Wednesday, May 6, 2009

Ingatlah!! Jangan terleka dengan dunia...

"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia, cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang banyak berbentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup didunia dan disisi Allah-lah tempat kembali yang baik"
-Ali-Imran, ayat 14-

Jika perhatikan ayat ini, Allah sekali lagi menunjukkan satu sifat dan kelemahan manusia. Zuyyina, diperhiaskan, bermaksud segala barang yang diingini itu ada baiknya dan ada buruknya. Tetapi apabila keinginan telah timbul, yang kelihatan hanya kebaikannya saja, keburukan dan kesusahan untuk mendapatkannya telah tertutup sama sekali.

Hubb, ertinya kesukaan atau cinta. Kemudian perkataan Syahwat, iaitu keinginan yang menimbulkan selera, yang menarik nafsu untuk mempunyainya.

Dari ayat diatas disebutkan 6 perkara yang manusia sangat menyukainya, tetapi yang ingin saya tekankan disini ialah benda yang umum, yang kita lihat orang-orang sekarang sibuk mencarinya, iaitu harta kekayaan.

Sesetengah orang sanggup mengabaikan apa jua untuk mendapatkan kekayaan. Ada yang sanggup melabur beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan kekayaan yang lebih. Tetapi yang lebih teruk, apabila anak dan keluarga sendiri terabai kerana sibuk mencari kekayaan.

Mungkin pada awalnya kita katakan kita mencari rezeki untuk menyara keluarga, tetapi jika kita lihat, apabila telah untung sedikit, manusia akan lalai dan inginkan lebih dari itu. Maka terhapuslah niat utama tersebut. Tidak hairanlah jika kita lihat anak-anak muda sekarang ramai yang terbiar dan bebas, kerana ibu-bapa yang telah tertutup dengan 'kesenangan' dunia. Apabila kurangnya kasih sayang dan perhatian, maka berlakulah pergaduhan dan kegoncangan rumah tangga.

Inilah akibat buruk daripada kenikmatan yang manusia kejar-kejarkan, tetapi perkara ini tidak nampak oleh mereka sendiri. Mereka akan saling salah-menyalahkan orang lain. Itulah apabila dijadikan 'terasa indah' dalam mendapatkan nikmat dunia.

Katakanlah, "Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?" Bagi orang-orang bertaqwa, tersedia disisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal didalamnya, dan pasangan-pasangan yang suci, serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hamba-Nya.
-Ali-Imran, ayat 15-

Apabila telah ditunjukkan kelemahan manusia, Allah berikan ubatnya, itulah TAQWA. Orang yang bertaqwa akan sentiasa takut pada Allah, mereka akan sentiasa berhati-hati dengan urusan dunia mereka. Pada ayat seterusnya, Allah gambarkan ciri-ciri orang bertaqwa.

"Iaitu orang-orang yang berdoa 'Ya Tuhan kami, kami benar-benar beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami, dan lindungilah kami dari azab neraka'.

Orang-orang yang sabar, orang yang benar, orang yang taat (pada Allah), orang yang menginfakkan hartanya (pada jalan Allah), dan orang yang memohon keampunan pada waktu sebelum fajar (qiamulail)"

-Ali-Imran, ayat 16 dan 17-

Semoga peringatan ini dapat menyedarkan kita, agar kita tidak lari dari jalan yang sebenar. Bagi kawan-kawan, semoga kita satu hari nanti dapat jadi ibu-bapa yang bertaqwa, dan tidak lupakan tanggungjawab didikan terhadap anak-anak. Dengan keluarga yang bahagia, akan lahirlah masyarakat yang harmoni dan berjaya dunia akhirat.

-luahan hati seorang anak-

No comments:

Post a Comment