Friday, August 28, 2009

Jom kita meneroka kebesaran Allah

iluvislam

"Bacalah dengan nama Tuhan-mu yang telah menciptakan (sekalian makhluk).
Menciptakan manusia dari segumpal darah.
Bacalah! Dan Tuhan engkau itu adalah Maha Mulia.
Yang mengajarkan manusia dengan pena (qalam).
Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya."

-surah Al-Alaq, ayat 1 hingga 5-

Itulah wahyu pertama Allah Taala yang disampaikan oleh Jibril kepada Muhammad s.a.w. Nabi bukanlah seorang yang pandai membaca. Beliau adalah ummi, iaitu buta huruf, tidak pandai menulis dan tidak pula pandai membaca. Tetapi Jibril mendesaknya, memeluknya keras bagi meyakinkannya sehingga tiga kali, diajarkan ayat-ayat itu sehingga Nabi dapat menghafalnya, dengan itu dapatlah dia membacanya.

Allah yang menciptakan semuanya. Nabi yang tidak pandai menulis dan membaca itu akan pandai membaca ayat-ayat yang diturunkan kepadanya. Bila wahyu-wahyu itu telah turun kelak, dia akan diberi nama AlQuran, yang bererti bacaan.

Dengan ringkas Allah menerangkan asal usul kejadian seluruh manusia, semuanya sama, iaitu dari segumpal darah, yang terbentuk daripada segumpal mani (nuthfah). Allah terangkan kejadian ini dalam surah Mukminun, ayat 12 hingga 14. Segumpal mani itu pula berasal dari butiran halus makanan manusia yang diambil dari bumi. Protin, vitamin, enzim, hormon, semuanya diambil dari bumi, dari sayuran, buah-buahan, daging. Kemudian manusia itu bertambah besar dan dewasa.

Pada ayat ketiga, Allah menyuruh lagi membaca diatas nama Tuhan yang Maha Mulia, maha penyayang, maha pengasih kepada makhlukNya.

"Yang mengajarkan manusia dengan qalam", itulah kemuliaan dan keistimewaanNya. Diajarkan manusia pelbagai ilmu, dibukaNya pelbagai rahsia, diserahkanNya pelbagai kunci untuk membuka pembendaharaan Allah, iaitu dengan qalam. Tuhan mentakdirkan dengan pena, ilmu pengetahuan itu dapat dicatat.

"Ilmu pengetahuan adalah laksana binatang buruan, dan penulisan adalah tali pengikat buruan tersebut. Oleh itu, ikatlah buruanmu dengan tali yang teguh"

iluvislam

Daripada penulisan itulah Allah mengajar manusia, "Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya". Pena adalah beku, kaku, tidak hidup, namun apa yang dituliskan itu adalah pelbagai hal yang dapat difahamkan manusia.

Sheikh Muhammad Abduh dalam tafsirnya berkata, "Tidak dapat kata-kata yang lebih mendalam dan alasan yang lebih sempurna daripada ayat ini, didalam menyatakan kepentingan membaca dan menulis ilmu pengetahuan dalam segala cabang dan bahagian." Beliau juga berkata, "Kalau ayat pembukaan wahyu ini tidak menggetarkan hati mereka, maka tidaklah mereka akan bangun lagi selama-lamanya".

Ibnu Katsir juga berkata dalam tafsirnya, "Maka AlQuran yang mula-mula turun ialah ayat yang mulia lagi berkat ini. Inilah rahmat yang mula diturunkan dan nikmat yang mula dilimpahkan kepada hamba-hamba Allah, yang memberikan peringatan tentang usul kejadian manusia, iaitu dari darah yang segumpal, kemudian manusia dimuliakan dengan ilmu dan pengetahuan. Itulah tingkat yang dicapai oleh Bapa seluruh manusia, iaitu Adam, yang menang ketika sama ditanya kepada malaikat.

Dan ilmu itu kadang-kadang ada dalam otak, ada yang dengan lidah dan ada pula yang dituliskan dengan ujung jari, fikiran otak, kata-kata dan penulisan."


Jadi sama-samalah kita ambil pengajaran, walaupun sedikit, sebagai peringatan dan motivasi kepada kita untuk terus mencari ilmu. Semoga dengan ilmu itu, kita akan lebih dekat kepada Allat Taala. =)

No comments:

Post a Comment