Friday, June 4, 2010

Ragu-ragu


Apabila dikatakan tentang Islam, sudah tentu kita cukup meyakini bahawa Tuhan itu satu, iaitu Allah Taala. Kita cukup yakin bahawa hanya Allah saja yang berkuasa menciptakan alam yang serba lengkap ini, yang tidak mampu dilakukan oleh mana-mana makhluk sekali pun.

Cuma apabila dikatakan mengenai Zat Yang Maha Mengetahui, Pengatur sekalian alam, Pemberi rezeki kepada kita, tidak ramai yang betul-betul meyakininya. Keraguan dalam hati manusia ini dapat dilihat melalui ketidakmahuan kita untuk menjadi ketetapan Allah itu sebagai panduan dan pedoman yang pasti.

Kita boleh lihat dan dengar dengan sendiri bahawa masih ada dikalangan kita yang ragu terhadap kebenaran dan kemampuan wahyu, yakni AlQuran dan Sunnah, dalam menyelesaikan banyak persoalan masyarakat yang kita hadapi. Ada yang menyatakan jika kita menjalankan perintah Allah ini sebagai 'ketinggalan zaman', 'boleh memecahkan' masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dinegara kita, 'jumud' dan sebagainya. Bukankah ini menunjukkan keraguan kita terhadap terhadap Allah?

Sudah menjadi tidak pelik lagi untuk kita mendengar ungkapan-ungkapan demikian, kerana perkara ini diungkapkan oleh mereka yang dikatakan sebagai tokoh masyarakat dan cendekiawan muslim. Pengaruh mereka cukup kuat, sehingga jika perkara yang salah pun masyarakat boleh meyakininya. Inilah akibatnya apabila tiadanya asas Islam yang kukuh dalam diri kita, amat lemah dan menjadikan kita ragu-ragu terhadap kekuatan Allah. Mungkin kita tidak sedar, tapi inilah realitinya.

Perkara ini dikatakan sebagai kufur kerana keraguan terhadap kebenaran (kufur syak), salah satu bahagian dalam kufur Millah. Kufur Millah merupakan perbuatan kekufuran yang boleh menyebabkan pelaku tersebut keluar dari Islam. Pembahagian ini saya petik daripada buku 'Panduan Akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah', tulisan Ustz Darwis Abu Ubaidah, terbitan Pustaka al-Kautsar.

Syaikh Islam Ibnu Taimiyah menyatakan, "Sesungguhnya orang-orang yang bersama ahli hadis, majoriti fuqaha (ahli fiqh) dari mazhab Maliki, Syafie, Hanbali, orang-orang sufi, dan kelompok ahli kalam baik yang sesuai dengan sunnah ataupun tidak (seperti Mu'tazilah dan Khawarij), mereka telah bersepakat bahawa orang-orang yang tidak beriman setelah ditegakkan kepadanya hujjah risalah (kerasulan), maka orang tersebut adalah kafir. Sama ada kerana ia mendustakan, ragu-ragu, berpaling, takabbur (sombong), kemunafikan atau kerana lainnya."
-Majmu' Fatawa, jilid 20, muka 86-87-

Kekufuran juga mempunyai tingkatan-tingkatan sebagaimana iman seseorang. Dalam perkara ini, Allah berfirman, "Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih diantara hamba-hamba Kami, lalu diantara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan, dan ada yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian adalah kurnia yang besar."
-surah Fathir, ayat 32-

Daripada ayat ini, sudah jelas bahawa orang pertengahan atau sederhana itu lebih baik dari orang yang menzalimi diri, iaitu ingkar dan berbuat dosa. Manakala mereka yang yakin dan sentiasa berbuat kebaikan itu adalah lebih baik daripada mereka yang bersederhana (pertengahan).

Apa yang saya tulis disini bukan bermaksud untuk 'melabel' seseorang sebagai kafir, tetapi sebagai peringatan bersama agar kita perbaiki diri kita. Melabel seseorang itu adalah bercanggah dengan pegangan Ahlu Sunnah Wal Jamaah, kecuali kekafiran itu cukup jelas berdasarkan syarat-syaratnya. Hanya Allah yang lebih layak menentukan keimanan atau kekufuran seseorang.

Bagi kita yang sedar, menjadi kewajipan bagi kita untuk menjauhi kekufuran itu, yang boleh terjadi sama ada melalui kata hati kita, kata-kata yang keluar dari mulut kita, mahu pun perbuatan kita menolak perintah Allah. Sama-samalah kita sedarkan rakan-rakan dan masyarakat sekeliling kita, dalami lagi ilmu AlQuran dan Sunnah, agar tiada lagi keraguan dalam diri kita terhadap Allah Taala, insyaAllah. Jika terdapat kesilapan dan kesalahan dalam penulisan kali ini, mohon teguran. =)

"Tidaklah sama antara orang beriman yang duduk (tidak turut berperang) tanpa mempunyai uzur (halangan) dengan orang yang berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan darjat orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang yang duduk (tidak ikut berperang tanpa halangan). Kepada masing-masing Allah menjanjikan (pahala) yang baik (iaitu syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar."
-surah An-Nisa (4), ayat 95-

No comments:

Post a Comment