Sunday, May 24, 2009

Jalan yang dicari.........

"Orang-orang yang telah Kami beri Kitab, mereka membaca sebagaimana mestinya, mereka itulah yang beriman kepadanya. Dan barang siapa ingkar kepadanya, mereka itulah orang-orang yang rugi"
-surah Al-Baqarah, ayat 121-

Ayat ini menjelaskan bahawa mereka yang membaca sebenar-benarnya, memahami dan ikutinya, merekalah yang akan merasai nikmat iman kepadanya. Berdasarkan dari Tafsir Al-Azhar, ada ahli tafsir mengatakan 'Yatlunahu' bermakna membaca, dan ada juga yang mengatakan maksudnya mengikut. Jadi kita baca dan kita ikutilah AlQuran itu.

"Kitab yang Kami turunkan kepadamu, yang penuh berkat agar mereka menghayati(tadabbur) ayat-ayatnya dan untuk orang yang berakal sihat mendapat pelajaran(iktibar)"
-surah Shad, ayat 29-

Allah menerangkan dalam ayat diatas bahawa AlQuran ini diturun untuk kita tadabbur, iaitu menghayati dan menelaah ayat-ayatnya. InsyaAllah jika kita memahami betul-betul ayat yang diturunkan Allah itu, terdapat banyak pengajaran yang membawa kita kepada kehidupan yang bahagia, dunia dan akhirat.

Tetapi bagaimana kita ingin memanfaatkan AlQuran itu sebaik-baiknya??

Yang pertama, kita kenalah ubah sikap dan pandangan kita terlebih dahulu. Biasakan diri berfikiran positif, insyaAllah pengajaran itu akan lebih mudah kita fahami. Tanamkan rasa minat untuk memahaminya, dan gunakan ia dalam kehidupan kita.

Jika kita tidak pandai dengan bahasa arab, kita belilah terjemahan AlQuran, jika ingin lebih baik lagi, carilah tafsir. Kita bacalah arabnya dan maknanya sekali, dan cuba fahami setiap ayat yang kita baca itu. Ambillah pengajarannya dan kita gunakan dalam kehidupan kita, itulah yang dinamakan sebagai panduan hidup.

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri"
-surah Ar-Ra'd, ayat 11-

Jika kita ingin berubah, Allah telah katakan bahawa kita sendiri yang perlu mulakannya. Walaupun macam mana orang nasihatkan kita, kalau kita tolak, kebaikannya tidak akan dapat juga. Jadi, positifkanlah diri kita.

Sesetengah orang bersangka bahawa sudah cukup dengan hanya membacanya. Cukup ke? Kita cubalah buang sangkaan itu. Kita perlu memahami, menelaah ayat AlQuran yang kita baca itu, barulah pengajarannya dapat kita ambil.

"Dan sesiapa yang tidak mengindahkan(mengabaikan) pengajaran(AlQuran) Yang Maha Pemurah, Kami adakan baginya syaitan, lalu menjadilah syaitan itu teman rapatnya. Dan sesungguhnya syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat petunjuk"
-surah Az-Zukhruf, ayat 36,37-

Inilah salah satu faktor yang menyebabkan seseorang makin jauh dengan hidayah Allah. Sebab itulah kita disuruh membaca AlQuran itu setiap hari, jangan dibiarkan syaitan membentuk titik-titik hitam dihati kita.

Terdapat sesetengah orang berasa takut untuk tadabbur, kerana takut ianya menyesatkan, takut tersalah tafsir akan makna ayat AlQuran tersebut. Jadi kita perlulah meminta perlindungan Allah daripada kesesatan yang diinginkan oleh syaitan.

"Maka apabila kamu hendak membaca AlQuran, memohonlah perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam"
-surah An-Nahl, ayat 98-

Bagaimana kita ingin jadikannya sebagai panduan??

AlQuran itu akan menjadi panduan apabila kita merasakan bahawa ayat itu ditujukan pada kita. Bukan bermaksud kita katakan diri kita sebagai Rasulullah, tapi kita jadikan teguran dan peringatan itu untuk memperbaiki dan memandu kita ke jalan yang Rasulullah s.a.w. ikuti. Jadikan kisah para Nabi itu sebagai pengajaran kepada kita, dan jauhi sifat-sifat mereka yang dikutuk oleh Allah.

Kita juga perlu menjadikan pengajaran yang terdapat dalam AlQuran itu sebagai pengajaran umum untuk semua manusia, tidak terhad pada orang-orang tertentu. Sebab itu Allah tidak terangkan dengan jelas nama Firaun pada zaman Nabi Musa, supaya kita tidak mengejar mencari siapa orang tersebut, kerana yang diinginkan ialah pengajarannya.

Kita dalamilah ayat-ayat Allah tersebut mengikut kemampuan dan sejauh mana ilmu kita. Jangan kita tambah sesuatu yang kita tidak ketahui, maka ianya akan membawa kepada kesesatan. Jika kita inginkan penjelasan, kita cubalah baca tafsir, dan tanyakan pada orang yang lebih berilmu.

"Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui, kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan dipertanggungjawabkan"
-surah Al-Isra', ayat 36-

Peringatan ini Allah sampaikan supaya kita berhati-hati dan tidak mengikut sesuatu yang tidak kita ketahui, tidak mengikut hawa nafsu semata-mata.

InsyaAllah, moga post kali ini dapat memberikan serba sedikit ilmu dan motivasi untuk kita lebih mendalami AlQuran yang diturunkan Allah. =)

No comments:

Post a Comment