Wednesday, July 8, 2009

Bisikan.....

hi-bloom

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya, dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa meliputi PengetahuanNya.

Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikiran."

-surah Al-Baqarah, 2: 268,269-

InsyaAllah saya kongsikan mengenai tafsir yang saya petik daripada Tafsir Al-Munir oleh Dr. Wahbah Al-Zuhaily. Semoga rakan-rakan dapat meluangkan masa sedikit, sebagai peringatan kepada kita agar tidak terlalai dengan kehidupan di dunia ini.

Sejak dari awal kejadian manusia lagi, syaitan merupakan musuh yang nyata. Syaitan telah bersumpah untuk menyesatkan kaum manusia.

"Iblis berkata: Demi kekuasaanMu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan."
-surah Sad, 38: 82-83-

Seperti petikan surah Al-Baqarah diatas, Allah menceritakan bagaimana syaitan itu menimbulkan perasaan was-was dan keraguan pada diri manusia, dengan menakutkan mereka kepada kefakiran dan kemiskinan. Ia inginkan agar manusia tidak menginfakkan hartanya untuk kebaikan, menyuruh agar kita menjadi bakhil dan kedekut.

Menerusi riwayat Ibn Abi Hatim, daripada Abdullah bin Mas'ud katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Sesungguhnya terdapat bisikan daripada syaitan yang terlintas di hati anak Adam, dan juga terdapat bisikan daripada malaikat.

Bisikan syaitan itu menjanjikan tentang kejahatan dan mendustakan kebenaran, manakala bisikan malaikat menjanjikan kejahatan dan mendustakan kebenaran.

Sesiapa yang mendapati perkara tersebut, ketahuilah bahawa ia adalah daripada Allah, maka ucapkanlah puji-pujian kepada Allah. Sesiapa yang mendapati hal sebaliknya, mintalah perlindungan daripada syaitan. Kemudian baginda membacakan firman Allah dari surah Al-Baqarah ayat 268 di atas."


Pada ayat 269, Allah Taala khabarkan tentang hikmah yang diberikan kepada hambaNya yang Dia kehendaki. Hikmah yang dimaksudkan itu merupakan ilmu, kefahaman dan Al-Quran. Hal ini membimbing manusia agar dapat membezakan antara hakikat dan bayangan, was-was dan ilham. Wahana hikmah ialah akal.

Sesiapa yang diberikan taufik oleh Allah Taala akan mendapat ilmu yang bermanfaat, disamping membimbingnya mendapat hidayah akal. Ini bererti ia mendapat petunjuk kepada dua jenis kebaikan, iaitu kebaikan di dunia dan di akhirat. Malah, ia juga lebih memahami hakikat yang benar.

Diriwayatkan daripada Ibn Mas'ud katanya, Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Tiada hasad melainkan pada dua: Seorang hamba yang Allah berikan harta, lalu ia menggunakan dan membelanjakan di jalan yang benar, dan juga orang yang Allah berikan hikmah kepadanya, lalu ia menggunakannya untuk membuat ketetapan dan mengajar"

Jadi, sama-samalah kita renungkan dan berhati-hati agar kita tidak tergoda dengan bisikan syaitan. Marilah kita sama-sama berdoa, teruskan buat kebaikan, agar diberikan hikmah yang Allah janjikan itu. =)

No comments:

Post a Comment