Friday, April 17, 2009

Hmm...sedihnya...

Satu demi satu ujian datang. Walaupun setahun, macam-macam yang ujian kita dapat, dan macam-macam pengakhiran yang kita dapat. Ada yang sedih, ada yang menggembirakan.

Walaupun sejauh mana kita merancang, menginginkan sesuatu, sejauh mana pun kita cuba mendapatkannya, tetapi akhirnya kita tidak dapat yang kita inginkan. Jika tiada iman, sudah tentu seseorang itu bunuh diri. Tetapi ini bukanlah pertama kali. Bila diingat balik, sejak kecil lagi ujian macam ini diberi.

“…tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”
–Al-Baqarah, ayat 216-

Tetapi alhamdulillah, kita tidak berjaya dalam sesuatu, Allah bagi peluang dalam bidang lain. Memang betullah apa yang Allah katakan. Cuma kadang-kadang, kita susah juga nak terima hakikat yang menyedihkan itu. Kita rasakan kita sudah cuba yang terbaik, tetapi kenapa kita diberi balasan begini, apa salah diri ini. Kadang-kadang terasa macam tidak berguna pun ada. Tetapi insyaAllah, ada hikmah disebalik kesusahan dan kehampaan yang kita terima.

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (suatu urusan), tetaplah bekerja keras. Dan hanya kepada Tuhanmulah kamu berharap” –Asy-syarh, ayat 5-8-

Dua kali Allah ulang dalam ayat diatas, bahawa setiap kesusahan pasti ada kesudahan yang menggembirakan. Walaupun benda yang kita lakukan itu tidak berjaya macam yang kita inginkan, Allah suruh kita untuk tetap bekerja keras. Kita harapkan benda yang kita lakukan ini akan mendapat balasan yang baik, mungkin lebih baik lagi, insyaAllah.

“Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak karunia-Nya. Dia memberikan kebaikan kepada siapa saja yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang”
–Yunus, ayat 107-

Subhanallah, Maha Suci Allah. Moga Allah sentiasa merahmati kita. Biarlah ianya tidak dipandang oleh orang disekeliling kita, tetapi Allah tetap tahu bahawa kita sedang mencari rahmat-Nya. Diri ini kadang-kadang, nak juga ada rasa dihargai oleh orang sekeliling kita, kadang-kadang nak lebih dari itu. Moga kita dapat buang pemikiran ini, dan terus buat kebaikan hanya untuk keredhaan-Nya.

Satu lagi yang buat kita sedih ialah bila kita rasa seperti keseorangan. Terutama apabila kita menjadi pemimpin. Kita lihat rakan-rakan gembira dengan hal masing-masing, tetapi kita dibelenggu macam-macam masalah. Walaupun kita buat untuk kebaikan mereka juga, tetapi kita terasa keseorangan. Ada juga yang nak tolong kita, yang sedar akan masalah kita, kadang-kadang kita terasa seperti tidak cukup juga, dan kadang kala kita terpaksa berlakon seperti tiada apa-apa yang berlaku. Biarlah mereka gembira, mungkin Allah akan bagi sesuatu yang lebih menggembirakan suatu hari nanti.

Alhamdulillah, walaupun perasaan itu ada, kita tetap tabah. Biarlah Al-Quran menjadi peneman kita. Diri ini ingin sangat untuk merasakan kehadiran-Nya, walaupun kita tidak dapat melihatnya lagi.

“Inilah (Al-Quran) suatu keterangan yang jelas untuk semua manusia, dan menjadi petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan janganlah kamu berasa lemah dan jangan bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu beriman” –Ali-Imran, ayat 138,139-

Sesungguhnya Allah sangat dekat dengan kita, tetapi mungkin iman ini masih tidak cukup kuat untuk sentiasa merasai-Nya. Sama-samalah kita berdoa, agar dikuatkan iman ini, sehingga apabila kita melihat alam ini, kita akan tersenyum melihat kehebatan-Nya. Diri ini ingin sangat untuk menjadi seperti itu. InsyaAllah. Sama-samalah kita mencari keredhaan-Nya dan teruskan perjalanan kita sebagai khalifah yang tabah.

No comments:

Post a Comment