Thursday, November 19, 2009

Berkenalan dengan hadis Rasulullah s.a.w....

InsyaAllah, pada post kali ini, saya kongsikan serba sedikit ilmu mengenai hadis-hadis. Ilmu ini sangat penting, terutama bagi kita yang mengaku beriman kepada Allah Taala, seperti hadis yang saya tulis dalam post sebelum ini. Tergerak saya ingin kongsikan ilmu ini kerana saya tahu ramai diantara kita yang masih belum betul-betul mengetahuinya, terutama diri saya, yang baru tergerak untuk belajar lebih dalam mengenai ilmu-ilmu hadis.

Saya ingin berkongsikan serba sedikit isi-isi, ilmu mengenai hadis yang saya baca daripada sebuah buku tulisan Adlan Bin Abd. Aziz, 20 Persoalan Asas Tentang Hadis. Huraian-huraiannya sangat mudah difahami, bagus bagi mereka yang masih belum mengenali ilmu berkaitan hadis. Dibawah ini saya sertakan link e-book supaya rakan-rakan dapat turut membaca. Mohon teguran jika terdapat salah silap dalam post saya ini.
20 Persoalan Asas Tentang Hadis

Rasulullah s.a.w. telah mendoakan secara khusus bagi mereka yang mempelajari hadis baginda s.a.w. dengan sabdanya:
"Semoga Allah memberikan cahaya kepada seseorang yang mendengar hadis daripadaku lalu menghafaznya sehingga dia menyampaikannya kepada orang lain"
-hadis sahih riwayat Abu Daud, dan imam-imam lain dengan lafaz sedikit berbeza-

Pengumpulan hadis-hadis ini telah bermula oleh para sahabat lagi, ada yang menghafalnya dan ada juga yang mencatatkan. Pada zaman khalifah Umar Abd. Aziz, beliau telah mengarahkan hadis-hadis ini dikumpulkan secara rasmi. Begitu juga pada kurun ke-3 Islam, pengumpulan ini diteruskan dan terhasillah buku-buku yang kita kenali sekarang, Sahih Bukhari, Muslim, hadis-hadis riwayat Ibn Majah, An-nasaie, Abu Daud dan at-Tirmizi. Begitulah sejarah secara ringkasnya mengenai ilmu hadis.

Kemudian para ulama mengkategorikan hadis-hadis ini kepada hadis sahih, hasan, dha'if, sangat dha'if (dhaif jiddan), dan palsu (maudhu'). Pembahagian ini bukanlah satu perkara yang diambil remeh, tetapi adalah satu tanggungjawab para ulama dalam mengasingkan hadis yang dibuat-buat dan palsu. Ini berdasarkan hadis baginda s.a.w.:
"Sesiapa yang berbohong menggunakan namaku, maka dia telah menempatkan tempatnya didalam neraka"
-hadis riwayat Bukhari dan Muslim-

Setiap hadis dikaji dan dinilai oleh para ulama' sejak zaman berzaman menggunakan kaedah hadis yang dikenali sebagai Ilmu Mustolah al-Hadis. Untuk mencapai tahap Sahih, sesuatu hadis mesti memenuhi 3 syarat utama, iaitu:
1) Sanadnya bersambung (periwayatnya bertemu dengan periwayat sebelumnya)
2) Periwayat-periwayatnya daripada kalangan mereka yang boleh dipercayai
3) Tidak ada kecacatan yang tersembunyi dan diketahui oleh para pengkaji

Pengkajian oleh ulama hadis ini bukanlah sesuatu yang mudah, malah memerlukan ketelitian. Pengsahihan hadis ini sangat penting dalam menjaga kesucian agama Islam, dan tanggungjawabnya sangatlah berat seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang saya berikan diatas.

Seperti yang kita tahu, hadis-hadis yang dikumpulkan dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim memang tidak diragui lagi kesahihannya. Bagi 4 buku 'sunan' seperti Sunan alTirmizi, Sunan Abu Daud, Sunan anNasaie, dan Sunan Ibn Majah, tidak semuanya adalah hadis sahih. Hal ini dapat dikenal pasti dengan merujuk kepada kajian dan ulasan ulama hadis yang terkenal.

Jika rakan-rakan banyak membaca dan mencari buku-buku hadis, pasti akan menemui buku yang dicetak bersama kajian dan semakan yang lebih dikenali dengan istilah tahqiq. Istilah tahqiq membawa maksud kajian semula terhadap teks sesuatu buku hadis dan juga kajian terhadap kesahihan hadis-hadis dalam buku tersebut. Tahqiq ini selalunya dilakukan oleh ulama hadis, dan diterangkan dibawah setiap hadis-hadis.

Antara pengkaji hadis masa kini yang terkenal ialah Ahmad Muhammad Syakir, Muhammad Nasiruddin al-Albani, Syuaib al-Arnouth, Ahmad Ibn al-Shiddiq al-Ghumari, Abd. Qadir al-Arnouth, Basyar Awwad Ma'ruf dan banyak lagi. Kita boleh cari hasil-hasil kajian mereka, termasuk tahqiq terhadap hadis-hadis dalam buku hadis yang terkenal, untuk mengasingkan hadis yang sahih dan hadis dha'if serta palsu.

Hanya hadis-hadis sahih dan hasan yang boleh digunakan dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Ada pendapat yang menyatakan boleh beramal dengan hadis dha'if, tetapi dengan syarat-syarat tertentu. Kata seorang pengkaji hadis yang terkenal, Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam bukunya:
"Telah mahsyur dikalangan ahli ilmu dan penuntutnya bahawa hadis dha'if boleh diamalkan dalam fadhilat amalan dan mereka menyangka tiada perselisihan dalam pendapat tersebut"

Seterusnya al-Albani menyebut antara sebab utama ramai berpendapat sebegitu ialah kerana kata-kata Imam al-Nawawi. Imam al-Nawawi dalam banyak bukunya menyatakan telah disepakati oleh para ulama bahawa boleh beramal dengan hadis dha'if. Pendapat Imam al-Nawawi ini diragui ketepatannya kerana terdapat ulama-ulama lain dalam bidang hadis yang tidak sependapat dengan beliau, seperti Yahya Ibn Ma'in, Abu Bakr Ibn al-Arabi, Ibn Hazm dan sebagainya."

Walaupun begitu, kita sebagai orang yang kurang berilmu, sebaik-baiknya kita cubalah beramal dengan hadis-hadis yang sahih. Hadis-hadis yang sahih sudah banyak dan mencukupi untuk dijadikan dalil dan hujah dalam amal ibadah dan amalan harian. Tidak perlu kita salahkan mana-mana pihak, tetapi berlapang dadalah dalam hal ini, supaya umat Islam tidak berpecah.

Perkara yang lebih penting ialah akidah, keimanan kita kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Jika ada sesuatu yang benar dan jelas dilarang Allah, maka kita jauhkan. Jika ada perkara yang diragukan, kita pilihlah yang paling baik dan selamat. Perkara ini sangat perlu kita ketahui dan fahami, kerana ianya menjadi salah satu isu yang diperheboh-hebohkan dan boleh menyebabkan orang pandang serong terhadap agama Islam.

Itulah sebabnya kita sebagai umat Islam yang beriman, perlu menuntut ilmu dan menjauhi kejahilan terhadap agama kita sendiri. Kita tidak boleh terlalu taksub mengikut kata-kata seseorang walaupun ianya ustaz, kerana setiap manusia ada kelemahan masing-masing. Apa yang perlu ialah kita kena banyak membaca dan menuntut ilmu dari banyak orang-orang yang berilmu, tidak cukup pada seorang saja.

Satu amaran dari Rasulullah s.a.w.:
"Jauhilah kamu dari perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid'ah, dan setiap bid'ah adalah sesat."
-diriwayatkan Abu Daud dan Tirmizi, berkata at-Tirmizi 'Hadis ini hasan sahih'. Ibnu Hibban dan al-Hakim menyatakan hadis ini sahih-

Maka segala kebaikan ialah apa yang dibawak oleh syarak dan berpada dengannya. Perlu ditekankan disini, manhaj Ahl al-Sunnah wal-Jamaah ialah tidak menghukum seseorang kerana kejahilan yang tidak disengajakan. Oleh itu jika seseorang melakukan ibadah dengan sangkaannya benar, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya, maka dia tetap perolehi pahala. Contohnya kita yang tidak dapat membezakan hadis dengan bukan hadis, sahih dengan bukan sahih dan yang tidak mampu memperoleh ilmu agama dari sumber yang tulen. Ini semua dengan syarat dia tetap berusaha, sehingga bila sampai kepadanya ilmu yang sahih dan tulen, dia tidak bersikap ego terhadapnya tetapi terus merendah diri menerimanya.

"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi"
-surah Furqan, ayat 70-

Post kali ini saya banyak merujuk pada buku 20 Persoalan Asas Tentang Hadis dan hadis terakhir ini daripada buku Bid'ah Hasanah:Istilah Yang Disalah Fahami. Mohon teguran atas silap salah. =)

Friday, November 13, 2009

Betulkah jalan yang aku tempuhi ini?

(Ingatlah) hari (Kiamat), tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalannya), dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (Ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalannya yang jahat itu, dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya, dan (ingatlah juga) bahawa Allah Amat Belas Kasihan kepada hamba-hambaNya
-surah Ali-Imran, ayat 30-

InsyaAllah post kali ini saya ingin kongsikan sebahagian peringatan dari Allah dalam Al-Quran, supaya kita selalu berwaspada dan menjaga setiap perbuatan kita setiap hari.

Melalui ayat di atas, Allah menceritakan keadaan di hari akhirat, dimana setiap manusia akan diperhitungkan amalan perbuatannya, ditunjukkan kepada mereka sendiri setiap kebaikan mahupun kejahatan. Semuanya jelas ketika itu, semuanya diperlihatkan dan kita tidak boleh lari mahupun menyorokkan kejahatan yang pernah kita lakukan sewaktu kita hidup.

Apabila dibentangkan setiap kebaikan yang dilakukan, manusia sangat gembira melihatnya, walaupun hanya sekecil-kecil amal. Tetapi Allah ceritakan, apabila ditunjukkan amal kejahatan, dosa-dosa yang pernah dilakukan, mereka inginkan supaya kejahatan itu dijauhkan, tidak diperhitungkan dan dilupakan saja. Ketika itu barulah kita sedar bahawa kejahatan yang kita lakukan itu sangat memalukan kita dihadapan Allah, tetapi apakan daya, sekecil kejahatan pun Allah tetap kira.

Disebabkan itulah, pada ayat tersebut, Allah memperingatkan hamba-hambaNya supaya ingat tentang azabNya. Allah peringatkan kita supaya berwaspada dalam setiap perbuatan kita didunia ini, dan Allah beritakan kepada kita tentang sifat PengampunNya. Jadi, jika kita sedar kesalahan dan kelalaian kita, maka mohonlah keampunan pada Allah. Pintu keampunan masih sedia terbuka, 24jam, bila-bila sahaja kita boleh memohon padaNya.

Katakanlah (Wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihi.
Katakanlah (Wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang kafir.

-surah Ali-Imran, ayat 31,32-

Ibn al-Munzir mengemukakan riwayat daripada al-Hasan al-Basri, katanya:
Pada zaman Rasulullah s.a.w. ada yang mengatakan "Demi Allah, wahai Muhammad! Sesungguhnya kami menyintai Tuhan kami." Berikutan itu, Allah menurunkan ayat 31 diatas.

Kata Ibn Abbas: Tatkala orang-orang Yahudi mengatakan seperti difirmankan Allah Taala "Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat disayangiNya" (Al-Maidah, ayat 15), maka Allah menurunkan ayat berkenaan. Setelah diturunkan, Nabi s.a.w. menyampaikan kepada orang Yahudi tetapi mereka enggan menerimanya.

Walau bagaimanapun, perintah dalam ayat tersebut adalah umum, meliputi semua orang yang mengaku menyintai Allah, tetapi mereka tidak mengikut apa yang diajarkan Rasulullah s.a.w. Kata Ibn Kathir, "Ayat ini menentukan bahawa setiap orang yang mengaku menyintai Allah Taala tetapi tidak mengikut landasan yang dibawa oleh Nabi s.a.w., maka ia berdusta dalam dakwaannya itu. Sewajarknya ia mengikut syariat Muhammadiah dan agama nabawi dalam semua perkataan dan perbuatannya. Ini sebagaimana yang thabit di dalam Sahih al-Bukhari, iaitu:
"Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan tetapi tidak menepati ajaran kami, maka ia adalah tertolak"

Pengajaran yang kita perlu ambil daripada ayat 31 dan 32 ini ialah, kita perlu taat pada perintah Allah dan Rasulullah. Jika kita katakan kita cinta Allah, kita mesti patuh dan percaya pada apa yang disampaikan Rasulullah, kerana baginda adalah utusanNya yang dipilih untuk mengajar manusia bagaimana untuk mengEsakan Allah. Tidak perlu dipertikaikan kenapa Allah memilih baginda, tetapi kita perlu percaya sepenuhnya dan jangan sesekali bersangka bahawa kita tidak perlu taat pada baginda.

Allah memilih Nabi Muhammad s.a.w. sebagai contoh tauladan kepada semua manusia, tentang bagaimana mentaati Allah, bagaimana beribadat, bagaimana menjalani kehidupan dunia ini supaya sentiasa didalam rahmat Allah. Semuanya ditunjukkan oleh Rasulullah, di riwayatkan kepada kita menerusi hadis-hadisnya kepada para sahabat. Secara tidak langsung, ayat ini memerintahkan kita supaya mengikut hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan contohi baginda sejauh mana yang kita mampu, kerana kita tidak bersifat maksum.

Ungkapan al-Warraq:
Engkau derhaka kepada Tuhan, tetapi engkau katakan cinta kepadaNya. Demi umur dalam hidupku, sesungguhnya perkara demikian dalam hidupku tersasar dari contoh bandingan.
Seandainya cinta engkau tulus, nescaya engkau taat kepadaNya. Sesungguhnya seseorang pencinta sentiasa akan taat kepada apa yang dicintai.


Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya apabila Allah menyintai seseorang hamba, Dia akan memanggil Jibril lalu bertitah: Sesungguhnya Aku cintakan seseorang, hendaklah kamu menyintainya. Sabda Nabi s.a.w.: kemudian Jibril pun menyintai orang itu dan menyeru penghuni langit dengan mengatakan: Sesungguhnya Allah menyintai seseorang, hendaklah kamu semua menyintainya. Kemudian penghuni langit juga mencintanya. Kemudian manusia dibumi terbuka hati untuk menerimanya.

Apabila Dia murka kepada seseorang hamba, Dia akan memanggil Jibril lalu bertitah: Sesungguhnya Aku murka kepada seseorang, maka hendaklah kamu benci kepadanya. Sabda Nabi s.a.w.: Kemudian Jibril membencinya dan menyeru penghuni langit: Sesungguhnya Allah murka kepada seseorang, hendaklah kamu juga membenci orang itu. Kemudian semua penghuni langit membencinya. Kemudian tercetuslah kebencian terhadap orang itu di muka bumi"


InsyaAllah, semoga kita dapat ambil peringatan dan pengajaran yang bermanfaat. Sama-samalah kita berhati-hati dalam setiap perlakuan kita sehari-hari, agar dijauhkan dari azab Allah di akhirat kelak. Kita contohilah baginda, ikuti apa yang diajarkan baginda kepada kita, supaya kita mendapat kasih sayang Allah Taala. Kita cubalah pelajari hadis-hadis baginda dan cuba amalkan sebaik mungkin. Semoga post kali ini bermanfaat buat rakan-rakan. =)

Thursday, November 5, 2009

Berdoalah dan terus berdoa

InsyaAllah, sempena musim exam ini, saya ingin kongsikan hadis-hadis dan ayat Al-Quran mengenai berdoa. Semoga dengan perkongsian yang kecil ini dapat membantu rakan-rakan yang bakal atau pun sudah selesai menghadapi exam final.

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ashab as-Sunan dari an-Nu'man bin Basyir bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya berdoa merupakan ibadah." Kemudian baginda membaca ayat berikut, "Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku kabulkan doamu itu. Orang-orang yang menyombongkan diri hingga tidak mahu beribadah kepadaKu, sungguh mereka itu akan masuk neraka dalam keadaan hina-dina" (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Allah menyuruh kita sebagai hamba-hambaNya untuk berdoa kepadaNya, yakin dengan kuasaNya, kerana Allah Maha Kuasa atas tiap sesuatu. Allah juga menyarankan kita supaya tidak sombong, tidak terlampau yakin dengan kelebihan diri yang sebenarnya sangat lemah dalam menghadapi kehidupan ini.

Diriwayatkan at-Tirmizi dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesiapa ingin doanya dimakbulkan oleh Allah Taala ketika dalam keadaan bahaya dan kesusahan, hendaklah dia memperbanyakkan berdoa ketika dalam keadaan senang."

Hadis ini memperingatkan kita, supaya terus menerus berdoa walaupun dalam keadaan senang. Ini kerana, waktu senang itu manusia mudah lupa dan leka. Jadi kita tidak boleh berhenti daripada berdoa kepada Allah walaupun kita dalam keadaan serba selesa. Pintalah supaya Allah tidak timpakan ujian yang berat kepada kita pada masa akan datang.

Dari Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sikap berhati-hati tidak ada gunanya ketika berhadapan dengan takdir, sedangkan doa akan bermanfaat, sama ada terhadap perkara yang telah terjadi mahupun yang belum terjadi. Ketika malapetaka turun lalu disambut dengan doa, maka keduanya akan bertarung hingga hari kiamat"
-diriwayatkan oleh al-Bazzar dan at-Thabrani (al-Hakim menyatakan sanadnya sahih)-

Walaupun kita telah melakukan persiapan secukupnya, kita telah mengulangkaji semua yang telah dipelajari, kita belum tahu apakah ujian yang akan diberikan kepada kita. Oleh itu, Rasulullah s.a.w. mengajar kita pada hadis ini, bahawa doa adalah senjata paling berguna ketika menghadapi ujian-ujian tersebut, walaupun hanya menghadapi soalan-soalan peperiksaan, insyaAllah. Ianya tidak bermaksud kita perlu bergantung pada doa semata-mata, tetapi perlu juga berusaha melakukan persiapan sebaik mungkin.

Dari Abu Umamah, katanya:
"Seseorang bertanya: 'Wahai Rasulullah! Bilakah doa itu lebih cepat dimakbulkan oleh Allah?' Baginda menjawab: 'Doa yang dibaca ketika penghujung malam dan setiap selesai mengerjakan solat-solat fardu"
-diriwayatkan oleh at-Tarmizi dengan sanad yang sahih-

Dari Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Jarak yang paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah membaca doa pada saat itu, kerana besar kemungkinan akan dimakbulkan"
-diriwayatkan oleh Muslim-

Dua hadis diatas ini menerangkan antara waktu-waktu yang baik untuk kita berdoa. Dalam hadis lain juga ada menyatakan, bahawa sepertiga akhir malam itu, Allah turun dan mendengar doa hamba-hambaNya yang bangun berdoa. Sebab itulah baginda selalu melakukan solat sunat tahajud diakhir malam. Begitu juga ketika kita sujud, waktu itulah yang terbaik untuk kita berdoa kepada Allah dalam setiap solat kita.

"Dan janganlah kamu kuatkan suaramu waktu berdoa, jangan pula berbisik-bisik dengan suara perlahan, tetapi tempuhlah jalan tengah antara kedua itu"
-sirah al-Isra', ayat 110-

"Mohonlah kepada Tuhanmu dengan merendahkan diri dan tidak menguatkan suara! Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas!"
-surah al-A'raf, ayat 55-

Allah berfirman melalui dua ayat diatas, supaya kita berdoa dalam keadaan yang sederhana. Tidak terlalu kuat, dan tidak terlalu perlahan suara ketika berdoa itu. Kita berdoalah dengan yakin bahawa Allah mendengar setiap doa kita, kerana Allah itu Maha Mendengar.

Semua hadis-hadis dan ayat diatas saya ambil daripada kitab Fiqh Sunnah tulisan As-Sayid Sabiq. Semoga post kali ini bermanfaat buat rakan-rakan. Selamat Menghadapi Final Exam! =)

Monday, November 2, 2009

Ikhlas

Imam Bukhari meriwayatkan hadis daripada Abi Sa'id al Khudri r.a, beliau berkata: Sabda Rasulullah s.a.w. kepada sahabat-sahabat baginda:
"Adakah di kalangan kamu yang merasa lemah untuk membaca satu pertiga Al-Quran pada satu malam?"

Para sahabat merasa berat (dengan saranan itu). Lalu mereka berkata: "Siapalah dikalangan kami yang mampu melakukan demikian, wahai Rasulullah?"

Baginda lalu bersabda: "Surah al Ikhlas itu menyamai satu pertiga Al-Quran"
iluvislam

InsyaAllah pada post kali ini, saya ingin kongsikan tafsir surah al Ikhlas, suatu surah yang pendek tetapi besar makna dan pahala membacanya. Semoga silap dan salah, kekurangan, mohon rakan-rakan perbetulkan.

Imam Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Jarir meriwayatkan daripada Ubai Ibn Ka'ab bahawa orang-orang musyrikin telah berkata kepada Rasulullah: "Wahai Muhammad! Sifatkan kepada kami Tuhan anda!" Maka Allah menurunkan surah al-Ikhlas.

Qatadah, Dakhkhak dan Muqatil berkata: "Beberapa orang Yahudi datang bertemu Rasulullah s.a.w. lalu berkata: "Sifatkan kepada kami Tuhan engkau (wahai Muhammad) kerana Allah telah menurunkan sifat-sifatNya di dalam Taurat. Ceritakan kepada kami Dia dari apa? Dia dari jenis mana? Adakah Dia emas, tembaga atau perak. Adakah Dia makan dan minum? Dari siapa Dia mewarisi dunia atau mewariskan dunia ini kepada sesiapa.

Dalam rangka menjawab soalan mereka maka Allah menurunkan surah ini menjelaskan tentang sifat-sifat Allah secara khusus.

"Katakanlah (ya Muhammad) Dialah Allah yang Maha Esa. Allah tempat berharap. Tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tiada yang setara denganNya."
-Surah al Ikhlas-

Firman Allah bermaksud: "Katakanlah (ya Muhammad), Dialah Allah yang Maha Esa". Ertinya, katakanlah wahai Rasulullah kepada mereka yang bertanya kepada kamu tentang sifat-sifat Tuhanmu: Dialah Allah yang satu, Esa pada zatNya dan sifatNya, tiada sekutu baginya. Tiada bandingan dan gandingan untukNya. Ini adalah sifat wahdaniyah dan penafian sekutu-sekutu.

Firman Allah bermaksud: "Allah tempat berharap". Allah tempat bergantung dan memohon hajat keperluan. Justeru Allah sahaja yang Maha Berkuasa untuk memenuhinya. Allah tempat makhluk mengadu, tiada seorang pun yang tidak memerlukan Allah. Namun, Dia tidak pula memerlukan mereka. Ini menyanggah keyakinan orang musyrikin Arab dan lain-lain tentang kewujudan perantaraan atau orang tengah dan para pemberi syafaat.

Ibn Abbas berkata ketika mentafsirkan makna "As-samad" ertinya yang menjadi tempat menggantungkan harapan makhluk untuk memenuhi keperluan dan menyelesaikan permasalahan mereka. Dia Penguasa yang amat sempurna penguasaanNya. Dialah Allah Maha Mulia yang amat sempurna kemuliaanNya. Dia juga yang Maha Hebat yang amat sempurna kehebatanNya. Dia Maha Penyantun yang paling sempurna kesantunanNya. Dia Maha Mengetahui dengan pengetahuanNya. Allah Maha Bijaksana yang amat sempurna kebijaksanaanNya. Dialah yang Maha Sempurna dalam segala jenis kemuliaan, kejituan dan kekuaasaan. Inilah sifat-sifat Allah. Segala kemuliaan dan keunggulan adalah milikNya. Tiada yang dapat menandingi Allah dan tiada pula yang menyamaiNya. Maha Suci Allah yang Maha Esa dan Maha Perkasa.

Firman Allah "Tidak beranak dan tidak diperanakkan", ertinya tidak akan lahir dariNya anak. Tiada suatu pun yang lahir dari Allah kerana Dia tidak sejenis dengan sesuatu yang lain, kerana Dia sedia ada dan bukan sesuatu yang baru. Tidak ada permulaan bagi kewujudan Allah. Dia disifatkan sebagai sedia ada dan yang awal serta menafikan sifat baru.

Bahagian pertama ayat ini menafikan kewujudan anak bagi Allah dan menyanggah orang-orang musyrikin yang menyangka kononnya para malaikat merupakan anak-anak perempuan Allah. Ayat tersebut juga menyanggah pandangan orang Yahudi yang menyangka Uzair sebagai anak Allah. Ia juga menyanggah pandangan orang Nasrani yang menyangka Isa adalah anak Tuhan. Bahagian kedua pula menafikan kewujudan bapa bagi Allah dan menafikan bahawa kewujudan Tuhan didahului oleh keadaan tiada.

Firman Allah bermaksud "Dan tidak ada yang setara denganNya". Tiada siapa yang menyamai Allah, menyerupaiNya dan berkongsi denganNya. Ini menafikan kewujudan teman dan membatalkan iktiqad orang musyrikin Arab bahawa Allah mempunyai gandingan dalam setiap perlakuanNya.

"Tidaklah wajar bagi al-Rahman untuk mempunyai anak. Padahal segala sesuatu yang dilangit dan dibumi semuanya datang ke hadrat Allah sebagai hamba. Dia telah mengira, menghitung dan Maha Tahu bilangan mereka. Setiap makhluk berkenaan akan tampil menemuiNya bersendirian"
-surah Maryam, ayat 82-95-

Bukhari dan Abdul Razzaq meriwayatkan daripada Abi Hurairah, dari Nabi s.a.w. bersabda:
"Firman Allah Taala: HambaKu telah membohongiKu. Dia tidak sepatutnya berkelakuan begitu. HambaKu telah mencelaKu sedangkan dia tidak sepatutnya begitu. Adapun pembohongannya terhadapKu ialah mereka yang berkata 'Allah tidak akan mencipta diriku semula sebagaimana Dia mula menciptaku', sedangkan mencipta awal kejadian tidaklah lebih senang dari mengulangi kejadiannya. Manakala celaannya terhadapKu ialah kata-kata mereka ' Allah mempunyai anak' sedangkan Aku Esa dan tempat manusia berharap. Aku tidak melahirkan anak dan tidak dilahirkan. Tiada seorang pun yang setanding denganKu."

Tafsir diatas saya ambil daripada Tafsir al-Munir oleh Dr. Wahbah al-Zuhaily. Surah al-Ikhlas ini membicarakan tentang tauhid yang tulus dan suci terhadap Allah SWT, suci dari sebarang kekurangan dan bebas daripada sebarang penyukutuan.
iluvislam

Semoga dengan perkongsian ini dapat memberikan serba sedikit input kepada rakan-rakan, agar kita sentiasa memperkuatkan iman dan yakin dengan kesempurnaan sifat Allah. Bagi rakan-rakan yang sedang dan akan menghadapi final exam, marilah kita sama-sama perbanyakkan berdoa kepada Allah agar pertolonganNya akan mempermudahkan kita menghadapinya, insyaAllah. =)