Wednesday, September 22, 2010

Isteri Nabi Sebagai Tauladan


InsyaAllah untuk post kali ini saya ingin berkongsi tafsir Al-Quran berkenaan surah Al-Ahzab, ayat 32 dan 33. Tafsir ini saya petik daripada kitab Shahih Tafsir Ibnu Katsir. Semoga dengan perkongsian ilmu ini bermanfaat buat rakan-rakan sekalian.

"Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertaqwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik, dan hendaklah kamu tetap di rumahmu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah yang dahulu, dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai Ahlul Bait, dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya."
-surah Al-Ahzab, ayat 32,33-

Ayat di atas mengandungi beberapa perintah Allah ke atas isteri-isteri Nabi s.a.w. sebagai tauladan kepada umat Islam seluruhnya. Para isteri Nabi s.a.w. itu merupakan ikutan dan contoh yang perlu diikuti oleh para muslimah. Dalam ayat 30 dan 31, dinyatakan perbezaan antara isteri Nabi dan wanita umumnya, dimana setiap kebaikan mahupun dosa yang mereka lakukan, mereka akan mendapat pahala dan dosa yang berlipat ganda berbanding wanita lain. Ini disebabkan kedudukan mereka sebagai contoh kepada umat Islam, terutamanya kaum wanita.

"Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara." As-Suddi dan ahli tafsir lainnya berkata, maksud ayat ini adalah melarang melembutkan suara dikala berbicara dengan lelaki. "Sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya", bermaksud orang yang jiwanya rosak. "Dan ucapkanlah perkataan yang baik." Ibnu Zaid menafsirkan sebagai ucapan yang sopan santun dan bernilai kebaikan.

Ayat ini bererti bahawa para isteri Nabi dan kaum muslimat seluruhnya, diperintahkan agar apabila berkata-kata dengan lelaki lain, hendaklah dengan tidak melemah lembutkan suaranya, kecuali kepada suami. Namun begitu, mereka tidak pula dituntut untuk berkata dengan kasar, tetapi dengan 'perkataan yang baik', iaitu dengan berhikmah dan mempunyai nilai kebaikan.

"Dan hendaklah kamu tetap dirumahmu," bermaksud berdiamlah wahai isteri-isteri Nabi di rumah kalian, jangan sesekali kalian keluar rumah tanpa ada satu keperluan. Antara contoh keperluan syar'i yang dibenarkan ialah melaksanakan solat dimasjid dengan syarat-syarat tertentu.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jangan kalian larang hamba-hamba Allah yang perempuan untuk mendatangi masjid Allah. Dan hendaklah mereka keluar dengan tidak memakai wangi-wangian (berhias)." Dalam satu riwayat disebutkan, "Sedangkan solat dirumah mereka itu lebih baik bagi mereka, (jika mereka mengetahui)."
-Sahih, riwayat Abu Daud. Lihat Shahiihul Jaami'-

"Dan janganlah kalian berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu." Mujahid berkata, 'dahulu para wanita keluar berjalan di tengah-tengah kaum lelaki, yang demikian itu disebut sebagai perilaku orang jahiliyah dahulu.' Qatadah berkata, 'iaitu apabila kalian keluar rumah, dimana mereka dahulu (apabila keluar rumah) suka berjalan lenggang-lenggok, lemah gemalai dan manja. Maka Allah melarang itu semua.'

Muqatil bin Hayyan berkata, perkataan "tabarruj" (dalam ayat diatas) bermaksud meletakkan kerudung di atas kepala tanpa diikat ke bahagian leher, sehingga rantai mereka, anting-anting mereka dan leher mereka terlihat seluruhnya. Itulah yang dimaksud dengan "tabarruj". Kemudian tradisi tabarruj ini dilakukan secara umum oleh wanita mukmin. Disebabkan ini, maka kaum muslimah perlulah meninggalkan tabarruj sesuai dengan perintah Allah dalam ayat ini.

"Dan laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatilah Allah dan Rasul-Nya." Setelah Allah melarang isteri-isteri Nabi daripada perbuatan dosa, Allah susuli dengan perintah kepada mereka untuk melaksanakan kebaikan, seperti mendirikan solat yang merupakan bukti penghambaan manusia kepada Allah, dan menunaikan zakat yang merupakan bukti kebaikan kepada sesama makhluk.

Semoga dengan perkongsian ini, dapat mengingatkan dan memperbetulkan diri kita daripada kesilapan yang pernah kita lakukan. Setiap larangan dan perintah Allah dalam ayat diatas mestilah kita ikuti, dan jadikan isteri Nabi sebagai contoh muslimah yang terbaik. Semoga diri kita lebih baik dari hari ke hari, dan digolongkan dikalangan hamba-hambaNya yang bertaqwa, insyaAllah. =)

No comments:

Post a Comment