Monday, March 9, 2009

Sebelum lahirnya seorang manusia...

Dari Abu ‘Abd al-Rahman Abdullah bin Mas’ud r.a. katanya:

Telah diceritakan kepada kami oleh Rasulullah s.a.w. dan ia benar lagi dibenarkan, Sesungguhnya salah seorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari air mani, kemudiannya menjadi segumpal darah seperti yang demikian itu, kemudian jadi seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya dan diperintahkannya menulis empat kalimat, iaitu rezekinya dan umurnya dan amalnya dan celakanya atau bahagianya. Maka demi Allah yang tidak ada Tuhan selainnya, sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan dengan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan dengan amal ahli neraka, maka masuklah ia ke dalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan degan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara neraka melainkan sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli syurga, maka masuklah ia kedalamnya. –diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim-

Pada hadith ini ditegaskan asal permulaan kejadian dan cara terbentuknya, amal yang dilakukan dalam masa hidupnya dan akhir hidupnya dan tempat yang akan didiaminya kelak setelah mati.

Dalam hadith lain, riwayat Ibn Mas’ud, ada diterangkan bahawa apabila air mani (nutfah) telah bertempat dalam rahim, maka malaikat terus mengambil tapak tangannya seraya berkata:

“Hai Tuhan! Adakah hendak dijadikan kejadian ini atau tidak?” Apabila Tuhan menjawab: Tidak dijadikan; maka air mani itu dicampakkan ke dalam rahim berdarah dan tidak bernyawa.
Tetapi kalau Tuhan menjawab: Jadikanlah!
Maka malaikat itu berkata lagi: Adakah dia lelaki atau perempuan? Berbahagiakah orangnya atau celaka? Bagaimana rezekinya? Berapakah lama usianya? Dan di bumi manakah tempat matinya?
Setelah itu Tuhan menjawab: Pergilah kepada Umm al-Kitab (Luh Mahfuz). Segala-galanya ada disana.


Dalam satu hadith lain:
“Tidak ada seorang daripada kamu melainkan telah dituliskan tempat duduknya dari neraka dan tempat duduk dari syurga.” Lalu mereka berkata: “Ya rasulullah! Kalau begitu, maka apakah kami berserah saja kepada tulisan kami dan kami tinggalkan amal?” Rasulullah bersabda: “Beramallah kamu, maka semuanya akan dipermudahkan kepada apa yang telah dijadikan baginya. Adapun orang yang dari golongan bahagia maka ia akan beramal dengan amal golongan bahagia. Dan orang dari golongan celaka maka ia akan beramal dengan amal golongan celaka.

Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca surah Al-Lail, ayat 5- 10
“Maka adapun orang yang memberi dan berbakti dan mengakui kebaikan, maka Kami akan memudahkan dia kejalan yang mudah. Dan adapun orang yang bakhil dan merasa terkaya dan mendustakan dengan kebaikan, maka Kami akan permudahkan ia kejalan yang payah.”


Jadi marilah sama-sama kita amik pengajaran. Walaupun kita yakin setiap suratan itu telah tertulis, tapi kita tidak boleh putus dari melakukan kebaikan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Jika kita inginkan syurga-Nya, tanamkan azam dan sama-sama kita mencari ilmu. Tanpa ilmu, kita akan sesat didunia ini....

1 comment:

  1. "Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan mereka yang mengubah diri mereka sendiri"

    marilah sama2 menjadikan ayat ini sebgai pedoman hidup

    ReplyDelete