...kehidupan setiap insan ada suka dan duka...tetapi sejauh mana perjalanan tersebut mengajar kita, tidak akan bermakna jika ianya tidak membawa kita lebih dekat kepada Tuhan Yang Esa...
Thursday, December 10, 2009
Jom borak!
Kenapa sesuatu perkara yang baik, tidak ramai yang mahu berkata-kata tentangnya? Ketika berborak, berbincang, tajuk-tajuk yang bermanfaat dan kebaikannya sudah jelas ini tetap tidak menjadi satu topik yang digemari ramai.
Manusia lebih suka untuk berbincang dan berkata-kata tentang sesuatu yang menggembirakan dan memenuhi jiwanya, ramai antara kita yang leka sehingga tidak perasan bahawa yang diperkatakan itu adalah kerana hawa nafsunya sendiri. Berborak tentang "teman hidup", "kesenangan & kemewahan", "pangkat" dan "hiburan" sangat mudah untuk keluar dari mulut kita. Tetapi apabila diajak berborak tentang "Tuhan", "dosa pahala", "ajal maut", "syurga & neraka", begitu mudah kita mengelak dari mendengarnya. Kenapa??
Mungkinkah kerana topik-topik ini membosankan? Tidak menggembirakan? Tidak memenuhi jiwa dan perasaan kita?
Mungkin inilah hakikatnya, yang menyebabkan kita lebih hanyut dengan keseronokan dunia. Kita tidak kisah lagi tentang ajal yang akan datang menjemput kita bila-bila masa. Walaupun kadang-kadang hati kita tersentak dan insaf ketika mendengar ceramah, tetapi kita sangat mudah melupakannya apabila keluar dari rumah Allah.
Kita lupa bahawa kita punyai Tuhan yang sentiasa memerhati setiap tingkah laku kita, malaikat-malaikat yang sentiasa mencatat baik buruk setiap amalan kita. Kita rasa senang dengan kejayaan yang kita dapat didunia ini, nikmat rezeki yang sentiasa ada, kebahagiaan dengan orang disekeliling kita, sehingga terasa diri ini sudah cukup baik dan serba lengkap.
Katakanlah (Muhammad), "Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya?"
"Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya"
-surah al-Kahfi, ayat 103 & 104-
Allah menceritakan tentang ciri-ciri manusia yang paling rugi diakhirat kelak. Walaupun manusia merasakan diri mereka telah melakukan yang terbaik, tetapi Allah mengatakan bahawa pebuatannya sia-sia. Kenapa? Mencari rezeki dengan penat lelah waktu pagi petang, stress dengan kerja yang bertimbun-timbun, bersusah payah belajar di universiti sehingga tak tidur malam, adakah semua perkara ini akan menjadi sia-sia???
"Mereka itu adalah orang yang mengingkari ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak percaya) terhadap pertemuan denganNya. Maka sia-sia amal mereka, dan Kami tidak memberikan penimbangan terhadap (amal) mereka pada hari kiamat"
"Demikianlah, balasan mereka itu ialah neraka Jahanam, kerana kekafiran mereka, dan kerana mereka menjadikan ayat-ayatKu dan rasul-rasulKu sebagai bahan olok-olok"
-surah al-Kahfi, ayat 105 & 106-
Adakah untuk orang kafir sahaja? Tidak! Walaupun kita sebagai umat Islam, apabila kita leka dan lupa tentang peringatan Allah dan ajaran Rasulullah s.a.w., maka kita pasti akan termasuk dalam golongan ini. Allah tidak akan menilai kita berdasarkan status "Islam" dalam I.C kita, tetapi bagaimana niat dan perbuatan yang kita lakukan sehari-hari.
Kita tidak mudah untuk lari daripada kelekaan dunia, kerana syaitan selalu membisik kita untuk melupakan perintah Allah. Apabila kita terpengaruh, maka petunjuk dari Allah saja yang dapat menyelamatkan kita.
Wahai kawan-kawanku, marilah kita sentiasa ingat dengan tujuan hidup kita. Walaupun diri ini masih tak sempurna, kawan-kawanlah yang akan membantuku untuk ingat pada Yang Esa. Marilah kita sama-sama mencari syurga Allah yang kekal abadi.
"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka"
-surah al-Baqarah, ayat 201-
=)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment