Tuesday, September 7, 2010

Menyambut Aidilfitri


Alhamdulillah, dengan kekuatan yang diberikan Allah, kita berjaya mengharungi bulan yang penuh dengan ujian dan keberkatan, yakni bulan Ramadhan. Turunnya syariat kepada umat Islam untuk berpuasa pada bulan ini, melatih diri melawan hawa nafsu dan maksiat, serta menanamkan azam untuk memperbanyakkan beribadat, demi membentuk diri kita sebagai hamba-Nya yang bertaqwa, insyaAllah.

Pada akhir-akhir Ramadhan ini, kita dapat lihat sebahagian umat Islam sibuk mencari malam lailatulqadar, melipat gandakan amalan dan berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Allah. Namun begitu, ada juga sebahagiannya yang sibuk dengan urusan dunia, mempersiapkan diri dan keluarga untuk menyambut hari raya yang dinanti-nantikan. Sama-sama kita refleksi diri di akhir Ramadhan ini dan beristighfar sebanyak mungkin.

"Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (berpuasa) dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur"
-Al-Baqarah, ayat 185-

Berakhirnya Ramadhan, maka kita diperingatkan oleh Allah supaya memperbanyakkan mengingati-Nya. Daripada ayat diatas ini jugalah, kita disyariatkan untuk bertakbir pada hari raya Aidilfitri, iaitu hari kemenangan selepas mengharungi sebulan berpuasa. Semoga dengan banyak mengingati Allah, kita digolongkan dikalangan hamba-Nya yang bersyukur.

Dari Aisyah r.a. katanya, "Rasulullah s.a.w. masuk ke rumahku, dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu'ats. Beliau langsung berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya. Ketika Abu Bakar masuk ke rumahku, ia memarahiku dan berkata 'Dalam pandangan Rasulullah s.a.w, itu adalah seruling syaitan'. Mendengar itu, maka Rasulullah s.a.w. menemui Abu Bakar dan berkata kepadanya, 'Biarkanlah mereka Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum ada hari raya dan hari ini adalah hari raya kita'."
-sahih, riwayat Bukhari dan Muslim-

Daripada hadis ini, Rasulullah s.a.w. tidak melarang umat Islam untuk berhibur ketika hari raya, asalkan tidak berlebihan dan bercanggah dengan tuntutan Islam. Diterangkan dalam kitab Fathul Baari (syarah sahih Bukhari), dalam hadis lain yang serupa, bahawa Aisyah r.a. menyatakan bahawa 'mereka bukan menyanyi', kerana menurut orang Arab, nyanyian itu disertai mengangkat suara dan berdendang. Sikap Rasulullah s.a.w. menyelimuti tubuhnya dengan kain juga menunjukkan bahawa baginda memalingkan diri dari nyanyian tersebut. Maka dapat disimpulkan bahawa menjauhi hiburan itu lebih baik meskipun tidak melalaikan.

Ketika hari raya, sebahagian daripada masyarakat kita bersedih mengenangkan ketiadaan ahli keluarga. Namun begitu, kegembiraan itu lebih perlu kita tonjolkan, kerana inilah saat kemenangan bagi kaum Muslimin. Para sahabat apabila bertemu ketika hari raya, mereka mengucapkan "Taqabbalallah minna waminka" (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu), sebagai ucapan tahniah atas kejayaan kita semua.

Ummu Athiyah berkata, "Kami telah diperintahkan untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis, dan wanita yang dipingit untuk keluar, sedangkan wanita sedang haid agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat."
-sahih, riwayat Bukhari-

Hadis ini menunjukkan bahawa kaum wanita disunatkan untuk keluar mengikuti atau menyaksikan solat hari raya, baik yang muda maupun tua. Perkara ini juga disuruh oleh baginda untuk menampakkan syiar Islam ketika hari Aidilfitri. Banyak perkara yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk kita lakukan ketika menyambut hari raya Aidilfitri. Di sini saya kongsikan link blog Badar UKMKL, "Tentang Hari Raya".

Semoga dengan berakhirnya Ramadhan ini, kita tidak akan jemu-jemu untuk melakukan amalan-amalan sunat, terutamanya solat tahajjud dan puasa sunat. Sama-sama kita doakan agar segala amalan kita diterima oleh Allah, dan diampunkan-Nya dosa-dosa kita yang lalu. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakan dan pembaca blog saya,
'Taqabbalallah minna waminkum'. =)

No comments:

Post a Comment