Thursday, September 15, 2011

Harta dan umur

Dari Anas bin Malik r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Anak Adam akan semakin tumbuh dewasa dan semakin besar pula bersamanya dua perkara, iaitu cintakan harta dan panjang umur. "
-Sahih Bukhari-

Harta dan umur yang panjang merupakan dua perkara yang selalu dititik beratkan oleh manusia. Kita dapat lihat bagaimana manusia sibuk mengumpulkan harta. Siang malam bekerja, ditambah pula mengejar kerja tambahan untuk mendapatkan gaji yang tinggi. Sebahagian pula menginginkan wajah yang sentiasa muda dan cantik, walaupun umur sudah mencecah lebih 50-an. Ada juga yang terlalu takut dengan kematian sehingga sanggup menghabiskan duit beribu-ribu untuk memanjangkan usia. Apakah kita juga begitu?

Perlu kita sentiasa ingat, bahawa harta itu hanyalah pinjaman sementara yang diberikan Allah, maka besederhalah dan pergunakanlah untuk memperbanyakkan amalan kita. Gunakan harta yang kita ada untuk bersedekah, membeli buku sebagai bekalan ilmu, mahupun untuk mengembangkan kerja-kerja Islam. Biarlah umur kita sedikit, namun padat dengan amal dan perkara yang diredhai Allah.

Semoga masa muda yang diberikan oleh Allah ini dapat kita manfaatkan sebaiknya. Janganlah kita hanya memandang hari esok, tetapi gunakanlah masa hari ini dengan sebaiknya,agar kita semua mendapat rahmat dan balasan syurga dari Allah Taala.

Dari Anas dia berkata, “Doa yang paling banyak dipanjatkan Nabi s.a.w. adalah:

“Wahai Rabb kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat,
dan hindarkanlah kami dari siksa api neraka
."
-Sahih Bukhari-

Ali bin Abi Thalib berkata, “Dunia berlalu dengan membelakangi, sedangkan akhirat berlalu dengan menghadap. Masing-masing dari keduanya mempunyai banyak anak, maka jadilah kalian anak-anak akhirat dan jangan menjadi anak-anak dunia. Sesungguhnya hari ini ada amal namun tidak ada perhitungan, sedangkan esok yang ada hanyalah perhitungan namun tidak ada lagi amal.”
-Sahih Bukhari-

No comments:

Post a Comment