya, "Maka AlQuran yang mula-mula turun ialah ayat yang mulia lagi berkat ini. Inilah rahmat yang mula diturunkan dan nikmat yang mula dilimpahkan kepada hamba-hamba Allah, yang memberikan peringatan tentang usul kejadian manusia, iaitu dari darah yang segumpal, kemudian manusia dimuliakan dengan ilmu dan pengetahuan. Itulah tingkat yang dicapai oleh Bapa seluruh manusia, iaitu Adam, yang menang ketika sama ditanya kepada malaikat.

Dan ilmu itu kadang-kadang ada dalam otak, ada yang dengan lidah dan ada pula yang dituliskan dengan ujung jari, fikiran otak, kata-kata dan penulisan."


Jadi sama-samalah kita ambil pengajaran, walaupun sedikit, sebagai peringatan dan motivasi kepada kita untuk terus mencari ilmu. Semoga dengan ilmu itu, kita akan lebih dekat kepada Allat Taala. =)

Wednesday, August 19, 2009

Belajar dari apa yang dipelajari

hi-bloom

"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
-surah Ali-Imran, 3:18-

Ayat diatas diturunkan, berdasarkan kisah dua orang pendeta yang datang dari Syam, bertemu Rasulullah s.a.w. Mereka dapat mengecam sifat dan gambaran nabi akhir zaman dan bertanya kepada baginda, "Engkau adalah Muhammad?". Baginda menjawab, "Ya".

Untuk mendapatkan kesaksian dan bukti kebenaran baginda, mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Beritahu kepada kami, apakah kesaksian yang terbesar di dalam kitab Allah?". Lalu Allah s.w.t. menurunkan ayat diatas, dan mereka berdua memeluk Islam dan mengakui kebenaran Rasulullah s.a.w.

Alhamdulillah pada kelas pagi tadi, saya tertarik dengan cerita oleh Dr. Amin mengenai jantung yang diciptakan Allah. Mungkin bagi kita yang belajar daripada buku, dan menghafalnya, jarang sekali untuk kita memikirkan kebesaran ciptaan tersebut.

Bagaimana Allah Yang Maha Kuasa telah menciptakan, seketul daging yang mampu mengepam darah keseluruh badan, sedangkan isipadunya kecil sekali berbanding badan manusia itu sendiri. Jantung mengepam lebih kurang 70 mililiter setiap pengecutan ventrical, tetapi isipadu darah didalam badan manusia lebih kurang 5 liter. Maka Allah jadikan jantung itu mengepam dengan cepat, walaupun sedikit, agar pembekalan darah keseluruh badan itu sempurna dan mencukupi.

Jadi bagaimana pula dengan kita, takkan kita yang begitu kerdil ini tidak mampu menempuh setiap ranjau-ranjau kehidupan? Pasti boleh, dengan kesabaran, walaupun dengan sedikit-sedikit kearah kebaikan, insyaAllah kita juga boleh berjaya. Memang sukar untuk berjaya dengan mendadak kecuali dengan izin Allah, tetapi kita wajib percaya bahawa setiap kebaikan itu pasti akan mendapat balasannya.

Antara atrium dan ventrical pula, Allah tidak jadikan kedua-duanya mengepam dalam masa yang sama. Jika atrium mengecut, ventrical akan mengembang, jika atrium mengembang, ventrical pula akan mengecut. Jika kedua-duanya mengepam dalam masa yang sama, adakah aliran darah itu akan berlaku?? Bagaimana alirannya?

Begitu juga dengan kehidupan kita. Jika ada kelemahan, pasti ada kekuatan. Jika terdapat dua orang berselisih pendapat, pasti akan berlaku pergaduhan jika tiada toleransi antara keduanya. Amar makruf nahi munkar, ada rakan buat kesalahan, kita perbaiki. Begitulah aturan hidup yang teratur dan baik, seperti jantung yang diciptakan Allah. Maka hidup ini pasti akan aman dan harmoni.

Denyutan jantung yang normal bermula dari Sinoatrium node, diikuti pula oleh Atrioventricular node, impulse mengalir melalui Bundle of His ke Purkinje fibre. Jika SA Node menghantar impulse dengan laju, maka yang lain akan mengikuti laju. Jika terdapat ketidak seragaman, maka fungsi jantung itu tidak sempurna dan terjadinya arrhythmia. Apa pula yang dimaksudkan dengan keadaan ini?

Ianya bermaksud, bahawa ketua itu satu, dan anak-anak buahnya perlu mengikuti ketuanya itu. Jika ketuanya perlahan, maka yang lain turut perlahan, tidak boleh melebihi pemimpin itu. Jika anak buahnya lebih berkuasa, maka organisasi itu tidak akan teratur. Tidak kira daripada keluarga, masyarakat, mahupun dunia, perlukan ketua dan kepatuhan ahlinya. Bagi yang beriman, kepatuhan tertinggi adalah pada Tuhan Yang Esa, itulah ketua dan pencipta Yang Maha Agung.

Setiap yang diciptakan Allah pasti ada makna dan pengajaran di sebaliknya. Disebut pada ayat diatas, bahawa kesaksian tentang keEsaan Allah itu turut ada pada orang-orang yang berilmu. Orang yang berilmu, pasti akan menemui kebenaranNya. Maka, marilah kita sama-sama mencari ilmu kerana Allah, meneroka ciptaanNya, dan mencari keredhaanNya, agar sempurna hidup kita dunia dan akhirat.

InsyaAllah, semoga perkongsian yang sedikit ini dapat memberi makna yang baik kepada rakan-rakan. Wallahualam~