Monday, November 1, 2010

Keseorangan?


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah melihat seorang tawanan wanita yang terpisah dari bayinya. Setiap kali ia mendapatkan bayi tawanan lainnya, ia terus mengambil dan mendekapnya ke dada, dan ia terus berkeliling mencari anaknya. Tatkala ia menemukan anaknya, maka ia mendekapnya, kemudian menyusuinya.

Rasulullah s.a.w. pun bersabda, "Bagaimana menurut kalian, apakah wanita ini akan tegar melemparkan anaknya ke dalam api, padahal ia mampu untuk tidak melemparkannya?" Para sahabat pun menjawab, "Tidak, wahai Rasulullah." Lalu baginda pun bersabda, "Demi Allah, sungguh Allah lebih sayang kepada hamba-hambaNya daripada wanita ini kepada anaknya."
-sahih: riwayat Muslim (juga oleh Bukhari dengan perbezaan lafaz)-

Sebagai manusia, secara zahirnya kita sememangnya memerlukan kasih sayang daripada seseorang. Ibu merupakan orang yang paling rapat dengan kita, kerana dia yang melahirkan kita, menyusu dan menjaga kita sejak kecil, walaupun pelbagai karenah yang kita lakukan. Namun apabila seseorang itu mulai rasa kehilangan kasih sayang dari seorang ibu, maka dia akan cuba untuk mendapatkan kasih sayang daripada orang lain, sahabat, abang, kakak mahupun dari gurunya sendiri.

Kita pasti berasa gembira dan senang apabila mempunyai seseorang yang menyayangi kita, mengambil berat mengenai diri kita, walau apa jua yang berlaku. Tetapi sedarkah kita, bahawa kasih sayang dari seseorang manusia itu sangat terhad? Boleh hilang dalam sekelip mata? Malah, mungkin berubah kepada perasaan benci. Itulah manusia, tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.

Sebagai seorang hamba yang mengakui dirinya beriman, kita perlu yakin bahawa kasih sayang daripada Allah itu lebih besar dan lebih kekal. Allah tidak memilih hamba-hambaNya berdasarkan warna kulit, mahupun raut wajah. Dia sentiasa mengasihi hambaNya, sekalipun hambaNya itu pernah melakukan dosa yang besar. Itulah kasih sayang Allah, Pencipta kita semua.

Seperti yang ditanya oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis diatas, adakah seorang ibu sanggup untuk melemparkan anaknya ke dalam api? Mungkin dalam zaman sekarang, perkara itu tidak mustahil. Begitu banyak anak-anak yang dibuang dan dibunuh. Namun, kasih sayang Allah melebihi daripada sangkaan kita. Allah tidak ingin hambaNya dilemparkan ke api neraka, kecuali mereka itu benar-benar kufur dan ingkar kepadaNya. Dia masih menerima taubat kita walaupun kita selalu melakukan dosa kepadaNya.

Sama-samalah kita muhasabah diri dan berfikir sebentar, siapakah yang mampu memberikan kasih sayang yang terbaik kepada kita, samada manusia sendiri mahupun Allah Yang Mahakuasa. Istighfarlah, dan perbanyakkan sujud kepadaNya, sebagai tanda syukur kita atas limpah kasih sayangNya yang tidak terhingga. Semoga Allah sentiasa melindungi kita daripada dosa dan maksiat, dan menempatkan kita bersama kekasihNya di syurga kelak. Wallahualam. =)

"Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak (Allah) Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (dalam hati mereka)."
-surah Maryam (19), ayat 96-

No comments:

Post a Comment